Tuesday 11 September 2012

Pesara hasilkan mozek dinding rumah menggunakan 30,000 penutup botol - di Russia (foto menarik)


Tidak dapat dinafikan kawasan hutan di Benua Siberia adalah antara ekosistem yang unik dan tercantik di dunia. Namun begitu, dengan kepadatan populasi yang hanya sekitar 3 orang per km2, ianya boleh menjadi sebuah tempat tersunyi bagi sesetengah orang. Bagi seorang wanita yang menetap di kawasan desa Kamarchaga, di pinggir hutan belantara terluas di wilayah tersebut, beliau memiliki satu hobi yang telah membantunya mengisi masa terluang dan kesunyian dek kerana tiada teman untuk berbual.

Seorang pesara, Olga Kostina mula mengumpul segala jenis penutup botol (botol soda, etc) sehingga apabila dirasakan bilangannya cukup banyak, beliau mula menggunakan penutup-penutup botol terbabit untuk menghias dinding rumah kayunya. Kreativiti beliau jelas terserah di dalam susun-atur dan mencorakkan penutup botol sehingga membentuk pelbagai motif tradisional dan haiwan yang menarik. Menggunakan tukul dan paku, Olga memasang serta menentukan corak susunan penutup-penutup botol tersebut dengan tangannya sendiri. Motif yang dipilih adalah berpandukan teknik macrame (lazimnya dipelajari di dalam seni tenunan tangan dan jahitan) sehingga berjaya menghasilkan mozek dinding yang indah.

Sehingga hari ini, Olga telah mengumpul dan menggunakan kira-kira 30,000 penutup botol plastik dan rumah beliau ini kini menjadi ikon dan tarikan setempat. Sungguhpun gembira dengan hasil karyanya, Olga berkata beliau tidak ingin berhenti berkarya sehingga struktur bangunan yang dibina bersambung dengan rumahnya turut dihiasi dengan mozek penutup botol itu. 







Laporan asal: odditycentral

No comments: