Monday 25 February 2013

Oh Buletin Utama

Saya ada berseloroh dengan beberapa sahabat:

"Semenjak selesainya rancangan Maharaja Lawak Mega, saya terpaksa beralih menonton Buletin Utama bagi menghiburkan hati sambil bergelak-ketawa bersama keluarga".

Ia merupakan sindiran langsung saya terhadap bahan-bahan yang disusun untuk disiar-lapor di Buletin Utama saban malam. Ianya begitu menjelekkan pemikiran saya.

Ada ketikanya, terfikir juga:

"Adakah sekiranya BN (ditakdirkan) kalah pada PRU-13 nanti (dan PR membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu), saya dan keluarga bakal menikmati laporan berita Buletin Utama yang lebih seimbang dan berkualiti?"

Ya, terlintas juga di hati apakah rakyat perlu memilih untuk menukar kerajaan yang ada semata-mata kerana mahukan liputan berita di media arus perdana yang lebih seimbang dan berkualiti?

(Sumber: pada foto)

Sebagai rakyat "kelas pekerja", harapan saya tindaklah besar sehingga inginkan perubahan drastik lagi cemerlang terhadap sistem ekonomi, sosial dan pentadbiran (Sekalipun negara cuma tinggal 7 tahun sahaja lagi untuk mencapai tahun 2020). 

Memadailah bagi saya jika dapat menonton berita yang ada kredibiliti serta tidak merendahkan pemikiran saya. Tugas media adalah melaporkan dan selebihnya biarlah rakyat sendiri yang menilai (berdasarkan laporan yang seimbang itu) dan membuat keputusan (nak sokong pihak mana).

Ini kerana sama ada BN mahupun PR, masing-masing tentu ada pasukan think-tank dan pakar-pakar strategi ekonomi, sosio-budaya mereka sendiri yang boleh membangunkan suatu janji manifesto yang menarik bagi memancing sokongan rakyat.

Sekalipun perubahan itu mendatangkan ujian kepada kita semua (dalam bentuk sama ada negara dan rakyat akan terus maju, atau kita lebih rosak berbanding sebelumnya), ujian yang "sebenar" pada saya adalah:

Mampukah kita (rakyat dan pemimpin) mengembalikan fungsi "kuasa undi" yang sebenarnya memegang kunci kepada "pintu perubahan"? 

Ini kerana untuk menunggu "transformasi dalaman" - iaitu pemimpin yang ada itu sendiri melakukan perubahan ke atas parti mereka (dengan memilih calon-calon pemimpin yang bersih, idealistik, amanah, kuat fizikal, etc - dan termasuklah mereka yang di dalam syarikat TV sendiri mengubah kualiti laporan berita agar lebih seimbang), saya masih nampak ianya "kelam".

Kejayaan tidak mampu dicapai jika kita tidak mencuba dan hanya suka merungut. Yang penting ialah perubahan itu hendaklah dipastikan ia dipandu oleh set peraturan, pertimbangan dan kewajaran tertentu agar memanfaatkan keperluan dan tuntutan insani, duniawi dan ukhrawi.

No comments: