Saturday, 2 May 2009

Label

Posting kali ini secara khusus akan membicarakan hal berkaitan isu label-melabel terhadap individu, atau kumpulan tertentu di dalam masyarakat kita.

Tujuan ianya ditulis adalah bagi menggalakkan kita berfikir dan menilai diri sama ada sikap suka melabel-label ini wujud pada kita dan apakah ianya suatu baik atau sebaliknya.

Huraian dan intipati perbincangan bagaimanapun mungkin terhad, kurang tepat dan tidak menyeluruh disebabkan batasan ilmu dan kelemahan diri saya sendiri.

Tujuan

Saya berpendapat kemunculan 'label' bermatlamat bagi menyampaikan maklumat dan memudahkan kefahaman mengenai sesuatu. Contoh paling mudah adalah dengan melihat label pada tin makanan yang kita beli.

Pelbagai informasi tertera pada tin berkenaan termasuklah jenama produk, pengeluar, pengedar, isi kandungan, fakta nutrien, tarikh dikilang dan tarikh luput serta logo halal atau logo sesuai untuk vegeterian, etc.

Dengan adanya label tersebut, kita sebagai pembeli dapat membuat keputusan sama ada hendak membeli atau tidak, dan juga membantu kita untuk lebih faham akan kandungan tin tersebut sama ada ianya sesuai dan selamat untuk kita makan atau tidak.

Itu contoh tin makanan. Di dalam masyarakat kita hari ini juga wujud elemen label-melabel ini. Pada awalnya ia seperti membawa kebaikan buat masyarakat. Label yang sering kita dengar adalah seperti:

- mat rempit, diguna terhadap golongan remaja yang terlibat dengan lumba haram, gejala sosial, ragut, etc yang menggunakan motosikal
- mat gian, untuk penagih dadah
- pencopet
, untuk penyeluk saku atau pencuri
- kutu rayau
, untuk orang yang tiada tujuan dalam hidup yang keluar pagi balik pun pagi, dan pelbagai lagi.

Malah peribahasa Melayu sendiri ada menggunakan label sebegini seperti contoh;

- mendokong biawak hidup - orang yang menjadi beban kepada orang lain
- keluar mulut harimau masuk mulut singa - ditimpa malang yang berterusan
- bagaikan memebebaskan anjing tersepit - jasa yang tidak dikenang, dan banyak lagi.

Itulah di antara label yang sering saya dengar dari kecil sampai masuk sekolah. Tujuannya agar kita dapat membezakan mana yang baik dan mana yang tidak wajar kita ikut. Label yang direka juga tidak mewujudkan banyak persoalan untuk difahami saya sendiri.

Perpecahan

Apabila saya masuk universiti bagi mendapatkan ilmu di peringkat yang lebih tinggi, saya turut terdedah kepada penggunaan label juga. Bukan ingin memburukkan sesiapa, namun saya secara peribadi melihat label yang diwujud dan digunapakai lebih kepada menjatuhkan orang dan membawa perpecahan.

Label mat skema atau nerd digunakan terhadap rakan yang menunjukkan minat yang lebih terhadap sesuatu ilmu, atau berwatak serius dalam kuliah; kaki bonceng merujuk kepada kelompok lintah yang hidup di atas ehsan rakan sekumpulan dalam menyiapkan tugasan, etc.

Label-label sebegini akhirnya mewujudkan 'puak-puak' di dalam kelas dan juga membuatkan sesetengah rakan merasa tersisih.

Tidak rasa

Semasa buat MSc, saya ada kenal dengan beberapa rakan penuntut PhD yang berasal dari Indonesia, dan ada daripadanya tinggal sama lorong dengan saya di Taman Universiti. Sahabat ini cara bersolat dia agak berbeza dengan cara saya dan kebanyakan jemaah lain bersolat. Disebabkan jahil dalam ilmu agama ni, saya sering bertanya kepada rakan yang lain.

Respon yang saya terima menyatakan rakan saya ini sebagai Wahabi. Wahabi? tak pernah langsung saya dengar perkataan tersebut sebelum ini. Lantas saya bertanya kepadanya sendiri.

Katanya, Wahabi itu adalah label yang diberikan orang kepada kumpulan tertentu. Namun, pada diri beliau sendiri, tidak pernah melabelkan dirinya sebagai pengikut Wahabi. Kesimpulannya, label boleh diberi kepada sesiapa sahaja, sedangkan orang yang dilabel itu sendiri tidak aggap ianya terkena di hidung mereka.

Politik

Begitu juga halnya di dalam politik di negara kita. Lazim kita dengar:

- orang yang pro-Islam dilabel sebagai 'karat hijau' atau juga penyokong atau cenderung kepada Parti Al-Islam SeMalaysia (PAS)
- orang yang pro-Melayu pula dilabel sebagai 'karat biru' atau juga penyokong atau cenderung kepada Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)

Label sebeginilah sebenarnya yang telah memecah-belahkan orang Islam dan orang Melayu. Kedua-dua dianggap seperti minyak dengan air (boleh bertemu, tapi bukan untuk bersatu). Label sebegini telah lama ditutur dan diulang-ulang sehingga semua orang percaya ianya benar, manakala setiap yang benar itu perlu diikut.

Yang "benar" orang Melayu UMNO dan Melayu Pas tidak boleh disatukan bagi mencapai satu agenda yang sama.

Persoalannya: di manakah pula tempatnya orang Melayu yang sayangkan Islam? atau orang Islam yang sayangkan hak istimewanya sebagai orang Melayu? Apakah label untuk golongan sebegini?

Sikap sesetengah kita yang suka melabelkan inilah yang membuatkan orang-orang yang inginkan Islam dan hak Melayu dibela secara bersama, tidak ingin ke depan. Ramai yang hanya menjadi pakar yang menganalisa situasi di blog, pengkritik di luar khalayak umum, menjadi pemimpin di belakang tabir, etc.

Yang memegang amanah dan kuasa pula masih memainkan isu perbezaan label ini berulang-ulang. Percayalah, selagi label ini kekal, orang Melayu terus lemah kerana tidak bersatu untuk memperjuangkan ajaran Islam dan keistimewaan Melayu.

Sudahnya

Saya belum nampak sikap label-melabel ini akan dihentikan. Ini kerana perpecahan yang wujud telah memanjangkan survival pihak-pihak yang berkepentingan. Terpulanglah kepada setiap kita sama ada ingin berterusan menyumbang kepada perpecahan saudara seagama dan sebangsa dengan kita melalui rekaan label-label sebegini.

No comments: