Sumber: MerdekaReview
Sekali lagi, Kelantan sebagai negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, bakal menjadi tumpuan negara menjelang Pilihan Raya Umum 13. Bagaimanapun, jikalau dibandingkan dengan negeri PR yang lain, kesukaran PAS untuk memerintah Kelantan buat penggal keenam selepas tahun 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 - adalah lebih rendah.
Negeri Kelantan mempunyai 14 kerusi parlimen dan 45 kerusi DUN. PAS menawan 38 kerusi DUN dan PKR memenangi 1 kerusi semasa PRU 12. BN memenangi 6 kerusi DUN (dengan satu kerusi tambahan DUN Galas dalam PRK kemudiannya). Untuk kerusi parlimen pula, PAS merampas 9 kerusi, dengan PKR menawan 3 kerusi dan BN 2 kerusi.
Kelantan adalah kubu PAS yang kukuh. Ketika PRU 12 pada Mac 2008, PAS meletakkan pimpinan tinggi partinya di Kelantan untuk memastikan suara mereka dibawa ke parlimen. Antaranya Timbalan Presiden ketika itu Nasharudin Mat Isa di Bachok, Bendahari Agung Hatta Ramli di Kuala Krai dan Ketua Dewan Pemuda ketika itu, Salahuddin Ayub di Kubang Kerian.
Dalam PRU akan datang, PAS telah mengumumkan bahawa 30% daripada calonnya adalah muka baru. Sesetengah pimpinan yang menang dalam PRU 12 mungkin tidak lagi menyarung jersi kali ini lantaran tersungkur dalam pemilihan parti. Pemimpin seperti Salahuddin Ayub misalnya, bakal bertanding di negeri asalnya, Johor, malah dikatakan seandainya PR berjaya menawan Johor, maka beliaulah calon Menteri Besar.
Dalam 30% muka baru yang dikatakan, anak Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz, antara yang paling menarik perhatian. Beliau adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS. Beliau dikhabarkan akan bertanding di Kubang Kerian yang ditinggalkan Salahuddin Ayub, ataupun Pasir Mas yang dimenangi Ibrahim Ali atas tiket PAS. Ibrahim Ali dijangka gugur dari senarai PAS, lantaran kecenderungannya menjadi ahli parlimen pro-BN selepas menang dan kenyataan berbau rasis yang dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan.
Perang tiga penjuru di Kota bahru
UMNO hanya menang dua kerusi parlimen daripada 14 yang ditandinginya melalui Tengku Razaleigh di Gua Musang (dengan rekod 10 kemenangan tanpa kekalahan); dan Mustapa Mohamed (Menteri Pengajian Tinggi ketika itu) di Jeli. BN menerima tamparan hebat, sehingga hampir dicabut akarnya dari tanah Kelantan.
Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih dikenali dengan nama Kuli, berbeza pandangan dengan kerajaan persekutuan dalam isu royalti minyak di Kelantan. Ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan, Kuli terlibat dengan rundingan Petronas dan negeri yang mempunyai sumber petroluem, malah merangka Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Justeru itu, persoalan sama ada Kuli bakal bertanding atas tiket UMNO masih sarat dengan pelbagai kemungkinan.
Daripada 14 kerusi parlimen, Kota Bharu akan menjadi tumpuan. Ia dijangka bakal mempertembungkan Setiausaha Politik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Mohamad Fatmi Che Salleh dengan Zaid Ibrahim (daripada parti KITA, gambar kanan) dan calon PAS. PAS dijangka meletakkan EXCO Kelantan, Takiyuddin Hassan, dan ahli parlimen sekarang, Wan Abdul Rahim, dijangka bakal digugurkan.
BN mula menjana jentera kempennya di kawasan ini, malah mengajak Presiden MCA Chua Soi Lek untuk berkempen di situ, dengan semangat yang berkobar-kobar untuk merampas kembali kerusi yang ditawan PAS. BN menganggap wujudnya petanda-petanda bahawa undi mula kembali ke pangkuannya. Lebih-lebih lagi sesetengah wakil rakyat PR "hilang begitu sahaja" selepas PRU. Rakyat mula merungut kerana tiada perkhidmatan di tempatan. Kebanyakan ini adalah kawasan yang mana akar umbi PAS adalah lemah, atau kawasan PKR.
Mustapa MB yang direstui BN
Dari segi DUN, BN menggunakan strategi 6+23, iaitu mengekalkan 6 kerusi yang dimenangi dalam PRU 12, ditambah dengan 12 kerusi yang mana undi majoriti PAS tidak melebihi 500 undi; dan 11 kerusi yang mana undi majoriti tidak melebihi 1000 undi. BN melihat kawasan ini sebagai kawasan "kelabu", yang mungkin berpeluang untuk ditembusi, dan menawan kerajaan negeri Kelantan seterusnya. BN Kelantan bertunjangkan UMNO yang bertanding di 44 kerusi, dan satu lagi kerusi Kota Lama ditandingi calon MCA.
BN Kelantan kini diketuai Mustapha Mohamad, (gambar kiri) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia. Seandainya berjaya menawan kerajaan negeri Kelantan, maka beliau adalah calon Menteri Besar yang direstui. Sebelum ini, Mustapha tidak menafikan bahawa beliau mungkin akan bertanding kedua-dua kerusi parlimen dan DUN, dan strategi ini dilihat untuk mengangkatnya sebagai MB.
Kali ini, UMNO menunjukkan perpaduan yang utuh, berbanding dengan keadaan berselerak, dengan puak-puak masing-masing pada zaman dahulu. PAS tidak boleh memperlekehkan musuhnya kali ini, lebih-lebih lagi pengganti untuk Nik Aziz yang umurnya telah lanjut, belum lagi kelihatan. Oleh itu, PAS perlu mengambil kesempatan untuk menonjolkan calon pengganti Nik Aziz dalam pilihan raya ini. Ia untuk menstabilkan keadaan, dan mengelakkan pembaziran tenaga ekoran daripada pergelutan kuasa dalaman.
Kelantan adalah negeri yang mana majoritinya pengundi Melayu. Pengundi biasanya mempertimbangkan parti politik dan bukan calonnya. Semangat "kepartian" generasi tua amat menebal. Hasrat undinya telah ditetapkan sejak awal lagi - dengan pendirian yang jelas untuk menyebelahi sama ada hijau atau biru. Apa yang direbut BN dan PR adalah pengundi baru yang berdaftar selepas 308 - yang biasanya sukar diketahui hasrat yang terpendam dalam hati mereka.
Retorik "pembangunan" oleh BN kurang mujarab di Kelantan, dan gagal memikat hati pengundi. Walaupun ramai pemuda bekerja di kota raya, tetapi mereka berharap kampung mereka tidak mengalami urbanisasi, sehingga mengundang masalah sosial. Mereka berharap kejatian sedia ada dikekalkan. Dari segi ini, PAS bertunjangkan semangat agama, mengutamakan ajaran agama, di samping pembangunan tempatan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan pembinaan lebuhraya antara Kota Bharu dengan Kuala Krai dengan RM1.8 bilion, malah menyeru derma dari masyarakat. Jelas, kerajaan negeri cuba meraih simpati dalam isu ini. Kerajaan negeri membina sendiri lebuh raya ini untuk kepentingan rakyatnya, jikalau kerajaan persekutuan enggan berbuat demikian. Ini kerana projek ini telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia kelima hingga kesembilan, dan dikeluarkan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kini, tiada apa-apa kelihatan.
Perang bermula. Namun, kesudahannya hanya akan diketahui pada saat-saat akhir.
*Huang Jian adalah penulis khas MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 11 Jun 2012.
No comments:
Post a Comment