Wednesday 16 September 2009

Terbitnya sinar baru di Jepun

Media pelbagai aliran hari ini sibuk melaporkan proses pembentukan kerajaan baru Jepun.

Yukio Hatoyama dari Parti Demokratik Jepun (DPJ) telah diperkenalkan sebagai Perdana Menteri Jepun yang baru, menggantikan Taro Aso yang juga warisan pemimpin terakhir Parti Liberal Demokratik (LDP) telah memerintah Jepun selama lebih 50 tahun (selepas Perang Dunia Ke-2).

Sumber: Berita harian online

Perkembangan yang disifat ramai pemerhati sebagai 'historic shift of power' (peralihan kuasa yang bersejarah) ini berlaku setelah DPJ memenangi 308 daripada 480 kerusi di dewan rendah Parlimen Jepun.

Politik 'matang'

Jepun sering menonjolkan contoh berpolitik yang matang dan rasional. Mentaliti menteri dan ahli politik yang 'mendahulukan prestasi dan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat' telah diterjemah ke dalam tindakan yang sebenarnya.

Menteri letak jawatan atau menteri undur diri jika tidak mampu memberikan prestasi yang baik di Jepun bukanlah perkara yang asing didengar.

Pada saya, mungkin inilah sikap matang pemimpin negara maju (mungkin juga tanggapan saya ini salah).

Orang yang bijak adalah orang yang tahu kemampuan diri dan bila masanya untuk terus kekal dan bila masanya untuk mengundurkan diri secara terhormat (sebelum diaibkan dan dihumban keluar ketika menghampiri penghujung jalan kekuasaan).

Jadi motivasi

Kejayaan 'Pembangkang' dari DPJ (kini kerajaan pemerintah) menyapu keluar parti 'Pejuang Kemerdekaan - pembentukan semula dan pemodenan' Jepun setelah lebih 50 tahun memegang kuasa menimbulkan pelbagai persepsi.

Ada yang berpandangan, Jepun pula adalah contoh terbaru bahawa adalah tidak mustahil dengan kekecewaan rakyat terhadap gaya pemerintahan dan pengurusan negara, 'parti pejuang kemerdekaan/kemodenan' juga telah mereka (rakyat) tolak.

Dalam hal ini, rakyat/pengundi mungkin boleh dipersalah kerana dilihat seperti tidak menghargai jasa dan pengorbanan orang-orang lama yang bersusah-payah membina dan membangunkan negara selepas menempoh tempoh yang sukar (lepas perang, baru merdeka, etc).

Apapun, rakyat pula boleh juga menyalahkan para pemimpin yang mana dilihat mereka setelah begitu lama diamanahkan kuasa, telah berubah sikap menjadi sombong dan angkuh, selain mendahulukan kepentingan diri daripada memenuhi keperluan rakyat.

Inilah fenomena yang menurut Tun M, jika gagal dipelajari oleh BN, adalah tidak mustahil mereka akan disapu keluar dari kerusi kekuasaan oleh rakyat pada PRU ke-13 yang akan datang (sumber).

Manakala, di pihak Pakatan pula, kejayaan DPJ ini telah memberikan suntikan semangat dan juga motivasi untuk lebih yakin bahawa 'dalam politik tiada yang mustahil'.

Saya kira langkah terbaru yang diumumkan kerajaan PR di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mengenai pemberian elaun khas RM500.00 kepada kakitangan kerajaan negeri, sebagai mengikut jejak langkah kerajaan pusat, adalah langkah 'menambat hati rakyat' yang tidak wajar diremehkan oleh kerajaan negeri BN yang lain.

Tindakan ini juga menunjukkan barisan kepimpinan negeri PR tidak bermasalah untuk menuruti saranan dan langkah 'mendahulukan rakyat' sebagaimana amalan kerajaan pusat.

Begitu juga halnya setelah kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP yang akan menyalurkan bantuan kewangan kepada wanita Penan di Sarawak yang terlibat dengan kes pencabulan di kem pembalakan sebagaimana dilaporkan media baru-baru ini.

(sewajarnya kerajaan negeri Sarawak-lah yang harus terkedepan di dalam bertindak dan menguruskan perkara ini).

Momentum yang sama?

Masih terlalu awal untuk bercakap tentang peluang 'cerah' BN, mahupun PR pada PRU ke-13 yang akan datang.

- Pertamanya, mentaliti menteri dan ahli politik kita bukanlah seperti menteri dan pemimpin politik Jepun.

- Keduanya, mentaliti rakyat kita bukanlah seperti kebanyakan mentaliti rakyat Jepun yang mungkin berbeza tingkat kesedaran dan rasionalitinya.

- Ketiganya, iklim politik, ekonomi dan sosial kita adalah berbeza dengan Jepun. Gaya pengurusan dan keupayaan teknologi juga boleh menjadi faktor yang memisahkan kita dengan Jepun.

Begitupun, saya percaya rakyat semakin 'terang hati' untuk melihat dan membuat penilaian secara rasional daripada apa yang mereka baca, dengar, lihat dan perhati sehari-hari.

Pandangan Tun mengenai pemimpin yang sombong, angkuh dan lupa diri yang akan ditolak rakyat, boleh dijadikan ingatan yang berguna buat semua pihak.

Kini, satu soalan yang menarik mula meniti di bibir ramai orang: Adakah 'sinar baru' yang terbit di negara Jepun ini akan mencetuskan gelombang 'perubahan' yang sama di Malaysia di masa hadapan?

Hanya masa dan rakyat-lah yang akan menentukan.

Dr. Sepet: Dua minggu lalu saya bersembang dengan Prof. John Glasson, Founding Director, Oxford Institute for Sustainable Development (OISD), katanya: "Khairul, jangan terkejut jika pada tahun 2010 nanti anda akan menyaksikan Britian mempunyai PM baru (kerana parti Buruh dijangka akan tumbang)".

Berminat juga untuk saya saksikan.

No comments: