Thursday, 2 April 2009

Pendidik dan Politik

Sambil-sambil menjengah berita harian online sebentar tadi, terpandang satu tajuk, "Hishamuddin Pertahan Cadangan Guru Kumpulan A Dibenar Berpolitik'.

'Berpolitik' ke mana?

Konsep guru atau berguru ini telah wujud lama sebelum pendidikan formal terbentuk di Malaysia. Di kalangan orang-orang Melayu khususnya, guru menjadi figure yang begitu dihormati dan disanjung tinggi dalam masyarakat. Guru dihormati kerana ilmunya dan peribadinya.

Tugas sebagai guru ketika itu dilihat bukan hanya sebagai 'seorang yang menyampaikan ilmu' malah lebih menyeluruh sehingga telah diakui guru sebagai agen perubahan (minda dan sikap masyarakat).

Lihat saja di kampung-kampung, bagaimana guru agama/mengaji di amanahkan untuk menyampaikan ilmu agama dan memperbetulkan pribadi anak-anak, guru silat menjadi tempat anak-anak muda mendalami ilmu mempertahankan diri, guru menjahit bagi mempersiapkan diri anak gadis sebelum berumah tangga, etc.

Malah di awal pembentukan Malaya lagi, gurulah yang turun ke kampung-kampung berbasikal bersama-sama pemimpin (Tun Razak, etc) bagi menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat jelata.

Penempatan guru di sekolah di luar bandar, malah di pekan-pekan kecil di luar bandar dilihat memudahkan penyaluran maklumat dibuat kepada rakyat di waktu itu. Namun, berbeza dengan hari ini di mana di sebalik kecanggihan ICT, jalan raya, etc. peranan guru tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Guru hanya di dalam pagar sekolah. Kebanyakan masa hanya di sekolah dan mungkin hanya lalu atau melintas di depan kedai kopi dan warung, surau, atau lain-lain kawasan orang berkumpul untuk ke sekolah (tidak semua).

Guru 'diajar untuk mengajar' selama bertahun-tahun di institut perguruan dengan ilmu dan kemahiran untuk mengajar anak murid, tetapi tidak dengan kemahiran untuk bercampur dan memberi manfaat kepada masyarakat di luar pagar sekolah secara keseluruhannya (tidak semua).

Guru hanya menganggap tugasnya sebagai 'suatu kerja rutin', sama seperti pekerja di pejabat, yang dibayar dengan gaji apabila cukup bulan (tidak semua).

Justeru, cadangan untuk membenarkan guru kembali aktif berpolitik perlu dilihat di dalam dua keadaan, di mana kedua-duanya wujud pro dan contra.

Sedar tak sedar, penglibatan guru mahupun lain-lain kakitangan kerajaan kategori A di dalam pertubuhan politik bukan lagi perkara yang asing.

Jelas bahawa sama ada dibenar atau tidak, guru tetap terlibat dengan politik. Ini kerana sebagai orang yang berilmu, telah menjadi tugas dan tanggungjawab pendidik untuk terdedah kepada pelbagai bentuk maklumat dan peka terhadap perkembangan semasa.

Apabila melihat, kita akan berfikir, membuat analisa terhadap sesuatu perkara dan dari situ, satu rumusan dapat kita buat. Kalau betul sesuatu perkara tu, kita sokong dan begitulah juga sebaliknya.

Cuma yang tidak kita mahu ialah, janganlah berpolitik itu mengatasi tugas hakiki seorang guru. Yelah, sibuk ke sini-sana sebab berpolitik hingga mengabaikan tugas di bilik kuliah, etc.

Dan juga janganlah perbezaan ideologi politik itu sehingga membawa perpecahan di dalam institusi pendidikan yang murni dasar penubuhannya. Kerana apabila rosaknya guru, rosaklah juga anak didiknya.

Jika ingin membenarkan juga, benarkan juga kewujudan kepelbagaian ideologi politik. Jangan dicantas, jangan disekat pendapat dan idea pihak yang mungkin tidak sebulu dengan kita, jika betul-betul mahu telus. Sebab jika kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, itukan zalim namanya.

Setiap guru ada akal dan pertimbangan mereka sendiri. Mereka ini golongan yang matang dan berupaya untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk.

Adalah tidak mustahil, jika diberi peluang para pendidik ini akan kembali bangkit dan menjadi wadah perubahan dalam menjana pembangunan minda dan sikap masyarakat dan generasi kita yang akan datang.

No comments: