Wednesday 18 July 2012

Sumbangan PIBG – patutnya sudah lama dipupuk!


Saya lebih terpanggil untuk menyokong langkah yang diputuskan oleh Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah tertentu yang merayu sumbangan ibubapa bagi meringankan beban yang perlu ditanggung pihak sekolah dan PIBG berkaitan proses pembelajaran anak-anak.

Cuma, saya masih agak terkilan di atas 2 sebab.

Pertama, mengapa perkara ini baru ditimbul dan dihangatkan sekarang ini. Sedangkan rayuan dan permohonan bagi sumbangan ibubapa oleh pihak PIBG seperti yang dilaporkan, sepatutnya telah lama dibuat.

Kedua, sikap ignorant sesetengah ibubapa untuk mengeluarkan sumbangan bagi membantu pihak PIBG di dalam hal-hal yang berkaitan, masih sukar dikikis. Usahkan mengeluarkan bantuan kewangan, tenaga dan peralatan, malah rayuan supaya hadir dan berbincang keperluan persekolahan anak-anak juga ada-kalanya dipandang sepi oleh sesetengah penjaga.

Apabila diberitakan pihak PIBG di sebuah sekolah memohon sumbangan 1 rim kertas A4 untuk 1 pelajar, minda ini terus teringatkan cerita yang diceritakan oleh Mok (panggilan kepada ibu saya).


Kertas A4 (sumber: google image)

Waktu itu saya masih bersekolah menengah rendah (dalam tingkatan 2).  Tidak jauh dari Pekan Ajil tempat saya bersekolah, terdapat sebuah sekolah – Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Wha Wakaf Tapai.

Sesungguhnya, kisah yang dikisahkan kira-kira 17 tahun yang lalu itu nampak menarik sekiranya saya kaitkan dengan apa yang berlaku hari ini, berbanding semasa ianya dikisahkan kepada saya yang waktu itu tidak nampak apa perlunya saya ambil tahu. Mujurlah ingatan terhadap peristiwa itu masih ada.

Mok menyuruh saya melihat dan memahami komitmen yang ditunjukkan oleh ibubapa kaum Cina di dalam membangunkan sekolah dan betapa mereka tidak berkira dan berkorban demi memastikan pembelajaran anak-anak mereka tidak tergendala disebabkan halangan-halangan tertentu yang wujud waktu itu.

Kata Mok lagi, pihak PIBG membuat perjumpaan dan merayu ibubapa menyumbang dan membantu pihak sekolah, masing-masing ibubapa yang hadir, sama ada yang mampu atau kurang mampu, mereka akan menyumbang apa sahaja, menurut kemampuan yang ada.

Sehingga saya diberitahu, bagi ibubapa yang mengusahakan kedai alat tulis dan fotokopi, akan dibantu pihak sekolah dari segi pemberian alat-alat tulis dan kertas lukisan dan A4. Bagi yang ada kedai hardware, disumbangkan simen dan lain-lain alatan bagi membaiki sekolah. Bagi yang berduit pula tentulah wang ringgit telah disalurkan ke dalam tabung PIBG tersebut.

Itu kisah lama, 17 tahun yang lepas. Kalau sudah lama ianya dipupuk dan disemai akan “rasa cinta kepada sekolah” dan kepentingan membantu PIBG demi perbelajaran anak-anak, sekarang ini saya tidak terperanjat mengapa kaum dan bangsa mereka maju, bukan sahaja di dalam pelajaran, malah di pelbagai lapangan kehidupan.

Tambahan pula, proses memupuk dan membina charitable attitude ini telah lama bertapak di dalam komuniti mereka dan kini diwarisi generasi terkemudian di dalam segenap ruang lingkup kehidupan, baik bantuan “tidak bermusim” kepada sekolah dan PIBG (sumbangan alumni), rumah anak yatim, warga emas, gelandangan malah untuk golongan kelainan upaya (OKU).

Bukanlah niat saya menulis ini untuk mempersoalkan “di mana pula kita?”. 

Ini kerana ramai juga orang Islam dan Melayu yang terbuka mindanya untuk kembali menyumbang bakti kepada sekolah tempat mereka mula mengenal huruf, membaca dan berfikir. Bahkan, tidak boleh dinafikan sesetengah orang kita juga aktif di dalam menyalurkan bantuan bagi melicinkan proses pembelajaran anak-anak bangsa.

Cuma, yang masih berbaki adalah sikap skeptikal sesetengah ibubapa terhadap sesuatu isu seperti laporan melibatkan rayuan sumbangan PIBG tersebut, yang sekiranya dilihat secara positif, ianya tidaklah seburuk yang cuba dicanangkan sesetengah pihak.

Saya sebenarnya akan lebih terkilan sekiranya pihak PIBG membatalkan usaha tersebut disebabkan tekanan atau permainan politik sesetengah pihak yang tidak begitu jelas apakah motifnya.

Ini kerana di akhirnya nanti yang menanggungnya bukanlah PIBG (yang terganggu pelajaran mereka di kelas), tetapi adalah anak-anak bangsa kita sendiri.

Justeru, sebagai penutup hayatilah firman Allah Taala di dalam Surah al-Baqarah (ayat 195):

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Ikhlaskan hati dengan niat ingin membuat kebaikan dengan membantu orang yang sedang (berjihad) menuntut ilmu (murid di sekolah) KERANA ALLAH, dan mudah-mudahan ianya (sumbangan kita sekalipun hanya 1 rim kertas A4 yang dibeli di Tesco atau di Mydin) tetap dikira sebagai amal jariah yang akan diperlihatkan di hadapan kita apabila bertemu Allah Rabbul Jalil di hari akhirat nanti.

Allah lebih mengetahui.

No comments: