Wednesday, 10 June 2009

Kehilangan itu

Petang tadi, selamatlah Mak, Ayah dan adik-adik berangkat pulang ke Malaysia. Kami bertiga menghantar mereka ke Stansted kira-kira jam 1.30 petang (dari rumah) dan selamat tiba di sana hampir pukul 4.00 petang.

Perjalanan kami bagaimanapun sedikit terganggu dengan hujan lebat dan kerja-kerja menaik taraf jalan - kesesakan lalulintas.

Alhamdulillah, di sana urusan check-in bagasi juga berjalan baik (cuma terpaksa buat 2nd check-in memandangkan terdapat sekatan terhadap bilangan hand-carry bagi setiap individu).

Suasana hujan dan sejuk kemudiannya menjadi bertambah suram memandangkan detik perpisahan yang hampir tiba.

Saya tidak pandai menilai perasaan orang, tetapi rasanya saya sendiri turut merasa sedih dan sebak, terutama apabila melihat masing-masing bergerak menghampiri pintu balai berlepas. Orang rumah masa itu pun dah berair mata juga, adik-adik pun sama.

Kira-kira jam 5.00 petang, kami bertiga tertegak di hadapan balai berlepas sambil melambai-lambai ke arah Mak, Ayah dan adik-adik - sedih tengok Mak Usu, Mak Lang, Mak Cik, Mak Teh, Mak dan Ayah berjalan meninggalkan kami dan Mawaddah.

Mungkin Mawaddah juga dapat merasai kehilangan itu, tetapi reaksi anak kecil ada kalanya kita sebagai orang dewasa tidak mengerti tentangnya.

Semenjak tiba di Stansted lagi, dia sudah tidak mahu minum susu dan tidak banyak berceloteh.

Dalam perjalanan pulang pula, kami rasakan sebagai pemanduan paling lama iaitu hampir 4 jam (bertolak lebih kurang jam 5.20 petang dan tiba di Oxford pada pukul 9.00 malam).

Bayangkan di sepanjang perjalanan dia tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu, hanya merengek dan menangis (sampai mata pun naik bengkak).

Kami berhenti untuk menenangkan dia (5 kali berhenti), sehingga tiba di rumah barulah dia tenang sedikit. Akhirnya tadi (10.30 malam) barulah dia dapat tertidur dan kami dapat berehat.

Mungkin dia juga merasai "kehilangan itu" dan akan merasainya sebagaimana kami juga. Bayangkan selama 2 minggu dia akan bangun dan turun ke bawah setiap pagi untuk gerak Atuk dia dari tidur, dijaga oleh makcik-makcik, diusung ke sana-kemari dan sebagainya.

Semalam sudah tidak dapat diulang, namun hari ini hidup perlu diteruskan. Insya-Allah Mawaddah akan dijaga dengan baik dan harapnya dia tidak alami kejutan dari rasa "kehilangan itu".

Buat Ayah, mak dan semua, kami memohon maaf jika sepanjang berada di Oxford terdapat kekurangan dan ketidakpuashatian. Jangan serik ke Oxford lagi!

Muka orang penat menangis hari ini sedang tidur




No comments: