Monday, 1 November 2010

Ad-Hoc Development di musim PRK

1Malaysia sedia maklum, siapa yang nak percaya

Saat ini, proses berkempen pastinya tambah hangat di kedua-dua kawasan yang berdepan dengan Pilihanraya Kecil {PRK} iaitu di Galas dan Batu Sapi.

Begitupun, posting ini tidaklah saya juruskan semata untuk mengupas perihal 'perang merebut kuasa' di antara pihak-pihak yang bertanding, melainkan sekadar berkongsi beberapa perkara yang berkaitan dengan profesion saya - jururancang (planner).

Bagi anda yang menonton TV, mahupun yang membaca akhbar, portal berita online dan blog-blog, barangkali akan terserempak dengan pelbagai pengumuman oleh bapak-bapak menteri, di dalam angka yang berjuta-juta RM, akan penyaluran projek-projek pembangunan 'segera' ke kawasan desa, yang terlibat langsung dengan PRK tersebut.

Bagaikan mengalami suatu 'kejutan budaya' (atau ibarat kata pepatah: bagai bulan jatuh ke riba), apa-apa jua permintaan (dan yang tidak diminta penduduk) akan cepat dan lincir sahaja dikabulkan oleh bapak-bapak menteri yang turun membantu kempen.

Justeru, muncullah apa yang diistilahkan sebagai 'ad-hoc development' (pembangunan luar rancang). 

Ad-hoc juga boleh diertikan secara mudahnya sebagai 'sesuatu yang pada asalnya tiada, tetapi secara tiba-tiba diadakan'.

Contoh mudah adalah seperti meluluskan peruntukan  untuk pembinaan rumah rakyat, kerja-kerja pembaikan jalan, pemberian tanah, pembinaan sekolah, dewan, jambatan dan sebagainya.

Kemunculan segala bentuk pembangunan fizikal ini pastinya mencabar keputusan dan amalan perancangan yang sedia terkandung di dalam pelan-pelan serta strategi pembangunan wilayah, daerah dan kawasan di sesuatu Pihak Berkuasa.

Mungkin apa yang terbit daripada ad-hoc development ini tidaklah sehingga memudaratkan penduduk, malah ianya mungkin berupaya menambahbaik kualiti dan mutu hidup masyarakat setempat di masa hadapan.

Begitupun, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertindak berpandukan prinsip 'rakyat didahulukan', longgokan projek-projek pembangunan ad-hoc ini boleh mencetuskan beberapa persoalan, terutama yang berkait dengan:

1) ketelusan - bagaimana projek-projek ini akan diagihkan, ditenderkan, dan apakah wujud ruang ketelusan?

2) impak - adakah telah ada dijalankan kajian mengenai impak daripada projek-projek ini, tidak kira impak positif mahupun negatif?

3) perlaksanaan dan pemantauan - bila dan bagaimana projek yang telah diluluskan secara ad-hoc ini akan dilaksanakan, dan apakah benar-benar telah ada suatu mekanisme bagi memantau perlaksanaannya?

Ketiga-tiga aspek inilah yang ingin rakyat (lebih tepat lagi, para pembayar cukai) inginkan kepastian.

Kelulusan dan penyaluran projek-projek ad-hoc ini sudah tentulah tidak datang daripada wang parti-parti politik yang bertanding, melainkan datangnya daripada wang cukai rakyat seluruhnya.

Tentunya juga, semua pembayar cukai ingin memastikan wang berjuta tersebut tidak 'dijolikan', tanpa wujud impak positif yang diharap-harapkan.

Keperluan terhadap ad-hoc development

Suka saya memetik hasil analisa yang dilaporkan oleh ILHAM Centre berkenaan maklum balas para pengundi di DUN Galas (laporan penuh boleh baca di SINI):

  • Ini juga memperlihatkan satu trend menarik pengundi yang mana pendirian mereka yang memerlukan komitmen politik oleh kedua-dua parti dalam survival kehidupan mereka. 
  • Mereka memerlukan PAS untuk menyelesaikan persoalan yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri seperti pemilikan tanah, peluang pekerjaan, keperluan infrastruktur seperti air dan perparitan dan sebagainya.  
  • Mereka juga masih memerlukan BN bagi pihak kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan keperluan dan bantuan pertanian seperti baja, kemudahan infrastruktur dan pembangunan dalam cakupan kuasa federal kerana corak majoriti pengundi merupakan petani.
  • Maka, ILHAM dapati, dilema pendirian ini menyebabkan mereka mengambil pendirian berhati-hati sebelum menterjemahkan sokongan politik mereka kepada calon dan parti yang bertanding.
  • Mereka juga dilihat seolah-olah cuba mengelak daripada dilabel sebagai memihak dan berusaha menyembunyikan pendirian politik mereka dikhuatiri akan menjejaskan peluang untuk mendapatkan tuntutan setempat mereka".
Sekian.

No comments: