Dengan
Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu
Wata'ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu
'Alaihi Wasallam serta para sahabatnya.
SEJAK
beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada
malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali.
Media elektronik,
cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui
akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga
mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal
ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu
ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali
r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut.
Diriwayatkan
oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan
fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
Malam
Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru
dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
Malam
Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab
Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam
Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di
Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu
dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang
mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
Malam
Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang
musuh ketatnya Firaun dan Haman.
Malam
Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang
telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
Malam
kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti
Nabi Muhammad S.A.W.
Dan
kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai ke malam yang ke-tiga puluh.
Namun
begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai
kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat
memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti
Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui.
Begitu juga
dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis
ini.
Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru
diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis
maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.
Kita tidak menafikan
kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita
tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang
menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu
yang sebenarnya tidak akan diperolehinya.
Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu
seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang
dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
Rasulullah
S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan
pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang
siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan
tempatnya dalam neraka. (al-Bukhari, Muslim)
Hadis
ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai ke peringkat Mutawatir.
Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan ke atas Nabi S.A.W. sama ada
dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman
supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla
Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus
riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan
kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan
sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu
maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`.
Siapa yang menceritakan
hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak
menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak
ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara
hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti
hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis
nasihat dan lain-lain.
Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan
sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama
sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana
pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan
berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud:
Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan
tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di
dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk
melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis
ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu
pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang
sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur
dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan
sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.
Adakah
tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam
Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud:
Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan
ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan
adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang
yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang
menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu
termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya
bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya
hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan
amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang
bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu
mengerjakannya.
Antara
ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad
perawinya ialah :
1.
Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada
para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan
nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi
kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak
akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi
untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2.
Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan
sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut
dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.
3.
Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w.
dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam
hadis-hadis sahih.
4.
Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya
Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai
dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.
Oleh
itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat
negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga
kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam
janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah
sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w.
Janganlah
sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat
pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan
dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
Petikan
dari terbitan dan edaran percuma:
DARUL
QURAN WAS-SUNNAH
Lot
1499, Taman Seri Demit.
Jalan
Sultanah Zainab 2
Kubang
Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan.
No comments:
Post a Comment