Tuesday, 28 August 2012

Berhutang untuk melabur?

Topik ini saya sentuh memandangkan ada dalam kalangan orang Melayu kita (aku kah itu?) melabur dengan kaedah ini (berhutang untuk melabur). 

Antara sebab yang diberi adalah, "Saya susah hendak disiplinkan diri untuk melabur. Hanya dengan cara ini sahaja saya akan melabur"

Pelik bukan?

Kenapa kita memerlukan seseorang untuk menelefon kita dan mengingatkan kita untuk membayar ansuran hutang pelaburan kita setiap bulan? Bukankah lebih baik kita sendiri melabur dengan wang kita sendiri? 

foto hiasan (google images)

Sekarang sudah ada sistem arahan tetap, di mana kita boleh minta pihak bank mengeluarkan wang dari akaun kita terus ke instrumen pelaburan yang sudah dikenalpasti.

Di sini saya anggap taktik bank "lebih kotor" sebab dipujuk pelanggan dengan bertopengkan alasan:

"Cuma bayar untuk setahun sahaja dan pada akhir tempoh akan dapat keuntungan berkali-kali ganda".

Saya kongsikan satu contoh di sini:

1) Melabur dalam skim ASX dengan pembiayaan sepenuhnya sebanyak RM200,000.

2) Kadar faedah yang dikenakan:
BLR - 1.75% (3 tahun pertama)
BLR - 1.5% (tahun seterusnya)

3) Ansuran bulanan:
RM1,061.20 dan anda cuma perlu membayar sekali (selama 1 tahun).

Jika hanya menilai "pujukan" seperti ini: Bayar setahun cuma RM12,734.40. Selepas itu tidak perlu bayar apa-apa, cuma tunggu sehingga 25 tahun. Anda akan mendapat RM200,000! Gandaan sebanyak 150%!!

Wow! Banyak sungguh!

Sekarang anda mungkin gelap mata dan bersetuju mengambil tawaran tersebut. Apapun, cuba lihat pula dari sudut yang berbeza:

1) Anda berhutang selama 25 tahun. Satu jangka masa yang panjang.

2) Kepastian ASX memberi pulangan secara konsisten dan selalu mengatasi BLR tidak dapat dijamin sama sekali. Saya sendiri melalui pengalaman pahit dengan cara berhutang seperti ini dan akhirnya terpaksa menganggung kerugian yang besar, akibat amanah saham yang diandaikan membayar dividen yang tinggi oleh pihak bank tetapi tidak berjaya menepati ramalan mereka.

3) Dividen tahunan yang diguna oleh pihak bank untuk membayar ansuran bulanan tahun kedua sehingga akhir tempoh pembiayaan adalah sebanyak RM305,625.60! Inilah jumlah wang yang anda sudah setuju untuk pihak bank ambil setiap bulan, kerana anda tidak mahu risau tentang komitmen untuk membayar ansuran bulanan dalam tahun kedua dan seterusnya.

4) Jika jumlah ini dicampurkan dengan ansuran tahun pertama, bayaran anda kepada pihak bank sudah mencecah RM318,360 pada akhir tempoh 25 tahun. Anda hanya menerima RM200,000, siapa agaknya yang lebih untung?

5) Sekiranya anda hanya melabur dengan wang sendiri setiap bulan - saya hanya ambil separuh daripada ansuran bulanan dalam contoh ini, katakan RM500 sebulan, dengan kadar pulangan 10% setahun, dan anda melabur hanya 15 tahun, anda berupaya mengumpul sebanyak RM207,235. Dapat dalam tempoh 10 tahun lebih cepat (kalau tak anda perlu tunggu 25 tahun untuk dapat RM200,000 itu!).

6) Jika jumlah ini terus dilabur selama 25 tahun (seperti skim ASX itu), dengan pulangan 10% setahun dan anda tidak membuat sebarang pengeluaran, pada akhir tempoh, tabungan anda akan mencecah RM663,415. Barulah dikatakan lumayan, bukan?

7) Sekiranya terjadi keadaan di mana status kewangan anda tidak begitu stabil, wang yang dilabur ini boleh dikeluarkan atau 'ansuran atau tabungan bulanan" ini diberhentikan. Pelaburan yang terkumpul pada ketika itu masih hak milik anda. Ini berbeza dengan keadaan pembiayaan ASX tadi, kerana pelaburan tersebut bukan milik anda selagi belum habis bayar ansuran (cukup 25 tahun).

Saya harap hujah dan penerangan yang panjang lebar ini dapat difahami oleh para pembaca sekalian. Ada yang sanggup berhutang kedua-dua suami isteri demi hendak mengejar impian seperti contoh skim ASX di atas.

Ambillah pengajaran daripada pengalaman saya sendiri dan jangan mengikat diri anda untuk berhutang dalam satu tempoh yang amat panjang.

Dalam kes saya, pihak bank menganggarkan dividen tahunan saham amanah itu akan memberi pulangan 10% setahun, maka mereka ambil kira penerimaan ini bagi menentukan berapakah bayaran ansuran bulanan. Jadi, untuk pembiayaan sebanyak RM300,000 saya hanya perlu membayar RM338 sebulan, di mana selebihnya diambil daripada anggaran dividen yang bakal diterima.

Ditakdirkan pelaburan itu tidak menguntungkan dan tiada dividen dibayar selepas setahun dua beroperasi. Jika saya kira ansuran bulanan yang perlu dijelaskan, rasanya sehingga 2 generasi baru akan habis membayar pembiayaan tersebut.

Satu lagi cara untuk saya menjelaskan ansuran ialah dengan menjual saham amanah tersebut dan selebihnya hutang itu dibayar secara bulanan dengan ansuran yang lebih besar...

---------------
Dipetik dari:

- Rohani Mohd Shahir (2012). Bijak Mengurus Wang. Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Mengenai Rohani:

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Perunding di Hijrah Wealth management Sdn Bhd iaitu firma pengurusan kewangan Islam. Lulusan Ijazah Ekonomi dalam jurusan Perakaunan dari Universiti Sydney, Australia. Beliau juga merupakan mantan Pengurus American Express dan aktif terlibat mengendalikan bengkel dan program latihan kewangan. Beliau banyak menulis artikel tentang perancangan kewangan di beberapa majalah di tanah air selain pernah muncul dalam wawancara di Radio BBC London.

No comments: