Saturday, 15 August 2009

Hot spots H1N1: Measuring the immeasurable?

Pertamanya, marilah bersama kita berdoa moga Allah pelihara kesihatan diri kita, ahli keluarga kita, saudara-mara kita, masyarakat kita, negeri dan negara kita daripada wabak penyakit berbahaya ini.

Terkini

Bersandarkan laporan Utusan-online hari ini (16 Ogos 2009), jumlah kematian akibat H1N1 a.k.a selesema babi telah mencecah angka 62 orang, dengan 283 kes baru dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini ialah sebanyak 3,857 kes (sumber).

Kes melibatkan kematian pesakit H1N1 dilaporkan hampir setiap hari ini negara ini. Malah, perkembangan ini telah juga meletakkan negara berada di tangga ke-9 negara paling tinggi mencatatkan kadar kematian (sumber).

Hal yang berbeza bagaimanapun dapat dilihat di beberapa negara yang mana bilangan kes terkumpulnya lebih tinggi berbanding Malaysia, namun menunjukkan kadar kematian yang jauh lebih rendah.

Malaysia: 3,857 kes = 62 kematian
Hong Kong: 6,210 kes = 4 kematian
Filipina: 3,207 kes = 9 kematian
Jepun: 5,022 kes = 0 kematian

Di rantau Asia, Malaysia bagaimanapun masih di bawah Thailand yang mencatatkan angka 97 kematian (tangga ke-7).

Tiga negara yang paling tinggi mencatatkan jumlah kematian setakat ini adalah:

USA : 436 kematian
Argentina : 386 kematian
Brazil : 274 kematian

Amaran

Melihatkan angka kematian dan jumlah kes baru yang dicatat semakin meningkat saban hari, muncul gesaan daripada pelbagai pihak, yang meminta kerajaan mengkaji dan menentukan titik/kawasan panas (hot spots) selesema babi ini, agar rakyat dan pelancong dapat membuat langkah pengawalan dan pencegahan yang sewajarnya.

Tambahan pula, Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) turut mengeluarkan amaran bahawa 5 juta rakyat Malaysia berisiko untuk dijangkiti selesema babi ini, jika langkah penjagaan kesihatan dan kebersihan tidak diberi perhatian dan penekanan yang serius (sumber).

Pernyataan sebegini semakin menimbulkan tanda tanya di kalangan hamba rakyat:

1) Apakah status kita sekarang ini?

2) Apakah kerajaan telah melakukan 'apa yang sepatutnya' bukan sahaja bagi membendung penularan wabak ini, tetapi juga merawat dan menyelamatkan nyawa para pesakit yang menerima rawatan di hospital-hospital?

Amaran WTO ini semakin menguatkan gesaan agar pihak kerajaan segera mengeluarkan senarai hot spots (kawasan, bandar, daerah yang berisiko tinggi).

Malah ramai yang melihat tindakan mengeluarkan 'senarai kawasan panas' merupakan langkah paling rasional untuk dibuat ketika ini.

Namun, mampukah ianya dibuat oleh pihak kerajaan?

Tidak praktikal

Rakyat nampaknya perlu menunggu lebih lama untuk menerima jawapan memandangkan kerajaan pada ketika ini menganggap tindakan 'mewartakan' hot spots selesema babi sebagai tidak praktikal (sumber).

Malah, alasan yang rasional juga turut diberikan iaitu virus selesema babi itu tidak dapat dilihat, dan mungkin boleh menular rentas sempadan. Ianya (virus) boleh dibawa oleh sesiapa jua dan menjangkiti sesiapa jua, di mana-mana jua.

Justeru, adalah sukar dan tidak praktikal untuk kerajaan mengeluarkan senarai hot spots tersebut.

Pada awalnya saya sendiri agak skeptikal (was-was) dengan pernyataan ini. Saya kemudiannya mula nampak rasional di sebalik pernyataan ini, namun di masa yang sama berpandangan masih ada ruang untuk diperbaiki.

Setuju

Saya setuju dengan pernyataan bahawa virus ini tidak dapat dilihat, boleh dibawa sesiapa jua tanpa disedari dan boleh tersebar di mana-mana jua.

Justeru, ianya terlalu sukar untuk dikenalpasti (kawasan) dan diukur tahap bahaya (tahap biasa, tahap berjaga-jaga atau tahap bencana). Lihat dua contoh yang saya gunakan:

1) Kita sukar mengukur tahap kesakitan.

"Anda sakit?" - "Ya sakit sangat".
"Sakit sangat tu macam mana?" - "Tak boleh nak gambar, sakit giler".
"Oooo..."

Rasa sakit itu, tidak boleh diukur.

2) Begitu juga sukarnya untuk mengukur tahap kelaparan.

"Anda lapar?" - "Ya, lapar ni".
"Lapar sangat ke? Tak boleh tahan sikit lagi?" - "Tak boleh tahan, lapar nak mampos".
"Oookkk..."

Rasa lapar itu juga tidak boleh diukur.

Untuk mengukur benda boleh nampak (visible) adalah lebih mudah (tetapi jangan dipermudah). Contoh yang jelas ialah mewartakan kawasan-kawasan kemalangan maut di lebuh raya. Ini kerana selekoh maut tersebut 'nyata' di kawasan X atau jalan licin di kilometer Y, etc.

'Kemudahan' ini disebabkan kawasan kemalangan maut ini tidak bergerak ke mana-mana.

Boleh diperbaiki

Disebalik alasan 'sukar' atau 'tidak praktikal' - yang hanya menambahkan lagi kekalutan orang di bawah, kerajaan sewajarnya memikirkan metod (kaedah) lain "in measuring the immesuramble" (mengukur benda yang tidak boleh diukur).

Tetapi bagaimana?

Kita berbalik kepada dua contoh yang saya berikan sebelum ini (sakit dan lapar).

Adalah sukar untuk mengukur kesakitan. Akan tetapi setiap sakit itu mempunyai simpton-simpton (tanda) tertentu yang boleh dijadikan input dan inilah 'data' penting untuk dimasukkan ke dalam 'penunjuk pengukuran'.

Data daripada simpton inilah digunakan oleh para pakar kesihatan untuk mengklasifikasikan tahap jangkitan kanser seseorang pesakit. Tahap 1 - awal, Tahap 2, Tahap 3, Tahap 4 - kritikal dan sebagainya.

Begitu juga sukarnya mengukur dan menentukan kelaparan. Tetapi, setiap simpton itu akan menyediakan data berguna untuk ditentukan tahap dan peringkat gejalanya. Dengan itu, langkah pencegahan dan rawatan dapat dibuat secara sewajarnya.

Penunjuk

Kementerian Kesihatan wajarnya telah mempunyai sistem pangkalan data berkaitan H1N1 ini. Setiap hospital daerah mahupun negeri pastinya memiliki rekod pesakit dan ini dapat menyediakan input dan 'data' untuk kerajaan mengenalpasti daerah dan kawasan mana yang mempunyai rekod jangkitan dan bagaimana corak jangkitan tersebut berkembang ketika ini.

Saya percaya biarpun senarai hot spots ini tidak boleh dianggap sebagai 'dokumen rasmi' yang perlu dipercayai 100%, setidak-tidaknya ia berguna untuk:

1) Memberitahu kita bagaimana dan di mana tahap kita pada waktu dan ketika ini - melaporkan status semasa sama ada semakin baik atau bertambah buruk.

2) Membantu kita membuat keputusan - jika keadaan makin buruk, adakah boleh kita jalankan kuarantin atau sekadar pemantauan berkala, etc.

3) Membenarkan kita menyemak hasil maklum balas terhadap usaha pencegahan yang telah digerakkan pihak kerajaan - sama ada ianya berkesan mengurangkan kes atau tidak.

4) Memberikan idea ke mana arah tuju kita di masa depan - memberikan kita peluang, masa dan persediaan untuk menghadapi masa depan.

Kesimpulannya, untuk sesuatu yang tidak boleh diukur, kita masih boleh membuat pengukuran, berpandukan petanda (simpton) yang biasanya nyata.

Kemudahan sistem penyampaian kita bukanlah seperti di UK dan kebanyakan negara maju yang lain di mana talian panas (hotlines) begitu efisyen - tidak semua juga. Begitu juga dengan langkah hebahan dan publisiti yang dibuat oleh NHS (National Health Service) terhadap bahaya gejala H1N1 ini.

Apapun, Malaysia boleh melakukan kebanyakan langkah yang dibuat negara maju jika mengambilkira kemudahan yang kita ada, begitu juga kepakaran tempatan yang dimiliki.

Bersabarlah kita untuk tempoh 6 bulan hingga setahun ini. Perbanyakkan doa agar kita semua dihindari daripada jangkitan penyakit berbahaya ini.

Moga Allah bantu kita. Wassalam.

No comments: