Saturday, 1 September 2012

Mau makan ka, mau duit?

Hari ini saya mempelajari sesuatu yang berharga - sebagai pengguna adalah perlu untuk kita mempunyai alternatif terhadap sesuatu perkhidmatan.

Hari ini saya ke kedai gunting yang lazimnya saya kunjungi hampir setiap bulan (selama sudah 4 bulan) bagi mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut. 

Sebelum ini, saya sifatkan perkhidmatan yang ditawarkan adalah memuaskan di samping bayaran yang dikenakan hanyalah RM8 selain terletak berdekatan dengan tempat tinggal. 

Seingat saya, di kawasan itu, hanya itulah sahaja kedai gunting yang ada.

Sekadar hiasan (google images)

Hari ini, saya berkunjung lagi ke sana. Kedainya kosong tiada pelanggan dan tukang guntingnya sedang sibuk mencukur misainya sendiri. Anehnya, setelah saya masuk (dalam kedai berjerebu dengan asap kemenyan), si tukang gunting terus cakap, "u tunggu aa saya mau makan dulu". Lantas disuruhnya saya duduk di ruangan menunggu. Sedangkan dia masih leka di cermin mentilik-tilik mukanya yang baru dicukurnya sendiri.

Tidak tahan dengan bau kemenyan yang entah apakah fungsinya (sebagai penyegar udara atau sebab nak halau hantu), tidaklah saya ketahui. 

Kemudian dia masuk ke "pejabat" dan keluar bersama bungkusan makanan dan air. Terdetik di hati saya "kalau ko nak makan dulu, buat apa aku dok tunggu dan peningkan kepala menghidu asap kemenyan ni". Lantas saya berjalan ke muka pintu.

"Eh, u mana mau pigi? Kasi duduk dulula", gesanya. 

Saya dengan spotan menjawab, "Takpa lah, u mau makan, tak mau duit kan, saya cari tempat lain".

Disebabkan saya sudah "sound" dia, maka saya kenalah "blah" cepat-cepat. Zaman sekarang ni kan orang mudah bergaduh di sini-sana walaupun disebabkan perkara kecil (aku pun mulut dah terlepas cakap..). 

Ketika saya menghidupkan enjin kereta, kelihatan si tukang gunting itu melambai-lambaikan tangannya, dari pintu kedainya, meminta saya masuk ke dalam. Saya cuma angkat tangan sahaja dan berlalu pergi.

"Takpa lah, u mau makan, tak mau duit kan" - ungkapan tersebut terus terngiang-ngiang di kepala saya.

Bunyinya agak kasar tetapi ianya, pada saya, suatu komen yang adil (fair) bagi seorang pengguna di dalam situasi seperti saya alami tadi.

Manakan tidak, anda berniaga dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan. Mungkin faktor "hanya kedai gunting anda sebuah sahaja di situ" menjadikan anda berasa selesa memonopoli khidmat menggunting rambut, sehinggakan pelanggan yang perlu menuruti kehendak anda, dan bukan sebaliknya.

(off-topic: Lazimnya, isu melibatkan alternatif buat pengguna sering dikaitkan dengan perkhidmatan awam. Di kebanyakan tempat, pengguna terpaksa juga menggunakan khidmat pengangkutan awam yang ada (contohnya bas henti-henti), sekalipun khidmat yang disediakan amatlah tidak cekap, kerana ketiadaan alternatif yang boleh mereka pilih. Justeru, usaha menyokong khidmat pengangkutan awam akan gagal dan masyarakat kembali menggunakan kenderaan sendiri, seterusnya memperkayakan lagi para pengendali lebuhraya-lebuhraya bertol yang ada di mana-mana sahaja di negara ini.)

Saya pun memandu-lah ke bahagian lain di taman perumahan itu. Agak jauh juga, sehinggalah saya sampai di bahagian rumah kedai yang banyak kosong.

Terdapat sebuah lagi kedai gunting yang baru dibuka. Kedai gunting 1Malaysia barangkali (memandangkan para pekerjanya memakai t-shirt dengan lambang 1Malaysia dan wajah PM Janji Ditepati). 

"Tak boleh sembang pasal politik lah nampaknya kat kedai ni", pesan saya kepada diri sendiri.

Khidmat yang ditawarkan adalah sama dengan harga yang sama. Syukur, disebabkan adanya pekerja 1Malaysia ini saya akhirnya memiliki alternatif bagi menggunting rambut.

Saya bukanlah peniaga, tetapi setiap hari dalam hidup ini, saya adalah seorang pengguna. Bagi pengguna, amatlah perlu untuk mencari dan memiliki alternatif supaya dapat membuat pilihan, walaupun antara pilihan yang ada itu tidaklah jauh perbezaan mahupun muthu mutunya.

Bagi para peniaga pula, khususnya yang terlibat dengan sektor perkhidmatan, kenalah berkorban sedikit demi memenuhi keperluan pelanggan. Lihatlah bagaimana ramah dan mesra sikap kaum Cina di dalam berniaga. Tidak salah korbankan sebentar waktu makan untuk pelanggan anda!

(Pernah mekanik Cina datang sampai ke rumah untuk menukar bateri kereta saya kerana takut saya salah beli bateri. Dia datang naik keretanya sendiri dan tidak mengenakan caj tambahan. Dia beri nasihat tentang penjagaan bateri dan enjin. Dia juga tidak panggil saya "Bro". Selepas hari itu, saya sering ke kedainya).

Khidmat yang seperti si Cina itu, akan menghadirkan cerita yang baik, yang akan diceritakan dari mulut ke mulut, ditulis di blog dan FB dan akhirnya membantu perniagaan anda memperoleh pelanggan-pelanggan yang baru pula!

Wassalam.

No comments: