Tuesday 24 July 2012

Sinar Ramadhan: PUASA DAN ADAB MAKAN

Dipetik dari: MindaTajdid

PUASA DAN ADAB MAKAN

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Apabila kita menyebut Ramadan, maka tidak boleh dipisahkan dari pelbagai jemputan berbuka puasa sepanjang bulan ini. Amalan menjemput orang berbuka, ataupun menyediakan makanan untuk mereka yang berpuasa merupakan satu amalan yang mulia yang digalakkan dalam sunnah Nabi s.a.w. Walaupun secara umumnya menjamu orang lain makan merupakan amalan yang digalakkan dalam hadis, namun menjamu orang berbuka puasa lebih banyak lagi ganjarannya. Ini seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban menilainya sahih).
Justeru itu golongan salaf begitu bersungguh-sungguh menjamu makan untuk orang yang berbuka puasa. Amalan ini juga, Alhamdulillah hidup dalam masyarakat kita hari ini.
Islam satu agama yang bertamadun. Ia mengajar kehalusan budi dan pekerti, termasuklah ketika waktu makan dan minum. Islam bukan sahaja memerintah kita memakan yang halal, Islam juga mengajar etika ketika makan. Maka, bulan puasa ketika kita berbuka puasa kita sebenarnya sedang menghayati amalan sunnah. Seperti mana puasa itu sunnah, berbuka (iftar juga) sunnah. Maka apabila sedang mengamalkan sunnah berbuka puasa seperti berbuka dengan rutab ataupun tamar, janganlah pula kita lupa adab-adab makan yang lain.
Antara adab makan yang ditegaskan oleh Islam ialah memulakan dengan bismillah kemudian makan dan minum dengan tangan kanan. Hal ini seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w kepada Umar bin Abi Salamah waktu dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil:
“Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu.”( al-Bukhari dan Muslim).
Bismillah
Makanan yang kita makanan adalah kurniaan Allah semata. Makanan boleh terhalang dari menjadi rezeki kita bukan sahaja disebabkan kita tiada kemampuan membelinya, tetapi juga mungkin disebabkan penyakit ataupun halangan yang lain. Betapa ramai orang kaya yang tidak mampu makan sekalipun mampu membeli. Maka sebagai tanda ingatan kita atas kurniaan Allah, maka sebutlah namaNYA ketika makan. Juga bergantunglah segala harapan dan kekuatan dengan namaNYA apabila makan. Justeru kita bismillah bererti‘dengan nama Allah daku makan ataupun minum’. Kita mengambil kekuatan dalam hidup ini daripadaNYA.
Tangan Kanan
Makan dengan tangan kanan adalah adab makanan yang paling zahir dalam majlis makan muslim. Ia lambang yang nyata dan adab yang tertonjol. Dalam hadis lain baginda menyebut:
“Apabila seseorang kamu makan, makanlah dengan tangan kanannya. Apabila dia minum, minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri” (Riwayat Muslim).
Hadis ini hendaklah difahami di sudut spiritualnya. Baginda bercakap di sudut spiritual yang hanya dapat difahami oleh orang yang menghayatinya. Sikap anti-syaitan diajar oleh Islam sehingga kita disuruh berbeza dengannya dalam segala cara, termasuk cara makan.

Makan ataupun minum dengan tangan kiri adalah amalan syaitan. Islam menyatukan budaya makan dengan menjadikan tangan kanan sebagai adab makan yang jelas kelihatan bagi orang muslim.


Malangnya, masih ada yang makan ataupun minum dengan tangan kiri. Ini termasuk mereka yang menggunakan garpu (folk) untuk menyuap lauk ataupun makanan lain ke mulut. Juga mereka yang minum tangan kiri kononnya kerana tangan kanan ada bekas makanan. Kesemuanya ini amalan syaitan.
Berdoa Untuk Pemberi Makanan
Sikap berterima kasih amatlah ditekankan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia, dia tidak tahu berterima kasih kepada Allah” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, bertaraf sahih).
Maka kita juga mesti demikian apabila mendapat jemputan. Kita disunnahkan berdoa untuk pemberi makan dan berterima kasih kepadanya. Dalam hadis
“baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menilainya sahih).
Mengikut Kadar
Setiap perkara dalam Islam diajar agar kita mengambil dengan kadarnya. Demikianlah makan dan minum. Apatahlagi dalam bulan Ramadan yang selepas berbuka kita akan bersolat dan beribadah yang lain. Juga, menjadi adab di hadapan orang ramai dan dalam majlis makan untuk kita tidak menunjukkan sikap gelojoh dan tamak. Makan dan bersederhanalah bagi kadar makanan yang diambil. Sabda Nabi s.a.w :
“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

No comments: