Thursday, 11 June 2009

Selamat tinggal United

Sumber: Sini dan sini

GBP 80,000,000.00 @ RM 461,500,000.00.

Itulah nilai yang perlu dibayar oleh Real Madrid bagi menyelesaikan perpindahan C. Ronaldo yang dijangkakan pada hujung bulan ini.

Nampaknya tiadalah lagi kelibat dan aksi menarik Ronaldo untuk ditonton para peminat EPL musim depan - mungkin jika berpeluang dapatlah menyaksikan aksi beliau di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Real Madrid memang sanggup buat "kerja gila" dengan mengeluarkan jumlah wang yang amat besar, hanya untuk memancing seorang bintang. Sebelumnya, Kaka dari Milan turut dipancing Real dengan bayaran kedua termahal dalam sejarah bola sepak iaitu GBP 56,000,000.00 @ RM 323,500,000.00.

GBP 56 juta + GBP 80 juta = GBP 136 juta, untuk 2 pemain bintang.

Namun, sepanjang saya hidup di bumi UK ini, industri bola sepak sememangnya mampu menjana keuntungan yang banyak. Bukan sahaja melalui industri perjudian (Ladbrooke, etc), tetapi golongan kelas bekerja (working class) di sini memang hantu bola sepak.

Maka tidak kiralah sebesar, mahupun sekecil mana pun kelab itu, studium mereka akan sentiasa hampir penuh, atau penuh dengan kehadiran para penyokong dan kaki bola pada setiap perlawanan.

Demikian jugalah dengan perlawanan yang membabitkan pemain bawah 18 tahun kelab-kelab kesayangan mereka, penuh juga studium dengan penyokong.

Memandangkan di UK ini jauh dengan Pengkalan Kubor, Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Petaling Street, kesemua aksesori peminat bola sepak (jersi, bandana, etc) adalah tulen dan tentulah mahal harganya.

Kehadiran setiap bintang pula pastinya akan melariskan jualan jersi kelab terbabit dan hasil jualan barangan kelab (secara global) ini juga turut menyumbang kepada pendapatan sesebuah kelab.

Justeru, langkah Real menarik penyertaan C. Ronaldo dan Kaka pastinya dibuat setelah menimbang segala untung-rugi terhadap kelab. Selepas ini, bukan sahaja aksi terbaik dari kedua-dua pemain yang ditagih, malah stadium juga bakal sesak setiap perlawanan dan demikian jugalah larisnya jualan jersi dan lain-lain aksesori sukan di atas nama Real Madrid.

Bagi kelab yang "segera jadi lebih kaya" hasil wang perpindahan ini, pastinya sedang berkira-kira mendapatkan pemain baru untuk mengisi kekosongan yang ada.

Persoalan yang semua orang ingin tahu ialah, mampukah United menghadirkan "Ronaldo kedua" selepas penghijrahan Ronaldo ini? Dan apakah Milan juga mampu mencari "Kaka kedua"?

Kenalah kita sama-sama tunggu sehingga musim perpindahan pemain ini selesai.

Dr. Sepet: Setiap orang ada harganya (betul ke?)

No comments: