Wednesday, 22 June 2011

Koleksi Terbaharu 1Malaysia: Kedai Rakyat 1Malaysia

Ketika melayari internet sebentar tadi, terbaca saya akan satu laporan mengenai pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), dengan unit pertamanya telah beroperasi di Stesen LRT Kelana Jaya, Selangor.

 Sumber: rujuk foto

Berita lanjut boleh anda baca di sini 

Sebagaimana yang dilaporkan, penubuhan kedai berkonsepkan pasar mini (mini market) ini merupakan hasil usahasama antara Mydin Holdings dan kerajaan.

Difahamkan juga,  barangan yang dijual di kedai ini adalah ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding pasaraya biasa.

Secara peribadi saya menyambut baik langkah yang diambil oleh badan korporat melalui kerjasama kerajaan ini, memandangkan hasrat dan aspirasinya "bersih".

Adalah amat wajar bagi para pengguna, setelah sekian lama terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup, akhirnya diberikan alternatif untuk berbelanja - ini perkara pokok.

Dan apabila saya katakan ianya suatu "alternatif", makanya tiada paksaan. 

Terpulang kepada para pengguna sendiri. Nak beli di situ kerana inginkan penjimatan, belilah dan sebaliknya.

Para pengguna yang telah berkunjung ke KR1M hari ini mungkin lebih arif dengan harga dan "kebolehterimaan kualiti" (*acceptable quality) barangan atau produk yang ditawarkan.

nota: * sekarang dah susah nak dapat barang berkualiti pada harga murah. Jadinya pengguna perlu timbang-tara di antara kualiti dan harga.

Menurut laporan akhbar lagi, KR1M juga memberikan tumpuan kepada produk tanpa jenama, pada harga rendah, di samping membuka peluang perniagaan kepada lebih ramai pengusaha IKS.

Konsep pasar mini ini juga pada saya, boleh juga dianggap sebagai salah satu elemen "kecil" di dalam usaha ke arah "negara berkebajikan".

Cuma, pengenalan konsep ini memerlukan kepada suatu tinjauan atau kajian terhadap keberkesanannya (dan risikonya). Andainya tiada masalah yang besar, tidak rugi untuk ianya diperluas ke seluruh negara, termasuklah ke negeri-negeri yang ditadbir Pakatan.

Saya tidak ingin bersikap kritikal kepada perkara ini kerana belum berpeluang mengunjungi KR1M ini sendiri lagi.

InsyaAllah, manalah tau kepulangan singkat ke tanah air bulan depan ini dapat digunakan untuk singgah sebentar dan meninjau-ninjau apa yang patut.

Tambahan pula, adalah tidak adil untuk memberikan komen "lebih-lebih" berpandukan cakap-cakap orang semata.

Wassalam.

No comments: