Monday, 8 February 2010

Masa depan Kg Baru


Kosmo hari ini melaporkan habuan yang bakal menjadikan setiap pemilik tanah Kampung Baru di ibu negara jutawan apabila mendedahkan setiap pemilik tanah bakal dibayar sehingga RM4 juta jika mereka bersetuju menerima pelan pembangunan semula kampung baru.

Apapun, terlebih dahulu angka besar RM4 juta itu pastinya dinilaikan berdasarkan keluasan tanah yang dimiliki. Justeru, angka itu hanyalah 'pukul rata' @ purata sahaja, bukan semua dibayar sama.

Kisah lama, masalah sama

Sebenarnya kronologi pembangunan atau penyusunan semula kampung baru di Kuala Lumpur ini telah berlarutan begitu lama.

Rasanya semasa era pemerintahan Tun Pak Lah juga turut timbul ura-ura bagi membangunkan semula kampung baru agar 'setanding' dengan imej moden kosmopolitan Kuala Lumpur.

Adalah sesuatu yang 'mengganggu pemandangan' (maaf agak kasar) melihatkan 2 panorama berbeza - rujuk foto di atas.

Status tanah bagi kampung baru juga turut menimbulkan implikasi perundangan, di samping kesukaran mendapat persetujuan waris tanah-tanah terlibat. Ini kerana ada tanah yang sukar dikesan pewaris (seperti kes lot tanah terbiar) dan ada kes kerana terlalu ramai yang menuntut hak.

Orang Melayu di bandar

Apa yang menjadi kerisauan (main concern) kepada saya apabila membaca artikel Kosmo ini bukanlah wang RM4 juta terbabit, namun nasib golongan peneroka bandar Melayu di masa hadapan.

Apakah satu lagi pembangunan yang mengambil tanah orang Melayu ini akan sepenuhnya memberi untung kepada orang Melayu bandar?

Atau dengan RM4 juta tadi mereka akan 'diusir secara halus' keluar dari kampung baru dengan membeli hartanah mewah di luar Kuala Lumpur kerana nilai hartanah yang baru jauh lebih tinggi daripada wang RM4 juta yang dibayar?

Adakah tanah-tanah milik Orang Melayu ini akan akhirnya dikomersilkan, dan dijual secara terbuka, yang akhirnya dibeli dan dimiliki oleh golongan peniaga kaya yang bukan berbangsa Melayu?

Dan akhirnya tanah peneroka awal bandar ini akan terlepas dari orang Melayu selama-lamanya?

Jika ini dijangka boleh berlaku, maka ianya tidak lebih daripada hanya akan melengkapkan satu lagi bab dalam kisah duka orang Melayu di bumi mereka sendiri.

Bukan rasis

Oleh kerana banyak isu sekarang boleh sahaja menjadi sesuatu yang sensitif, maka ingin saya tegaskan di sini persoalan dan hujahan yang diberi di atas bukanlah untuk menunjukkan bahawa saya ingin menyeberang batasan "rasis vs menanyakan yang hak".

Ini kerana adakah lebih afdal jika kita bertanya dahulu, sebelum benda-benda ini berlaku. Kerana jika telah berlaku, apa jua soalan dan jawapan pun tidak lagi relevan.

Saya bukanlah mempersoalkan hak orang bukan Melayu mahupun pembangunan kampung baru yang lain.

Saya cuma inginkan pihak-pihak yang terlibat akhirnya tampil untuk menjelaskan lebih lanjut perkembangan ini secara lebih meyakinkan, bukannya hanya menyebut perihal wang RM4 juta semata.

Perlu pembangunan dan perubahan

Rasanya telah banyak kajian ilmiah dan konsultansi (perundingan) telah dibuat bagi menentukan imej dan pembangunan masa depan kampung baru.

Pembangunan, mahupun penyusunan semula adalah perlu dan mustahak. Ini kerana situasi semasa menunjukkan wujud bermacam masalah yang menyusahkan kehidupan penduduk seperti kesesakan lalulintas, operasi perniagaan yang tidak terancang, perparitan tidak terjaga, penyaluran kemudahan asas (air, telekom, elektrik) yang tidak sistematik dan berkos tinggi, peningkatan tingkahlaku anti sosial dan jenayah serta banyak lagi.

Banyak model pembangunan yang dijalankan di luar negara menunjukkan potensi untuk perubahan ke arah lebih mapan bukan sahaja dari aspek fizikal dan ekonomi, malah meningkatkan kualiti alam sekitar dan sosio-budaya masyarakat.

Ianya tidak mustahil, namun di Malaysia yang unik ini segala yang tidak mustahil itu boleh jadi mustahil dan akhirnya tidak menjadi.

Entah di mana silapnya politik itu sehingga ianya bukan lagi digunakan bagi mencapai kesepakatan yang akhirnya membawa kepada kesejahteraan hidup rakyat, tetapi banyak digunakan sebagai wadah untuk meningatkan lagi perbezaan pendapat dan penolakan dalam masyarakat.

Jika kita memikirkan untuk bersama membawa masa depan yang lebih mapan kepada kampung baru, semua pihak wajar berpolitik secara muafakat, dan menyumbang idea/input kepada penyediaan pelan pembangunan yang komprehensif.

Akhirnya apa yang semua orang mahu adalah - hak (tanah) yang telah diambil dari orang Melayu, dapatlah dikembalikan kepada orang Melayu, dengan orang bukan Melayu juga turut beroleh manfaat dan untung daripadanya.

Ini kerana sudah banyak tanah rizab Melayu yang belum nampak akan diganti semula dapat tempoh terdekat ini.

Sekian.

No comments: