Tuesday, 6 May 2008

Analisis: Isu Bekalan Beras Dunia

Assalamualaikum w.b.t

Bertemu kembali bersama Dr Sepet. Kebelakangan ini seringkali Dr Sepet terbaca akhbar di UK dan mendengar berita melalui TV3 online isu yang berkaitan kekurangan bekalan beras di peringkat global. Beberapa hari ini, sibuk media massa hebahkan komen (atau lebih tepat tuduhan) terbuka Presiden USA (Bush) yang terang-terangan menyalahkan kepesatan pembangunan dan peningkatan kuasa beli dua kuasa baru dunia iaitu India dan China terhadap komoditi makanan (yang asasi adalah beras!).

Benarkah tuduhan yang dibuat? Bukankah kita sebagai umat Islam wajib percaya bahawa perlunya fakta yang jelas diberi sebelum mengeluarkan apa juga tuduhan? Dr Sepet percaya dan berpegang kepada prinsip 'justice' tersebut. Apakah dalam hal kemerosotan ini, India dan China sahaja yang harus dipersalahkan?

Lihat analisis perbandingan yang paling ringkas Dr Sepet berikan agar pembaca sekalian dapat menyelami serta memahaminya dalam keadaan paling mudah.

Rajah 1
Berpandukan Rajah 1, kita dapati negara China dan India merupakan pengeluar padi no.1 dan no.2 di dunia, masing-masing sebanyak 182 juta tan metrik dan 137 juta tan metrik (ini merupakan fakta yang dikeluarkan oleh Organisasi Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) bagi Makanan & Pertanian, 2005).

Biarpun data ini adalah bagi tahun 2005, ianya masih dikira relevan setelah mengambilkira perbezaan 3 tahun (awal 2008), di mana dalam tempoh 3 tahun juga pertumbuhan penduduk dunia dijangka berlaku secara konsisten dengan penghasilan bahan makanan terbabit.

Soalan: di mana USA? dan apa pula kedudukan Malaysia yang sebelum tahun 2005 lagi jelas komited dengan slogan 'Pertanian adalah Perniagaan?" - adakah kita masih menjadi negara Islam pengguna?


Rajah 2
Perhatikan pula pola penggunaan padi pada Rajah 2. yang menunjukkan dua negara pengeluar utama iaitu China dan India masih mendominasi penggunaan padi dengan masing-masing 135 juta tan metrik dan 85 juta tan metrik untuk tahun 2003/2004 (ini fakta sebagaimana sumber Rajah 1).






Analisis Perbandingan Mudah:

China: Pengeluaran (182 juta tan metrik) - Penggunaan (135 juta tan metrik = Baki 43 juta tan metrik

India: Pengeluaran (137 juta tan metrik) - Penggunaan (85 juta tan metrik = Baki 52 juta tan metrik

BAKI TOTAL (China + India) = 95 juta tan metrik!!

Lihat! kedua-dua negara kuasa baru dunia terbabit, bukan sahaja mampu mengeluarkan bekalan makanan mencukupi bagi menampung keperluan peningkatan pesat penduduknya, malah gabungan lebihan terbabit adalah sebanyak 95 juta tan metik setahun! Menakjubkan, kerana dengan lebihan ini ia dapat menampung keperluan 8 negara pengguna terbesar lain pada Rajah 2 dengan bermula dari Vietnam hingga USA sendiri! Itupun masih berbaki sebanyak 21.6 juta tan metrik (boleh diguna bagi keperluan padi Bangladesh pula!).

Hujah saya di sini adalah, wajarkah tuduhan atau komen terbuka oleh Presiden USA baru-baru ini? Mengapa hendak dipersalahkan India dan China disebabkan ketidakbergantungan mereka kepada pihak luar untuk memenuhi keperluan asasi mereka?

Dr Sepet tidak mempunyai saham dalam kupasan ini, cuma sebagaimana yang ditekankan sebelum ini, pengguna (atau setiap orang yang berilmu) perlu menyelak dan menyiasat terlebih dahulu jika terdengar sesuatu hal, untuk diperoleh kisah yang sebenarnya berlaku.

Untuk perhatian pembaca, di UK Dr Sepet makan beras Basmati (yang kalau di Malaysia ketika ini tidaklah mampu untuk mengecapinya!). Harga di Tesco adalah GBP0.89 (89p) per kilo. Kalau tidak ditukar kepada ringgit, bolehlah dianggap 89 sen sekilo. Masih murah.........

Membaca kisah harga barang naik di negara tercinta membuatkan kami yang 'di luar' ni bertuah. Namun, harapan Dr Sepet agar kerajaan yang memerintah ini perkasakan (dengan betul-betul) usaha menjadikan 'Pertanian sebagai aset pertahanan' (sama konsep dengan Petroleum) supaya kita tidak lagi diperkotak-katikan pihak yang mengawal komoditi ini di masa kini dan seterusnya.

Sekian, dan kepada Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

No comments: