Wednesday, 26 September 2012

Kaji Selidik PRU

Semalam (Rabu) Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) telah membentangkan hasil kaji selidik yang mereka jalankan terhadap sekumpulan responden bagi melihat mood, minat mahupun trend mereka berkait dengan Pilihanraya Umum (PRU) yang ke-13 akan datang.

Sebagaimana lazimnya, pelbagai pihak telah tampil menyatakan komen serta pendapat mereka mengenai hasil kajian yang dibentang pihak UMCEDEL. Tentunya ada yang pro dan cons terhadap data dan interpretasinya. Begitupun, salah satu aspek yang turut dibincangkan adalah kaedah perlaksanaan kaji selidik termasuklah pemilihan responden (jantina, kaum/etnik, strata ekonomi), tempoh kajian, taburan "yang mewakili umum" dan sebagainya.

Tentulah, kaji selidik Sains Sosial ini tidaklah 100% tepat, namun sekiranya dilakukan mengikut prosedur yang lazim, kadar kejituan perlulah dipastikan di antara 85-90% (dengan membenarkan ralat, error yang kecil sekitar 10% dan ke bawah).

Perlu difahami bahawa kajian Saintis Sosial (Social Scientists) tidaklah sebagaimana kajian yang dijalankan oleh Saintis atau bidang Sains Perubatan yang menekankan kejituan sehingga 100% memandangkan ianya melibatkan "hidup atau mati" seseorang itu. Pembedahan otak manusia tidak membenarkan margin 10% error kerana ia melibatkan nyawa orang. Kajian yang dijalankan oleh pengkaji sains sosial lazimnya memfokus kepada tinjauan pendapat, persepsi dan aspirasi / kepuashatian@ketidakpuashatian pengguna terhadap sesuatu perkara yang bersangkutan dengan kehidupan mereka. 

Justeru, kajian yang melibatkan "persepsi" manusia itu adalah sesuatu yang subjektif untuk dihuraikan, tetapi ia boleh dikuantifikasikan (dihitung) serta dikategorikan kepada beberapa pilihan objektif yang tertentu. Ianya tidak perlu dipercayai dan diyakini secara total, begitupun tujuan murninya adalah untuk menyediakan data serta maklumat terutama kepada "klien" dan pembuat keputusan mengenai sesuatu trend seterusnya memandu mereka untuk melaksanakan langkah/tindakan susulan, berpandukan maklumat yang diperoleh. 

Maklumat yang dibekalkan melalui kaji selidik juga lazimnya membantu pembuat keputusan dan pihak berkepentingan menyediakan tindakan susulan yang "lebih sensitif" dengan bersandarkan kepada "aspirasi para respondent yang dikaji" itu sendiri.

Saya boleh memahami kritikan yang dilontarkan terhadap sesuatu hasil kaji selidik sains sosial, terutama yang menyentuh topik berkaitan politik dan pilihanraya. Ini kerana para pemimpin parti politik dan mereka yang berkepentingan tentunya tidak senang duduk dengan keputusan yang "tidak memihak kepada mereka". 

Dengan kata lain, bagi elemen yang mereka tidak skor (tidak perform), tentunya menggusarkan mereka, dan begitulah juga sebaliknya.

Akibat penerimaan secara selektif ini juga, ada yang mengambil jalan mudah untuk hanya mempertikaikan keputusan sesebuah kaji selidik, atau menolak terus hasil kajian yang dibentangkan.

Saya tahu, bagi sesetengah saintis sosial ada yang berpegang kepada pendapat - masyarakat umum tidak mahu tahu atau tidak perlu tahu secara terperinci kaedah yang digunapakai oleh pihak yang menjalankan kaji selidik. Tetapi sekiranya "penentangan" yang diterima agak kuat dan ketara, maka wajarlah rasa saya, untuk pihak pengkaji menerangkan juga prosedur yang diambil di dalam melaksanakan kaji selidik berkenaan. 

Langkah ini saya rasa boleh mendidik serta membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kajian yang dijalankan, seterusnya membantu mengurangkan keraguan mereka terhadap hasil kaji selidik yang dibentangkan.

Di sini juga suka saya kongsikan sedikit pandangan atau cadangan ke arah memperbaiki kualiti dan prosedur kaji selidik terutama berkaitan tajuk politik dan pilihanraya ini. 

Sama ada ianya MUNGKIN releven atau tidak, saya pulangkan kepada pendapat masing-masing untuk memikir dan menilainya. Saya ringkaskan cadangan memperluaskan liputan kaji selidik tersebut pada rajah di bawah:


Kaji selidik yang sering saya baca di akhbar mengenai topik politik dan pilihanraya hanya memberitahu jumlah respondent yang mengambil bahagian serta pecahan mengikut kaum/etnik.

Mungkin kedua faktor inilah yang menjadi pertikaian di kalangan masyarakat umum, bahkan ahli politik sendiri kerana pelbagai pihak masih sangsi mengenai keupayaan jumlah kecil ini untuk "mewakili pandangan populasi". Adakah ini trend dan mood yang (bukan tepat, tetapi) "lebih baik peluangnya" bagi menggambarkan trend dan mood populasi yang umum?

Saya melihat, kelebihan teknologi yang ada sebenarnya boleh kita gembelingkan bagi memperbaiki atau "mencuba" (cuba-jaya) kaedah melaksanakan kaji selidik. Seperti rajah di atas, saya mensarankan agar sesebuah badan kajian sains sosial menjalinkan kerjasama dengan syarikat TV (Astro sebagai contoh). 

Apa yang boleh dibuat adalah merangka soalan yang paling ringkas dan paling mudah difahami dan disiar secara pop-up kecil di bahagian bawah skrin TV. Namun, pastikan pop-up ini tidak mengganggu siaran TV yang sedang ditonton. 

Kaedah ini bukan baharu, bahkan popular di dalam pengundian rancangan realiti TV bagi mengingkirkan peserta yang dibenci dan memenangkan peserta yang disayangi.

Begitupun, sistem undian bagi kaji selidik ini perlu mengelakkan "undian berganda" iaitu dipastikan selari dengan undi dalam pilihanraya iaitu 1 unit Astro = 1 undi. Cuma kelemahan kaedah ini ianya membenarkan 1 undi = 1 rumah, sedangkan mungkin terdapat lebih 1 orang yang layak mengundi dalam PRU - isu ini memerlukan penelitian lanjut.

Kemungkinan juga pihak TV berbayar boleh melihat mana-mana perkara di dalam kontrak bersama pelanggan yang membenarkan butiran umum pelanggan mereka digunakan sebagai profil respondent seperti jantina, kaum / etnik serta lokasi respondent. Ini boleh membantu memperincikan interpretasi kerana lokasi boleh dikelaskan mengikut negeri (taburan lebih menyeluruh dengan tidak hanya fokus kepada Lembah Klang semata), dan mungkin menurut kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Idea ini hanyalah KEMUNGKINAN sahaja. Ianya bergantung kepada polisi dan perjanjian kerahsiaan penerbitan butiran umum pelanggan untuk tujuan kajian.

Jika sekiranya butiran mengenai respondent tidak berjaya diperoleh, setidaknya pihak syarikat masih boleh mengesan isyarat kotak undian (taburan lokasi mengikut negeri) selain mengumpul jawapan-jawapan yang diundi oleh para pelanggan mereka.

Moga beroleh manfaat!

No comments: