Saturday, 20 November 2010

PRU awal? Di mana 'kabinet bayangan'?

Sedia mengganti vs tidak rela diganti

Memetik laporan yang disiarkan di MSN 'Malaysia coalition launches bid to win over minorities' (KLIK) di mana berita tersebut turut menyatakan 'ramalan', ada kemungkinan untuk Pilihanraya Umum (PRU) yang ke-13, bakal diadakan pada tahun hadapan:

There has been mounting expectation that polls, which must be held by 2013, will be called next year since the opposition has been plagued by infighting and after the government won three of four by-elections this year. (lanjut: sini)

Perkembangan ini (pindaan perlembagaan BN yang membenarkan penyertaan ahli bersekutu dan kelab sahabat BN) sewajarnya dilihat sebagai satu komitmen kerajaan BN di dalam merealisasikan agenda transformasi parti, yang telah lebih separuh abad memerintah negara ini.

Dalam waktu yang sama juga, perkembangan ini juga wajar dipandang sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh Pakatan Rakyat, terutama untuk meyakinkan para rakyat bahawa mereka (disebalik pelbagai polimek yang melanda komponen di dalam PR), adalah berkemampuan untuk menjadi wadah yang akan menggantikan UMNO-BN, selepas PRU ke-13 kelak.

Tambahan pula, pengumuman yang dibuat oleh pengerusi BN semalam juga dibuat selepas seminggu PAS selesai mengadakan seminar yang bertemakan 'PAS sedia ganti UMNO' - video Youtube boleh dilihat di SINI.

Sekalipun pelbagai pihak di dalam PAS telah tampil mengemukakan pelbagai hujah dan pandangan dari segenap sudut/perspektif, yang nyata, masih wujud beberapa kelemahan (yang ketara jelasnya), yang salah satunya ingin saya ketengahkan pada posting ini.

Putrajaya: PR dah buat kerja rumah (homeworks)?

Bagi saya secara peribadi, hasrat PR bagi menggantikan UMNO-BN bukanlah tugas yang mudah, sekalipun ianya tidaklah mustahil berlaku. Tambahan pula selepas mengambilkira proses transformasi yang sedang digerakkan oleh UMNO-BN ketika ini.

Selepas PR tewas di kedua-dua PRK baru-baru ini, diikuti 'gempa kuat' di dalam pemilihan PKR yang masih belum selesai, langkah proaktif PAS ini setidak-tidaknya memberikan gambaran bahawa PR tetap komited untuk menjadi pilihan baru rakyat Malaysia dan seterusnya mengambilalih Putrajaya.

Begitupun, komitmen (hasrat, aspirasi dan pelbagai istilah yang hampir sama maksudnya) sahaja tidak cukup sebagai bekalan ke Putrajaya (selepas ganti UMNO). Hayunan langkah PR dilihat belum kuat kerana sehingga ke hari ini, para pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya, masih belum 'berpeluang' untuk kenal dengan barisan kabinet bayangan (Shadow Cabinet) (SC) pakatan.

SC =  anggota pembangkang yang membentuk kabinet alternatif yang membayangi setiap jawatan menteri di dalam kabinet semasa

Justeru, untuk mengekalkan sistem politik 2 parti (BN vs PR), pembentukan SC adalah menjadi suatu keperluan, terutama kepada pihak pembangkang.

Ini kerana rakyat sebagai pengundi, berhak untuk tahu siapakah pemimpin masa depan mereka, dan apakah pemimpin itu mampu (atau tidak) untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik, berbanding dengan menteri yang ada ketika ini.

Pembentukan SC ini juga bakal dilihat sebagai penanda aras bagaimana parti-parti di dalam PR (DAP, PAS dan PKR) mempraktikkan 'perkongsian kuasa' di antara mereka - apakah wujud amalan 'cah keting' atau politik yang majoriti 'telan' yang minoriti atau sebagainya.

Langkah ini pada saya amat perlu, dan harus dilaksanakan secara jelas agar rakyat dapat menilai dan menyatakan tahap keyakinan mereka terhadap kemampuan PR.

Ketika ini saya melihat (jika silap andaian ini, ianya salah saya sendiri) kerajaan PR masih selesa berkuasa di dalam domain (kepompong) mereka. 

PAS selesa mentadbir negeri majoriti Melayu di Kedah dan Kelantan, manakala DAP pula menguruskan komuniti Cina di Pulau Mutiara. Keadilan pula menguruskan Selangor, yang berbilang kaum, yang sekarang sedang diuji keampuhannya.

Sayanglah, PR sebagai sebuah gabungan yang besar, pun saya masih belum dapat melihat kemampuan PR secara kolektif iaitu apakah dapat ditonjolkan barisan 'menteri bayangan' daripada DAP, PAS dan PKR yang dapat diterima dan disokong oleh semua kaum.

Memang saya sering mendengar cakap-cakap di warung kopi yang mencanangkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai bakal PM (dan Menteri Kewangan), jika PR ke Purtajaya kelak.

Begitupun, fakta lain yang wajar kita ambilkira adalah, Anwar sendiri ketika ini, masih bergelut dengan beberapa kes mahkamah yang kesudahannya masih belum menjamin kerusi PM buat beliau (mungkin juga perlu ke 'menara gading besi'?).

Ketiadaan SC di pihak PR juga sering menyaksikan para pembaca harakah dan harakahdaily hanya banyak menatap komen oleh Mahfuz Omar dan Idris Ahmad, yang mengkritik pelbagai perkara.

Hal ekonomi, Mahfuz komen. Hal media, laporan audit, masalah sosial, hal pertanian, hal pelancongan, hal pengangkutan, hal alam sekitar........semuanya dikomen oleh Mahfuz dan Idris. Hatta hal seluar dalam pun dia komen juga.

Bukan untuk menidakkan kredibiliti saudara Mahfuz dan Idris (mereka memang bagus), tetapi biarlah PR dilihat lebih bersistematik dan biarlah setiap isu yang dibangkitkan oleh menteri UMNO-BN itu 'ditangani' serta dijawab secara lebih bijak, teratur dan kritikal, sepertimana seseorang yang telah melakukan kerja rumahnya (homeworks).

Kuasa ke-3?

Kebelakangan ini kedengaran adanya cakap-cakap berkenaan kemungkinan terbentuknya suatu kuasa baru di pentas politik tanah air, digelarkan sebagai 'kuasa ke-3' berperanan sebagai alternatif jikalau rakyat tidak gemarkan tawaran oleh BN dan PR.

Tiada komen lanjut boleh saya berikan kerana ianya belum lagi terlaksana (mungkin wujud, atau mungkin sujud menyembah bumi).

Cumanya, suka saya mengajak para pembaca segarkan minda mengenai angka '3' ini.

Orang tua-tua kita dulu sering menggunakan 'tiga' untuk membuat perumpamaan, tetapi lazimnya dikaitkan dengan sesuatu yang bersifat negatif. Contohnya:

- main kayu tiga (siaplah kalau isteri dapat tahu, kalau tak kena tetak, paling tidak 'anu' kena potong je)
- cinta 3 segi (nak tahu macam mana? tengok nasib si Ahmad Durrah ketika ini...dilema oooo)
- madu 3 (hanya P.Ramlee saja yang boleh buat, itupun hanya di dalam filem)
- kalau duduk berdua, ada yang ke-3 iaitu syaitan (diumpamakan pihak ketiga sebagai syaitan...)

Bukan memperkecilkan usaha pihak yang ingin mewujudkan kuasa ke-3. Tetapi buat masa ini sistem 2 parti saya lihat masih mampu untuk memikul aspirasi seluruh rakyat Malaysia.

Syaratnya: kedua-dua pihak mestilah dapat mensejahterakan parti masing-masing dan mensejahterakan kehidupan warga tanah bertuah ini.

Sekian.

No comments: