Wednesday 2 September 2009

Politik caca-merba di Perak

Serabut dan penuh caca-merba!

Itulah gambaran yang dapat difikirkan sebagai menggambarkan kemelut politik yang nampaknya masih menemui jalan buntu di negeri Perak.

Malah, sehingga ke hari ini kita masih belum diyakini (jauh sekali untuk melihat sebarang penyelesaian) terhadap krisis kepimpinan di Perak ini.

Kedua-dua pihak BN dan PR masih berkeras dengan pendirian dan kepercayaan masing-masing bahawa merekalah pemerintah yang 'sah' di Perak.

Ianya terbukti apabila hari ini, 'kerajaan PR' Perak telah bertindak memanggil sidang DUN 'dalam Hotel' - sebelum ini telah dicatat sejarah sidang DUN Bawah Pokok.

Hasil persidangan tersebut turut membuahkan 3 resolusi (sumber):

1) Mengesahkan laporan ‘Jawatankuasa Hak dan Kebebasan’ yang bertarikh 27 Julai 2009 dan 12 Ogos 2009;

2) Pelantikan anggota bagi tiga jawatankuasa bagi penggal yang baru iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap;

3) Usul tergempar mengutuk tindakan polis yang didakwa menggunakan kekerasan bagi menghalang anggota dewan daripada pakatan pembangkang daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi mengadakan persidangan itu.

----

Namun bukan resolusi tersebut yang ingin saya ulas di sini. Ianya berkaitan 'sikap kurang serius' kerajaan Perak di bawah D.S. Zamby menangani kemelut berpanjangan ini.

Bagaimana satu pihak boleh tidur lena dan makan kenyang dengan memekakkan telinga seolah-olah tindakan satu pihak lagi langsung tidak menjejaskan kesejahteraan masyarakat di negeri Perak.

Dua pelakon, dua pengarah

Melihat apa yang dilaporkan oleh kedua-dua portal akhbar arus perdana dan alternatif hari ini, tergambar di kepala saya kepada filem 'Pirates of the Caribbean: at world's end'.

Sikuel terakhir ini mengisahkan bagaimana the Black Pearl dikemudi oleh 2 kapten iaitu Kpt. Jack Sparrow dan Kpt. Barbosa.


Kesannya, bukan main caca-merba lagi keadaan dalam kapal terbabit. Kumpulan pro Jack bertindak sendirian, begitu juga bagi yang pro Barbosa.

Tidaklah saya ingin menyamakan sepenuhnya kisah dalam filem ini dengan apa yang berlaku di Perak. Ini kerana filem terbabit mengisahkan tentang 2 kumpulan 'Lanun', yang melanun sahaja kerja mereka.

Bezanya, apa yang berlaku di Perak dengan filem terbabit adalah dalam filem itu, 2 pelakon utamanya hanya menerima arahan daripada 1 orang pengarah sahaja.

Sedangkan di Perak, 2 pelakon utama tersebut di arah oleh 2 pengarah yang berlainan.

Penyelesaiannya (mudah lah berkata-kata)?

Justeru, mudah kata (memang mudah berkata-kata) untuk menyelesaikan kemelut ini, bukan 2 pelakon tersebut yang terlebih dahulu perlu berbaik-baik, tetapi 2 orang PENGARAH tersebutlah yang wajar mengambil langkah ke arah 'to be the bigger man' - duduk berbincang dan mencari penyelesaian.

Jika tidak, tidaklah perlu kita hairan jika selepas ini 2 sidang DUN bukan hanya akan terus dibuat di luar Bangunan Darul Ridzuan, bawah pokok, di hotel, malah di tempat-tempat yang kita sendiri tidak pernah terfikir untuk melihatnya dibuat.

Juga jangan kita lupa bahawa pihak Istana juga mempunyai peranan untuk menjernihkan keadaan caca-merba ini dan seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat Perak keseluruhannya terhadap Istana dan Duli Sultan Perak.

Amatlah malang jika suatu ketika nanti kita lihat Istana Perak pula mengalami nasib yang sama dengan Istana Terengganu (kami nak Idris ******) semasa krisis pelantikan MB Terengganu yang lepas.


Sekian dimaklumkan.

No comments: