Saturday, 18 April 2009

SPPK

Kementerian pelajaran hari ini mengumumkan pelan transformasi sistem pendidikan negara melalui pengenalan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

SPPK akan dimulakan tahuna depan (2010), akan menjadikan sistem penilaian pelajar sekolah tidak lagi 100% bergantung kepada peperiksaan bagi penentuan gred matapelajaran.

SPPK akan dimulakan dengan murid pra-sekolah dan tahun 1. Perlaksanaan SPPK juga bakal menjadikan tumpuan terhadap peperiksaan UPSR, PMR dan SPM dikurangkan.

Ini kerana sistem semasa masih menggunakan 100% keputusan yang diperoleh pelajar di dalam peperiksaan.

SPP akan menilai dan memperuntukkan markah (dengan pemberat yang berbeza) kepada para pelajar melalui 4 kriteria iaitu:

a) Psikometri (sikap/sahsiah pelajar)
b) Kokurikulum
c) Berasaskan sekolah (peperiksaan mingguan dan bulanan)
d) Berpusat (Lembaga Peperiksaan menyediakan soalan yang selaras bagi peperiksaan di semua sekolah).

Projek perintis SPPK ini telah dimulakan di 50 buah sekolah tahun lalu (2008) dan dijangka 500 buah sekolah lagi bagi tahun ini (2009). Cuma buat masa ini, keputusan ujian bulanan dan mingguan semuanya hanya disimpan di sekolah dan tidak dimasukkan ke dalam keputusan peperiksaan akhir.

Kumpulan pertama akan dinilai secara SPPK adalah calon UPSR pada tahun 2015, iaitu apabila mereka menduduki tahun 1 pada tahun 2010.

Sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
======

Dah nasib korang

Saya tidaklah arif untuk membahaskan hal berkaitan SPPK ini, namun 'spirit' dan objektif SPPK ini nampaknya baik demi membantu melahirkan golongan intelek dan modal insan lebih kreatif dan berdaya saing di masa hadapan.

Cumanya, saya harap perlaksanaan SPPK ini tidak memeningkan banyak pihak. Bukan apa, sistem pendidikan negara kita sering berubah-ubah dan murid-murid serta para gurulah yang menjadi 'subjek eksperimen' - takpelah, dah nasib korang...

Belumpun surut isu penolakkan pelbagai pihak terhadap PPSMI, yang didendangkan sehingga ke peringkat nasional, kini timbul pula SPPK.

Penambahan kriteria penilaian iaitu memasukkan unsur subjektif (sahsiah dan sikap), pastinya memerlukan guru dengan kemahiran khusus. Ini kerana orang sekarang 'bijak' sehingga mempunyai 2 identiti (1 identiti di depan ibubapa di rumah + 1 identiti di belakang ibubapa).

Namun, menggunapakai sistem penilaian subjektif ini bukan lagi menjadi isu, kerana telah banyak modul dan bahan yang boleh dijadikan asas panduan untuk memandu penilaian sikap dan sahsiah para pelajar.

Positif

Maksud positif di sini ialah apabila isu PPSMI tidak dimasukkan ke dalam perbincangan mengenai SPPK.

Secara peribadi, tindakan kementerian mula menampakkan adanya usaha ke arah 'sistem penilaian berterusan'. Penilaian yang saya maksudkan bukan sahaja meliputi akademik, tetapi penilaian sahsiah diri para pelajar.

Pengalaman menjadi pensyarah di IPTA sebelum ini menimbulkan masalah kepada saya (dan ramai rakan yang lain juga), terutama untuk mengajar pelajar lepasan SPM yang masuk ke IPTA.

Banyak benda yang kami para pensyarah kena betulkan semula (yang sepatutnya dah tak berlaku), iaitu:

i) Ramai pelajar cemerlang keputusan SPM (10A, 12A), tapi hanya hebat MENGHAFAL, tapi tidak hebat daya KREATIVITI dan kurang berkemampuan bagi menjawab soalan PENYELESAIAN MASALAH. Ini yang masalahnya.

ii) Sistem 'spoon feeding' - semua cikgu bagi - di sekolah, bukanlah budaya belajar di IPT. Pelajar perlu PROAKTIF, bukan DI-NYAH-AKTIF. Tugas pensyarah cuma 'tunjuk jalan', untuk sampai ke 'hujung jalan' itu tugas para pelajar sendiri, bukan pensyarah. Cuma apabila di pertengahan jalan tu anda tersesat/jatuh gaung, etc, maka datanglah pensyarah untuk bantu tarik tangan anda dan bawa ke landasan yang betul semula.

iii) Suka buat benda/tugasan 'last minute'. Ini kerana dalam sistem pelajaran UPSR, PMR mahupun SPM menekankan 100% final exam. Kata orang, tingkatan 4 dan 5 main-main dulu pun tidak mengapa, tetapi 2-3 bulan sebelum SPM kena mula menghafal, dan boleh jamin keputusan yang baik di dalam SPM. Jadi budaya tersebut masih terbawa hingga masuk IPT.

iv) Not-independent. Inilah yang dirisaukan kerana matlamat untuk melahirkan modal insan kelas dunia yang berdaya saing tidak kesampaian. Pelajar TAKUT untuk buat silap. Pelajar nak diawasi 24jam oleh pensyarah, suka lihat orang lain buat salah dulu dan tunggu pembetulan 'orang yang kena', supaya terselamat diri sendiri. Akhirnya produk semua monotoneus (sama macam pakej Maggi - seragam, tiada kelainan, sukar mencari yang unik).

Kami di IPTA bukan di sekolah yang akan merotan anda jika buat salah! Kalau di kuliah dah takut-takut, bagaimana apabila masuk bilik temuduga dan bersaing dengan graduan lain untuk memperoleh kerja kelak?

Bukan salah anda (pelajar)

Namun tidak adil untuk menyalahkan para pelajar sepenuhnya.

Mereka hanyalah produk - yang terhasil daripada SISTEM yang digunapakai pihak kementerian.

Saya sendiri dahulupun pelajar sekolah dan mengikut sistem yang sama.

Kalau diberi pilihan, pelajar mana yang mahu menjadi penghafal semata. Ramai pelajar yang kreatif (dalam bidang bukan akademik) tidak mendapat merit yang sewajarnya kerana SISTEM hanya mengiktiraf para 'penghafal'.

Ramai yang tangan kreatif:- pandai melukis, minat terhadap kerja bengkel elektronik, elektik, minat buat kraftangan, ukiran kayu, bertani dan ternak ikan, etc. Ini tidak dilihat dan dinilai sebagai merit sebelum ini.

SPPK harapnya akan benar-benar 'menongkah arus' kali ini. Biarlah sistem menghafal itu diseimbangkan dengan kemampuan pelajar untuk berkreativiti dan berani untuk 'berfikir di luar kotak'.
======
p/s: bukan semua bekas pelajar saya seperti yang saya katakan di dalam artikel ini, cuma adalah sebahagiannya (berdasarkan pengalaman saya sendiri). Namun, dengan inisiatif untuk berubah dan masa anda yang masih panjang, insyaAllah anda akan berjaya menjadi modal insan yang berdaya saing dan bermanfaat kepada negara di masa depan. Amin.

No comments: