Friday, 7 September 2012

Oh UTM!

Semakin besar saiz universiti, semakin bertambah jumlah fakulti, semakin kecil pula bilangan pelajar baru yang diambil belajar. Saya masih ingat lagi kalau dahulu, waktu itu sampai berebut untuk mendapatkan tempat tinggal di kolej kerana bilangan pelajar terlalu ramai (persaingan sengit), sedangkan tempat kediaman yang ada sangatlah terhad. Hari ini? Kolej kediaman pelajar bukan sahaja banyak, malah besar kapasitinya. Namun, lihatlah pula jumlah pelajar yang diambil.

Sumber: FB sahabat


Justeru, nasihat saya bagi ibubapa yang berkeinginan untuk menghantar anak-anak menuntut di UTM, minta di perbanyakkan doa moga mereka akan terpilih. Kalau sekarang angkanya sudah 2,800, bayangkan untuk tempoh 5-10 tahun akan datang. 

Dahulu-kala saya selalu didengarkan oleh istilah "best of the best", kemudiannya "cream of the cake", kemudiannya lagi "cream of the cream" - bagi menggambarkan pemilihan hanya mereka-mereka yang terbaik.

Selepas ini, saya pun dah tak tau apa lagi istilah yang layak dipakai bagi menggambarkan “kesengitan” sesebuah persaingan untuk merebut sesebuah tempat di menara gading itu.

Dahulu, saya difahamkan bagi sesebuah kursus, ramai jumlah pelajarnya. Sebagai pendidik, walaupun zaman dan cabaran sering berubah, di sanubari saya secara peribadinya, Program Diploma di IPTA (termasuk yang ditawarkan oleh UTM) banyak membantu:

(1) anak- anak Melayu serta Bumiputra Sabah dan Sarawak yang mana keputusan SPM mereka tidaklah “cream of the cream”. Justeru (keputusan tersebut) tidak melayakkan mereka ke matrikulasi (dan ke Ijazah Pertama). Jadi mereka sambung ke kursus Diploma selama 3 tahun. Kemudian setelah tamat, Diploma itulah sebenarnya yang menjadi 'tiket' buat mereka untuk akhirnya menyambung ke kursus Ijazah dan akhirnya berpeluang menggengam segulung Ijazah. Tentu, jalannya jauh sedikit berbanding rakan yang terus ke matrik dan kemudian terus ke Ijazah. Tetapi akhirnya kedua-dua kelompok ini berjaya sampai ke matlamat yang sama.

(2) ramai kaum lelaki lazimnya berminat dengan aspek kemahiran yang ditawarkan kursus di peringkat Diploma. Dengan kemasukan pelajar lelaki ini juga secara tidak langsung membantu menyeimbangkan komposisi gender penuntut di IPTA. Isunya bukan mengenai kesamarataan gender mahupun feminisme, tetapi untuk proses pembuatan keputusan, perlu juga menghadirkan pegawai dari kalangan lelaki. Jika majoriti yang berkelulusan tinggi (dan terlibat di dalam proses pembuatan keputusan dan dasar/polisi) adalah kaum wanita, disebabkan  kaum lelaki lebih ramai berada di bidang teknikal dengan kelulusan yang rendah (justeru tidak layak terbabit), maka dikhuatiri jurang ketaksamaan akan melebar dan menimbulkan konflik susulan di dalam proses pembuatan keputusan dan dasar yang berkaitan di masa hadapan akan berkembang dan berlarutan.

Allah lebih mengetahui.

No comments: