Thursday, 2 August 2012

Bagaimana "Berjimat" di dalam membayar hutang kad kredit

Hutang tak baik

Pertamanya, ingin diingatkan kepada diri saya sendiri dan rakan pembaca di luar sana bahawasanya berhutang adalah tidak baik. Jika dibelenggu hutang, pencarian kehidupan yang selesa, tenang dan berkat juga jadi tambah mencabar, malah sukar diperolehi. Masakan tidak, di setiap waktu, perasaan dan jiwa ini sentiasa bercampur-baur, selain sukar tenteram sekiranya asyik dihantui kebimbangan hutang yang hanya "menunggu masa" untuk dituntut...

Sesetengah kita sering bertanya; bagaimanakah caranya untuk mengenalpasti yang diri kita sedang berhadapan dengan masalah kredit?

Jawapannya; 

(1) seandainya bayaran bulanan anda bagi kad kredit dan hutang peribadi melebihi 20% daripada jumlah gaji bersih, maknanya anda berada di dalam masalah kredit. 
(2) jika ansuran bulanan (kereta, rumah, kad kredit dan hutang peribadi) melebihi 30% daripada jumlah gaji bersih, pun menjadi petunjuk yang anda sedang berhadapan masalah kredit.

Bagi mengetahui tanda-tanda awal anda sedang berhadapan dengan masalah hutang ataupun tidak, lihat sama ada anda:

(1) Tidak mampu membuat bayaran minimum ke atas hutang kad kredit
(2) Pinjam dari Kad A untuk menyelesaikan hutang di Kad B, dan seterusnya
(3) Lazimnya didenda kerana lewat membuat bayaran bagi hutang kad kredit
(4) Kad kredit yang dimiliki menjadi mod (cara) pembayaran perbelanjaan yang utama berbanding tunai atau kad debit
(5) Tidak mampu mengadakan simpanan kerana tiada baki wang di dalam akaun
(6) Lebih 20% daripada jumlah gaji bersih dihabiskan untuk membayar hutang kad kredit dan hutang peribadi

(sumber: google image)

Jadilah “pemegang” kad kredit, bukannya “dipegang” kad kredit

Kalau kita ditakdirkan menghadapi kematian tanpa meninggalkan sebarang hutang, itu merupakan suatu rahmat yang besar, Alhamdulillah. 

Namun, jika hal yang sebaliknya berlaku, kepada siapakah bakal kita bebankan segala hutang-piutang tertunggak ini? 

Menjadi matlamat setiap insan untuk bahagia di alam sana kerana selain membawa bekalan amal sendiri (dibantu juga dengan sedekah jariah sewaktu hidup), selain doa anak-anak yang soleh.

Namun, sekiranya semasa hidup penuh hutang (kerana sikap sendiri), manakan ada ruang untuk bersedekah jariah. Peninggalan bermacam bentuk hutang juga bakal menyusahkan waris si mati. Justeru, di manakah dapat diperoleh doa-doa waris yang soleh jika mereka hanya akan mengutuk si mati yang pergi dengan meninggalkan hutang?

Contoh menguruskan hutang kad kredit dan cara berjimat

Sesungguhnya tiada cara termurah di dalam urusan membayar hutang. Jumlah yang dihutang, itulah yang perlu dibayar. Cuma berapa lama tempoh bayaran balik dan “sumbangan” kita terhadap interest (faedah) masih boleh kita jimatkan. 

Mari lihat contoh di bawah:

Hutang kad kredit semasa berjumlah RM15,000, dengan bayaran faedah sebanyak 18% setahun, bayaran minimum bulanan RM750 (iaitu 5% daripada baki). Masa yang diambil untuk bayaran balik adalah 24 bulan (2 tahun) dengan jumlah faedah sebanyak RM2,967.00 (Rajah 1).

Walaupun memiliki jumlah hutang tersebut, (katakan) anda masih mampu menabung lebihan RM200.00 duit gaji setiap bulan (kakitangan awam yang mendapat kenaikan gaji perlu berikan perhatian). Anda ingin gunakan wang lebihan tersebut sebagai tambahan bayaran hutang kad kredit anda. Dengan situasi ini, berapa cepat boleh diselesaikan hutang kad kredit tersebut?

Lihat proses biasa yang sedang dan perlu anda lalui bagi menjelaskan hutang tersebut:

RAJAH 1:

HUTANG KAD KREDIT
Baki kad kredit
RM15,000.00
Kadar faedah tahunan: (%)
18%
Kadar bayaran minima sebulan: (%)
5%
Jumlah bayaran MINIMA
RM750.00
Tidak bayar pada bulan Disember (Ya/Tidak)
Tidak
Cadangan bayaran lebih setiap bulan?
RM0.00

Tahun
Baki awal
Faedah
Bayaran tahunan
Baki akhir
1
RM15,000.00
RM2,153.00
RM9,000.00
RM8,153.00
2
RM8,153.00
RM814.00
RM8,967.00
RM0.00


RM2,967.00



JIKA sekiranya kita mengambil lebihan daripada simpanan bulanan yang berjumlah RM200 tadi (Rajah 2):

RAJAH 2:

HUTANG KAD KREDIT
Baki kad kredit
RM15,000.00
Kadar faedah tahunan: (%)
18%
Kadar bayaran minima sebulan: (%)
5%
Jumlah bayaran MINIMA
RM750.00
Tidak bayar pada bulan Disember (Ya/Tidak)
Tidak
Cadangan bayaran lebih setiap bulan?
RM200.00

Tahun
Baki awal
Faedah
Bayaran tahunan
Baki akhir
1
RM15,000.00
RM1,945.00
RM11,400.00
RM5,545.00
2
RM5,545.00
RM302.00
RM5,847.00
RM0.00 (7 bulan)


RM2,247.00



Berdasarkan kedua rajah di atas, kita dapat lihat dua bentuk penjimatan iaitu:

(1) Tempoh bayaran balik hutang dipendekkan dari 24 bulan, kepada 19 bulan. Penjimatan tempoh sebanyak 5 bulan telah menyelamatkan wang RM750.00 anda daripada dikeluarkan bagi tempoh yang tersebut.

(2) Dari segi penjimatan kadar faedah. Jika proses biasa anda perlu menanggung faedah berjumlah RM2,967, melalui proses baru ini anda hanya membayar faedah sebanyak RM2,247 iaitu penjimatan sebanyak RM720.00.

Berbincanglah

Di samping contoh di atas, anda juga boleh mencuba beberapa kaedah perkiraan bagi membantu anda membuat keputusan untuk membayar hutang-piutang anda.

Anda boleh layari Yahoo! dan klik pada “Finance” dan klik lagi pada “Personal Finance”. Pelbagai jenis kalkulator yang boleh membantu anda mengira dengan mudah.

Yang utamanya di sini, anda harus sedar di manakah kedudukan anda sekarang (status hutang)? Adakah belum terjemurus ke dalam masalah kredit? Atau tanda-tanda penyakit hutang itu telah mula kelihatan?

Jika ada (tanda-tanda itu), bawalah berbincang bersama pasangan anda dan rancanglah untuk mengeluarkan diri dan keluarga daripada belenggu hutang. Jika boleh, latihlah diri secara berdisiplin terhadap mengurus perbelanjaan. Cuba wujudkan lebihan wang melalui penjimatan setiap bulan. Catatkan perbelanjaan di belakang slip resit ATM.

Gunakan bonus tahunan (atau bonus raya!) anda untuk membayar hutang. Sepatutnya apabila gaji meningkat, tabungan dan pelaburan lah yang meningkat, bukannya perbelanjaan pula yang terus meningkat.

Moga beroleh manfaat!

Baca lanjut: Rohani Mohd Shahir (2009). Ke mana wang anda? Selangor: Galeri Ilmu Sdn Bhd (muka surat: 136-140).

No comments: