Ini bukanlah entri mengenai iklan tipu MLM mengenai produk tipu untuk berhenti merokok dan merekut anda untuk menipu orang lain dan menjadi jutawan, hasil usaha sendiri memanipulasi orang.
Ini merupakan entri berbentuk motivasi dan pendidikan buat sahabat dan teman di luar sana yang jika sekiranya, berkebetulan anda ini seorang perokok.
Di sini ingin saya kongsikan dapatan pembacaan saya terhadap buku bertajuk "Ke mana wang anda?", karangan Rohani Mohd Shahir (2009) yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Survei perokok
Merokok, sekalipun lebih ditonjolkan keburukannya dari aspek kesihatan, namun ianya juga merupakan tabiat yang tidak bagus untuk ekonomi seseorang dan keluarganya.
Mengapa?
Mari kita lihat satu kajian yang dibuat terhadap Ketua Keluarga yang merokok dan bagaimana tabiat ini boleh memusnahkan peluang seseorang itu daripada bergelar jutawan.
Syarikat Puan Rohani telah melakukan survei kewangan di sebuah kawasan (kampung) di Sabak Bernam, Selangor. Fokus kajian adalah mendapatkan gambaran berkaitan perbelanjaan dan bajet bulanan sesebuah keluarga. Dan mereka dapati ramai golongan bapa merupakan perokok.
Justeru, timbul persoalan - "berapa banyak rokok yang mereka hisap setiap hari?"
Salah seorang responden ditemui dan menjadi subjek kes. Jawabnya - "Oh tidak banyak! Hanya 2 kotak sahaja".
"Berapa harga (wang yang dibelanjakan) untuk keperluan rokok tersebut?" Ditanya lagi.
Jawab beliau - "Saya membeli rokok yang paling murah, hanya RM3.00 sekotak". Selamba bak lembu kenyang sahaja jawapannya tanpa ada rasa bersalah sedikit pun.
Kemudian ditanya lagi - "Sudah lamakah pakcik menjadi perokok?"
"Ketika berumur 18 tahun lagi" - pantas dan yakin sekali jawabnya.
Sebagai rekod, pakcik yang menjadi responden itu berumur 48 tahun. Dan dicongak mudah, maknanya beliau telah menjadi perokok selama 30 tahun!
Besar kemungkinan beliau yang tegar akan terus merokok sehingga hayatnya....katakan 58 tahun. Maknanya, beliau mungkin akan menjadi perokok selama 40 tahun.
Pakcik boleh jadi jutawan tau!
Satu pengiraan menggunakan "financial calculator" mula dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh dari pakcik tersebut.
RM3.00 x 2 kotak = RM6.00/hari.
Satu bulan = RM6.00 x 30 hari = RM180.00
Katakan wang "kalau tak merokok" ini dilaburkan dengan pulangan 15% setahun selama 40 tahun (jangkaan hayat), terkejutnya kami apabila mendapati jumlah PEMBAZIRAN ini mencecah:
RM4,148,400.69!!
Hah! Naik seram-sejuk lagi terkebil-kebil mata pakcik yang ditemuduga itu tadi. Senyap sunyi seluruh dewan kampung itu apabila diperlihatkan hasil pengiraan menggunakan "financial calculator" itu tadi.
Justeru di sini timbul soalan: SIAPA KATA MELAYU TAK BOLEH JADI JUTAWAN?
Siapa kata orang Melayu memang sentiasa di bawah orang Cina dari aspek ekonomi? Apakah silapnya kita? Silapnya kita ini tidak amanah dengan nikmat dan harta kurniaan Allah dengan membazirkan ia demi berterusan menyuburkan nafsu kita terhadap rokok.
Saya kekal berpegang dengan pernyataan ini sama ada anda setuju dengan saya ataupun tidak.
Firman Allah di dalam Surah al-Isra' (27) yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang boros, adalah saudara-saudara bagi syaitan-syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu tidak berterima kasih kepada Tuhannya".
Contoh di atas hanya menggunakan harga "rokok termurah", tetapi saya yakin para perokok di luar sana tidaklah "sedap tekak" kalau membeli rokok RM3 sekotak, bukan? Para perokok mungkin lebih arif dengan harga dan jenama rokok yang bersesuaian dengan mereka.
Mari kita lihat apa yang Puan Rohani perincikan sekiranya belanja untuk rokok dilaburkan demi sesuatu yang lebih bermanfaat dan beramanah. Kita gunakan "impian jutawan" pakcik yang merokok itu tadi iaitu apa yang boleh kita buat dengan wang RM4,148,400.69 itu. (nota: saya oleh beberapa elemen/angka tanpa menjejaskan nilai kiraan asal).
Ayuhlah! Janganlah kita membazir lagi. Binalah semangat baru sempena Ramadhan ini untuk berhenti merokok, bukan sahaja di siang hari, tetapi buat selama-lamanya.
Tentu bukan mudah untuk diserukan nasihat tersebut, tetapi terfikirkah kita mengapa hutang kita sering tak habis-habis dibayar? Hinggakan hendak melabur pun tidak ada baki wang.
Ini kerana, sedar tak sedar (atau sengaja buat tak sedar), anda telah membakar peluang yang terhidang dengan nikmat kurniaan Allah yang banyak ini untuk memiliki semua aset seperti yang tersenarai secara mampu (tunai).
Bolehkah anda bayangkan, berapa ramai keluarga yang ibu atau bapanya perokok, telah menidakkan kemampuan mereka untuk menyediakan dana pendidikan secukupnya buat anak-anak belajar, menyimpan untuk hari tua dan wakaf, disebabkan tabiat buruk merokok?
Belum terlambat
Anda yang merokok mungkin akan berkata "Aku dah terbabas". Memang anda sudah menghabiskan sejumlah tahun dengan menjadi perokok dan masa lampau sudah tidak boleh diputar semula (rewind).
Namun, jalan di hadapan masih ada dan terbuka buat anda. Katakan umur anda sekarang 30 tahun dan boleh hidup dengan sihat sehingga 60 tahun (tanpa rokok dah), maknanya anda masih ada 30 tahun untuk diharungi. Jangan bazirkan ia.
Jika anda mampu berjimat RM180/bulan selama 30 tahun dan melabur di dalam instrumen kewangan yang menawarkan pulangan sekitar 15% setahun, di usia 60 tahun nanti anda masih mampu bergelar jutawan dengan tabungan berjumlah RM1,013,718.67.
Timbul soalan lazim - apa aku nak buat dengan duit banyak-banyak di usia 60 tahun?
Saya ingin bawa sahabat dan teman hayati Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud:
"Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, (adalah) seperti satu biji (benih) yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap satu tangkai ada seratus biji; dan Allah akan menggandakan (pahala) kepada siapa yang Ia kehendaki; dan Allah itu Luas (pemberian-Nya), amat Mengetahui."
Kiraan matermatiknya, keuntungan wakaf KERANA ALLAH digandakan sehingga 70,000 peratus dan jangan lupa bahawa di akhir ayat tersebut Allah menyebut akan menggandakan lagi pahala buat sesiapa yang Dia kehendaki. Berapa banyak, hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Buat kali yang terakhir, berhentilah merokok, mulakan tindakan dan rancang untuk menggunakan amanah wang dan usia kurniaan Allah ini sebaik-baiknya.
Hidup di dunia hanya sekali, so make it count!
No comments:
Post a Comment