Sunday, 8 January 2012

Apakah "fenomena ini" juga akan berlalu pergi?


Arakian tersebutlah satu kisah mengenai seorang penceramah yang namanya semakin hari semakin meniti di bibir masyarakat.

Namanya diangkat, popularitinya pula bukan main lagi naik mencanak. Ke mana-mana sahaja majlis yang beliau hadir, dengan jelas kita boleh lihat hadirin akan berduyun-duyun datang seperti semut menghurung gula (demi mengambil manfaat/ilmu daripada beliau). Bahkan, tidak mustahil tempat yang sunyi juga boleh bertukar menjadi tapak pesta sempena menyambut kedatangan beliau menyampaikan ceramah.

Kehadiran beliau bukan sahaja telah menghadirkan fenomena yang boleh diukur oleh jumlah hadirin yang berjumlah ribuan orang itu, bahkan boleh juga diukur dengan melihat pertambahan ketara jumlah pengikut dan pendokong beliau di media sosial dari hari ke hari.

Saya sebenarnya tumpang bangga di atas pencapaian, populariti dan sanjungan yang telah beliau terima dari pelbagai lapisan orang di dalam masyarakat. Pada saya, selayaknya orang yang menyampaikan ilmu itu dihormati dan dikasihi.

Di samping menyampaikan ilmu agama, lawak dan jenaka spontan yang diselitkan beliau seringkali menggamatkan suasana. Tidak kering gusi jadinya para pengunjung yang hadir.

Namun, setelah saya perhalusi topik dan perbincangan mengenai "fenomena ini", timbul soalan berikut di benak pemikiran ini: Sampai bilakah fenomena ini mampu bertahan? (atau dipertahankan?)

Berat hati saya untuk mengatakannya. Begitupun, saya lihat bukti-bukti di bawah telah "memberitahu" saya "gambaran awal", bahawa walau sehebat manapun sesuatu fenomena itu, ia akan tiba kepada tarikh luputnya. 

Maaf jika anda yang membaca dan yang meminati beliau terasa hati dan berbeza pandangan dengan saya. Bukan saya minta anda bersetuju dengan saya, namun, harap baca dan fahami dahulu secara rasional hujah-hujah yang diberikan:

1) Pelakon & Pelawak (Fenomena Kumpulan Senario)

Barangkali anda tentu masih ingat kumpulan lawak nombor 1 negara, "Senario". Siapa yang dapat menyangkal kehebatan dan lucunya lawak bersahaja yang dipersembahkan oleh kumpulan ini. Buat beberapa ketika, kumpulan Senario telah mencetuskan suatu fenomena yang terkesan kepada masyarakat sehingga membangkitkan minat yang tinggi terhadap filem lawak dan lakonan komedi.


Lihatlah berapa juta RM jumlah kutipan filem-filem awal lakonan ahli kumpulan Senario. Kaya-raya mereka jadinya. Kemunculan fenomena Senario mahu tidak mahu, perlu diakui telah turut menyumbang kepada berkembangnya industri dan karya hiburan bergenre komedi / lawak, yang kemudiannya dikembangkan slot menjadi pelbagai rancangan berunsurkan lawak, termasuklah Maharaja Lawak.

Di zaman kegemilangannya, Senario mampu menghadirkan "lawak pecah perut". Malah, filem-filem seperti Senario the Movie juga dicatat sebagai "pecah panggung". Waktu itu, siapa yang tidak suka kepada celoteh Senario? Dari atuk dan nenek, hinggalah kepada anak-anak kecil, semuanya gemarkan "yang gitu-gitu".

Namun, apakah nasib yang menimpa kumpulan "fenomena", iaitu Senario hari ini? Masihkah mereka dianggap sebagai fenomena? Tidak. 

Malah, tiadalah lawak kumpulan ini yang kelakar dan masyarakat pula telah bergerak ke hadapan meninggalkan "pujaan" mereka suatu ketika dahulu itu.

2) Musik (Fenomena Kumpulan Nasyid)

Sekitar awal tahun 2000, industri musik tanah air telah dikejutkan oleh satu fenomena baru, yang mana arus yang dibawa fenomena tersebut tidak pernah dialami sebelum ini. Fenomena yang dimaksudkan ialah kemunculan kumpulan nasyid.

Waktu nasyid diangkat sebagai fenomena di dalam industri musik, siapakah yang tidak pernah mendengar nama-nama kumpulan nasyid seperti Raihan, Rabbani, In-Team, Hijjaz, Brothers, dan sebagainya lagi?


Rak-rak kaset dan VCD juga mula dipenuhi oleh album-album dendangan kumpulan nasyid ini. Anak-anak muda, baik yang di IPT, mahupun di bangku sekolah mula mengenali, menghafal dan menyanyikan lagu-lagu nasyid. Sehingga ada yang dipentaskan di majlis-majlis makan malam program pelajar di universiti.

Amatlah besar fenomena kumpulan nasyid waktu itu. Sungguh ideal penyampaian mesej mereka termasuklah yang berbentuk dakwah (cinta Allah dan cinta Rasul), mahupun kisah cinta di kalangan muda-mudi. 

Melihatkan pergerakan dan mood masyarakat yang begitu tinggi terhadap keindahan nasyid waktu itu, ramailah yang melihat bahawa inilah revolusi dan masa depan industri musik di tanah air - bergerak kepada lebih Islamik.

Namun, lihatlah keadaan dan nasib kumpulan-kumpulan nasyid di negara kita hari ini. Ke manakah perginya kumpulan-kumpulan yang dahulunya (atau beberapa tahun dahulu) amat popular. Tidaklah diketahui. 

Yang pastinya, di sebalik sukar dipercayai fenomena besar seperti nasyid yang merubah rupa industri musik negara suatu ketika, nampaknya sekadar muncul dan mekar dalam tempoh masa yang singkat. 

Kini, kekosongan yang ditinggalkan oleh nasyid telah kembali diisi dengan musik-musik seperti pop-rock yang dahulunya tercampak ke luar mainstream musik.

3) Penyanyi & Penghibur (Fenomena Asmawi Ani @ Mawi)

Saya bukanlah peminat beliau, tetapi secara peribadinya saya melihat kemunculan Mawi (selepas menang AF) telah mencetuskan satu fenomena baru di dalam industri hiburan di tanah air.


Andai sebelum ini artis dan penyanyi sering dilekatkan dengan pelbagai label yang negatif, kemunculan Mawi sedikit sebanyak telah "membasuh arang yang dipalitkan ke muka" rakan artis.

Mawi, sebagai seorang artis baru, muda dan "segera" waktu itu bukan sahaja berkebolehan untuk menyanyi, malah terbukti mampu berzanji dan mengaji dengan baik. Inilah yang membuatkan Mawi dipandang peminatnya sebagai ada harapan memenuhi kriteria "idola masyarakat".

Pakej yang dimiliki Mawi juga menyebabkan album beliau menerima sambutan yang begitu luar biasa, malah undangan membuat persembahan juga sampai tidak menang tangan.

Fenomena sungguh Mawi waktu itu. Kini, apakah cerita Mawi? 

Patah Tumbuh, Hilang Berganti...

Tentulah sayang andai fenomena yang dicetuskan oleh penceramah popular ini bakal berlalu pergi. Anda mungkin boleh fikirkan jawapannya. Bagi saya, kitaran itu akan tiba, kerana alasan berikut:

Apa yang menjadi tarikan utama masyarakat kepadanya adalah kepintaran beliau membuat lawak dan berjenaka sewaktu mengendalikan kuliah mahupun ceramah. Malah, kaedah cakap kasar dan cakap lepas juga diakui ramai peminatnya sebagai "berbekas di hati". Namun begitu, suka saya berkongsi hadis berikut yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

---------------------
Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda : “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).
--------------------- 

Maka janganlah kita menggunakan perkataan yang kasar dan makian sekalipun dengan niat menyampaikan ilmu kerana Allah Taala tetap menghitung segala perbuatan kita. Maksud "kasar" pada saya perlu difahami dari dua konteks yang berbeza seperti contoh di bawah:

1) Kamu ni bodoh dari lembu kalau malas nak sembahyang.

2) Sengaja meninggalkan solat adalah satu perbuatan yang bodoh.

Kedua-dua ayat di atas guna perkataan "bodoh", namun konteksnya berbeza. 

Q1 - Ayat mana yang anda rasa suatu nasihat? 
Q2 - Dan ayat mana yang berbentuk makian?

Begitu jugalah sesuatu lawak itu hanya akan kelakar apabila ianya didengar sekali-dua. Namun jika ianya diulang-ulang, ataupun diulang-tayang di kebanyakan sessi ceramahnya (tambah pula jika boleh ditonton di YouTube), maka ianya tidak lagi "special" atau kelakar. 

Ringkasnya, tarikan yang jika dibina di atas dasar lawak dan kelakar (yang diulang-ulang pula lawak itu), saya tidak rasa akan dapat mengekalkan minat pendengar di dalam jumlah yang sama. Di akhirnya nanti, para pendengar akan menjadi bosan, malah mungkin beralih kepada penceramah lain, yang lawaknya pula lebih segar.

Namun, ini yang dijangka boleh terjadi sekiranya pendekatan ceramah yang semasa masih mengekalkan elemen kelakar dan melawak. Sekiranya tindakan penambahbaikan (atau kaedah baru) dapat dibuat segera, tidaklah mustahil fenomena ini akan dikenang pula sebagai "lagenda" di kemudian hari. Dahulu fenomena, kini lagenda.

Sesungguhnya cinta manusia itu kerana diri si polan, tiadalah akan kekal. Namun cinta kepada ilmunya, itulah yang bermanfaat. Manakala, cinta kepada Allah, itulah cinta yang abadi selamanya.

No comments: