Saturday, 8 September 2012

Agama: 70 tahun untuk sampai ke dasar neraka

Sirat adalah laluan tunggal yang tiada pilihan bagi manusia untuk menyeberang menuju destinasi terakhir.

Kejayaan seseorang melintasi satu-satunya jambatan terhalus dan maha tajam di akhirat itu bererti mereka terhindar daripada azab api neraka. Kemuncak kejayaan itu ialah dapat menjejakkan kaki ke syurga untuk menikmati kebahagiaan yang abadi.

Pernahkah kita berfikir bahawa sebaik sahaja manusia dibangkitkan dari kubur, mereka terhuyung-hayang bagaikan sedang mabuk. Sedangkan di atas kepala mereka terjunjung segala dosa yang menggunung. mampukah mereka melangkah ketika dihalau oleh Allah SWT untuk berhimpun di dataran Mahsyar?

Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah r.a, katanya:

Bahawa di hari akhirat kelak Allah SWT memberikan mandat kepada nabi-nabi dan rasul-rasul serta mengirimkan kepada mereka "amanah" dan juga "rahim". Keduanya akan diletakkan di kiri dan kanan sirat. Barangsiapa yang menjaga amanah dan begitu juga orang yang menjaga rahim akan selamat menyeberangi sirat" - Hadis no. 13/987, dinilai sahih oleh al-Albani.

Menjaga amanah iaitu sama ada amanah Allah berupa perintah agama, yang melibatkan kewajiban melaksanakan yang wajib dan meninggalkan laranganNya.

Justeru, apabila seseorang melibatkan diri di dalam perjuangan Islam semata-mata hendak memelihara dan melaksanakan tuntutan agama, bererti mereka berusaha melaksanakan amanah Allah. Tugas menjaga amanah Allah ini adalah suatu tugas yang berat kerana ia akan melibatkan pelbagai tenaga, termasuk fizikal, fikiran, masa, harta-benda bahkan nyawa.

Hanya orang yang benar-benar amanah sahaja yang sanggup melaksanakan segala pengorbanan dan jerih-payah semata-mata hendak menjaga amanah tersebut.

Begitu juga rahim yang bererti kekeluargaan. Setiap manusia mempunyai hubungan kekeluargaan, yang mana di dalam hubungan tersebut terkandung unsur-unsur tanggungjawab dan amanah iaitu terdiri saripada hak diri setiap ahli kepada pendidikan agama, tempat tinggal, pakaian, makanan dan sebagainya.

Sekiranya kedua-dua amanah dan rahim ini dijaga dengan sebaik-baiknya, maka ia akan menyelamatkan manusia di atas sirat.

Apabila rasulullah SAW menyebut mengenai berjalan di atas sirat seperti kilat yang menyambar, maka Abu Hurairah bertanya kepada baginda, bagaimanakah kelajuan kilat yang menyambar itu? Baginda menjawab, "Bukankah engkau melihat kilat memancar kemudian hilang serta-merta pancaran itu?".

Foto hiasan (Google images)

Rasulullah SAW bersabda lagi; Ada orang yang berjalan di atas sirat seperti kelajuan angin, kemudian ada yang berjalan seperti kelajuan burung yang terbang, dan ada yang berjalan seperti orang yang berlari. Peringkat kelajuan itu bergantung kepada tahap amalan seseorang yang diterima oleh Allah SWT.

Ketika umat Muhammad menyeberangi sirat itu, Rasulullah SAW berdiri di tepi sirat itu memerhatikan umatnya, sambil berdoa kepada Allah SWT; "Allahumma Rabbi Sallim Sallim". Ya Allah ya Tuhanku, selamatkanlah (umatku), selamatkanlah. (at-tazkirah, p. 383).

Baginda berkata kepada Abu Hurairah; bahawa ada pula di kalangan manusia yang melalui sirat dalam keadaan mengengsot. Di kiri dan kanan sirat itu terdapat besi-besi cangkuk yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya menyambar orang-orang yang diperintah supaya disambar. Ada yang jatuh ke dalam neraka dan ada pula yang hanya luka-luka terkena cangkuk itu tetapi tidak jatuh ke dalam neraka.

Baginda bersabda lagi:

"Demi Allah yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, ahli neraka yang terjun ke dalamnya akan sampai ke dasarnya tujuh puluh tahun" - Riwayat Muslim; hadis no. 288, Al-Mustadrak 'Ala Sahihain; hadis no. 8901.


-----------------
Dipetik: 

- Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (2009). Bertemu Janji Allah: Siri 2. Anbakri Publika Sdn Bhd

No comments: