Monday 7 September 2009

RM8.9juta untuk Manek Urai - boleh pun

Lulus peruntukan

Saya kira ini adalah berita yang begitu menggembirakan buat rakyat di Manek Urai apabila kerajaan hari ini bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM8.9 juta bagi pembangunan fizikal, sebagaimana dinyatakan dalam kempen piliharaya BN yang lalu (sumber).

Foto hiasan

Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM8 juta bakal dibelanjakan bagi pembinaan jambatan baru (dua hala) yang sebelum ini keperluannya kepada penduduk adalah begitu mendesak.

Baki sebanyak RM600 ribu bakal dibelanjakan untuk pembaikan Masjid Temalir dan RM300 ribu adalah bagi pembinaan kemudahan sukan di Kampung Manjor.

Boleh pun

Nampaknya tiada yang mustahil untuk kerajaan meluluskan sebarang peruntukan bagi pembangunan yang mendesak buat rakyat.

Mudah-mudahan Manek Urai ini bukanlah kes yang pertama dan terakhir yang menerima peruntukan dan perhatian sebegini, biarpun pada PRK terbabit ia dimenangi parti lawan.

Langkah sebegini boleh dianggap tindakan 'pemulihan imej' terhadap 'kerosakan' yang telah dibuat menjelang PRK yang lalu, di mana timbulnya gesaan oleh TP UMNO sendiri bahawa 'undi BN dapat jambatan' - para pembaca dapat tengok posting saya sebelum ini (Youtube).

Foto hiasan

Dan kini, 'tak undi BN pun dapat jambatan', Alhamdulillah.

Mungkin saya tidak begitu memahami keperluan masyarakat setempat di sana. Hanya merekalah saja yang lebih faham dan mengetahui akan begitu mendesaknya keperluan untuk sebuah jambatan baru, pembaikan bangunan Masjid dan pembinaan kemudahan sukan.

Harapnya pengumuman yang sama juga turut dibuat terhadap banyak lagi daerah-daerah luar bandar yang miskin dan masih ketinggalan dari segi penyediaan prasarana fizikal, dan yang memerlukan pembelaan segera.

Perlaksanaan projek

Meluluskan peruntukan telahpun selesai dan ianya telah diwar-warkan (semua orang maklum dan semua orang perlu rasa lega - daripada tidak dapat apa-apa langsung).

Tinggal kini usaha ke arah kerja-kerja perancangan, penyediaan pelan dan urusan melantik kontraktor yang berkaitan.

Peringkat ini sebagaimana lazimnya kita ketahui seringkali membuka peluang bagi berlakunya 'ketirisan' dalam projek (tiris = bocor).

Ini bukan perkara asing, malah PM sendiri sering bercakap tentang aspek 'ketirisan' ini dan bagaimana telah banyak wang cukai rakyat ini mengalir keluar daripada saku perbendaharaan kerajaan, sedangkan kesannya (impak) yang diharapkan tidak begitu signifikan.

Biarpun telah dibentuk jawatankuasa tertentu bertujuan mengawaselia perjalanan sesuatu projek yang diluluskan, perlu diakui ia belum menunjukkan pencapaian sebagaimana yang diharapkan.

Sebagai rakyat yang prihatin, kita semestinya tidak sanggup melihat bagaimana wang rakyat yang kecil jumlahnya ini (RM8.9 juta) terdedah kepada ketirisan serta perbelanjaan yang tidak sepatutnya.

Ini kerana jika projek mega seperti PKFZ (Pelabuhan Klang Free Zone) yang diselia pelbagai pihak (secara profesional?) itu juga mengalami masalah ketirisan 'yang begitu serius', apatah lagi dengan projek anak ikan sebegini.

Sekat rasuah, sekat ketirisan

Mungkin apa yang saya tulis ini hanya 'ibarat mencurah air ke daun keladi'. You must be joking to eradicate corruption.

Bagi orang yang lama berkecimpung dalam industri pembinaan dan pengurusan projek, amalan sogok-menyogok ini bukanlah sesuatu yang pelik dan asing.

Foto hiasan

Malah, untuk menyatakan masalah ini hanya berlaku di Malaysia sahaja pun tidak adil, kerana ianya berlaku di mana-mana di dunia ini. Bezanya sama ada ia dapat dikesan atau 'pandai makan, pandai simpan'.

Tidak keterlaluan jika dikatakan rasuah (atau apa jua istilah lain yang digunapakai - wang pelincir, duit bawah meja, duit kopi, etc) telah lama diamalkan dan berakar umbi dalam masyarakat kita hari ini.

Masing-masing mengemukakan rasional mengapa mereka 'menyedekahkan' RM50 kepada polis trafik bagi mengelak daripada disaman RM200.

Juga bagaimana pemaju memberi duit kopi kepada kerani di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mempercepatkan proses masuk mesyuarat majlis bagi permohonan projeknya, etc.

Untuk menyekat ketirisan, terlebih dahulu amalan rasuah dan proses-proses tertentu yang membuka ruang untuk amalan rasuah perlulah diperbaiki.

Pemain-pemain utama (major players) dalam 'rantaian projek' tidak kira sama ada pihak yang mengemukakan permohonan, mahupun pihak yang meluluskan permohonan perlu diawasi.

Manakala, peranan masyarakat dan badan-badan bebas juga perlu diaktifkan sebagai pemantau bebas, yang boleh melaporkan jika dirasakan wujud keraguan dalam perlaksanaan sesuatu projek.

Kita juga yang salah

Ini lari sikit dari tajuk perbincangan, tetapi ada releven untuk dihuraikan.

Sewaktu mendengar ceramah oleh Ustaz Azhar, beliau mengupas berkenaan bagaimana sewaktu Nabi SAW dalam ceramah beliau telah ditanya oleh seorang Badwi mengenai kedatangan kiamat.

Baginda Rasul SAW menegaskan akan datang kiamat itu ialah 'apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang/pemimpin yang bukan ahli (pandai dalam hal itu)'.

Ibarat kata Ustaz lagi, ia ibarat kita melantik seorang pemain golf sebagai presiden kelab badminton (orang yang bukan bidang dia pakar/tahu).

Demikian jugalah dalam hal perlantikan seseorang pemimpin. Banyak sudah contoh di depan mata kita bagaimana orang bukan ahli mengulas hal yang bukan kepandaiannya. Maka, bercelarulah masyarakat.

Namun, adakah ini salah pemimpin semata? Tidak juga.

Siapa yang pilih pemimpin-pemimpin yang semacam itu?

Kita juga (dan anda para pengundi).

Betul juga.

Makanya, segala hal ini terjadi bermula daripada 1 undi yang setiap kita sumbangkan.

Daripada pemimpin yang kita pilih ini, mereka kemudiannya akan melantik orang-orang lain untuk menduduki kerusi pentadbiran bermula di peringkat tinggi (nasional, negeri, wilayah, daerah, PBT) hinggalah ke peringkat kampung.

Fenomena ini bukan dirasai kerajaan BN sahaja, kerajaan PR pun turut tidak terkecuali.

Lihat dulu

Diharap dengan langkah yang diumumkan kerajaan ini akan benar-benar membawa perubahan (jika tidak banyak, sedikit pun jadilah).

Memandangkan hal ini masih di peringkat awal, adalah wajar semua pihak bersangka baik dan lihat dulu bagaimana ianya bakal dilaksanakan.

Ini kerana sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat dan 'merasa' bagaimana 'wang rakyat' disalurkan untuk membangunkan daerah-daerah yang memerlukan.

Berburuk sangka tidak akan membawa kita ke mana-mana, jauh lagi untuk membantu menyelesaikan masalah.

Saya hanya mengharapkan yang terbaik daripada pengumumkan kerajaan ini dan moga bagi tahun-tahun mendatang bukan sahaja Manek Urai yang menerima berita gembira sebegini, malah daerah-daerah yang mundur lain akan turut dibantu melalui penyaluran projek secara langsung sebegini (tanpa perlu menunggu pengumuman Bajet, Rancangan Malaysia, etc).

Pengumuman oleh PM juga secara tidak langsung boleh dijadikan iktibar oleh pimpinan UMNO yang lain bahawa 'undi BN dapat jambatan/pembangunan' telah tidak lagi releven dalam abad ke-21 ini (tahun 1960an mungkin orang boleh termakan).

Sekian.

No comments: