Saya menyokong penuh usaha yang dirintas sekumpulan anak muda yang menganjurkan program "Buku Jalanan Titi" (Titiwangsa) ini. Konsep membaca secara santai dengan perkongsian bahan sebegini saya kira masih belum begitu popular di Malaysia, walaupun ianya telah dilancarkan di beberapa kawasan lain di Malaysia seperti di Shah Alam, Ipoh, Kuching, dan Kota Kinabalu sebelum ini.
Dengan usaha dari bawah (bottom-up approach) ini diharap dapat meningkatkan minat masyarakat untuk "keluar membaca", beriadah dan seterusnya menjadikan ia satu budaya yang bermanfaat buat seisi keluarga.
Selain berpeluang berkongsi bahan bacaan ilmiah dan santai dengan peserta lain, aktiviti sebegini juga boleh meluaskan persahabatan dan memupuk budaya suka menderma, bersedekah dan murah hati sebagaimana dituntut Islam itu sendiri.
Andai berkelapangan, berhajat juga saya untuk turut serta dan mungkin ingin membawa buku-buku yang ada untuk dikongsi bersama masyarakat. Barangkali anda juga boleh menyokong usaha ini sambil menabur bakti.
Bagi anda yang ingin menyumbangkan bahan bacaan/buku, boleh menghubungi penganjur di: bukujalanantiti@gmail.com atau mengikuti aktiviti mereka di Facebook (bukujalanantiti) atau Twitter (@bukujalananTITI).
No comments:
Post a Comment