Wednesday, 20 May 2009

Bah. 1 - Sepetang bersama Dr. Asri

Alhamdulillah, semalam (19 Mei 2009) kami di Oxford telah menerima kunjungan seorang tokoh agama yang tidak asing lagi iaitu bekas Mufti Kerajaan Perlis, S. S. Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Pertemuan singkat (7.00pm - 8.30pm) di Summertown House, yang bertemakan "Peduli Al-Quran dan Sunnah" telahpun berjalan dengan lancar, selain dimeriahkan oleh sessi soal-jawab dan interaksi bersama para hadirin.

Dr. Mohd Asri bersama Ustaz Mohd Khairi

Sambutan yang ditunjukkan oleh para penghuni kampung Oxford juga begitu menggalakkan. Saya tidak dapat membuat anggaran kasar jumlah yang hadir, namun ramai juga muka-muka yang jarang muncul dalam kuliah mingguan, telah bersama-sama hadirin lain pada petang tersebut. Alhamdulillah.

Sebahagian kecil jejaka tampan yang hadir

Terdapat beberapa isu dan perkara yang telah dikupas beliau pada petang tersebut (saya sebenarnya sedang mencari video tersebut dalam laptop sekarang, tapi tak tahu kat mana file tersebut disimpan).

Apapun, paparan Bahagian I ini hanya menyentuh kupasan awal Dr Asri mengenai "fakta mengatasi orang @ dalil dari Al-Quran dan Hadis mengatasi hujjah berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh para ulamak dan orang-orang alim" di dalam mempelajari ilmu berkaitan Islam.

Intipati ceramah: fakta mengatasi orang

Namun, apa yang dapat saya ingat, pertamanya beliau menyentuh tentang disiplin di dalam mempelajari ilmu agama Islam atau ringkasnya, "fakta mengatasi orang" - melihat dan menilai sesuatu ilmu agama itu dari sudut dalil dan hujjah, dan bukan oleh siapa individu yang memperkatakannya.

Ini penting untuk difahami kerana menurut beliau, berhujjah dengan berpandu kepada pendapat para alim ulamak, mufti, para Ustaz - individu, adalah kurang tepat untuk kita ambil bilamana terdapat dalil atau hujjah pada Al-Quran dan Hadis yang betentangan dengan pendapat para individu tersebut.

Ianya kerana sebagai individu, selain Rasul S.A.W (dikurniakan sifat maksum), kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan di dalam memahami dan menyampaikan sesuatu ilmu, khasnya ilmu-ilmu agama - termasuk di dalam golongan ini juga adalah ulamak-ulamak serta tokoh agamawan terbilang zaman dahulu yang juga menulis buku dan kitab yang dirujuk jutaan ummat Islam hingga ke hari ini.

Beliau memperincikan topik ini dengan mengemukakan pelbagai contoh. Seperti Ibnu Shihab Al-Zuhri, seorang tokoh terbilang di bidang hadis, dimana beliau sendiri dikatakan telah mengemukakan hujjah yang menyanggahi fakta iaitu berkenaan kematian Zulyadai'n sewaktu peperangan Badar - Walhal bukti menunjukkan Zulyadai'n tidak meninggal. Maka, tokoh besar seperti beliau sendiri pun ada melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan. Justeru pendapat beliau di dalam hal Zulyadai'n ini telah ditolak.

Begitu juga hujjah yang dikemukakan oleh anak murid besar Ibnu Abbas iaitu Mujahid berkenaan peluang orang beriman melihat Allah di hari akhirat. Mujahid mengatakan "melihat" Allah itu bukan melihat sebagaimana kita melihat, tetapi "tunggu pahala". Namun, setelah dikaji, ulamak terkemudian, mereka telah menolak hujjah Mujahid dengan menyatakan "melihat" Allah, adalah melihat, bukan tunggu pahala. Dan inilah pendapat yang dipegang oleh para Salaf dan majoriti Ahlil-Sunnah-Wal-Jamaah.

Sedangkan Ibnu Abbas itu telah Nabi S.A.W doakan sendiri agar Allah S.W.T alimkan Ibnu Abbas dengan ilmu kitab, dan Mujahid pula murid kanan Ibnu Abbas. Namun, inilah bukti di dalam disiplin ilmu Islam, dalil mengatasi individu, biar sebesar manapun individu atau tokoh tersebut.

======

Bahagian II akan mengupas dapatan daripada sessi soal-jawab dan interaksi di antara Dr Asri dengan para hadirin. Beberapa perkara yang bermanfaat telah dibangkitkan dan telah dijawab. Tidak kurang juga beberapa kupasan, ulasan dan jawapan terhadap beberapa perkara sensitif yang tidak dapat diulas secara terbuka di blog ini (hanya yang hadir sahaja yang tahu), kerana sensitif dari segi undang-undang.

Jumpa di Bahagian II, Wassalam.

No comments: