Tuesday 19 June 2012

UPDATED: Peringatan buat penggemar hidangan kangkung di gerai / kedai makan / restoran

Sudah lama ingin saya kupas berkenaan perkara ini tetapi apakan daya kerana selalu pula terlupa. Apapun, di sini saya cuma ingin berkongsi sedikit info berdasarkan pengalaman sendiri, seterusnya mengingatkan kepada diri sendiri dan seluruh sahabat di luar sana supaya beringat-ingat jika anda ingin memilih lauk kegemaran anda di kedai-kedai makan, terutamanya lauk sayur kangkung.

Kangkung yang ditanam sebeginilah yang saya nak, tapi tentulah mahal kosnya kepada para peniaga (google image)


Apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan pengamatan (menengok dengan mata kepala sendiri), di waktu pagi dan (terutama di waktu) petang bilamana terdapat insan-insan yang rajin hingga sanggup berendam di dalam parit besar dan longkang besar demi "mencerut" (potong) atau menuai kangkung. 

Perlakuan ini dapat anda perhatikan jika melalui jalan ke Taman Aman Perdana, Klang (ke Pekan Meru). Saya juga yakin di tempat-tempat lain juga mungkin berlaku kes yang seperti ini.

Kawasan parit besar di sini sangatlah subur dan dilimpahi dengan tanaman kangkung yang besar daunnya dan sungguh kehijauan. Kangkung yang dituai ini kemudiannya akan diisi ke dalam guni-guni plastik besar, yang kemudiannya dibawa dengan motosikal atau basikal untuk dijual ke kedai-kedai makan.

Di sini, ingin saya tegaskan bahawasanya saya sama sekali tidak mempersoalkan kerajinan golongan ini di dalam mencari rezeki menjual kangkung, itu peluang mereka mendapatkan wang. 

Cuma kegelisahan saya (my concern) adalah kangkung-kangkung yang dituai ini hidup dengan suburnya di dalam parit yang dikelilingi oleh zon perindustrian berat (heavy industries). 

Pada waktu petang, saya perhatikan ada ketikanya air parit berwarna gelap (kelabu kehitaman) dan berbau kimia (mungkin dilepaskan oleh kilang-kilang kimia yang beroperasi sekitarnya).

Kangkung yang "subur" kerana dekat dengan sumber air (google image)


Kita semua tahu bahawa kangkung merupakan tumbuhan yang banyak menyerap air untuk hidup. Kangkung juga boleh menjadi penapis semulajadi (natural filter) yang berkesan bagi kawasan berair.

Barangkali juga, mereka-mereka yang mencari rezeki dengan menuai kangkung ini kurang peka sehingga tidak mengambilkira pengaruh air kilang yang berkimia terhadap kangkung, selagi kangkung yang mereka tuai adalah banyak dan "nampak sihat".

Kangkung masak belacan, sedap! (google image)


Saya bukannya apa, sekadar mengingatkan sesama kita. Perkara ini mungkin enteng pada pandangan sesetengah orang. Namun tugas menyebarkan perkara ini, demi kesedaran rasanya perlu jua dilakukan.

Walaupun sukar untuk kita tahu dari mana sumbernya lauk-pauk yang kita makan, sekurang-kurangnya dengan peringatan ini di kepala, wajarlah difikirkan terlebih dahulu sebelum kita memilih lauk berasaskan kangkung selepas ini.


UPDATED (foto): sempat dirakam sebentar tadi. Di sekitar kawasan ini ada kilang scrap metal, plastik, wood treatment (kayu dimasak di dalam larutan kimia bagi perlindungan terhadap anai-anai), perabot dan pelbagai lagi.






No comments: