Wednesday, 23 February 2011

Kabinet Bayangan Tidak Perlu: Anwar


Menurut Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (yang digantung daripada hadir sidang dewan selama 6 bulan), cabaran Perdana Menteri agar Pakatan Rakyat menubuhkan kabinet bayangan (shadow cabinet) tidak perlu disahut buat masa ini memandangkan penubuhan Jawatankuasa Kabinet (JK) yang sedia ada sudah memadai kerana menampakkan peranan yang hampir serupa (dengan kabinet bayangan).

Nada Ketua Pembangkang ini sekalipun ada benar dan logiknya, saya sebagai salah seorang anggota dalam masyarakat (mungkin saya sahaja), masih sangsi dengan keberkesanan JK ini di atas alasan-alasan berikut:

1) Saya tidak mengetahui siapakah anggota MP Pakatan yang diberikan portfolio-portfolio itu (menonjolkah mereka untuk dinilai rakyat akan tahap intelektualiti dan kepimpinan, atau apakah kurang promosi akan respon mereka dalam menjawab isu-isu berkaitan portfolio mereka di media milik pakatan sendiri)?

Sebagai contoh, apakah saudara Mahfuz Omar ada memegang portfolio dalam JK? Jika ada, apakah nama portfolio yang beliau jaga? - saya tidak tahu.

2) Bagaimana untuk anggota JK meneruskan fungsi dan peranan mereka seandainya 'digantung' daripada menghadiri sidang dewan, seperti mana yang sedang dilalui Anwar sendiri ketika ini?

Seandainya anggota JK ini digantung, bagaimanakah peranan beliau dan portfolio yang dipegangnya dapat diteruskan? 

3) Bagaimana Pakatan dapat menyelaras fungsi setiap JK ini 'di luar dewan'. Ini kerana banyak isu seringkali melarat  dan dibincang hingga ke luar dewan. Apakah anggota JK dapat secara spesifik menjawab isu-isu yang dibangkitkan, kerana dikhuatiri ramai yang akan berlumba untuk 'menjadi jaguh' sehingga menampakkan ketiadaan koordinasi di kalangan pimpinan dalam Pakatan di dalam menangani sesuatu isu?

Pembentukan Kabinet Bayangan bukanlah perkara asing kerana ianya menjadi amalan lazim di banyak negara, termasuklah di UK.

Bezanya mungkin di UK tidak wujud gabungan beberapa parti pembangkang yang dominan melainkan Parti Buruh sahaja ketika ini. Parti pembangkang lain kecil dan kurang signifikan untuk perkongsian kuasa.

Manakala, senario di Malaysia pula menampakkan Pakatan pembangkang begitu memerlukan di antara satu sama lain kerana tiada yang paling dominan di antara PKR-DAP-PAS.

Justeru, sesebuah parti itu tidak boleh mengatakan mereka lebih layak untuk menentukan keputusan-keputusan tertentu, tanpa perbincangan dan 'restu' daripada rakan-rakan seangkatan.

(Ini dapat kita perhatikan bagaimana nada yang digunakan PAS dalam usahanya menyampaikan mesej berkenaan Negara Islam kepada DAP dan PKR. Tambahan pula, dalam PAS sendiri telah diwujudkan Kelab Penyokong PAS untuk membenarkan mereka yang bukan Islam tetapi cenderung dengan perjuangan PAS, menjadi stakeholders kepada parti.)

Saya melihat, ketiadaan dominan (atau dominasi) ini membuatkan masing-masing parti dalam Pakatan cuba mengelakkan terciptanya situasi 'tarik-tali' yang bisa merugi/memecahbelahkan kerjasama, seterusnya meruntuhkan 'perkongsian' kuasa dan kepentingan mereka di dalam pentadbiran di beberapa buah negeri.

Inilah pada pandangan saya, yang menjadikan Anwar sedikit berlapik untuk menolak cabaran Najib bagi mewujudkan barisan kabinet bayangan - kerana tidak ingin isu 'tarik tali' wujud, dan dipanjangkan sehingga menggugat kerjasama sedia terjalin di antara ketiga parti dalam PR itu.

Inilah bezanya modus operandi bagi pihak PR dengan BN. Begitupun, hanya masa yang akan menyediakan jawapan pendekatan pihak manakah yang lebih diyakini (dan disenangi) rakyat.

Dan persoalan siapa yang jadi "tunggangan" dan siapa yang jadi "diktator" di dalam "perkongsian kuasa" ini juga harapnya akan terjawab, selari dengan masa yang berlalu.

Sekian.

No comments: