Ringkas sahaja.
Cerah vs Gelap
Idea penulisan dibantu hasil rumusan saya terhadap buku karangan Harun Yahya (Gerakan Freemason/FM Sedunia, 2005, pp. 130-132).
Pendekatan yang mendokong fahaman humanisme, materialisme, sekularisme dan bermacam lagi yang lazim kita dengar hari ini (kapitalisme, komunisme, evolusi, etc) merupakan pegangan golongan FM, Jacobin, Ikhwan as-Safa' (Sahabat Sejati a.k.a FM Dunia Islam) dan pelbagai lagi.
Fahaman-fahaman ini telah secara halus (diluah secara rahsia melalui simbol tertentu) cuba diserapkan oleh pemikir-pemikir Eropah sekitar abad ke 17 dan 18, bertujuan melemahkan institusi agama, ketika itu di bawah pimpinan gereja Kristian Katolik.
Pada zaman itu (hari ini pun), idea-idea materialisme dan evolusi (humanisme juga) telah diterima secara meluas di dalam masyarakat Eropah sehingga idea-idea ini berjaya meminggirkan fungsi dan peranan Tuhan dan agama di dalam nilai kehidupan mereka.
Zaman ini dikenali sebagai Zaman Kesedaran (Enlightment/pencerahan).
Terma 'Kesedaran' ini telah 'dipilih' dengan begitu cermat sekali oleh 'mereka', sebagai menandakan titik mula kewujudan gerakan kesedaran di dalam masyarakat di Eropah untuk merangkak keluar daripada apa yang 'mereka' dakwa sebagai Zaman Kegelapan (Dark Age).
Dark Age - zaman di mana agama Kristian telah dituding sebagai penyebab kemunduran dan kejumudan melalui ajaran yang mengarut, penuh dengan perkara "mambo-jumbo", sehingga manusia gagal memahami dan membangunkan kuasa 'akal' ke tahap yang melebihi batasan 'peraturan' (agama).
Agama Akal
Maka, setelah Eropah berjaya disekularkan dan nilai-nilai agama diketepikan sepenuhnya daripada bercampur dengan kehidupan (agama suku, hidup suku - ramai orang macam ini dah wujud di Malaysia sekarang pun!), maka inilah yang mereka anggap sebagai bermulanya era baru, era di mana Agama Kristian dipinggir dan 'Agama Akal' diagung-agungkan.
Namun, apakah Zaman Kesedaran ini telah membawa hasil dan natijah yang positif kepada dunia Eropah?
Emmm....tidak banyak. Salah satunya adalah tercetusnya 'Revolusi Peranchis', yang telah menukarkan negara terbabit menjadi lautan darah. Ada kisah suka? Kisah duka banyak. Tak percaya? Jengoklah sikit foto-foto di Wikipedia ini - KLIK
Seorang pemikir British yang mengkaji Revolusi Peranchis ini iaitu Admund Burke di dalam bukunya "Reflection on the Revolution in France (1790)" menyimpulkan bahawa tiada hasil positif yang dibawa oleh gerakan revolusi, melainkan menyumbang kepada konflik-konflik masyarakat yang berlarutan tanpa penyelesaian (sehingga ke abad yang ke-20).
Tambah beliau lagi, gerakan revolusi tersebut juga "telah memusnahkan nilai-nilai asas yang menyatupadukan masyarakat (seperti agama, moral, struktur kekeluargaan), selain membuka ruang kepada anasir jenayah dan kekacauan" (p. 130).
Lebih tepat lagi, 'kesedaran' yang dibentuk mengikut acuan 'mereka' sebenarnya merupakan "gerakan kemusnahan kepada kebijaksanaan manusia" (p. 130).
Sesungguhnya revolusi Peranchis ini adalah suatu gerakan ke arah meruntuhkan agama dan memisahkan manusia daripada terikat dengan peraturan (agama) bagi membimbing hidup mereka.
Sehingga hari inipun, ramai warga Peranchis sendiri masih mempersoalkan sama ada revolusi ini adalah suatu perkara yang baik, atau sebaliknya.
Tunisia
Barangkali apa yang telah berlaku di Tunisia baru-baru ini tidaklah sama dengan revolusi Peranchis kerana rata-rata orang beranggapan ianya merupakan titik mula kepada agama Islam (peraturan) untuk kembali tertegak di negara yang sekian lama gersang daripada tarbiah. Alhamdulillah, harap kekal begitulah.
Kerisauan saya adalah, apakah revolusi Tunisia ini tidak dipacu (bebas) oleh idea-idea materialisme?
Materialisme yang saya maksudkan ialah kebangkitan rakyat menolak pemerintah kuku besi adalah disebabkan faktor kemiskinan dan kemelaratan hidup (ekonomi - pengangguran, inflasi, pendapatan rendah) dan sosial (jenayah, kekacauan, diskriminasi, etc), bukan bergantung kepada faktor agama semata.
Satu yang perlu diperhatikan, sebagaimana parut dalam yang telah ditinggalkan oleh revolusi Peranchis, apakah 'Zaman Kesedaran' Tunisia ini akan berjaya melepasi halangan ke arah mewujudkan kerajaan baru yang lebih Islamik, menyatukan semula masyarakat dan sistem kekeluargaan dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai teras kehidupan?
Atau sekadar suatu lagi fasa yang akan memanjangkan tempoh kemusnahan kebijaksanaan manusia dengan mengkompromikan agama di atas nama materialisme dan humanisme?
Jangan pula nanti kita pula yang jadi makin muak menatap berita mengenai episod kekacauan demi kekacauan yang tidak berpenghujung di Tunisia!
------------------------------
nota:
- Kenapa saya tulis artikel ini? Sebabnya kurma yang saya selalu makan baru sahaja habis. Kurma 'Sultan' dari Tunisia. Teringat Tunisia, itulah yang buat saya tergerak kumpul sedikit bahan untuk menulis.
- Saya sudah tidak mengikuti lagi kisah Tunisia ini. Apakah telah ditubuhkan kerajaan baru setelah Ben Ali ditendang keluar?
- Sumber penulisan saya iaitu buku 'Gerakan FM Sedunia' ini menarik untuk dibaca sebagai penambah pengetahuan. Ianya menawarkan sisi yang berbeza daripada penulisan di internet. Di dalam usaha Harun Yahya menyiapkan buku ini, beliau telah ditangkap, difitnah sehingga dipenjara di penjara orang gila oleh 'mereka' dengan harapan beliau mati dibunuh orang gila semasa di penjara.
- Sumber yang beliau guna untuk menulis buku tersebut dipetik langsung daripada majalah FM sirkulasi dalaman yang memuatkan pernyataan ketua-ketua agung FM sendiri.
- Anda ingat FM itu dilahirkan untuk menjaga kepentingan Yahudi? Selalu didengari orang menulis di forum-forum dengan istilah YahudiFM, FMyahudi, Iluminati, etc. benarkah?
- Sebenarnya FM adalah gerakan yang anti semua agama (Islam, Yahudi, Kristian), dan sama ada anda percaya atau tidak, Yahudilah yang paling 'terluka' setelah diresapi gerakan rahsia FM, yang selama beribu tahun beroperasi secara sulit dan terlindung ini!
Sekian.