Tuesday, 24 May 2011

Kerusi TP: Untung - Rugi sudah adat

Nota kecil: 
banyak input pada artikel ini mengambil inspirasi dan juga hasil rumusan pembacaan sumber-sumber tertentu sebagaimana dinyatakan.
---------------

Ke garisan.......atau ke penjuru.....

Hari ini, terjawab sudah segala teka-teki mengenai keputusan naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding jawatan mana pada Muktamar Pemilihan parti awal bulan hadapan.


Seperti posting saya yang sebelum ini "Pemilihan PAS: Nasib Orang No. 2", sudah semakin sah kini pertandingan untuk kerusi Timbalan Presiden (TP) parti akan menjadi 3 penjuru di antara (1) Ust Nasharudin, (2) Tuan Ibrahim, (3) Mohamad Sabu (sementara menanti jawapan oleh Ust. Azizan sahaja).

 Sumber foto: sini, sini dan sini

Walaupun ramai yang menjangka tekanan kini bakal terarah kepada seorang lagi calon iaitu Mohamad Sabu (Abe Mat), kemasukan Tuan Ibrahim sebagai peserta baru ke garisan perlumbaan, sebenarnya telah menambahkan tekanan buat penyandang, Ust Nasharudin Mat Isa di dalam usahanya mempertahankan kerusi TP.

Berbeza dengan pemilihan 2009 bilamana ketika itu Nasha telah dicabar oleh 2 calon "profesional", iaitu Husam dan Abe Mat, kehadiran Tuan Ibrahim sebagai calon "ulamak" di dalam pemilihan kali ini saya jangka bakal merubah landskap pertandingan kerana para perwakilan kini mempunyai 2 calon berlatarbelakangkan "ulamak" dan seorang "profesional".

Soalan

Persoalan yang akan meniti di benak fikiran ramai orang selepas ini: 

Big Q: Adakah kemasukan Tuan Ibrahim ini bakal mengalihkan undi/sokongan para perwakilan daripada Nasha kepada beliau (Tuan Ibrahim)?

Q: Apakah pula kesannya (pertembungan 2 calon ulamak ini) terhadap peluang seorang lagi calon, Abe Mat untuk memenangi kerusi TP ini?

Saya sedar tiada orang yang boleh memberikan jangkaan yang tepat. 

Tetapi jika diperhalusi pernyataan yang dibuat Tuan Ibrahim, seakan wujud telah sokongan (dorongan lebih tepat) kuat daripada para perwakilan dari segenap tempat memandangkan pencalonan beliau ke dua kerusi (TP dan NP), yang sekiranya dicampurkan, jumlahnya (atau bahagian yang menyokong beliau bertanding TP dan NP) adalah tinggi dan memberangsangkan.

Justeru, tidak boleh ditolak juga kemungkinan berlakunya perubahan sokongan wakil-wakil di kawasan yang sebelum ini hanya mencalonkan beliau ke kerusi NP, kepada sokongan untuk kerusi TP pada muktamar itu nanti.

Penutup 

Jika diimbas kembali keputusan pemilihan 2009, keupayaan Nasha mempertahankan kemenangan kerusi TP sebenarnya turut dibayangi oleh margin "kekalahan" beliau, andai jumlah undi yang diperoleh Husam dan Abe Mat (bukan ulamak) digabungkan. 

Apakah tandanya?

Itu jika kita kaji faktor perwakilan yang ingin mengekalkan watak "ulamak" sebagai teras kepimpinan parti.

Senario 2011 pula terbalik iaitu 2 calon berlatarbelakangkan ulamak bertanding. Namun, apakah keputusannya juga akan terbalik?

Berupayakah Abe Mat tampil sebagai pemenang, di celah-celah tumpuan orang ramai terhadap 2 calon "ulamak" tersebut?

---------------------
(nota 1: Posting ini merupakan rumusan hasil pembacaan artikel terbaharu MerdekaReview edisi BM bertajuk "Aziz Bari: Nasha akan terima kesan lebih parah bila Tuan Ibrahim bertanding").

(nota 2: saya amat berharap MerdekaReview tidak akan tutup operasinya. Banyak input/artikel yang dikeluarkannya membantu saya, di dalam usaha saya, meneruskan minat menulis hal-hal berkaitan politik dan isu-isu semasa yang saya fikirkan menarik untuk dikongsi bersama para pembaca blog Dr Sepet ini)

Sekian.

No comments: