Minggu lepas saya berpeluang menonton movie on-line, Melayu (setelah sekian lamanya) bertajuk: Jalan Kembali - Bohsia 2. Terpaksalah menonton yang on-line sebab tidak ditayangkan di mana-mana pawagan di UK ni.
Aktiviti menonton itu bukanlah disebabkan minat dengan genre yang dipaparkan, mahupun pihak yang menerbitkan filem tersebut. Sekadar "terasa" di hati nak menengok cerita-cerita terbaharu dari tanah air.
Jalan ceritanya tidaklah saya faham sangat, tetapi di penghujung filem ini telah "mengetuk" pintu fikiran saya, terutama bagaimana cabaran serta ujian yang ditempuh oleh mereka-mereka yang lama hanyut di lautan dosa dan noda, untuk mencari jalan kembali (kepada agamaNya).
Saya yakin kes-kes seperti yang ditunjukkan di dalam filem ini benar-benar berlaku di "luar sana", biarpun tidaklah seperti yang difilemkan.
Keinsafan yang dihadirkan ke hati insan oleh Allah Taala akan luasnya pintu taubat dan adanya jalan kembali bagi membersihkan dosa-dosa lampau, menginsafkan saya sendiri betapa lemahnya diri kita dan besarnya kuasa Allah yang memiliki segala-galanya.
"Ya Allah, janganlah Engkau serahkan urusan diriku kepada diriku sendiri, dan tetapkanlah Aku di atas jalan agamaMu" - itulah yang dapat saya ungkapkan, melihat "lakonan" yang saya kira boleh diambil sebagai contoh.
Filem ini juga menonjolkan peranan rakan (yang sudah bertaubat) adalah penting sebagai agen untuk mendekati kumpulan-kumpulan "bekas seangkatan" demi membawa mereka ke pangkal jalan.
Selesai menonton, saya terus terfikir bahawa peranan "Daei" juga mustahak. Namun, apakah para Daei kita telah mendekati golongan remaja-remaja yang sebegini?
Ada, dan apabila terfikir kepada "membawa anak-anak muda kepada Islam dan masjid", terus teringat kepada seorang Ustaz, yang telahpun saya tulis mengenai beliau tidak lama dahulu.
Diari Dr Sepet (04/11/2011): Ustaz Azhar Idrus - Menyentuh jiwa anak-anak muda (klik tajuk untuk baca)
Moga UAI terus kuat, "sibuk" dan sihat untuk meneruskan usaha-usaha mengajak dan mengembalikan minat orang-orang muda kepada agamaNya.
Allah lebih mengetahui.
No comments:
Post a Comment