Saturday, 13 March 2010

Bacaan Umum: Penyatuan Melayu?

Malas saya nak menulis dan mengulas panjang perihal penyatuan Orang Melayu. Ini kerana bukan sedikit maklumat dan penyelidikan perlu dibuat, malah gaya penulisan juga perlu cermat agar maklumat yang ingin disampaikan dapat disampaikan, dan pada masa yang sama pihak yang ditegur tidak begitu terguris hati.

Di bawah adalah salah satu contoh artikel berkaitan cara untuk menyatukan Orang Melayu, daripada beratus artikel di blog-blog dan laman web pelbagai orang dan parti siasah.

Seperti biasa, ada yang buat analisa ibarat 'bertinju seorang diri', iaitu tanpa hujah yang berimbang, dan tidak kurang juga yang buat analisa 'kuah cendol' - kata Nobisha iaitu tidak mendalam. Dok ceduk air kat atas, sedangkan cendolnya di bahagian bawah.

Apapun, terpulanglah kepada para pembaca yang budiman untuk membuat penilaian. Pada saya, jika puak-puak Melayu sendiri inginkan penyatuan ini kekal sukar, harapnya janganlah ditutup terus ruang untuk bermuafakat.

Sesungguhnya DAP dan MCA yang tidak sehaluan dari segi ideologi politik-pun mampu bermuafakat di dalam hal Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC). Fikirkanlah.

===================

Komen tajuk artikal Bukan Mustahil Melayu Bersatu (oleh: anak_muar)

Sumber: sini

Memang benar Bangsa Melayu boleh bersatu kerana mereka adalah bangsa yang ditakdirkan seagama iaitu Islam.Bahawa Islamlah yang membentuk persaudaraan yang sebenar dalam bangsa Melayu.Oleh itu bangsa Melayu sememangnya boleh bersatu atas nama Agama Allah SWT iaitu Islam.Dan tidak akan berlakunya penyatuan bangsa Melayu itu atas nama UMNO,PAS mahupun PKR.Sebaliknya hanya Islam yang boleh menyatukan orang UMNO,PAS dan PKR seterusnya menyatupadukan seluruh manusia di dunia ini kerana segala kebenaran dan kebaikan yang agung hanyalah ada pada Islam yang penuh dengan kesempurnaan dalam setiap perkara.

Sejak puluhan tahun isu perpaduan orang Melayu dikumandangkan dari sebelum Tanah Melayu merdeka hinggalah ke tahun yang ke-53 namun ianya masih tidak menjadi kenyataan.Perpecahan dalam bangsa Melayu sememangnya tiada yang menguntungkan.

Namun hari ini bangsa Melayu berpecah-belah dan bermusuhan hasil ciptaan golongan-golongan tertentu dalam bangsa Melayu yang mempunyai ketamakan dan kerakusan terhadap kuasa dan pangkat. Kerana terlalu mementingkan diri sendiri golongan pengkhianat bangsa Melayu dan Islam ini sanggup menghancurkan bangsa sendiri dan agamanya demi mempertahankan kuasa.Golongan pengkhianat ini mencipta fitnah dan mengadu-domba supaya bangsa Melayu berpecah belah kepada beberapa golongan dan kemudian pengkhianat ini akan mendakwa bahawa marilah bersama mereka kerana mereka adalah golongan yang benar dan perlu disokong.Padahal merekalah yang mencipta permusuhan tersebut dan mereka juga yang akan menjadi penamat.Golongan sedang bermaharajalela dan berjaya mengusai pemikiran bangsa Melayu supaya terus bermusuhan.

Oleh itu jika mahu bangsa Melayu bersatu hapuskan fitnah dan pembohongan yang dicipta oleh para pengkhinat bangsa dan Agama terlebih dahulu.Golongan ini perlu ditewaskan dan diperkecilkan.Jadikan golongan Melayu yang mahu bersatu atas nama Islam sebagai golongan yang terbanyak barulah perpaduan itu mampu menjadi kenyataan bukan sekadar omongan kosong sejak puluhan tahun.Namun perkara yang menjadi rujukan utama untuk bangsa Melayu bersatu adalah berpandukan tuntukan As-Sunnah dan Al-Quran dan bukan tuntutan fahaman politik yang bercelaruan.Bangsa Melayu perlu membebaskan diri dari dibelenggu fitnah yang berpanjangan kerana ia adalah penghalang bagi segala perkara kebaikan.

Jangan kerap pandang kebelakang mengenang peristiwa silam. Pandanglah ke hadapan.Jadikan Islam sebagai pegangan dan panduan agar bangsa maju ke hadapan bersatu padu hidup dengan penuh kedamaian.Tiada Islam UMNO,PAS dan PKR.Hanya yang ada Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.


No comments: