Wednesday, 12 September 2012

Mengapakah bangsa asing dan orang Cina mahu meninggalkan China?


Tidak lama dahulu, ada seorang lelaki berbangsa Inggeris yang menetap untuk tempoh yang lama di China, berkahwin dengan wanita Cina dan memiliki perniagaan yang berjaya di sana – beliau bernama Mark Kitto. Mark baru-baru ini menerbitkan sebuah artikel di media berbahasa Inggeris bertajuk “You’ll never be Chinese – Why I’m leaving the country I loved” (Anda takkan menjadi orang Cina – Mengapa saya tinggalkan negara yang saya cintai).

Beliau menjelaskan melalui artikel tersebut bahawa selepas tamat belajar, seterusnya bekerja dan kemudiannya tinggal di China selama lebih 10 tahun, perubahan yang berlaku di China telah menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan negara tersebut, bersama-sama seluruh keluarganya.

Besar kemungkinan, terdapat lebih dari seorang warga asing seperti Mark yang cintakan China, namun masih ingin meninggalkan negara itu.

Mark Kitto bersama isteri dan anak-anak (sumber)

Bukan hanya “selama-lamanya tidak mampu menjadi orang Cina” (laowai) menjadi sebab penghijrahan, malah dari kalangan orang-orang Cina sendiri, satu demi satu keluarga, telah mula meninggalkan China bagi mendapatkan kehidupan baru di luar negara.

Menurut laporan bancian oleh Hurun 2011 ke atas kumpulan super-jutawan di 18 bandar di China, sebanyak 14% golongan kaya telahpun berhijrah atau sedang dalam proses berhijrah, manakala 46% lagi sedang memikirkan secara serius untuk berhijrah ke luar negara. Sekalipun tidak dapat dipastikan ketepatan data yang dikeluarkan, sekurang-kurangnya ia (bancian tersebut) telah mendedahkan suatu pola/corak, fenomena yang tidak boleh dipandang remeh.

Selama 30 tahun proses reformasi ekonomi berlaku di China telah memanfaatkan ramai rakyatnya, dengan perubahan tingkat kehidupan yang jauh lebih baik berbanding 30 tahun sebelumnya. Di masa yang sama, model asal dan sistem yang meletakkan China di landasan reformasi ekonomi, modernisasi dan pembangunan juga telah turut meningkatkan cabaran terhadap pentadbir – timbul daripada pelbagai lapisan dalam masyarakat dan kumpulan berkepentingan.

Setiap lapisan memiliki ketidakpuashatian mereka tersendiri, yang percaya kerajaan tidak cukup ambil berat tentang kebajikan mereka, seterusnya meningkatkan rasa tidak puas hati mereka. Ianya tidak spesifik hanya kepada golongan akar umbi di desa mahupun golongan bandar kelas pertengahan, bahkan golongan kaya dan berada juga nampaknya mulai hilang keyakinan kepada kontrak sosial semasa.

Bagi menyuarakan ketidakpuashatian ini, ada yang mengambil pendekatan mengadakan protest serta tunjuk perasaan di jalanan, manakala sebilangan yang “kurang yakin untuk mengundi dengan kaki” (perubahan politik melalui protes jalanan), memilih jalan untuk lari ke luar negara.

Ketidaktentuan ini bertitik tolak daripada wujudnya berbagai perundangan tidak bertulis namun perlu diikuti di dalam masyarakat Cina, manakala perundangan bertulis pula seringkali diputar-belitkan. Dengan 30 tahun proses reformasi berlaku (dalam beberapa pusingan) oleh kerajaan, malangnya rakyat masih dilihat tidak memberikan sepenuh kepercayaan dan keyakinan mereka kepada kerajaan. 

Mark Kitto tinggal di kejiranan khas di Moganshan, terlibat di dalam perniagaan kafe, hostel selain menguruskan syarikat majalah terlaris. Beliau berkata, setiap 3 tahun beliau perlu memperbaharui perjanjian dan permit perniagaan. Bagi ahli perniagaan, cara ini dilihat membazirkan wang, masa, tenaga dan mengancam kestabilan operasi perniagaan dan persekitaran begini memberikan beliau sakit kepala (menambah masalah).

Apa yang menjadikan masyarakat tidak gembira dan “keluar” juga berpunca daripada pertumbuhan ekonomi yang terlalu pesat hingga menukar persekitaran sosial secara terlalu drastik. Lebih 30 tahun pembangunan, masyarakat China menikmati pembangunan material yang meningkat. Bagitupun, ianya telah turut menyuburkan sikap “money-centric materialism”. Mereka kini berkembang menjadi masyarakat yang materialistik!

Negara yang kini menikmati pembangunan ekonomi “berkelajuan tinggi” telah menyebabkan kemusnahan alam sekitar selain meningkatkan jurang kualiti hidup di dalam masyarakat. Kaya material namun miskin spiritual membawa kepada penurunan nilai-nilai hidup serta etika.

Taburan negara-negara di mana keluarga kaya di China menghantar anak mereka belajar (sumber)

Apabila dikaji sebab mengapa orang-orang Cina mahu berpindah ke luar negara, salah satu sebab yang sering diberi adalah “demi pendidikan anak-anak”. Faktor ini amat berkait dengan sistem pendidikan di China.

Di China, peluang-peluang pendidikan masih kurang (remain less than abundance and even lacking), dan ramai kanak-kanak yang terkekang dengan batasan sosial dan institusi tidak berupaya untuk mendapatkan peluang dan tempat untuk belajar. Kualiti dan kaedah pembelajaran di sekolah juga menjadi penyebab ramai ibubapa khuatir dengan prospek pendidikan anak-anak mereka.

Kitto mengkritik sistem pembelajaran Sekolah Rendah dan Menengah di China sebagai “not learning knowledge but rather learning how to take tests” (tidak mempelajari ilmu tetapi lebih kepada belajar untuk menduduki peperiksaan). Walaupun isu kaedah pembelajaran ini seperti sengaja diperbesarkan, ianya tidak boleh dinafikan wujud kebenaran di sebalik dakwaannya.

Walaupun pendidikan tinggi telah berkembang pesat sejak 10 tahun kebelakangan ini, calon-calon (dari sekolah menengah) masih perlu melalui proses peperiksaan “gaokao college” yang ketat dan memenatkan bagi memastikan kemasukan mereka ke kolej. Manakala, kualiti pendidikan di universiti juga tidak berkembang selari dengan pertambahan bilangan pelajarnya. Inilah sebab mengapa ramai orang lebih cenderung dan rela mengeluarkan banyak wang untuk menghantar anak-anak mereka belajar ke luar negara demi masa depan mereka.

Tambahan pula, isu-isu lain seperti pencemaran alam sekitar, keselamatan dan kualiti makanan, kesesakan lalulintas dan sebagainya yang mempengaruhi kualiti kehidupan turut menjadi penyebab mengapa ramai orang Cina dan bangsa asing yang tinggal di China mahu "angkat kaki".

Sumber dipetik, tanpa alih dan penyesuaian bahasa: SINI

No comments: