Tuesday, 16 June 2009

Tiada lagi penulisan politik

Terkilan!

Itulah perkataan yang sesuai saya gambarkan terhadap situasi yang sedang berlaku di blog-blog politik dan bukan politik sekarang ini.

Rasa terkilan ini mula saya rasa apabila isu Chin Peng kembali timbul dan kupasan yang dibuat terhadap idea UG selepas Muktamar PAS yang lalu oleh pelbagai pihak baik di dalam, mahupun di luar PAS.

Entah di mana sumbangnya langkah dan silapnya percaturan, isu Chin Peng dan UG kini bagaikan letusan atau ledakan yang membawa bersama fitnah yang membuak-buak di dalam masyarakat.

Dari ikhlas kemudian jadi fitnah

Saya tidak kisah perbezaan pendapat dan sememangnya rakan bloggers yang lain wajar mempraktikkan hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang prihatin.

Namun, semakin lama sesuatu isu itu dibiarkan tanpa jawapan yang konkrit dan memuaskan oleh pihak yang berwajib, semakin ramailah orang-orang yang di luar bidang kuasa rasmi mula mengisinya dengan pendapat mereka, sehingga akhirnya membenihkan api kebencian, permusuhan dan akhirnya boleh membawa perpecahan kepada ummah.

Daripada komen-komen yang umum dan dengan niat asalnya untuk menegur, akhirnya menular menjadi serangan peribadi, cacian, makian, carutan, sehingga pada mata mereka (sesetengah bloggers), tiada langsung yang baik, yang betul dan benar, biarpun yang dicemuh itu adalah seorang tokoh dan individu yang diiktiraf ketinggian ilmu dan peribadi yang baik.

Apabila kita bersemangat menulis, kadang-kala sukar mengawal jari-jemari bagi menterjemahkan idea (dan emosi) sehingga secara kita sengaja atau tidak, kita turut menyumbang kepada pertambahan berita yang tidak benar atau kurang tepat, kurang sokongan fakta dan lebih berpotensi untuk memfitnah orang lain.


Jagalah perlakuan untuk keberkatan

Anda percaya pada keberkatan? Saya percaya dan saya yakin keberkatan yang datang dari Allah itu boleh juga disebabkan perilaku atau perbuatan kita sendiri, selain kita menjaga benda yang kita makan, minum dan pakai sehari-hari.

Mungkin kita jenis yang suka ambil berat, sensitif dengan situasi yang berlaku, justeru menarik kita untuk berkongsi pandangan.

Namun, dalam keasyikan menulis di blog, kadang-kala kita terlepas menerbitkan artikel yang salah fakta dan akhirnya kita juga turut menyumbang kepada pemahaman yang kurang tepat kepada para pembaca blog kita.

Justeru, saya memutuskan untuk melangkah keluar dari menulis artikel berkaitan politik tanah air buat sementara, sebagai langkah tidak menyumbang kepada bertambah artikel memfitnah di blog selain menggunakan masa rehat ini untuk menenangkan fikiran dan menumpukan perhatian kepada kegiatan harian yang lain dan penyelidikan.

Insya-Allah apabila keadaan kembali reda dan isu-isu yang menjadi perdebatan dan khabar angin kurang betul ini dapat dijernihkan oleh pihak yang terbabit, barulah saya akan kembali menulis tentang politik dan lain-lain hal yang berkait dengannya.

Bersamalah menjaga penulisan kita di blog agar terhindar dari melakukan fitnah dan bersama doakan moga Allah kurniakan keberkatan di atas segala tindakan kita yang baik.

Wassalam.

No comments: