Friday, 5 June 2009

Berjalan-jalan ke selatan

Minggu ini saya agak sibuk dengan banyak perkara. Selain hal berkaitan pelajaran dan penyelidikan yang sentiasa menghambat masa dan tumpuan, saya dan isteri perlu meluangkan masa secara bijaksana dan berkesan untuk membawa mak dan ayah serta adik-adik (tetamu) kami melawat dan berjalan-jalan di sekitar UK.

Posting berkaitan muktamar terpaksa ditangguhkan kerana saya kurang meneliti akhbar dan berita dari blog-blog, begitu juga beberapa isu yang lain. Mungkin saya tidak ada masa untuk membuat ulasan sendiri, melainkan saya juga turut menjadi pembaca kepada akhbar mahupun artikel tulisan bloggers yang lain terhadap isu-isu ini.

Alhamdulillah

Pertamanya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Khairi di atas kemurahan hati beliau "meminjamkan" kereta untuk kegunaan kami anak-beranak. Hasil perbincangan di tepi jalan saja, kami diberi pinjam kereta, Alhamdulillah. Mudah sikit kami mengatur perjalanan dan sekurang-kurangnya duit sewa kereta dapat digunakan bagi mengisi minyak kereta saja.

Walaubagaimanapun, hanya ini sajalah trip jauh yang kami gunakan kereta Ustaz, lain-lain cuma di sekitar bandar Oxford saja.

Destinasi 1: Stonehenge

Kira-kira jam 11.00 am, kami memulakan perjalanan keluar dari Oxford dengan destinasi pertama ialah melawat Stonehenge. Terletak kira-kira 68 batu dari Oxford dengan masa perjalanan sehingga 1 jam 20 minit - jika trafik OK, kami tiba di sana kira-kira jam 12.20 am. Cuaca hari ini agak mendung tetapi syukurlah tidak hujan.

Selepas membayar harga tiket masuk (GBP6.60 untuk dewasa, pakej untuk keluarga GBP16.50), kami masuk ke tapak bersejarah ini.

Pihak English Heritage turut membekalkan kami dengan risalah tentang Stonehenge dan juga alat bantu pendengaran yang menyampaikan informasi berkaitan Stonehenge - kecil seperti telefon bimbit.

Alat bantuan informasi ini adalah sangat berguna kepada para pelawat kerana tiada khidmat pemandu pelancong disediakan secara khusus. Namun, di masa yang sama kesibukan mendekapkan telinga bagi mendengar suara yang menghuraikan sejarah Stonehenge ini telah mengganggu penghayatan kepada binaan yang ada di depan mata.

Lantas banyak masa dan tumpuan diberi kepada alat tersebut berbanding melihat dan memerhati tinggalan Stonehenge yang tertegak di depan mata itu!

Memandangkan kunjungan ke Stonehenge ini boleh saya anggap sebagai perbuatan sekali seumur hidup, maka peluang merakam kenangan (ambik gambar) tidak dilepaskan.

Biarpun saya tidak sempat menatap risalah yang diberikan (nanti saya baca), namun saya masih bersikap skeptikal mengenai sejarah sebenar pembinaan monumen ini. Ini kerana carta alir yang direka oleh para pengkaji sejarah adalah menjangkau tempoh masa sehingga 10,000 tahun yang lampau.

Mungkin kajian mereka betul, dan mungkin juga kurang tepat memandangkan tiada seorangpun di antara mereka yang hidup, menyaksikan dan merakam keadaan sebenar ketika Stonehenge itu sedang dibangunkan.

Mungkin juga andaian saya salah, namun alangkah eloknya jika ada bukti lain ditunjukkan seperti tulang manusia purba, alatan purba yang digunakan manusia purba ketika zaman itu dan sebagainya, turut dipamerkan bagi menyokong fakta kajian sejarah berkenaan.

Apapun saya anggap perjalanan ke Stonehenge ini berbaloi memandangkan sebelum ini saya sering melihat benda ajaib (tak ajaib pun), pelik tu mungkin lah - lihat pada risalah dan berita dari akhbar dan majalah saja.

Kali ini saya dan keluarga sendiri berkesempatan sampai ke tempat ini dan memperoleh first hand experience and knowledge.



Ulasan lanjut mengenai lawatan dan kisah di Stonehenge ini akan dibuat oleh orang rumah pada blog beliau di dalam tempoh masa terdekat ini, insyaAllah.

Destinasi 2 : Bath (mandi)

Selepas selesai berpusing-pusing di Stonehenge dan memenuhkan tangki masing-masing dengan nasi goreng, bihun goreng dan sandwich yang dibekal dari rumah, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu bandar Bath.

Bath terletak kira-kira 35 batu (1 jam perjalanan) dari Stonehenge. Kami tiba di Bath agak lewat iaitu kira-kira jam 4.00 pm.

Untuk Bath, kami menggunakan perkhidmatan Park & Ride. Setelah turun dari bas, dan mengosongkan kembali tangki dan buat apa yang patut, kami pusing-pusing pula bandar Bath. Disebabkan hari agak lewat, cuaca pun masih mendung, dan kami pula tidak arif tentang bandar ini, maka hanya beberapa tempat saja di Bath yang telah kami lawati dan ambil foto.

Foto ini dirakamkan berdekatan jambatan yang terkenal sebagai tourist spot di bandar Bath.

Bersama Mawaddah dan Mak Usu dia di depan Roman Bath, yang suatu ketika dahulu berfungsi sebagai tempat mandi awam - di zaman Roman dahulu.

Mawaddah kelihatan gembira apabila didokong ke sana-ke mari oleh saya dan Alhamdulillah juga dia tidak banyak meragam. Cuma merengek apabila lapar dan lampin yang minta ditukar setelah "bertukar" warna.

Di masa hadapan mungkin kami akan mencari waktu yang sesuai (dan wang yang banyak) untuk berjalan-jalan ke bahagian utara UK pula, insyaAllah jika diizinkan Allah.

Hingga jumpa lagi.

No comments: