Wednesday, 30 September 2009

Pendapat: Meletakkan keutamaan

Termenung sejenak saya setelah mendengar kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar, menyentuh perkara berkaitan meletakkan keutamaan sesuatu perkara dalam kehidupan.

Setelah itu, saya duduk bersembang pula dengan orang rumah. Cakap-cakap beliau pada saya berkenaan 'pilih yang utama' membuatkan saya berfikir lebih dalam.

Keindahan Islam memang tiada tolok bandingnya. Islam sebagai cara hidup telah mengajar dan memandu kita untuk mengenal dosa-pahala, baik-buruk, hak-bathil, halal-haram dan keutamaan.

Saya tidak arif untuk mengulas kesemua itu dari konteks agama kerana ia bukanlah kepandaian saya. Namun, menggunakan contoh hasil pemerhatian sehari-hari dan pengalaman hidup, menimbulkan keinsafan di hati bagaimana untuk meletakkan keutamaan di dalam suatu aspek kehidupan.

Lupa dan alpa

Kesenangan, atau kesusahan hidup seringkali menjadikan kita alpa dan terlupa akan keutamaan. Sewaktu tinggal di JB dahulu saya sering melihat bagaimana 'orang kita' yang sanggup mengutamakan kereta mewah, daripada mendapatkan ruang dan suasana hidup di rumah yang lebih selesa.

Kerapkali melihat bagaimana mereka ini sanggup membawa anak-anak menghuni kawasan setinggan, sedangkan penghuninya memandu kereta Proton Perdana.

Apakah keperluan berkereta mewah itu lebih utama dari keperluan menyediakan ruang rumah yang selesa dan selamat kepada anak-anak semasa proses pembesaran mereka?

Ramai orang kita begitu berkira (salah buat kira-kira) dan akhirnya salah meletakkan keutamaan.

Begitu jugalah ramai mungkin yang berhabis wang ringgit menghias rumah dan menukar perabot untuk berhari raya, sedangkan tabungan untuk persekolahan anak-anak perlu 'dikorbankan' seketika.

Malah, tidak salah jika saya katakan orang-orang bujang yang kerja makan gaji juga masih belum faham 'konsep menabung', biarpun bukan semua.

Ramai kita mengamalkan konsep - baki duit gaji selepas ditolak segala hutang, bil dan lain-lain perbelanjaan, maka baki itulah yang menjadi simpanan.

Sedangkan apa yang sepatutnya dibuat adalah menetapkan jumlah simpanan tetap setiap bulan, dan baki gaji selepas ditolak simpanan tetap itulah digunakan untuk berbelanja secara berhemat.

Ianya kerana, jika bulan tersebut terlalu banyak berbelanja, bisa sahaja tiada wang pun yang masuk ke akaun simpanan.

Justeru, fahamilah apa keutamaan kita - menyimpan dahulu, atau menyimpan kemudian (jika masih berbaki).

Menegur

Di dalam kuliahnya, Ustaz Azhar menegur sikap sesetengah jemaah yang setiap kali mendengar kuliah akan membimbit kitab, tetapi bab bersedekah (derma) kepada tabung masjid, liat sekali.

Bab liat (berkira) menderma juga sering dikaitkan dengan orang kita.

Ke masjid hanya untuk bersolat Jumaat, tetapi 'segan' untuk mengeluarkan RM1 sebagai derma, biarpun kiri dan kanan kerja yang dia buat. Adalah bagi 20 sen.

Sedangkan rezeki itu (kerja yang dia dapat) datangnya dari kurniaan Allah Taala.

Tapi kalau bab ber'shopping' bukan main lagi. Semua nak beli yang berjenama dan mahal-mahal. Tetapi untuk memakmurkan (dan membiayai aktiviti keagamaan) di Rumah Allah? Masya-Allah.

Pesanan buat diri

Saya sering juga alpa, kadang-kala apabila melihat rakan-rakan yang keluar melancong ke serata Eropah, rasa seronok juga.

"Inilah peluang nak melancong, sebab kalau dari Malaysia, takkan mampu kita". Betul juga.

Namun, tidak ramai yang nampak keutamaan untuk 'melencong' dahulu ke tanah suci Mekah, bagi menunaikan Umrah (jika tidak Haji). Bukankah murah juga jika bertolak dari UK ini?

Dr Sepet: Posting ini adalah untuk renungan saya, para pembaca usahlah terasa hati kerana bukanlah niat saya untuk mengata sesiapa, kecuali merenung kealpaan diri sendiri.

Tuesday, 29 September 2009

Bagan Pinang: Pemulihan sukar bagi UMNO

Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat bertanding dan selamat maju jaya buat Tan Sri Isa Abd Samad, calon BN-UMNO yang bakal berentap bagi mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang, 11/10/09 nanti.

Sumber: Berita harian online

Nampaknya Isa telah berjaya melepasi satu lagi 'hurdle' (halangan) di dalam perjalanannya untuk kembali bergelar wakil rakyat - halangan untuk dicalonkan.

Kini Isa boleh dilihat sebagai sedang meneruskan larian untuk melepasi 'hurdle' terakhir iaitu menjadi pemenang di dalam PRK ini.

Baru bermula

Sebetulnya, perjalanan Isa baru sahaja bermula. Sebelum ini ianya dilihat sebagai penuh ketidaktentuan dengan peluang beliau terpilih begitu diselimuti pelbagai spekulasi negatif, yang nyata tidak begitu berpihak kepadanya.

Malah, sehingga beberapa hari yang lalupun, penentang utama beliau, Tun M masih dilihat belum berputus asa dengan terus mengasak hingga ke saat akhir bagi 'menutup' peluang Isa diangkat menjadi calon.

Justeru, fasa berkempen yang kini mula disusun Isa dan orang-orangnya pasti akan lebih mencabar.

Ini kerana, tentangan dan bangkangan dilihat tambah sulit kerana ia bukan sahaja datang dari rakan dalam PR, tetapi dari 'dalam' UMNO sendiri.

Kumpulan Isa pastinya akan mengerah sepenuhnya keringat yang ada bagi menjustifikasikan pencalonan Isa, yang telah disabitkan bersalah oleh partinya berhubung amalan rasuah empat tahun yang sudah.

Belum mampu dipulih

Disebalik ulasan ringkas oleh Timb. Presiden UMNO, T.S. Muhyiddin bahawasanya pemilihan Isa adalah sebagai memenuhi aspirasi 1Malaysia ciptaan PM iaitu 'pilihan rakyat didahulukan', banyak hati yang masih sangsi dengan keputusan yang dibuat.

Tun M pastinya antara individu tersebut.

Sebagaimana ulasan beliau (Tun) sebelum ini, keputusan hari ini bagaikan 'mengesahkan' keresahan beliau bahawasanya UMNO masih 'ketandusan' pemimpin yang bersih (daripada tindakan disiplin oleh parti) untuk diketengahkan sebagai calon di dalam menghadapi sesuatu pilihan raya.

Keputusan ini juga menunjukkan proses memulihkan imej UMNO bukanlah semudah yang dicanang dan bukan semua ahlinya bersetuju untuk bersama-sama (dan berminat) bagi memulihkan imej UMNO di mata rakyat terbanyak.

Rumit

Adalah perlu diakui akan jasa dan pengorbanan Isa terhadap UMNO dan orang Melayu. Namun apakah situasi ini bakal memulihkan kembali UMNO setelah kebanyakan siri PRK sebelum ini nyata tidak berpihak kepada mereka?

Apakah akan terjadinya konfrantasi berpanjangan di antara Isa dan Tun M? Dan adakah ianya (pertembungan dalaman ini) baik untuk parti dalam jangka masa panjang?

Tentu sekali tidak.

Inilah 'imbangan untung-rugi' yang bakal ditanggung UMNO selepas ini. Ironinya, situasi dalam UMNO ini ibarat meneruskan slot yang sedang dilalui MCA dan MIC.

Kemenangan (bakal) Isa di Bagan Pinang akan dilihat dari satu sudut sebagai suntikan semangat dan motivasi buat ahli BN dan sebagai petunjuk pemulihan sokongan rakyat setempat kepada calon BN.

Namun, tidak dapat disangkal juga dari sudut yang lain, ianya menunjukkan sikap dan penerimaan rakyat setempat dan pimpinan parti terhadap calon yang bermasalah (disiplin) untuk memimpin mereka masih belum dapat diubah, dan ini dianggap mencemarkan imej UMNO dan BN.

Perihal kain

Perkembangan ini pastinya turut diikuti rapat oleh rakan seangkatan UMNO dalam BN terutama MIC dan MCA yang kerapkali juga pergolakan dalaman parti mereka menerima 'teguran' oleh para pemimpin UMNO.

Dan kini ibarat 'memulangkan buah keras', pemimpin UMNO sendiri nampaknya harus lebih berhati-hati untuk 'menegur kain orang lain, jika kain sendiri pun tidak dikilas dengan betul'.

Sebab bila kain sendiri yang dah nak terlodeh tu, susahlah untuk menegur kain orang lain - pakat-pakat jaga kain sendiri sudahlah.

Saya secara logik turut berkongsi kebimbangan Tun akibat yang bakal ditempuh UMNO dengan percalonan Isa ini.

Mungkin soal sokongan penduduk tidak menjadi masalah kepada BN, ditambah pula undi Pos tentera yang berjumlah 5000 itu kelak, yang menungkinkan kemenangan Isa dan BN.

Tetapi bagaimana pula orang 'di luar' Bagan Pinang melihat imej UMNO-BN selepas ini, terutama golongan muda yang berpendidikan dan profesional Melayu?

Ramai mereka mengharapkan 'angin perubahan' akan benar-benar bertiup untuk menyegarkan dan mengusir keluar 'udara kotor' yang menyeliputi parti utama Orang Melayu ini.

Namun akhirnya, bukan sahaja udara kotor itu belum dapat dibersihkan, malah angin perubahan yang diwar-warkan pula hanyalah sekadar 'angin sepoi-sepoi bahasa' sahaja (bukan angin dalam kain ye).

- berubahlah sebelum diubah -

Monday, 28 September 2009

Basikal masa depan






Sumber: pada setiap foto

Saturday, 26 September 2009

1Malaysia: sokonglah jenama 'kita'

Tidaklah saya ketahui sejauh mana jenama 'Setarbak Kopi' ini dikenali khalayak ramai. Tetapi nampak lucu dan kelakar jugalah.

Ingatkan 'Siam' saja yang gemar tiru jenama dan produk terkemuka antarabangsa seperti cdidas atau abibas, atau Pumma, atau Rolax, etc.

"Setarbak Kopi" - cuma tak nampak di mana logonya?

Thursday, 24 September 2009

Harakah - 'blog kedua' Tun M?

Sekadar berkongsi padangan dengan rakan bloggers yang lain.

Blog ke-2 kah?

Saya sering mengikuti perkembangan tanah air (geopolitik, ekonomi, seni dan sosial) menerusi pelbagai sumber berita, baik arus perdana dan juga alternatif dari media 'lidah rasmi' PR.

Ini kerana saya tidak ingin menjadi 'pengikut Dajjal' yang 'bermata satu' iaitu dengan hanya melihat dari satu mata (satu perspektif) dan menutup yang satu lagi (yang mungkin juga ada membawa khabar kebenaran).

Namun, kebelakangan ini saya perhatikan wujudnya kecenderungan terutama di Harakahdaily.net yang banyak 'melapor' pernyataan yang dibuat oleh mantan PM dan juga ahli UMNO, Tun M.

Seolah-olahnya Harakah kini menjadi 'blog ke-2' yang aktif melaporkan buah fikiran Tun M, selain blog peribadi Tun sendiri.

Hinggakan saya tidak perlu lagi menjengah blog Tun untuk mengikuti lontaran terbaru idea and pendapat beliau, cukup dengan melayari 'blog ke-2' ini.

Saya secara peribadi meminati lontaran pendapat oleh Tun dalam pelbagai perkara, yang saya rasa ianya jujur, keras kena batang hidung pihak yang ditujunya dan terkesan di minda para pembaca.

Begitupun, mengapakah 'lidah rasmi' PAS ini semakin begitu ghairah melapor (daripada menjalankan analisa sedikit) terhadap ulasan Tun?

Niat Tun adalah untuk memulihkan kembali UMNO, dan alhamdulillah laporan-laporan seimbang oleh Harakah sendiri banyak membantu ke arah (pemulihan) itu.

Laporan oleh Harakah saya jangka lebih gemar dibaca oleh orang-orang yang ingin melihat berita daripada pelbagai perspektif, dan dengan sumber yang seimbang itu, mereka dapat menilai sesuatu peristiwa yang sedang mengambil tempat.

Mungkin saja laporan berkenaan isu calon BN bagi DUN Bagan Pinang tidak begitu diulas oleh media pro-kerajaan, tetapi media pro-PR banyak bercakap mengenainya.

Kredit

Sebaran berita oleh Harakah ini saya lihat telah memberikan kredit kepada 'ahli UMNO yang baik' untuk bersuara dan menyebarkan pengaruh mereka kepada pembaca Harakah yang menyokong PR.

Tidak salah. Setiap yang membaca pastinya pandai menilai dan rasional membuat perkiraan masing-masing.

Saya cuma mengharapkan agar mereka di meja pengarang Harakah tidak hanya 'melapor' dengan menceduk sahaja ulasan oleh Tun (sebab Tun sendiri banyak menganalisa), sebaliknya laporlah ia dalam bentuk analisa yang disokong dengan pernyataan Tun dan lain-lainnya.

Bagan Pinang

Menyentuh sedikit tentang 'ketidaktentuan calon' BN bagi DUN Bagan Pinang ini saya sifatkan masih wujud 'ribut dalam cawan' di kalangan pimpinan UMNO.

Dari satu sudut yang lain pula, saya perhatikan tidak banyak orang yang tahu dan menganalisa perihal geopolitik dan sosio-budaya masyarakat tempatan.

Apakah isu-isu nasional (skandal PKFZ, isu Perak, rasuah, etc) ini berkesan mempengaruhi mood para pengundi setempat?

Bagaimanakah pula resam orang Negeri Sembilan (Orang Minang, mungkin) dalam berpolitik?

Kedua-dua pihak boleh mengulas macam-macam dengan masing-masing berusaha menggunakan pelbagai faktor bagi menjustifikasikan 'kemenangan awal' mereka (BN bakal meneruskan kemenangan atau PR mampu talkinkan BN di Bagan Pinang, etc).

Namun, akhirnya kuasa penentu adalah di tangan pengundi tempatan itu sendiri.

Saya juga ingin melihat 'setegar' manakah UMNO Teluk Kemang dan Bagan Pinang menahan asakan berterusan dari Tun M, yang sehingga kini PM dan TPM (Preseiden dan TP UMNO) masih membisu terhadap isu ini.

Dan juga, dapatkan peluang Isa Samad dapat 'diselamatkan' oleh pemimpin UMNO hinggalah selesai hari penamaan calon kelak.

Ini kerana, Tun M bukan sahaja dapat menjual dengan begitu laku (laris) idea dan pandangan beliau di blog peribadi, akhbar pro-BN, malah Harakah sendiri nampaknya banyak membantu sebagai 'blog ke-2' dan wakil aktif PR dalam kempen memulihkan UMNO melalui 'orang-orang baik dalam UMNO' ini.

Wama-'alaina-illalbalaru'l-mubin.

Bersantap bersama Pro-Cansellor

Petang tadi orang rumah menerima satu panggilan telefon (nombor Malaysia). Diangkatnya dan pemanggil tersebut pula ingin bercakap dengan saya, yang ketika itu sedang memandu.

Katanya beliau adalah Prof Rose Alinda, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), UTM. Beliau meminta kami ke Randolph Hotel, Oxford memandangkan Y.M Raja Zarith Sofia, (Z.S) Pro-Cansellor UTM ingin bertemu dengan 'orang-orang dia' yang berada di bumi Oxford ini.

Jam 5.00 petang tadi, kami bertiga (seorang telah pulang katanya) bergegas ke Randolph dan terus check-in ke kamar 0xx dan mengadakan pertemuan 4 mata dengan YM Raja Z.S.

Borak-borak dan bertanya khabar. Dan fokus perbincangan seterusnya ialah mencari tempat makan yang 'menepati selera' ala-ala Asia, a.k.a masakan Melayu di Oxford.

Berjela jugalah saya lihat senarai kedai-kedai makan yang dicetak di atas kertas. Ada beberapa kedai telah kami sendiri mencuba makan sebelum ini.

Sayangnya, tiada pula tertulis 'First Floor' - mungkin ia terletak di luar bandar Oxford (Cowley Road).

Nak dijadikan cerita pula, tengah hari tadi, kami berdua telah puas 'bersantap' 2 pinggan nasi seorang di sana dan secara tak sengaja saya terambil broucher kedai makan itu.

Lalu kami ajukan kepada YM Raja Z.S dan berjaya meyakinkan beliau untuk mencuba masakan di restoran itu (makan malam).

Tempahan pantas dibuat dan baru sebentar tadi kami buat kesekian kalinya 'bersantap' lagi 2 pinggan di restoran yang sama.

Rezeki jangan ditolak, lemak boleh dibakar...hoho. Beberapa foto sempat kami rakamkan dengan izin Raja Z.S untuk dikongsikan para pembaca blog ini.

Dua kali dalam sehari - belum pernah dibuat orang jang!

Sementara menunggu rombongan kerabat DiRaja tiba, Mawaddah sempat mamah tangan ibunya.

Muka orang penat - bersilat & berkuntau dengan penyelia tadi pagi.

Ketibaan dif kehormat..

Mawaddah cuba digoda YM Raja Z.S

Memang janggal, makan bersama Pro-Cansellor.

Pakcik pun tumpang dua kaki, lepas itu paksa Zul masuk sekali.

Alhamdulillah, semua dif jemputan berpuas hati dengan makanan di First Floor, begitu juga kami (sebab dah orang belanja).

Apapun, kami anggap ini sebagai rezeki berada di tempat orang di mana apabila ada yang bertandang, akan cuba dilayan dan dikenalpasti keperluan mereka.

Nak harap dapat 'bersantap' dan bersembang secara 'in-person' sebegini di tanah air? Hahaha...siapalah kami...

Sekian.

Aldilfitri 2009

Huuuuuuuuhuhuuuuuuuuuuuu.........

'indahnya sungguh di hari raya'
'ramainya orang bersuka ria'

Huuuuuuuuhuhuuuuuuuuuuuu.........

Aku dok buat kira-kira, ade 8 orang je anak yang kat dalam gambar tu! Mane lagi sorang?.........Aku lah yang sorang terhilang bersama+2 (menantu & cucu) yang tidak dapat pulang beraya tahun ini.............

Selamat semua!

Tuesday, 22 September 2009

Penswastaan Liga Malaysia: Suatu pelaburan yang berbaloi?

Bernama hari ini melaporkan adanya kemungkinan Liga Malaysia diswastakan menjelang 2011 berikutan wujudnya pelbagai masalah di dalam penganjurannya ketika ini dan musim hadapan (2010) (sumber).

Biarpun ianya masih di peringkat awal atau 'ura-ura', namun sebarang kemungkinan dan berita ke arah penswastaan tidak boleh diremehkan.

Apa sudah jadi?

Nampaknya, semakin lama semakin bercelaru pengurusan dan pentadbiran Liga Malaysia. Masalah kewangan - untuk lunaskan gaji pemain dan pengawai, penurunan kualiti permainan dan kemerosotan sambutan peminat ke studium, saya anggap bukanlah isu 'tahun ini'.

Ianya isu lapuk berpuluh tahun yang sudah, yang sepatutnya pihak-pihak yang terlibat telah dapat membaca risikonya dan melaksanakan langkah penyelesaian tertentu.

Adalah sayang di sebalik kecanggihan fasiliti dan geopolitik negara yang aman, kita masih 'boleh bungkus' dengan lawan serantau seperti Mynmar dan Vietnam yang nyata jauh terkebelakang dari kita.

Disebabkan liga tempatan yang kurang berkualiti seperti yang sedang dialami inilah, barisan pemain kebangsaan sering beraksi di bawah keupayaan sebenar.

Harimau Malaya kini sudah hilang gerunnya di mata lawan serantau.

Berbaloikah?

Dan terbaru, untuk menyelesaikan kemelut yang begitu lama gagal ditangani, pengurusan Liga Malaysia (sebagaimana pelbagai sektor yang lain juga) berminat mencadangkan penglibatan langsung pemodal luar a.k.a swasta dapat dilihat sebagai 'penyelamat' kepada pasukan-pasukan liga.

Begitupun persoalannya: berbaloikah bagi swasta melabur dengan 'membeli' pasukan Liga Malaysia?

Boleh buat duit dan kaut untung-kah mereka ini?

Bilakah pula pihak swasta yang 'berniaga' tidak begitu berkira di dalam hal untung-rugi pelaburannya?

Bukan saya tidak bersetuju, cuma logik mudah yang terlintas; jika swasta ini betul-betul nak buat untung dan pasarkan jenamanya hingga ke peringkat global, mengapa tidak beli saja Kelab Newcastle di UK tempoh hari?

Tekanan

Tidak dapat disangkal lagi Malaysia memiliki pelbagai konglomerat atau syarikat multinasional yang 'berpoket tebal' seperti Petronas, TM, Tenaga Nasional, Air Asia, MAS, Genting, etc.

Namun, sesetengah syarikat ini juga dilihat mengalami tekanan atau bebanan setelah 'menaja' pelbagai acara sukan.

(banyak tajaan mereka adalah kepada sukan luar negara atau impak tinggi seperti EPL, F1)

Justeru, untuk memastikan setiap pelaburan itu 'balik modal' (jika tidak untung pun), penelitian rapi semestinya telah dibuat.

Menyelamatkan Liga Malaysia melalui penswastaan bukan sahaja untuk memastikan 'bola terus hidup' tetapi juga memastikan pemodal tidak rugi.

Justeru, apa asasnya Liga Malaysia mampu menerima pelaburan swasta?

1- Adakah Liga Malaysia menunjukkan 'rekod dan prestasi' yang cemerlang untuk meyakinkan para pelabur? - susah orang nak taja dan melabur jika risikonya terlalu tinggi.

2- Adakah dalam usaha untuk menarik minat orang datang ke studium, harga tiket akan distruktur semula (naik atau turun harga?)

3- Apakah pemodal akan 'berkongsi kuasa' dan mempunyai kata putus dalam hal berkaitan bola dengan agensi kerajaan negeri dan pusat, melalui Kementerian Belia dan Sukan di masa hadapan?

Banyak faktor

Kita telah menyaksikan bagaimana pelbagai sektor ekonomi negara telah diswastakan dengan alasan untuk meningkatkan kualiti, keberkesanan dan memberi khidmat lebih baik kepada pengguna.

Antaranya, lebuh raya (bertol - yang naik dan tak pernah turun), pengangkutan awam (LRT yang sering tergendala menyebabkan ramai lewat datang kerja), telekomunikasi (capaian internet tidak laju juga), tenaga dan sebagainya.

Ada yang berjaya, tetapi banyak juga yang perlu diperbaiki (dan ditukar).

Untuk menyamakan Liga Malaysia dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah ibarat 'membandingkan epal dengan oren'. Masakan sama.

Perlu diakui kita terlalu jauh ke arah itu. Sedangkan untuk bernafas di peringkat Asia pun masih semput. Ini kenyataan.

Selain reputasi, fanatik orang kita terhadap bola sepak juga tidak sama sebagaimana di UK, Sepanyol, Itali, Brazil dan Argentina.

Apapun, penswastaan adalah option (pilihan) yang agak releven buat masa ini, jika ingin memastikan 'sesetengah' permasalahan lapuk dalam urustadbir Liga Malaysia dapat diatasi menjelang 2011, sebagaimana diharapkan.

Bola oh bola...

Sunday, 20 September 2009

Budaya ilmu: Galakkan program kuiz

Posting kali ini saya khususkan untuk mengajak para pembaca di luar sana agar bersama kita membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian. Galakan ini bukan sahaja buat diri sendiri, malah kepada anak-anak, saudara-mara, rakan taulan dan pelajar-pelajar kita.

Kuiz

Mungkin topik berkaitan kuiz ini bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Dahulu lagi kita telah menyaksikan populariti rancangan 'Popkuiz' kendalian Aznil di kaca TV rumah kita.

Dan terdapat beberapa lagi rancangan kuiz - Apa kata survey (Chef Wan), More Jutaria, Jutawan (Jalaludin Hassan), Roda Impian (Halim Othman), etc.

Bagitupun, kebelakangan ini nampaknya budaya berkuiz mulai berkurangan, malah banyak slot tersebut digantikan dengan rancangan hiburan dan realiti TV.

Sedangkan di negara maju seperti UK, rancangan berbentuk kuiz ini 'tidak pernah putus' daripada ditayangkan di kaca TV.

Selesai satu rancangan, rancangan baru pula akan mengambil tempat.

Tidak sebagaimana di tanah air, banyak kuiz (jika tidak semua) tidak berunsurkan hiburan dan artis semata, banyak berbentuk ilmiah dan menggalakkan peserta dan penontonya berfikir dan akhirnya menambah ilmu pengetahuan mereka.

Hidangan dan santapan minda sebegini pada saya, amatlah perlu diangkat sebagai salah satu keutamaan (priority) oleh stesen-stesen penyiaran di Malaysia.

Bukan sahaja dapat menarik segmen pasaran yang baru, malah menjayakan peranan sebenar media iaitu medium pendidikan kepada rakyat.

Contoh di UK

Berikut saya lampirkan beberapa contoh rancangan kuiz yang disiarkan di TV di UK (BBC dan lain-lain saluran), yang mana ianya bermaklumat dan mungkin Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Penerangan - jangan asyik sibuk dengan propaganda politik sahaja serta lain-lain agensi yang terlibat, untuk mengambil iktibar dan belajar daripadanya.

1) University Challenge (UC)

Disiarkan setiap minggu, setiap episod menampilkan pertembungan mahasiswa dari 2 universiti. Soalan kuiz meliputi pelbagai topik/bidang baik sains dan matematik, fizik, sosial sains, seni, teknologi, dan sebagainya.

Penilaian saya: Adalah amat wajar kepada KPT Malaysia untuk mewujudkan satu liga kuiz universiti mengikut format ini, dengan topik dan soalan adalah berpandukan silabus tempatan (IPTA).

Kita boleh menilai sejauh mana kompetitifnya dan berilmunya mahasiswa kita dan keberkesanan sistem pembelajaran di universiti tempatan selama ini.

2) Noel - Are you smarter than a 10 year old?

Rancangan kuiz ini menguji kefahaman dan daya ingatan peserta dewasa terhadap apa yang telah beliau pelajari sewaktu sekolah rendah. Rancangan ini formatnya mudah iaitu peserta boleh memilih mana-mana 'budak kecik' dalam kelas Noel untuk membantu beliau - dengan pilihan tertentu.

Topik yang ditanya adalah subjek murid umur 7 tahun hingga 10 tahun sahaja!

Namun, jika di akhir peserta gagal menjawab semua topik dan kemudiannya tarik diri atau tewas dan pulang tanpa mendapat apa-apa (take away with nothing), dia perlu mengadap kamera dan mengungkapkan baris yang begitu memalukan iaitu "I'm ...name...and I'm definitely not smarter than a 10 year old!

Penilaian saya: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) wajar meneliti dan mewujudkan kuiz bercorak sebegini untuk menilai dan mendapat maklum balas sama ada apa yang dipelajari semasa sekolah rendah dapat difahami dan diingati oleh golongan belia/dewasa di Malaysia.

3) Pointless

Rancangan ini masih baru tetapi amat menarik ditonton kerana ia membawa kelainan. Lazimnya kuiz memerlukan peserta memberikan jawapan terbaik dan sesiapa yang mendapat markah tertinggi akan menjadi pemenang.

Namun di dalam Pointless, peserta berlumba-lumba untuk 'mendapat skor/markah terendah' untuk menang. Kuiz ini melakukan survei kepada 100 orang terhadap sesuatu topik. Jawapan paling popular oleh responden 'di luar sana' hendaklah dielak daripada diberi oleh para peserta 'di dalam studio'.

Setiap jawapan yang betul oleh peserta, tetapi ianya tiada dalam senarai jawapan popular 100 orang yang disurvei akan dikira sebagai Pointless dan diberi markah '0'. Setiap jawapan yang salah akan mendapat maksimum 100 markah (harapan cerah untuk tersingkir awal).

Penilaian saya: Format yang berlawanan dengan 'apa kata survei'. Kami berdua juga turut cuba menjawab soalan-soalan yang dikeluarkan dan ada ketikanya mendapat 'pointless answer'. LOLZ!

4) Eggheads

Rancangan kuiz yang menampilkan pasukan eggheads iaitu gabungan peserta dan juara kuiz di UK. Mereka ber-6 (Barry tiada dalam foto) adalah peserta kuiz terhebat di UK ketika ini.

Setiap episod, eggheads akan berdepan pencabar (challenger) 1 kumpulan 5 orang. Pencabar kemudiannya diberikan topik dan akan memilih lawannya sesiapa sahaja dari eggheads. Kedua mereka akan masuk ke dalam bilik dan manjawab soalan.

4 peserta akan bertarung secara 1:1. Akhirnya setiap yang menang akan bersama 1 orang lagi di final untuk episod tersebut. Setiap episod menawarkan wang GBP1000 dan sehingga bulan lepas eggheads berjaya mengekalkan reputasi 'tanpa kalah' hingga GBP76,000 sebelum tewas - untung pasukan yang tewaskan mereka. Kini mereka kembali dengan ganjaran terkumpul yang baru.

Penilaian saya: para peserta rata-rata adalah orang awam yang mungkin pesara, kakitangan kerajaan, swasta, guru sekolah dan sesiapa jua. Jika kita mampu menerapkan kuiz bercorak sebegini, saya yakin ramai orang awam di Malaysia yang berminat menyertainya. Kementerian Penerangan boleh memasukkan elemen sejarah negara, kebudayaan dan sebagainya sebagai topik kuiz.

Jangan terkejut

Sebenarnya terdapat banyak lagi rancangan kuiz yang menarik dan interaktif, selain membantu orang awam dan profesional menambahkan ilmu pengetahuan (mastermind, the weakest link, etc).

Jika kita dapat membudayakan kuiz mulai sekarang, jangan terkejut jika suri rumah dan anak-anak kecil kita nanti akan lebih berilmu dan berpengetahuan dari kita dan abang-abang mereka yang sedang bertungkus-lumus belajar di universiti!

Sekian.

Majlis sambutan Aidilfitri 2009 / 1430H

Alhamdulillah, nampaknya Syawal 1430H tahun ini dapat kami rayakan secara bertiga dan dalam suasana penuh ringkas dan sederhana.

Begitupun, perasaan rindu kepada ibu bapa dan sanak-saudara di tanah air tidak dapat dipisahkan. Begitu juga tradisi kunjung-mengunjung dan 'bertetangga' ke rumah sahabat dan taulan.

Kami, komuniti Malaysia di Oxford kali ini bersyukur kerana sambutan 1 Syawal dijalankan serentak (Hari Ahad di semua kariah dan masjid). Ini sedikit sebanyak mengurangkan tension untuk membuat keputusan untuk 'memilih' hari raya.

Syukurlah, anda di tanah air ada 'Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja' yang mengatur dan menyeragamkan sambutan hari raya. Kami di sini tidaklah sedemikian.

Sambutan tahun ini berjalan dalam keadaan yang serba meriah dan sederhana sebagaimana lazimnya. Berikut beberapa foto yang sempat saya rakamkan pada majlis tengah hari tadi untuk tatapan bersama.

Mawaddah bersama Rita

Boleh jadi best friend-la dua orang ni

Amin bertindak sebagai MC hari ini

Half-way majlis tu, dia tidur

Ustaz Afifi sedang mengusik Hakim

Terima kasih kaum ibu yang bersusah-payah menyediakan makanan

Bergambar bersama

Tengok! Dia lena lagilah...

Biarpun banyak masa dia tidur, tapi dapat juga dibangunkan pada acara penerimaan duit raya dan pengagihan goodie-bag.

Badan rasa penat, dan kami juga perlukan rehat sebelum kembali berlumang dengan tugasan-tugasan tertunggak.

p/s: Masya-Allah dan tahniah buat pasangan Rosli-Yani di atas kelahiran anak kedua di JR Hospital, Oxford jam 6.20am, 1 Syawal. Moga bertambah rezeki dan bersama-sama kita semua mencapai kejayaan di dalam apa jua yang diusahakan.

Selamat Hari Raya!

Friday, 18 September 2009

Peluang Isa Samad di Bagan Pinang: Kabur atau kelam?

Ringkas saja:

Ada peluang biarpun kabur

Sekadar memetik laporan oleh Harakahdaily berkenaan hasil kajian Ilham Centre yang mendapati 59.6% pengundi masih mahukan bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad menjadi calon BN bagi PRK DUN Bagan Pinang 11.10.09 nanti (sumber).

Kaji selidik yang sama juga bagaimanapun mendedahkan wujudnya kerisauan responden terhadap 'krisis imej dan peribadi' Isa memandangkan beliau telah disabit dan dihukum atas kesalahan rasuah dalam pemilihan UMNO empat tahun yang lalu.

Nampaknya peluang Isa masih ada, biarpun dilihat masih agak kabur (50-50).

Dari kabur menjadi kelam?

Belumpun sejuk keputusan soal-selidik yang dikeluarkan, Berita Harian hari ini melaporkan ulasan Tun M mengenai 'percubaan' untuk mencalonkan Isa Samad di kerusi DUN Bagan Pinang.

'Jangan letak Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang' (sumber).

Tun nampaknya berkongsi kerisauan dengan para pengundi dan ahli BN dalam hal ini. Menurut Tun, jika Isa diangkat juga menjadi calon, makanya BN akan dilihat sebagai telah 'buruk siku' dan tidak bersikap serius dalam usaha membanteras gejala rasuah dalam parti.

Seterusnya akan menjatuhkan imej BN di mata masyarakat Bagan Pinang khasnya, dan mata seluruh rakyat Malaysia umumnya.

Oooooohhhhhh.....nampaknya kabus tebal mula menutupi laluan Isa ke kerusi calon. 'Pukulan' Tun ini nampaknya cuba menukar peluang Isa daripada kabur kepada kelam.

Fikir baik-baik

Namun, apakah UMNO Teluk Kemang dan Negeri Sembilan akan mengambil kira pandangan Tun ini?

Melihatkan reaksi pelbagai pihak dalam hal 'kalungan selipar' tempoh hari, adalah wajar pihak-pihak yang terbabit 'berfikir banyak kali'.

Kot-kotla Isa pula yang akan dapat selipar kali ini.....jangan marah, gurau saja!

Rajin dia menolong ayah!

Inilah gelagat cucu atuk-nenek & tok-tokki dewasa ini.

Setelah pandai berdiri dan berpegang di dinding, bucu meja dan almari, hari-hari dia menolong ibu-ayahnya mengemas.

Kali ini dia mengemas buku pula.

Ayah: Haa....dah dapat cari belom buku sustainable development tu?
Mawaddah: Jap...jap...banyak sangat buku kat sini..

Mawaddah: buku yang ni ke, ayah?
Ayah: Haa....bukan, bukan. Cari lagi...

Mawaddah: Ibuuu...ayah ni tak sabarlah!
Ibu: Memang!

Mawaddah: Cari...cari...cari...
Ayah: Mawaddah comel dapat cari tak?

Mawaddah: Sabar...bukan kerja mudah tau...
Ayah: Ok..sorry...

Mawaddah: Cari...cari...cari... kenapelah ayah & ibu bace banyak sangat buku?

Mawaddah: Dah jumpe ayah! Kat sebelah dictionary ni kan?

Ayah: Aah! Nanti ayah ambik sendiri..mai sini.

Mawaddah: Ok...

Ayah: Careful..jangan repair muke pulak dekat-dekat raye nih..

Bye!

Selamat Hari Raya buat Atuk-Nenek & Tok-Tokki, pakcik-pakcik & makcik-makcik serta seluruh kaum keluarga di tanah air.

Insya-Allah bulan depan kita berjumpa!

Thursday, 17 September 2009

Tol percuma Hari Raya: Khabar ceria @ khabar duka?

Rasa saya, pastinya ramai kalangan rakyat yang menghela nafas lega setelah mendengar pengumuman bahawa pihak MTD Prime, pengendali LebuhRaya Pantai Timur (LPT) bakal memberikan 'Tol Percuma' sempena musim perayaan bermula tengah malam ini dan 24 Sept ini.

Pemberian tol percuma ini bagaimanapun hanya berkuatkuasa bermula jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi (sumber).

Maka, dengan rasa gembira jugalah, hamba rakyat akan bersesak untuk pulang beraya ke Pantai Timur tahun ini.

Khabar gembira?

Pertama kali membaca langkah yang diputuskan oleh pengendali LPT ini, saya merasa agak lucu dan di masa yang sama risau dan khuatir (setelah meneliti kadar kematian dan kemalangan yang dicatat saban tahun dilaporkan media massa) apabila tibanya setiap musim perayaan.

Khabar gembira dengan:

1- Memandu di waktu malam, 12 tengah malam dan hingga 5 pagi?

2- Menggunakan pula Lebuhraya Karak - kemudian LPT di waktu malam dan awal pagi?

Awalnya juga, saya tidak begitu memikirkan langkah yang diambil ini kerana saya 'terlalu jauh' untuk dilibatkan sama.

Namun, setelah berkunjung ke rumah salah seorang rakan petang tadi dan bersembang dengannya, ada benar dan releven juga pendapat yang beliau utarakan.

Perbincangan kami lebih tertumpu kepada soal keselamatan, iaitu keselamatan pengguna jalan dan keselamatan rekabentuk dan penyelenggaraan lebuh raya itu sendiri.

(dan juga persoalan, mengapa 'keputusan bijak' ini dipersetujui menteri berkaitan)

Keselamatan pengguna

Adalah tidak mustahil untuk merebut 'tawaran percuma' ini, ramai di kalangan pemandu sanggup menggadaikan waktu tidur dan rehat yang secukupnya sebelum mereka (dan keluarga mereka) memulakan perjalanan jauh.

Tanpa rehat yang cukup, bukan sahaja menyebabkan para pemandu cepat letih dan mengantuk, malah mengurangkan daya reaksi (respon dan bertindak) kepada persekitaran.

Tambahan pula, persekitaran adalah gelap.

Foto hiasan

Memandu dalam keadaan sebegini hanya akan menambahkan lagi rasa 'nak segera sampai' atau 'janji cepat sampai' ke kampung, selain ingin mengejar 'tempoh percuma' yang ditawarkan.

Rekabentuk jalan dan persekitaran

Masihkah anda ingat reaksi para pelumba profesional F1 sewaktu FIA membenarkan perlumbaan waktu malam di GP Singapura?

Biarpun mereka sendiri pelumba profesional dan litar Singapura dijamin dengan kelengkapan lampu yang terbaik dan canggih, masih belum dapat menghapuskan rasa risau di hati setiap pemandu.

Begitu jugalah kerisauan saya dan saya minta para pembaca melihatnya dalam kontek begini:

Untuk sampai ke LPT dalam tempoh 12 malam - 5 pagi, para pemandu perlu berkejar melalui dan melepasi Lebuhraya Karak (L. Karak) terlebih dahulu, mungkin 1 jam sebelum itu (extra 1 jam jika jalan sesak @ berlaku kemalangan).

Saya juga percaya ramai anda di luar sana biasa dengan L.Karak - saya juga percaya tidak ramai yang sanggup memandu melaluinya di tengah-tengah malam hari.

Selain jalannya yang bersimpang-siur membelah bukit dan cerun yang dalam, memandu di kawasan tanah tinggi juga tidak dapat dielak daripada pengaruh 'KABUS' tebal (kawasan bukit).

Foto hiasan

Memandu di dalam jalan berkabus dengan memandu di dalam kegelapan malam adalah dua situasi yang berbeza. Tak percaya, cubalah memandu ke L. Karak selepas ini.

KABUS (Hujan) + MENGANTUK + GELAP + DISIPLIN PEMANDUAN = RISIKO KEMALANGAN MENINGKAT

Selain faktor persekitaran, faktor rekabentuk jalan juga turut meningkatkan risiko kemalangan, jika tidak berhati-hati dan berwaspada.

L. Karak seperti yang kita tahu, telah lama mengalami masalah rekabentuk. Selain masih ada 1 hala-2 lorong (kurang pilihan bagi laluan mendaki dan memotong) selain beberapa 'titik panas' kemalangan (terutama di waktu hujan dan berkabus - jalan licin, etc.).

Selain itu, LPT juga turut mempunyai 'titik panas' kemalangan maut selain terdapat selekoh tertentu yang tidak membenarkan 'halaju 110km/jam'.

PERSEKITARAN (kabus + hujan + malam) + PEMANDU (letih + mengantuk + terburu) + REKABENTUK JALAN (jalan sesak + lorong memotong dan mendaki terhad + selekoh maut) = RISIKO KEMALANGAN MENINGKAT

Ini sekadar formula yang dapat saya fikir secara sepintas lalu saja.

Renungkanlah

Sekadar ingin berkongsi:

"Jika anda sanggup berhabis wang beratus ringgit untuk membayar tempahan baju melayu atau juga baju kurung isteri, atau membelanjakan beratus ringgit untuk baju anak-anak dan orang tua di kampung, mengapa pula ingin berkira untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi membayar tol?".

"Dengan peruntukan tersebut, anda mungkin mempunyai tempoh rehat yang cukup, memandu dalam keadaan yang anda selesa (mungkin waktu siang atau selepas bersahur) dan tidak perlu nak berkejar-kejar".

Janganlah mudah terpeseona dengan tawaran ini, tanpa membuat timbang-tara. Takut dan risau, khabar gembira bertukar duka.

Jangan jadikan perjalan pulang tahun ini sebagai yang terakhir terutama setelah mengenangkan atuk dan nenek di kampung yang rindu untuk menatap wajah riang dan gembira anak-cucu mereka saban tahun!

Buat pemegang konsesi/pengendali lebuh raya pula, pertimbangkanlah langkah pemberian tol percuma secara lebih ikhlas pada masa hadapan. Antaranya:

1) Tol percuma 24 jam untuk perjalanan dari KL ke Pantai Timur (kerana kocek kering berbelanja pulang), dan tol separuh harga 24 jam bagi perjalanan balik ke KL (kerana kocek kembali penuh dengan duit raya).

2) Pemberian diskaun tol pada kadar tertentu (25%-30%) untuk perjalanan pergi dan balik sepanjang tempoh perayaan bagi pengguna lebuh raya yang berkongsi kereta / kereta penuh.

3) Dan sebagainya, yang difikirkan sesuai mengikut keadaan.

Kepada yang akan dan sedang memandu untuk pulang ke kampung halaman, selamat memandu dan berhari raya-lah dalam keadaan yang selamat dan sejahtera.

Dr. Sepet: Maaf zahir dan batin.

Wednesday, 16 September 2009

Terbitnya sinar baru di Jepun

Media pelbagai aliran hari ini sibuk melaporkan proses pembentukan kerajaan baru Jepun.

Yukio Hatoyama dari Parti Demokratik Jepun (DPJ) telah diperkenalkan sebagai Perdana Menteri Jepun yang baru, menggantikan Taro Aso yang juga warisan pemimpin terakhir Parti Liberal Demokratik (LDP) telah memerintah Jepun selama lebih 50 tahun (selepas Perang Dunia Ke-2).

Sumber: Berita harian online

Perkembangan yang disifat ramai pemerhati sebagai 'historic shift of power' (peralihan kuasa yang bersejarah) ini berlaku setelah DPJ memenangi 308 daripada 480 kerusi di dewan rendah Parlimen Jepun.

Politik 'matang'

Jepun sering menonjolkan contoh berpolitik yang matang dan rasional. Mentaliti menteri dan ahli politik yang 'mendahulukan prestasi dan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat' telah diterjemah ke dalam tindakan yang sebenarnya.

Menteri letak jawatan atau menteri undur diri jika tidak mampu memberikan prestasi yang baik di Jepun bukanlah perkara yang asing didengar.

Pada saya, mungkin inilah sikap matang pemimpin negara maju (mungkin juga tanggapan saya ini salah).

Orang yang bijak adalah orang yang tahu kemampuan diri dan bila masanya untuk terus kekal dan bila masanya untuk mengundurkan diri secara terhormat (sebelum diaibkan dan dihumban keluar ketika menghampiri penghujung jalan kekuasaan).

Jadi motivasi

Kejayaan 'Pembangkang' dari DPJ (kini kerajaan pemerintah) menyapu keluar parti 'Pejuang Kemerdekaan - pembentukan semula dan pemodenan' Jepun setelah lebih 50 tahun memegang kuasa menimbulkan pelbagai persepsi.

Ada yang berpandangan, Jepun pula adalah contoh terbaru bahawa adalah tidak mustahil dengan kekecewaan rakyat terhadap gaya pemerintahan dan pengurusan negara, 'parti pejuang kemerdekaan/kemodenan' juga telah mereka (rakyat) tolak.

Dalam hal ini, rakyat/pengundi mungkin boleh dipersalah kerana dilihat seperti tidak menghargai jasa dan pengorbanan orang-orang lama yang bersusah-payah membina dan membangunkan negara selepas menempoh tempoh yang sukar (lepas perang, baru merdeka, etc).

Apapun, rakyat pula boleh juga menyalahkan para pemimpin yang mana dilihat mereka setelah begitu lama diamanahkan kuasa, telah berubah sikap menjadi sombong dan angkuh, selain mendahulukan kepentingan diri daripada memenuhi keperluan rakyat.

Inilah fenomena yang menurut Tun M, jika gagal dipelajari oleh BN, adalah tidak mustahil mereka akan disapu keluar dari kerusi kekuasaan oleh rakyat pada PRU ke-13 yang akan datang (sumber).

Manakala, di pihak Pakatan pula, kejayaan DPJ ini telah memberikan suntikan semangat dan juga motivasi untuk lebih yakin bahawa 'dalam politik tiada yang mustahil'.

Saya kira langkah terbaru yang diumumkan kerajaan PR di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mengenai pemberian elaun khas RM500.00 kepada kakitangan kerajaan negeri, sebagai mengikut jejak langkah kerajaan pusat, adalah langkah 'menambat hati rakyat' yang tidak wajar diremehkan oleh kerajaan negeri BN yang lain.

Tindakan ini juga menunjukkan barisan kepimpinan negeri PR tidak bermasalah untuk menuruti saranan dan langkah 'mendahulukan rakyat' sebagaimana amalan kerajaan pusat.

Begitu juga halnya setelah kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP yang akan menyalurkan bantuan kewangan kepada wanita Penan di Sarawak yang terlibat dengan kes pencabulan di kem pembalakan sebagaimana dilaporkan media baru-baru ini.

(sewajarnya kerajaan negeri Sarawak-lah yang harus terkedepan di dalam bertindak dan menguruskan perkara ini).

Momentum yang sama?

Masih terlalu awal untuk bercakap tentang peluang 'cerah' BN, mahupun PR pada PRU ke-13 yang akan datang.

- Pertamanya, mentaliti menteri dan ahli politik kita bukanlah seperti menteri dan pemimpin politik Jepun.

- Keduanya, mentaliti rakyat kita bukanlah seperti kebanyakan mentaliti rakyat Jepun yang mungkin berbeza tingkat kesedaran dan rasionalitinya.

- Ketiganya, iklim politik, ekonomi dan sosial kita adalah berbeza dengan Jepun. Gaya pengurusan dan keupayaan teknologi juga boleh menjadi faktor yang memisahkan kita dengan Jepun.

Begitupun, saya percaya rakyat semakin 'terang hati' untuk melihat dan membuat penilaian secara rasional daripada apa yang mereka baca, dengar, lihat dan perhati sehari-hari.

Pandangan Tun mengenai pemimpin yang sombong, angkuh dan lupa diri yang akan ditolak rakyat, boleh dijadikan ingatan yang berguna buat semua pihak.

Kini, satu soalan yang menarik mula meniti di bibir ramai orang: Adakah 'sinar baru' yang terbit di negara Jepun ini akan mencetuskan gelombang 'perubahan' yang sama di Malaysia di masa hadapan?

Hanya masa dan rakyat-lah yang akan menentukan.

Dr. Sepet: Dua minggu lalu saya bersembang dengan Prof. John Glasson, Founding Director, Oxford Institute for Sustainable Development (OISD), katanya: "Khairul, jangan terkejut jika pada tahun 2010 nanti anda akan menyaksikan Britian mempunyai PM baru (kerana parti Buruh dijangka akan tumbang)".

Berminat juga untuk saya saksikan.

Memetik epal

Setelah menunggu sebegitu lama, akhirnya tengah hari tadi saya mengambil keputusan untuk memetik buah epal di laman belakang rumah kami.

Seperti biasa, mandur Mawaddah dan ibunya akan menemani saya.

Saya memang ingin memtik epal-epal ini kerana semakin hari, semakin 'menghilang' buahnya. Ini menimbulkan tanda tanya kepada saya.

Bermula dengan 47 biji yang besar, banyak telah mula gugur, rosak dimakan burung dan serangga, hingga akhirnya yang dapat dipetik adalah sebanyak 19 biji.

Tetapi, bukan semua saya petik, ditinggalkan juga beberapa biji sebagai 'sedekah' buat sang burung dan serangga.

Lambatla ayah ni, dahla sejuk kat luar sekarag ni...

Inilah salah satu pokok epal yang ingin dipetik buahnya

Epal yang merah - entah manis, entah kurang...manis

Burung ini terganggu dengan kehadiran saya (kacau je mamat nih)

Nampak tak burung yang cute tu?

Buah ni pun akan dipetik...

Setelah diganggu, burung itu lari ke tempat sayuran pula

Mungkin buah ini yang sedang 'dikerjakan' burung tu

Merajuk dah pulak...nak lari la tu (saya reserve beberapa biji untuk burung ni)

Kami dapat kumpul 2 bekas epal, alhamdulillah rezeki

Hajat dari dulu ingin hadiahkan kepada rakan-rakan di Kampung Oxford ini, tetapi kena tunggu 'ujian rasa' selepas berbuka puasa nanti.

Jika OK, cerahlah harapan, jika TAK OK, cerahlah perut saya. Insya-Allah kita tengok nanti macam mana....