Tuesday, 2 June 2009

Modal Baik di Manek Urai

RUNTUH!

Inilah peristiwa tragis terbesar yang berlaku untuk hari ini. Stadium Sultan Mizan (harga RM270 juta ringgit wang rakyat) di Komples Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, yang baru 1 tahun digunakan telah 60% roboh (bumbung), menyembah bumi Darul Iman.

Tragis, memang tragis kerana stadium yang mahal ini baru sahaja 1 tahun siap, bukannya 100 tahun.

Foto: sumber

Tidak mengapa. Selepas ini kita akan dapat lihat bagaimana sibuknya "lagak" berbagai pegawai, menteri serta agensi kerajaan mengupas dan menyiasat tragedi ini.

Akan berlambaklah kertas siasatan yang dibuka, akan mengalirlah lagi beberapa juta wang rakyat untuk memperbetulkan kesan akibat tindakan cuai dan bodoh pihak-pihak sebelum ini.

Yang pasti kali ini SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tidak hanya menerima laporan di atas kertas, kerana telah terdapat bukti yang "bapak punye besar" kat depan mata mereka untuk disiasat.

Foto: sumber

Harapnya kali ini akan ada pihak-pihak yang bodoh dan cuai di JKR, agensi kerajaan dan negeri Terengganu, kontraktor, pemaju, ahli politik yang makan duit komisyen dan sebagainya akan diheret ke muka pengadilan.

Harapnya SPRM dan lain-lain agensi keselamatan akan "buka mata hati" setelah melihat kecuaian yang membawa kepada kecelakaan ini. Mujur tiada yang terkorban (setakat ini).

Bukti dah cukup terang Allah tunjukkan. Justeru, jangan nanti kata ia kejadian alam atau tiupan angin pantai yang luar biasa kuat sehingga merobohkan struktur bumbung stadium terbabit. Atau ada "anjing" yang "kencing" kat tiang bumbung sampai berkarat dan lepas itu kekuatan besi tiang terjejas hingga berlaku runtuhan dan sebagainya. Kalau benar pun, SPRM dan Polis kena cari "anjing" tu dan soal-siasat ia!

Takkan lepas ni nak minta Allah tunjukkan jambatan roboh atau bangunan pencakar langit runtuh dan sebagainya baru nak yakin dan percaya akan adanya kecuaian manusia. Siasat dan bertindaklah.

Jadi modal kempen

Saya suka melihat tragedi ini dari sudut yang berbeza, jauh merentasi sempadan Kompleks Sukan Gong Badak khususnya dan negeri Darul Iman umumnya, iaitu menjalar hingga ke negeri Darul Naim, atau secara spesifik, DUN Manek Urai.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum dan saya sendiri telah tulis berkaitan hal ini dalam posting sebelum ini mengenai PRK DUN Manek Urai pada bulan hadapan, tragedi di stadium yang baru setahun jagung runtuh ini akan menjadi modal berkempen yang amat berkesan kepada parti lawan kelak.

Parti lawan tentunya tidak menilai kejadian ini sebagai bencana alam mahupun kerana kesan karat terkena kencing anjing. Malah kita semua tahu tipikal pembangkang a.k.a kerajaan negeri Kelantan yang akan menggunakan kecuaian untuk menghentam agensi kerajaan negeri Terengganu pimpinan UMNO/BN dan agensi kerajaan Persekutuan yang dipimpin BN.

Sekarang ini PM pula masih di luar negara, menghadiri Persidangan ASEAN di Korea Selatan. Saya tidak dapat ulas apa maksud mimik muka PM pada foto di bawah, tetapi alangkah baiknya jika air muka beliau menampakkan kerisauan tentang tragedi yang berlaku dan nasib @ peluang UMNO di Manek Urai kelak.

Foto: Sumber

Bagaimana UMNO ingin menjelaskan aspek kecuaian yang timbul akibat tragedi runtuhan stadium ini kepada rakyat Malaysia amnya dan para pengundi di DUN Manek Urai khasnya. Pihak lawan pastinya menggunakan isu ini untuk "melumatkan" peluang calon UMNO kelak.

Akan timbul isu seleweng duit, rasuah, makan komisyen, naik harga kos pembinaan tetapi turun harga dan kualiti binaan. Lepas itu, kaitkan dengan hal-hal keagamaan, akhlak dan moral - bagaimana Islam melihat para pemimpin yang korup dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab dan bagaimana JKR dapat meluluskan projek dan apakah piawai keselamatan yang digunapakai dan sebagainya.

Apabila persepsi rakyat yang sebelum inipun telah percaya (sebahagiannya) bahawa wujud amalan korupsi dalam pengagihan projek kerajaan, sekarang bukti sebesar stadium pula ada di depan mata, ditambah pula ceramah yang kaitkan rasuah dengan akhlak Islam, UMNO boleh fikir sendirilah.

======================
Formula PRK yang umum:

Persepsi buruk (disemai) + Tun M kata terima banyak laporan rasuah semasa pemilihan UMNO = UMNO kalah Pilihanraya Kecil (PRK)

Formula di Manek Urai:

MODAL kempen (laporan rasuah + isu Perak + Stadium pulak runtuh) + UNTUNG lawan (UMNO banyak kalah PRK + memang kubu PAS) = UMNO fikir sendirilah

Nak bagi ringkas lagi:

Persepsi buruk rakyat + UMNO dah kalah banyak PRK + Ceramah nilai/akhlak Islam = Calon PAS menang
======================

Namun, semua ini hanya rekaan saya yang terpancul dari akal secara spontan semata-mata, tanpa mengambilkira pandangan dan idea oleh mana-mana pakar matematik atau prof Sains Politik. Jika salah, anda sebagai pembaca yang budiman, buatlah pembetulan dan rumus anda sendiri.

Letak yang benar di tempatnya

PM, UMNO dan BN khususnya masih belum terlambat untuk menjernihkan keadaan dan menaikkan rating dan populariti di kalangan pengundi Manek Urai di sebalik isu yang timbul.

Komitmen kerajaan menerusi agensi penguatkuasa iaitu SPRM, Polis dan badan kehakiman perlu menampakkan keberkesanaan dan kewibawaannya. Siasat, heret dan bicara, dan akhirnya hukum pesalah terlibat, biarpun mereka "orang" anda sendiri.

Tegakkan kebenaran, kerana yang benar adalah benar, biarpun ia pahit. Namun perlu diingat bahawasanya tidak semua yang pahit itu merugikan, ada banyak kemanisan di sebaliknya.

Usaha dan tindakan proaktif semasa berkempen oleh parti lawan juga tidak seharusnya dipandang rendah oleh jentera kempen UMNO. Ini kerana bagi pembangkang "untung telah memberati modal" - potential benefits are outweigh the risks.

Andai kata tewas

Jika UMNO tewas di Manek Urai kali ini pun, saya kira Stadium Gong Badak hari ini runtuh "tidak kena pada masa dan ketika".

Sekian.

p/s: untuk mengupas reaksi MB Terengganu dan bekas MB Terengganu pun rasanya amat "panas" dan panjang. Saya tidak mampu ulas tentang hal ini. Namun harapnya ada bloggers lain yang mengulas (dengan cermat) tentang Mat Said dan Idris Jusoh mengenai hal ini.

No comments: