Bagi mereka-mereka yang kenal kami, tentunya serba-sedikit memahami akan minat mendalam kami kepada aktiviti berkebun dan bercucuk-tanam.
Begitupun, kondisi bercucuk-tanam semasa di UK dan Malaysia agak jauh berbeza. Bukan sahaja dari segi jenis tanaman yang sesuai ditanam, malah cabarannya juga berlainan termasuklah untuk mengekalkan minat serta komitmen terhadap penjagaan tanaman yang disemai dan ditanam, ditambah pula kesibukan dan keletihan setelah seharian bekerja.
Apapun, dengan penerusan aktiviti bercucuk-tanam ini, terisilah sedikit waktu hujung minggu kami dengan kerja-kerja di luar rumah, seterusnya menyediakan sedikit senaman (pergerakan fizikal) buat panda kami.
Berbeza dengan pengalaman di UK, di tanah air terdapat lebih banyak spesis serangga perosak tanaman, seterusnya menambahkan lagi cabaran untuk menjaga dan 'membelai' tanaman-tanaman ini.
Sedikit foto untuk dikongsikan bersama para pembaca.
Kali ini kami menumpukan minat terhadap tanaman cili (terima kasih kepada mok yang bekalkan anak cili dari kampung).
Kami turut bereksperimen dengan menanam cili-cili terbabit di dalam medium yang berbeza:
1) Dari foto di atas, anak cili pada 2 kotak tanaman bersaiz paling besar ditanam menggunakan 'tanah bakar' yang kami perolehi dari belakang rumah Pak Nde.
2) Manakala anak-anak cili pada kotak tanaman bersaiz sederhana pula ditanam menggunakan 'tanah hitam' yang dibeli dari Tesco dan dicampur dengan tanah pasir yang dihanyutkan air di dalam longkang di depan rumah dan digaul bersama abu arang dari majlis BBQ minggu sebelumnya.
3) Baki anak cili disemai dan ditanam di dalam 2 beg plastik yang menggunakan 100% sabut kelapa yang dihancurkan (terima kasih kepada Cik Yo dan Cik Adda).
Kami sengaja melakukan eksperimen ini bagi melihat sama ada terdapat perbezaan dari segi tumbesaran anak-anak cili (dan mengenalpasti medium tanaman mana lebih subur).
Kami juga menyemai 2 anak durian 'Musang King' untuk ditanam di tanah Mawaddah di kampung kelak.
Selain cili, atuk dan nenek turut membeli beberapa jenis herbs termasuklah rosemary, basil, thyme dan oregano.
No comments:
Post a Comment