Friday, 31 August 2012

"Cerita-Cerita Kejayaan" Penswastaan - jangan iri hati...

TV3

Lesen penyiaran televisyen swasta pertama diberi kepada Sistem Televisyen (Malaysia) Berhad (TV3) pada tahun 1983. Pemegang utamanya ketika itu termasuk Kumpulan Fleet (syarikat pegangan UMNO), Kumpulan Utusan (yang dikuasai UMNO), Maika Holdings (kepunyaan MIC), Daim Zainuddin sendiri dan kumpulan Syed Kechik yang kini bankrap.

Selepas itu, kumpulan New Straits Times (NST) - yang dipegang UMNO melalui Fleet mulai awal tahun 1970-an dan kemudiannya oleh kumpulan Renong, yang diuruskan oleh anak emas Daim - telah mengambil alih TV3, yang ketika itu menguntungkan, daripada pemegang saham minoriti lain. Kemudian, syarikat itu dibeli majikannya, melalui Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pada awal tahun 1993, dengan bantuan besar Quek Leng Chan daripada kumpulan Hong Leong (bank).

Dengan demikian, TV3 dan kumpulan NST dikuasai oleh orang yang rapat dengan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, yang telah membantunya menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri (Gomez 1990; 1994).

Sports Toto

Pada tahun 1985, 70 peratus daripada Sports Toto, yang mempunyai potensi besar untuk membawa keuntungan, telah dijual - tanpa pengumuman awal bahawa kerajaan ingin menjualnya - kepada B&B Enterprise Sdn Bhd, yang dikuasai oleh Vincent Tan (60%) dan Melewar Corporation, kepunyaan Tunku Abdullah (10%), dengan harga rendah.

Vincent Tan dikatakan rapat dengan Daim, yang ketika itu baru dilantik Menteri Kewangan, sementara Tunku Abdullah terkenal sebagai sahabat karib Mahathir sekurang-kurangnya sejak tahun 1960-an (Gomez 1990; 1994). Tan kemudiannya membeli saham Tunku Abdullah.

Dengan usaha penjualan yang agresif, tanpa mempedulikan kesan sosial perjudian, Sports Toto menjadi jauh lebih menguntungkan dan memberi sumbangan tiga kali ganda kepada kerajaan (Jonas et al. 1992b). Walaupun Sports Toto kurang cekap dibandingkan dengan syarikat perjudian lain di Malaysia, syarikat itu menjadi aset yang paling menguntungkan dalam konglomerat Berjaya milik Vincent Tan.

Keuntungan Sports Toto bertambah kerana kadar cukainya - yang ditentukan oleh Menteri Kewangan - lebih rendah berbanding dengan operasi perjudian lain, sedangkan sumbangan terhadap pembangunan sukan di Malaysia sebenarnya sederhana walaupun mendapat publisiti hebat.

Loteri dan Big Sweep

Lesen loteri pernah diberi kepada Kelab Lumba Kuda Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang menjual tiket loteri sempena perlumbaan kuda, tetapi hanya kepada ahli mereka.

Pada September 1988, lesen loteri yang menggantikannya - Big Sweep - diberi kepada Pan Malaysian Sweeps Sdn Bhd yang baru dikorporatkan pada Julai 1988, kepunyaan Ananda Krishnan, seorang lagi kenalan rapat Mahathir (NST, 16 Feb 1989).

Tiket loterinya pula dapat dijual kepada orang awam sejak Feb 1989. Hadiah Big Sweep jauh lebih lumayan daripada loteri yang pernah dikendalikan oleh Kementerian Kebajikan Masyarakat Malaysia, yang ditutup oleh kerajaan, atas alasan bertentangan dengan nilai Islam. Lantas Big Sweep memonopoli loteri di Malaysia.

nota: terlalu panjang, saya tinggalkan bab penglibatan Ananda melalui Usaha Tegas Sdn Bhd di dalam menguruskan perjudian tekaan nombor (dikenali sebagai 4 Digit / 4 nombor ekor).

Infrastruktur - jalan

Pada tahun 1987, projek simpang bertingkat Jalan Kuching/Jalan Kepong bernilai RM86 juta dikontrakkan kepada syarikat Bumiputra bermodal RM2, Seri Angkasa Sdn Bhd, yang ditubuhkan oleh keluarga Datuk Lim Ah Tam.

Kemudiannya, Seri Angkasa dimiliki 35% oleh Sri Alu Sdn Bhd, milik Wahab Zainuddin - abang Daim, Menteri Kewangan ketika itu, yang bertanggungjawab memberi kontrak ini - dan Hasan Abas, yang telah bekerja dengan Daim di Paremba pada awal tahun 1980-an.

Keseluruhan projek ini dikontrakkan kepada Mitsui Corporation daripada Jepun dan dibiayai oleh pinjaman yang dijamin secara peribadi oleh Wahab, Mohamed Amir Senawi (anak saudara Daim yang menjadi pengarah Seri Angkasa) serta rakan perniagaan mereka.

Projek lumayan "bina-operasi-pindah" ini membolehkan keluarga Lim mengambil alih Kamunting Corporation, dan akhirnya, Multi-Purpose Holdings, syarikat kedua terbesar di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) setelah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dibiayai kerajaan (rujuk Jomo et al., 1989; Gomez 1992).

nota: terlalu panjang, menyentuh perihal kontrak pembinaan dan operasi Lebuh Raya Utara Selatan (LUS) kepada UEM, yang telah disentuh pada artikel sebelum ini.

Infrastruktur - kumbahan

Pada tahun 1993, Indah Water Konsortium Sdn Bhd - milik kumpulan syarikat Vincent Tan, Berjaya Group Berhad, yang menguasai 20 peratus saham - diberi, tanpa proses tender, projek pembetungan negara bernilai RM6 billion (The Star 18 Mei 1993). IWK dikatakan sebenarnya mewakili Northwest Water (Malaysia) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat kepada syarikat air British yang diswastakan.

Kontrak tersebut melibatkan "143 pihak berkuasa di seluruh Malaysia bagi mengurus, menjalankan dan mengendalikan sistem pembetungan bandar selama 28 tahun" (Malaysian Business 16 Dis 1993).

Sebelum itu, Berjaya Group hanya terlibat dalam projek kecil pembinaan jalan raya di Malaysia, dan tidak mempunyai pengalaman ataupun kemampuan untuk menjayakan projek pembetungan negara (Far Eastern Economic Review 1 April 1993).

Infrastruktur - hidroelektrik

Pada awal tahun 1994, kerajaan telah mengumumkan penswastaan projek empangan hidroelektrik Bakun, bernilai RM15 billion, di Sarawak.

Sebelum itu, projek Bakun telah DIBATALKAN kerajaan pada akhir tahun 1980-an setelah bantahan daripada pencinta alam dan mereka yang meragukan kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi projek itu.

Kontrak tanpa tender itu diberikan kepada Ekran Bhd, yang dikuasai hartawan balak dan pembinaan, Ting Pek Khiing. Ting merupakan satu lagi rakan rapat Mahathir, Daim dan Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud (Asian Wall Street Journal 2 Feb 1994).

(google images)

Pemegang saham Ekram yang lain termasuklah Robert Tan, anak buah Daim dan Shuaib Lazim, yang mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir - yang telah menerima dan gagal dalam kontrak yang diswastakan untuk membangunkan pusat perdagangan di bawah Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Setelah bermulanya krisis kewangan serantau pada pertengahan 1997, Menteri Kewangan ketika itu, Anwar Ibrahim, mengumumkan pengurangan pelbagai "projek mega" pada akhir tahun itu, termasuklah projek empangan Bakun. Perdana Menteri telah masuk campur tangan bagi memastikan kontraktor-kontraktor projek itu diberi ganti rugi yang lumayan dan cepat bagi kerja yang dibuat.

Setelah memecat dan memenjarakan Anwar pada September 1998, dan menang dalam pilihanraya umum pada akhir tahun 1999, Dr Mahathir telah memulihkan semula projek Bakun walaupun ada keraguan serius tentang kapasiti sebenar empangan baru itu untuk menjana kuasa.

Dengan gugurnya cadangan kontroversi sambungan kabel kuasa dasar laut, tenaga yang akan dijana melebihi keperluan seluruh pulau Kalimantan/Borneo. Cadangan kilang melebur bauksit yang memerlukan banyak tenaga murah dipersoalkan memandangkan kesan buruknya terhadap alam sekitar dan kos tinggi tenaga yang akan dijana.

Beberapa eksekutif tinggi Tenaga Nasional, yang dikuasai kerajaan, dipercayai pernah diganti akibat bantahan mereka terhadap projek Empangan Bakun.

-----------------------
Dipetik tanpa olahan daripada: Jomo, K. S. (2010). Warisan Ekonomi Mahathir. Utusan Publications & Distributors.


Ringkas mengenai Jomo:

Jomo Kwame Sundaram (born 11 December 1952), known as Jomo, is a prominent Malaysian economist, who has served as the United Nations Assistant Secretary-General for Economic Development in the United Nations Department of Economic and Social Affairs (DESA) since 2005. He was founder chair of International Development Economics Associates (IDEAs), and sat on the Board of the United Nations Research Institute For Social Development (UNRISD), Geneva. In 2007, he was awarded the Wassily Leontief Prize for Advancing the Frontiers of Economic Thought. During 2008-2009, he served as adviser to Father Miguel d’Escoto Brockmann, President of the 63rd United Nations General Assembly, and as a member of the [Stiglitz] Commission of Experts of the President of the United Nations General Assembly on Reforms of the International Monetary and Financial System. Jomo is a leading scholar and expert on the political economy of development, especially in Southeast Asia, who has authored or edited over a hundred books and translated 12 volumes besides writing many academic papers and articles for the media. He is on the editorial boards of several learned journals. Before joining the UN, Jomo was already widely recognized as an outspoken intellectual, with unorthodox non-partisan views. 

Lanjut ---> wikipedia

Thursday, 30 August 2012

Keperluan "Berwasiat"

Wasi

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda:

"Tidak ada hak bagi seseorang yang hendak mewasiatkan hartanya (menangguhkannya) bermalam sehingga dua malam, melainkan hendaklah dia segera menulis wasiat itu".

Setiap yang bernyawa pasti akan berjumpa dengan mati. Tiada makhluk yang hidup menongkat langit. Kita percaya kepada kematian, dan kita yakin dengan sabda Nabi SAW sebagaimana petikan hadith di atas.

Soalnya, berapa ramaikah di antara kita yang bersedia untuk membuat dokumen penulisan wasiat? Sama ada ramai atau sedikit, statistik tidak rasmi mengenai harta beku telah dianggarkan mencapai nilai RM40 billion. Sebab utamanya? Kerana lalai di dalam penulisan wasiat.


Sungguhpun penekanan ke arah penyediaan wasiat ini penting, namun disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan serta kesedaran orang Melayu Islam mengenai proses pembahagian harta selepas kematian menjadikan lebih banyak masalah dan kesulitan timbul di kemudian hari.

Sebagai jalan mudah, ramai di kalangan kita lebih suka menyedapkan hati dengan menyandarkan proses pembahagian pusaka ini kepada hukum faraid. Ini kerana sesetengah kita membayangkan hukum ini akan digerakkan sendiri secara automatik setelah berlaku kematian kelak.


Malangnya proses ini tidak berlaku. Ianya sukar bertindak sebagaimana yang kita fahami. Ini kerana punca untuk "menggerakkan" proses pentadbiran harta pusaka adalah perlu ada "seseorang" yang akan melaksanakan kesemua urusan tersebut.

"Seseorang" itu boleh jadi waris sendiri (wasi) atau pentadbir harta pusaka yang dilantik.

Sudah banyak insiden di mana terjadi kematian tanpa wasiat. Bukan sahaja dapat kita lihat di dalam drama-drama Melayu, bahkan di dunia yang sebenar juga. Ada ketikanya waris yang dilantik atau Wasi itu tadi agak "segan" hendak menanyakan tentang harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati, kerana bimbang dan takut dianggap sebagai tamak oleh waris yang lain.


Walhal pada hakikatnya, prosedur pembahagian harta pusaka wajar disegerakan sebaik jenazah selamat dikebumikan.

Antara perkara yang popular mengenai wasiat adalah:

1) Membuat wasiat untuk memberi 1/3 daripada harta kepada BUKAN waris.

2) Si mati hanya membuat pesanan secara lisan sahaja.

3) Menulis dokumen wasiat untuk melantik seorang pentadbir harta pusaka.

Di antara ketiga-tiga perkara tersebut, yang terakhir itu juga perlu difahami iaitu pelantikan pentadbir kepada harta pusaka ataupun Wasi. Sesungguhnya tiada halangan bagi kita untuk melantik dari kalangan kaum keluarga sebagai wasi, tetapi sebaik-baiknya, lantiklah sebuah organisasi pemegang amanah sebagai wasi.

Sungguhpun saudara-mara itu kita semasa hayat adalah rapat dengan kita, tetapi hal ini eloklah diuruskan dan ditadbir secara profesional. Akan menjadi lebih aman dan tenang apabila wasi tiada kepentingan secara langsung di dalam harta tersebut.

Ada juga yang bertanyakan pelantikan peguam bagi menjadi wasi. Begitupun, adalah lebih baik jika wasi itu dilantik dari syarikat pemegang amanah kerana kelangsungan syarikat sebegitu lebih terjamin berbanding firma guaman (dan juga dikawal selia Kementerian Kewangan). Malah, peguam itu sendiri belum tentu boleh menjamin bahawa beliau sendiri tidak meninggal dunia sebelum kliennya.

Alasan Klasik

Dunia ini penuh dengan ragam manusia. Berkaitan perkara pengurusan wasiat ini, kita tentu pernah mendengar alasan seseorang apabila diminta menyediakan dokumen wasiat seperti "Alah, saya mana ada harta apa pun?"

Ini adalah antara jawapan klasik (macam skrip) yang sering diberikan. Bagi menjawab persoalan ini boleh jadi seperti berikut: "Harta tuan mungkin tidak banyak, tetapi bagaimana pula dengan hutang-piutang tuan?"

Ramai yang barangkali terlepas pandang bahawa pembelian kereta melalui pinjaman ada yang tidak dilindungi oleh takaful kredit. Ini bermaksud, apabila terjadi kematian, baki hutang kereta tidak dijelaskan secara automatik. Malah, si waris pula perlu meneruskan bayaran ansuran tersebut untuk mengelakkan daripada kereta tersebut dirampas kembali oleh pihak bank.

Bayangkan betapa pilu hati seorang balu apabila didatangi individu "penarik kereta" sewaktu beliau sedang memandu setelah kematian suami....Justeru, para suami kenalah ambil iktibar dari contoh ini dan pastikan pinjaman kereta anda mempunyai polisi takaful kredit di mana apabila terjadi kematian, baki akan dijelaskan oleh pihak takaful.

Suami dan Isteri

Ada para isteri yang berkongsi pengalaman mereka apabila diajukan soalan tentang penulisan wasiat kepada para suami mereka. Jawapan yang juga klasik yang sering diberikan adalah: "Hai, awak sudah ingat saya sudah hendak mati ke?"

Buat para suami, jangan berburuk sangka kepada isteri anda. Lihatlah pelbagai kisah yang menyedihkan yang terpaksa ditempoh para balu setelah kematian suami yang pergi tanpa sempat menyiapkan wasiat. Ke sana-sini si isteri kena berkejar menyelesaikan perkara ini disebabkan ketiadaan wasi. Manakala, urusan dengan peguam bagi membuka fail sahaja sudah dicaj tinggi. Itupun tiada jaminan tuntutan harta pusaka tersebut dapat diselesaikan.

Begitu juga dalam kes arwah suami yang tidak meletakkan penama pada simpanan KWSP. Kasihan si isteri kerana perlu melalui pelbagai kerenah birokrasi dan ditambah lagi hal-hal mengurus keluarga, mencari nafkah dan menjaga anak-anak.


Contoh-contoh di atas itu sudah dikira cukup memilukan kesan daripada kelalaian sesetengah kita daripada menyiapkan dokumen wasiat. 

Sekarang cuba anda bayangkan sekiranya ada suami yang mati, tetapi telah berkahwin dua, secara sorok-sorok dan tidak mendaftarkan perkahwinan (isteri kedua itu) di Malaysia? Bagaimana untuk menguruskan perkara ini secara seadil-adilnya kepada kedua-dua isteri yang ditinggalkannya?

---------------
Nota:
- penulisan diinspirasikan oleh pembacaan terhadap naskah Rohani Mohd Shahir (2012). Bijak Mengurus Wang. Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Wednesday, 29 August 2012

Kehidupan Gelandangan Delhi Berhampiran Masjid Jama (Foto pilu)

Dipetik dari: Blogserius

Bersyukurlah...


Masjid Jama di Delhi ialah antara masjid tertua di India. Dibina pada tahun 1644 of Shah Jahan, masjid ini boleh menampung sebanyak 85 000 orang jemaah pada satu-satu masa. Berhampiran masjid ini terdapat sebuah kawasan lapang yang didiami gelandangan India. Setiap hari ratusan gelandangan tidur beratapkan bintang. Tambah sadis lagi bila ratusan hamba Allah ini terpaksa berkongsi "tandas" yang serupa naharom. Sungguhpun berjuta rakyat India hidup dengan seba kedhaifan tanpa akses kepada tandas (dianggarkan 700 juta orang kesemuanya) kerajaan India masih membelanjakan jutaan dollar setiap tahun membeli peralatan ketenteraan.

Kerajaan kita sering dibelasah oleh media sosial dan alternatif kerana membelanjakan jutaan ringgit membeli senjata perang, tapi at least kita bernasib baik nasib golongan gelandangan kita tidak seteruk gelandangan Delhi. To think that antara orang top 5 terkaya dunia juga seorang warga India. Taikun besi yang mempunyai aset puluhan billion. Pada waktu yang sama ada rakyat senegara yang hidup serba tak sempurna. Manly tears.






Laporan asal ChinaSmack

BN Kuat Apabila Rakyat Berterima Kasih

Imbas PRU ke-12

Landskap politik Malaysia telah bertukar wajah selepas pilihanraya umum (PRU) ke-12 tahun tahun 2008. Entah di mana silapnya percaturan dan perancangan, menyebabkan parti yang memimpin Kerajaan Persekutuan semenjak kemerdekaan negara hampir setengah abad, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, telah menerima tamparan paling perit, menyakitkan lagi mengaibkan.

Bukan sahaja mereka kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, malah turut terlepas tampok pemerintahan di empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Perak, bagaimanapun, dikembalikan ke pangkuan UMNO dan BN pada tahun 2009 apabila 3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) menjadi ADUN Bebas dan berikrar untuk menyokong BN. Tambah memeritkan, pencapaian baik UMNO pada PRU ke-11 (tahun 2003) gagal diteruskan di negeri Kelantan, malah menerima pukulan lebih berat di sebalik "cakap-cakap berdengung" kononnya Kelantan akan mereka tawan pada PRU ke-12.

Andainya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu sebuah negeri, maka ia juga akan dikira terlepas daripada tangan BN-UMNO. Ini kerana di WPKL, BN hanya menang 1 kerusi, dan itupun di kawasan di mana undi pos menyumbang 25% daripada jumlah undi keseluruhan. Manakala baki 11 kerusi lagi ditawan oleh wakil-wakil yang diutuskan oleh PR.

(google images)


Begitulah serba-sedikit imbasan keputusan dan pencapaian BN pasca PRU ke-12. Anda tentunya telah berdarah telinga mendengar angka-angka yang disebutkan. Barangkali jika sering ianya diulang-ulang, boleh menjadi gaduh pula.

Namun, di sebalik kesemua senario itu, apa yang boleh semua pihak pelajari adalah, "perubahan" serta "kehendak" para pengundi pada PRU ke-12 dilihat lebih demanding dan sophisticated dan ini telah menghadirkan cabaran kepada semua parti politik yang terlibat.

Tuntutan baru serta perubahan mood pengundi ini akhirnya memaksa semua pihak, baik BN mahupun PR merenung dan seterusnya menilai semula pendekatan (approach) mereka berpolitik serta cara mereka menangani kerenah dan tuntutan para pengundi.

Jika dahulunya, janji-janji seperti "hanya kami yang mampu membawa pembangunan", atau "hanya kami yang mampu membela hak dan perpaduan kaum", kini ia mungkin dilihat sudah tidak begitu laku untuk dijadikan modal memikat hati para pengundi (malah dijadikan bahan sindiran pula).

Kebal

Bagi entri kali ini saya ingin mengupas sedikit isu yang dibentangkan oleh Zainal Abidin Ahmad di dalam bukunya yang bertajuk "PRU 13 - UMNO Tumpas?" (2012), terbitan GerakBudaya Enterprise.

Kerana terdapat banyak perkara yang disentuh beliau di dalam naskah ini, dan sekiranya melihat tajuknya sahaja, anda tentu boleh mengagak yang beliau telah cuba bersikap "berat sebelah" di dalam melontarkan idea dan pandangannya. Apapun, itu hak beliau terhadap hasil karyanya. Kita yang membaca perlulah bersikap "selective" (pandai memilih) di dalam menerima dan menilai sesuatu maklumat.

Di awal bukunya, beliau mengemukakan senarai faktor-faktor yang menyumbang kepada kebebalan "kekebalan" UMNO. Ada banyak faktor rupanya. Jadi, untuk mengetahui dengan lebih lanjut saya sarankan anda sendiri beli dan bacalah sendiri naskah tersebut. Tapi dari senarai faktor-faktor tersebut ada satu elemen yang ingin saya petik secara khusus bagi entri ini iaitu "Rasa Terima Kasih".

(google images)


Faktor rasa terima kasih ini rasanya menarik untuk dikongsikan bukan sahaja bertujuan "menumpang semangkuk atau dua mangkuk" akan kehangatan cakap-cakap mengenai PRU ke-13, malah turut berkait dengan sambutan hari Kemerdekaan negara yang ke-55 yang bakal dirayakan beberapa hari sahaja lagi.

Rasa Terima Kasih

Seperti tidak lengkap sekiranya tidak kita bicarakan (atau istilah manisnya "mengungkit") akan jasa serta pengorbanan para tokoh terdahulu, terutama para pembesar dan pemimpin Melayu, terutama mereka yang lahir dan berjuang di bawah panji UMNO - di dalam membela hak dan keistimewaan orang-orang Melayu di Malaya setelah penjajahan Inggeris yang durjana itu berjaya ditamatkan.

Tanggal 31 Ogos 1957, tercatatlah satu detik paling bersejarah di mana di Studium Merdeka Kuala Lumpur, seorang anak Malaya iaitu Tunku Abdul Rahman telah menyempurnakan upacara pengisytiharan kemerdekaan Malaysia.

Ratusan ribu rakyat yang hadir ke studium keramat waktu itu telah turut menyambut laungan kemerdekaan dengan tangisan dan air mata gembira kerana saat itu jugalah menandakan berakhirnya era penjajahan selama hampir 500 tahun ke atas bumi yang bertuah ini (bermula oleh Portugis 1511, diikuti Belanda 1648 sebelum disambung oleh British sekitar tahun 1824).

Dengan kemerdekaan yang baru menyusul ini, maka muncullah sinar harapan baru bagi rakyat di bumi Malaya untuk membina masa depan baru yang lebih cerah dengan kerjasama dan dokongan pemimpin serta rakyat yang berbilang bangsa dan agama.

Sekiranya di zaman penjajahan, sesuatu pembangunan itu disediakan hanyalah bersifat untuk memenuhi kepentingan mereka, tanpa mengambilkira kehendak sebenar penduduk tempatan. Malah bukan sedikit hasil mahsul Malaya terutama Bijih Timah telah diangkut pulang ke Britain bagi memperkayakan industri dan memajukan negara penjajah itu.

Kini, tampuk pemerintahan telah diserahkan secara rasminya kepada anak tempatan, anak Malaya dan tentulah besar harapan sekalian rakyat untuk melihat para pemimpin kita ini membangunkan "negara muda" ini selari dengan  kepentingan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.

Tidak dapat dinafikan (walaupun ada yang secara nakal cuba menafikan), bahawasanya fungsi dan peranan UMNO dan BN (Perikatan ketika itu) adalah amat penting lagi signifikan ketika di peringkat awal negara merunding proses mendapatkan kemerdekaan ini.

Setelah berjaya "menguburkan" gagasan Malayan Union, UMNO bergerak bersandarkan sokongan kuat bangsa Melayu untuk mendesak usaha mendapatkan kebebasan pula daripada British. Bersama-sama rakan dalam Perikatan, usaha dan desakan yang tanpa jemu, akhirnya ia membuahkan hasil setelah Tunku bangun dan bergerak ke arah mikrofon dan meluangkan ungkapan keramat "Merdeka"!

Walaupun tidak lama dahulu timbul "versi lain" tentang perjuangan menuntut kemerdekaan, di mana terdapat pihak yang menghujahkan bahawa bukan UMNO sahaja yang terlibat di dalam usaha membawa kemerdekaan buat tanah Malaya. Gerakan Kumpulan Berhaluan Kiri juga turut "berjasa" di dalam mencorakkan usaha dan jalan ke arah pengunduran British dari tanah bertuah ini.

Tanpa penentangan mereka, sudah tentu pihak British kekal berasa senang hati (feel good factor) dan barangkali berdalih bagi melengahkan tuntutan dan desakan kemerdekaan tanah jajahan yang amat menguntungkan ini.

Walau apapun dakwaan dan andaian yang dibuat, dua perkara penting yang tidak dapat kita pinggirkan adalah (1) pemimpin UMNO-lah (Tunku) yang dengan megah dan penuh semangat melaungkan laungan "Merdeka" seraya mengisytiharkan bumi Malaya ini telah bebas daripada penjajahan, dan (2) UMNO-lah yang menurunkan bendera Union Jack dan menaikkan "Jalur Gemilang" di Studium Merdeka tanggal 31 Ogos 1957.

Tentunya, sebagai bangsa yang baru mengecap erti kemerdekaan dan kebebasan daripada belenggu dan cengkaman penjajahan, generasi waktu itu, tidak kira Melayu, Cina mahupun India, amatlah mengenang budi terhadap pihak yang berjasa kepada mereka.

Mungkin pahit-maung golongan tua ini tidak kita rasai hari ini kerana untuk membeli tiket wayang pun tidak memerlukan kita bertumbuk dengan sesiapa. Segalanya masih aman dan sejahtera.


Malah, ciri-ciri berterima kasih ini bukanlah asing terutama bagi orang-orang Melayu kerana ianya merupakan budaya serta nilai baik yang diamalkan sejak turun-temurun lagi.

Maka, jasa dan pengorbanan UMNO di dalam memerdekakan negara Malaysia, di sebalik pertikaian sesetengah pihak mengenainya, amatlah diingati dan dikenang oleh orang-orang Melayu khususnya. Tambahan pula, penerapan aspek pendidikan Sejarah di sekolah-sekolah seluruh Malaysia juga tidak pernah lupa mengajarkan peristiwa penting ini kepada generasi pelajar dan murid.

Dan sebagai tanda terima kasih, UMNO telah disokong dengan sepenuh jiwa dan raga mereka.

Hari Ini Yang Meninggalkan Semalam

Kejayaan UMNO memupuk dan menyuburkan rasa terima kasih rakyat kepada mereka akan dibalas dengan sokongan rakyat terhadap mereka, terutamanya oleh orang-orang Melayu yang sememangnya menerapkan budaya berterima kasih ini.

Di atas faktor kuatnya rakyat berterima kasih jugalah UMNO dan rakannya dalam Perikatan (sekarang BN) berupaya mengekalkan formula perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini.

Rakyat yang kuat rasa terima kasihnya akan menzahirkan perasaan serta sokongan tersebut melalui pelbagai cara termasuklah melalui peti-peti undi. 

Dan bersempena Perayaan Hari Merdeka tahun ini, salah satu caranya adalah dengan rakyat beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang, sebagai tanda semua orang bergembira dan bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi.

(google images)


Oleh kerana itulah, seperti yang telah saya sebutkan di awal tadi, bahawasanya peristiwa Kemerdekaan ini amat sinonim dengan jasa dan pengorbanan UMNO, maka sekiranya tahun ini rakyat Malaysia dilihat masih "liat" untuk mengibarkan Jalur Gemilang, maka ada asas/logik bagi pihak UMNO untuk merasa "curiga" akan kekuatan mereka (iaitu bimbang dengan tahap sebenar sokongan rakyat kepada mereka). Di kala PRU ke-13 yang semakin hampir, apakah rakyat hari ini mulai kurang berterima kasih kepada kerajaan (secara tidak langsung mula melupai segala jasa UMNO)?

Sekian.

(NOTA: Adalah "tak aci" jika hanya mengusik UMNO. InsyaAllah saya akan mencari masa dan kelapangan untuk menulis perihal pengaruh daripada 'Homogenisation' bangsa Cina ke atas nasib orang-orang Melayu di Singapura, apabila bangsa ini dipaksa menjadi minoriti. Ingat nak tulis mengenai Penang...hehe. Apakah benar statement seorang teman yang berbunyi "kalau belum dapat (kuasa), bukan main lagi manis mulutnya. Tapi apabila dah dapat, habis segala perkara hendak diusiknya". Moga diberikan masa dan kelapangan bagi merangka dan menyiap dan menerbitkannya kelak.)

Tuesday, 28 August 2012

Berhutang untuk melabur?

Topik ini saya sentuh memandangkan ada dalam kalangan orang Melayu kita (aku kah itu?) melabur dengan kaedah ini (berhutang untuk melabur). 

Antara sebab yang diberi adalah, "Saya susah hendak disiplinkan diri untuk melabur. Hanya dengan cara ini sahaja saya akan melabur"

Pelik bukan?

Kenapa kita memerlukan seseorang untuk menelefon kita dan mengingatkan kita untuk membayar ansuran hutang pelaburan kita setiap bulan? Bukankah lebih baik kita sendiri melabur dengan wang kita sendiri? 

foto hiasan (google images)

Sekarang sudah ada sistem arahan tetap, di mana kita boleh minta pihak bank mengeluarkan wang dari akaun kita terus ke instrumen pelaburan yang sudah dikenalpasti.

Di sini saya anggap taktik bank "lebih kotor" sebab dipujuk pelanggan dengan bertopengkan alasan:

"Cuma bayar untuk setahun sahaja dan pada akhir tempoh akan dapat keuntungan berkali-kali ganda".

Saya kongsikan satu contoh di sini:

1) Melabur dalam skim ASX dengan pembiayaan sepenuhnya sebanyak RM200,000.

2) Kadar faedah yang dikenakan:
BLR - 1.75% (3 tahun pertama)
BLR - 1.5% (tahun seterusnya)

3) Ansuran bulanan:
RM1,061.20 dan anda cuma perlu membayar sekali (selama 1 tahun).

Jika hanya menilai "pujukan" seperti ini: Bayar setahun cuma RM12,734.40. Selepas itu tidak perlu bayar apa-apa, cuma tunggu sehingga 25 tahun. Anda akan mendapat RM200,000! Gandaan sebanyak 150%!!

Wow! Banyak sungguh!

Sekarang anda mungkin gelap mata dan bersetuju mengambil tawaran tersebut. Apapun, cuba lihat pula dari sudut yang berbeza:

1) Anda berhutang selama 25 tahun. Satu jangka masa yang panjang.

2) Kepastian ASX memberi pulangan secara konsisten dan selalu mengatasi BLR tidak dapat dijamin sama sekali. Saya sendiri melalui pengalaman pahit dengan cara berhutang seperti ini dan akhirnya terpaksa menganggung kerugian yang besar, akibat amanah saham yang diandaikan membayar dividen yang tinggi oleh pihak bank tetapi tidak berjaya menepati ramalan mereka.

3) Dividen tahunan yang diguna oleh pihak bank untuk membayar ansuran bulanan tahun kedua sehingga akhir tempoh pembiayaan adalah sebanyak RM305,625.60! Inilah jumlah wang yang anda sudah setuju untuk pihak bank ambil setiap bulan, kerana anda tidak mahu risau tentang komitmen untuk membayar ansuran bulanan dalam tahun kedua dan seterusnya.

4) Jika jumlah ini dicampurkan dengan ansuran tahun pertama, bayaran anda kepada pihak bank sudah mencecah RM318,360 pada akhir tempoh 25 tahun. Anda hanya menerima RM200,000, siapa agaknya yang lebih untung?

5) Sekiranya anda hanya melabur dengan wang sendiri setiap bulan - saya hanya ambil separuh daripada ansuran bulanan dalam contoh ini, katakan RM500 sebulan, dengan kadar pulangan 10% setahun, dan anda melabur hanya 15 tahun, anda berupaya mengumpul sebanyak RM207,235. Dapat dalam tempoh 10 tahun lebih cepat (kalau tak anda perlu tunggu 25 tahun untuk dapat RM200,000 itu!).

6) Jika jumlah ini terus dilabur selama 25 tahun (seperti skim ASX itu), dengan pulangan 10% setahun dan anda tidak membuat sebarang pengeluaran, pada akhir tempoh, tabungan anda akan mencecah RM663,415. Barulah dikatakan lumayan, bukan?

7) Sekiranya terjadi keadaan di mana status kewangan anda tidak begitu stabil, wang yang dilabur ini boleh dikeluarkan atau 'ansuran atau tabungan bulanan" ini diberhentikan. Pelaburan yang terkumpul pada ketika itu masih hak milik anda. Ini berbeza dengan keadaan pembiayaan ASX tadi, kerana pelaburan tersebut bukan milik anda selagi belum habis bayar ansuran (cukup 25 tahun).

Saya harap hujah dan penerangan yang panjang lebar ini dapat difahami oleh para pembaca sekalian. Ada yang sanggup berhutang kedua-dua suami isteri demi hendak mengejar impian seperti contoh skim ASX di atas.

Ambillah pengajaran daripada pengalaman saya sendiri dan jangan mengikat diri anda untuk berhutang dalam satu tempoh yang amat panjang.

Dalam kes saya, pihak bank menganggarkan dividen tahunan saham amanah itu akan memberi pulangan 10% setahun, maka mereka ambil kira penerimaan ini bagi menentukan berapakah bayaran ansuran bulanan. Jadi, untuk pembiayaan sebanyak RM300,000 saya hanya perlu membayar RM338 sebulan, di mana selebihnya diambil daripada anggaran dividen yang bakal diterima.

Ditakdirkan pelaburan itu tidak menguntungkan dan tiada dividen dibayar selepas setahun dua beroperasi. Jika saya kira ansuran bulanan yang perlu dijelaskan, rasanya sehingga 2 generasi baru akan habis membayar pembiayaan tersebut.

Satu lagi cara untuk saya menjelaskan ansuran ialah dengan menjual saham amanah tersebut dan selebihnya hutang itu dibayar secara bulanan dengan ansuran yang lebih besar...

---------------
Dipetik dari:

- Rohani Mohd Shahir (2012). Bijak Mengurus Wang. Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Mengenai Rohani:

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Perunding di Hijrah Wealth management Sdn Bhd iaitu firma pengurusan kewangan Islam. Lulusan Ijazah Ekonomi dalam jurusan Perakaunan dari Universiti Sydney, Australia. Beliau juga merupakan mantan Pengurus American Express dan aktif terlibat mengendalikan bengkel dan program latihan kewangan. Beliau banyak menulis artikel tentang perancangan kewangan di beberapa majalah di tanah air selain pernah muncul dalam wawancara di Radio BBC London.

Berhutang yang "perlu" - membeli kereta pertama

Pemilikan kenderaan atau kereta pertama merupakan salah satu perkara yang tersenarai dalam kategori hutang yang perlu.

Bagi yang bujang, mereka mungkin tiada masalah untuk mengambil pengangkutan awam sekiranya laluan yang sesuaian untuk pergi-balik ke tempat kerja anda. Sekiranya anda masih memerlukan kenderaan sebab lokasi tempat tinggal dan kediaman yang jauh, pastikan anda mengira implikasi kos apabila membuat pinjaman kelak.

Sebaik-baiknya, tabunglah dahulu wang pendahuluan untuk memiliki kenderaan tersebut supaya anda tidak perlu mengambil pinjaman penuh. Taktik penjual akan cuba mempengaruhi anda untuk mengambil pinjaman sepenuhnya sebab mereka pun mempunyai kuota jualan kenderaan untuk dicapai.

google images

Mereka akan mengira ansuran bulanan yang perlu dibayar dengan mengandaikan anda mengambil tempoh yang terpanjang, iaitu mungkin sampai 9 tahun (untuk selesaikan segala hutang).

Contoh pengiraan bagi pinjaman kereta RM40,000 yang dikenakan kos 3% setahun:

Jika bayar balik 9 tahun = RM470/bulan
Jika bayar balik 7 tahun = RM576/bulan
Jika bayar balik 5 tahun = RM767/bulan

Nampak seperti "murah" sahaja ansuran RM470/bulan itu, tetapi sekiranya anda mengambilkira keseluruhan bayaran balik kepada pihak bank, adalah seperti berikut:

RM470 x 12 bulan x 9 tahun = RM50,800

Berbanding jika dibayar dalam tempoh 5 tahun:

RM767 x 12 bulan x 5 tahun = RM46,000

Perbezaannya = RM4,800

Inilah jumlah perbezaannya, termasuk anda juga berjimat masa dan tempoh bayar balik kepada 5 tahun dan bukannya sehingga 9 tahun lamanya.

------------
Baca lanjut:

- Rohani Mohd Shahir (2012). Bijak Mengurus Wang. Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Monday, 27 August 2012

Penyelewengan dalam Penswastaan Lebuhraya Utara-Selatan (LUS) - PART 1


Pemberian tender Lebuhraya Utara-Selatan (LUS) kepada United Engineers Malaysia (UEM) telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat kerana sudah jelas bahawa banyak penyelewengan terlibat.


Sudah jelas juga bahawa:

1) dari segi kos pembinaan
2) beban kewangan terhadap kerajaan
3) kadar tol yang akan dikenakan
4) tempoh masa dibenarkan untuk mengutip tol, serta 
5) jumlah kutipan tol yang dijangka

...UEM tidak dapat menyediakan tawaran yang paling menarik, dari segi kerajaan ataupun rakyat.

Masa yang diberikan kepada pemohon lain untuk menyediakan tender masing-masing terlalu suntuk (kurang daripada 3 bulan), sedangkan pihak UEM sudah mula menyediakan jauh lebih awal. Walau bagaimanapun, pihak UEM diberi masa yang lebih, namun ia masih tidak merupakan tender yang paling baik.

Oleh kerana dokumen tender berkenaan dirahsiakan di bawah pindaan kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan hukuman membocorkan rahsia begitu berat, walau demi kepentingan rakyat, maka butir-butirnya tidak dapat dikemukakan.

UEM tidak pernah membina jalan raya sebelum mendapat projek LUS, dan mempunyai prestasi yang sangat buruk sebelumnya. UEM merupakan sebuah syarikat sudah lumpuh (insolvent company) yang mempunyai kerugian terkumpul sebanyak RM90 juta setakat tahun 1985. Separuh daripada sahamnya diambil alih oleh Hatibudi Sdn Bhd, di mana Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung serta Bendahari UMNO menjadi pemegang amanahnya.

Sudah tentu hakikat ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat oleh Bendahari UMNO yang kemudiannya menjadi Menteri Kewangan yang membuat keputusan tender berkenaan, sedangkan Peguam Negara pula – yang sepatutnya menyiasat serta mendakwa penyelewengan di sisi undang-undang, di samping menyediakan dokumen perjanjian kerajaan – adalah di bawah Perdana Menteri, yang juga menjadi Presiden UMNO.

Nyata sekali terdapat pertentangan (conflict of interest) di sini.

Penglibatan UMNO dalam Perniagaan

Masalah "politik wang" telah menjadi bertambah buruk akibat penglibatan parti politik yang berkuasa (BN) dalam perniagaan.

Alasan yang menyatakan bahawa UMNO perlu menjelaskan hutang Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan cara ini sungguh mengecewakan. Penjualan tiket loteri anjuran MIC kepada UEM adalah juga merupakan satu penyelewengan.

Untuk menghayati cogan kata "Kepimpinan Melalui Tauladan", lebih wajar jikalau UMNO sendiri menarik diri daripada kegiatan perniagaan, cukup lumayan, seperti projek bekalan ubat Kementerian Kesihatan dan juga sebagai perunding Kompleks Sukan Negara dan projek paip gas asli di Semenanjung Malaysia - di mana nampaknya, UEM hanya mengutip komisyen sebagai alat kepada syarikat asing yang berdiri di belakangnya.

Alasan bahawa projek LUS patut diberi kepada UEM, walaupun tendernya kurang baik, kerana pihak UEM yang mengemukakan cadangan menswastakan LUS itu tidak dapat diterima.

Perbezaan di antara tender yang berkenaan melibatkan beribu juta ringgit (billion ringgit), dan alasan itu sendiri akan dipersoalkan kerana orang yang sama terdapat di kedua-dua belah pihak, iaitu pihak UEM dan pihak kerajaan.

Menurut Menteri Kerjaraya, UEM akan mengutip tol sebanyak RM34 billion dalam tempoh 25 tahun! Jumlah ini dikurangkan daripada tuntutan UEM yang asal iaitu kutipan tol sebanyak RM54 billion! dalam tempoh 30 tahun - setelah diketahui orang ramai.

Menurutnya lagi, UEM akan diberi jaminan lalulintas dan tol minimum oleh kerajaan selama 17 tahun dan akan dibayar ganti rugi sekiranya kutipan tol itu kurang daripada apa yang disasarkan!

Dipetik dari:
Jomo, K. S. (2010). Warisan Ekonomi Mahathir. Utusan Publications & Distrobutors Sdn Bhd (pp. 138-139)

Biodata ringkas Jomo:

Jomo Kwame Sundaram (born 11 December 1952), known as Jomo, is a prominent Malaysian economist, who has served as the United Nations Assistant Secretary-General for Economic Development in the United Nations Department of Economic and Social Affairs (DESA) since 2005. He was founder chair of International Development Economics Associates (IDEAs), and sat on the Board of the United Nations Research Institute For Social Development (UNRISD), Geneva. In 2007, he was awarded the Wassily Leontief Prize for Advancing the Frontiers of Economic Thought. During 2008-2009, he served as adviser to Father Miguel d’Escoto Brockmann, President of the 63rd United Nations General Assembly, and as a member of the [Stiglitz] Commission of Experts of the President of the United Nations General Assembly on Reforms of the International Monetary and Financial System. Jomo is a leading scholar and expert on the political economy of development, especially in Southeast Asia, who has authored or edited over a hundred books and translated 12 volumes besides writing many academic papers and articles for the media. He is on the editorial boards of several learned journals. Before joining the UN, Jomo was already widely recognized as an outspoken intellectual, with unorthodox non-partisan views. 

Lanjut ---> wikipedia

Sunday, 26 August 2012

I want one! - Mesin basuh Berkuasa Kaki (foto)

Dipetik dari: Blogserius


Untuk mereka yang tidak malas.


Di Malaysia terdapat banyak kedai dobi. Tahukah anda perkataan DOBI ini asalnya dari perkataan DHOBI, yang bermaksud pencuci dalam bahasa Hindi? And now you know. Di India (dan suatu ketika dahulu Singapura) terdapat kawasan membasuh kain terbuka yang dipanggil Dhobi Ghat. Di sini para pendobi bekerja membasuh kain secara besar-besaran di tempat terbuka. Dhobi Ghat masih lagi ada di India dan setiap hari ratusan manusia membasuh kain menggunakan teknik membasuh tradisional menggunakan air, sabun , kanji ,batu hempasan dan tulang empat kerat.

Elodie Delassus, seorang jurureka industri dari Perancis telah menghasilkan INDRA - sebuah konsep mesin basuh yang menggunakan tenaga manusia bagi memudahkan kerja pekerja dhobi di India. Mesin ini direka supaya mudah digunakan. While this might seem like a good idea, honestly I don't think "dhobis" in India will adapt to this product. This is because washing clothes in dhobis have been around for hundred of years. But hey, I was a nice concept though! Kalau ada dijual korang nak beli ke? Boleh kasi kaki naik muscle. Letak kat asrama pun cool beans gak.





Laporan asal Yanko

Inovasi: Piggy bank chair (foto kreatif)

Jangan kena curi sudah...

Peka terhadap krisis ekonomi yang berpanjangan, anda mungkin merasa perlunya kepada suatu alat yang dapat membantu membuat simpanan atau tabungan wang secara mudah di rumah sendiri, dan boleh diambil di kala "kecemasan". Pereka Pedro Gomes telah tampil dengan idea kerusi yang berbilang fungsi iaitu sebagai tempat duduk, tabung duit di rumah dan tempat letak majalah (selepas tabung dipecahkan). 

Caranya mudah sahaja. Pada bahagian atas kerusi dibuat lubang bagi memasukkan duit. Dan apabila "tiba masanya" anda perlu memecahkan bahagian kaca di belakang kerusi untuk mengeluarkan sebuah gergaji yang sedia dilekatkan di situ. 

Kemudian anda perlu menggergaji bahagian hujung bawah kerusi bagi mengeluarkan segala duit yang tersimpan. Selepas itu anda bolehlah enjoy dengan duit tabung tersebut sampai jadi pokai balik! Ruang yang kosong itu kemudiannya boleh diisi dengan majalah dan buku-buku kegemaran anda. Satu inovasi yang menarik bukan?

Foto disumberkan oleh: YANKO-Design


Read more at http://www.yankodesign.com/2012/08/14/chair-full-of-treasure/#SKThZ1fa4c16gtAT.99