Wednesday 5 September 2012

Rahsia orang terkaya di Babylon - urus wang anda

George Clason menulis sebuah buku yang menarik bertajuk "The Richest Man in Babylon" - mengisahkan seorang lelaki terkaya di Babylon yang diminta oleh rajanya untuk berkongsi rahsia bagaimana dia boleh menjadi kaya, dengan harapan supaya lebih ramai lagi rakyat di Babylon dapat belajar daripadanya dan menjadi kaya.

Sang raja yakin, apabila semua rakyatnya kaya, maka negara Babylon juga pasti akan menjadi negara yang terkaya di dunia. Hasrat sang pemerintah ini sungguh murni memandangkan struktur masyarakat semasa wujud jurang perbezaan yang ketara di antara yang miskin dengan yang kaya.

Maka si kaya itupun berkongsilah pengalaman beliau membina kekayaan dengan beberapa individu di Babylon. Antara pesanan beliau ialah supaya seseorang itu menyimpan sedikit dari apa yang diterimanya - "save a bit from what you earned".

Kata-kata beliau ini memeranjatkan mereka yang mendengarnya memandangkan kita semua maklum bahawa pendapatan yang kita terima merupakan hak kita. Justeru, apa yang payah sangat untuk menyimpan apa yang sudah maklum menjadi hak milik kita sendiri itu?

Hakikat kita

Pada hakikatnya, setelah menerima pendapatan atau gaji setiap bulan, pertamanya, kita akan sibuk membayar orang lain terlebih dahulu - dalam bentuk pelunasan bil-bil, hutang dan sebagainya. Sedangkan diri sendiri tidak termasuk ke dalam senarai individu yang "perlu dibayar".

Mengapa kita masih berfikiran seperti itu? Justeru, pemikiran sebegini mulai hari ini perlu kita ubah kepada "dapat gaji sahaja, kena bayar diri sendiri dahulu".

Tetapi, bagaimanakah caranya nak membayar diri sendiri? Berapa banyak yang harus dibayar?

Disarankan supaya anda membayar diri anda sendiri melalui pelaburan dalam saham amanah secara bulanan melalui sistem auto debit dan tetapkan jumlahnya sekurang-kurangnya 10% daripada gaji anda. Bagaimana?

Sebenarnya, inilah jalannya bagi anda untuk memulakan pelaburan secara konsisten dan istiqamah. Apabila wang gaji yang diperoleh diasingkan awal-awal lagi, sebelum sebarang perbelanjaan dibuat, besar kemungkinan (pemotongan untuk diri sendiri) ini tidak begitu dirasai. Apa yang tinggal di dalam akaun bank kita masih mencukupi untuk keperluan bulanan keluarga.

Saya suka memilih amanah saham secara auto debit kerana ianya mendisiplinkan kita dan tepat pada waktunya, jumlah ini akan dikeluarkan oleh pihak bank. Jika hendak percaya diri sendiri, ditakuti wang yang hendak "dilaburkan" itu akan "lebur" terlebih dahulu sebelum tiba ke matlamatnya...

Tabung Haji (google images)

Saya suka mencadangkan simpanan di dalam Tabung Haji, tetapi pastikan anda tidak memohon kad ATM untuk membuat pengeluaran! Dengan ini, anda tidak akan sewenangnya mengeluarkan tabungan itu pada bila-bila masa.

Wajar

Sebenarnya, membayar diri anda terlebih dahulu adalah amat wajar sebab diri andalah yang telah bekerja bertungkus-lumus! Maka, adillah untuk memberi imbuhan buat diri sendiri dahulu.

Ada di kalangan kita yang beranggapan bahawa biasanya kita telah membeli "sesuatu yang istimewa" sebagai "hadiah kepada diri sendiri" (seperti jam tangan berjenama, iPAD, rawatan di Spa, buku, etc), namun perlu diingat yang "hadiah" tersebut bukanlah suatu pelaburan untuk masa depan kita. Justeru, kaedah terbaik membayar diri sendiri adalah dengan membuat pelaburan.

Cuba bayangkan jika anda hanya menabung RM150/bulan (bayar diri sendiri) sedari awal bekerja sehingga 23 tahun kemudian, dengan pulangan 8% setahun, nilainya akan mencecah RM118,245! Berbaloi bukan?

Tetapi, mereka yang licik boleh sahaja memberi alasan bahawa tempoh 23 tahun "membayar diri sendiri" itu suatu tempoh yang panjang dan apa jua kemungkinan boleh terjadi termasuk mengeluarkan simpanan yang dibuat. Benar dan kemungkinannya juga besar. Tetapi sekiranya kita sudah merancang dan mendisiplinkan diri untuk menabung, setidak-tidaknya kita sudah memiliki satu jumlah tabungan yang baik bagi menampung keperluan di kala kecemasan.

Kad kredit

Bagi meningkatkan disiplin menabung, adalah perlu difahami bahawa penggunaan kad kredit bukanlah sebagai sumber kewangan anda. Ingat! Kad kredit hanyalah alternatif kepada cara pembayaran sahaja.

Nilai 10% bayaran buat diri sendiri

sebelum anda bersungut mengenai "kehilangan" 10% gaji untuk dibayar kepada diri sendiri (melalui auto debit) dalam bentuk simpanan saham amanah, kita lihat dahulu manfaat yang bakal anda nikmati di kemudian hari:

Gaji bulanan
Sistem auto debit bulanan
10 tahun tabungan @8% setahun
RM1,500
RM150
RM27,442
RM2,000
RM200
RM36,590
RM3,000
RM300
RM54,885
RM20,000
RM2,000
RM365,900

Sumber: Rohani Mohd Shahir (2012): 89


Selagi kita tidak bertindak melakukannya, tidaklah akan berlaku apa yang dirancang. Sebaik-baiknya, dapatkan seseorang sama ada pasangan anda (isteri) ataupun rakan karib, untuk menjadi juruaudit (tukang ketuk) anda.

Peranan mereka adalah supaya anda mengikuti rancangan anda. Ini kerana merancang seorang diri kadang kala ada buruknya. Jika malas, maka tergelincir dan gagallah ia. Jika pasangan anda adalah seorang yang menyokong amalan menabung, beliau boleh mengjadi juruaudit anda.

Cuma nanti jangan pula apabila tabungan sudah banyak dia pula yang memohon kita keluarkan!

------------------------
Sumber (dengan olahan di kebanyakan tempat): Rohani Mohd Shahir (2012). Bijak Mengurus Wang. Galeri Ilmu Sdn Bhd.

No comments: