Thursday, 26 January 2012

Rampas Kelantan: UMNO perlu cari calon yang bersih dan warak

Rakyat mahukan perubahan, kata Ibrahim Ali

Perubahan akan berlaku, bukan sahaja di peringkat negeri Kelantan, bahkan negara Malaysia secara keseluruhannya JIKA semua parti politik yang bertanding dapat menonjol dan meletakkan calon-calon yang benar-benar layak (bersih, warak, cerdik, banyak idea, licik, berpengaruh, mesra....bla-bla-bla....ada kira-kira 100 lagi ciri-ciri pemimpin yang baik, LOL).

Saya tidak mahu mengulas panjang kerana baru sahaja saya sentuh perkara ini di posting bertajuk: MENGAPA HENDAK MERAMPAS KELANTAN?

Ingatan oleh Pak Berahim Ali ini saya kira ada betulnya. Tetapi pada masa yang sama kita juga kena renungkan kata orang tua-tua, semangat itu (keperluan mencari dan meletak calon bersih) sudah betul, cuma perlaksanaannya sahaja mengapa masih tidak betul-betul!


Baca artikel penuh di sini: KLIK


Tengok calon dahulu, kemudian baru parti

Saya ingin menyentuh sedikit mengenai salah satu isu yang diforumkan minggu lepas di Oxford (Sembang-sembang santai isu-isu semasa Malaysia 2012, bersama Dr MAZA) (lihat butiran Forum di SINI) iaitu; isu AUKU dan penglibatan pelajar/mahasiswa di dalam politik.

Secara dasarnya, kesemua ahli panel yang membentangkan pandangan mereka bersetuju dengan kesimpulan moderator bahawa seseorang mahasiswa sepatutnya dibenarkan terlibat dan mengambil tahu isu-isu politik, tetapi TIDAK SEMESTINYA dia perlu terlibat menjadi anggota/ahli kepada sesuatu parti politik.

Maksudnya, golongan mahasiswa (bersama-sama golongan 'wait and see' voters yang lain) ini akan dapat memainkan peranan secara lebih berkesan sebagai 'check and balance' (digelar KUASA Ke-3) di dalam proses pilihanraya kelak.

Seandainya dapat direalisasikan galakan supaya mahasiswa terlibat dengan politik tanpa mereka mengikat diri dengan mana-mana ideologi politik kepartian, makanya boleh juga saya katakan, untuk PRU yang akan datang ini, golongan KUASA Ke-3 "perlu mengundi sebab calon (yang layak dan bersih/warak) berbanding memilih sebab parti politik".


Barangkali saranan ini belum dapat difahami masyarakat terbanyak yang mungkin melihat jalur politik Malaysia sekarang ini hanya ada 2 sahaja; iaitu sama ada sokong BN, atau sokong PR. 

(NOTA: saya telah menulis perihal "calon" di entri bertajuk: Persoalan yang melingkari CALON BOLEH MENANG. Klik pada tajuk untuk membacanya)

Kerana pemikiran yang sedia tersemat di kepala ramai orang adalah mendahului sokongan terhadap parti (soal calon itu sebenarnya layak, bersih, warak dan sebagainya, soal yang kemudian).

Akhirnya, apa yang terjadi, parti yang mereka sokong berkemungkinan akan menang, tetapi mereka kelak bakal dipimpin oleh pemimpin yang 'tidak layak' kerana tidak memenuhi kriteria pemimpin yang mereka mahukan, iaitu yang bersih dan warak.

Akhirnya, parti gagal dibersihkan daripada anasir-anasir yang selama ini menimbulkan masalah kepada parti dan penyokong. Kerana apa halangan ini gagal diatasi? 

Kerana para penyokongnya lebih mendahulukan parti (tidak sanggup melihat parti tewas), justeru lebih sanggup mengangkat pemimpin sekalipun sedar mereka tidaklah layak dipilih mewakili mereka.

Dan berpandukan situasi politik Malaysia hari ini, saya tidak rasa rakyat/pengundi akan bergerak dan menerima idea 'pilih calon yang layak jadi faktor no.1, pilih parti yang layak jadi faktor no.2'. 

Tetapi jika kita semua benar-benar mahukan pemimpin-pemimpin politik yang akan datang adalah terdiri daripada mereka-mereka yang lebih bersih dan layak, dari kedua-dua parti, yang berupaya melakukan 'check and balance' secara lebih berkesan, dan untuk mengurustadbir negara dan wang rakyat secara lebih telus dan cekap, saya percaya idea ini akan diterima jua....suatu hari nanti....

Sebagai penutup, renungkan kisah berikut:

-------------------------------

>>> MindaTajdid ".................Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda:

“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim). 

Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat."

---------------------------------------

No comments: