Wednesday, 10 November 2010

Blog Kampung - DK

 (klik foto untuk besarkan)

Hari ini saya menerima komen daripada seorang pembaca, menggunakan nama pena DK Desaku (Durian Kassim).

Inilah kali pertama (selain adik-beradik), mereka yang tinggal di kampung mengisi ruangan komen blog ini.

Pertamanya, berbanyak terima kasih di atas komen yang saudara/i berikan, selain saya sendiri turut mendapat tahu serba-sedikit perkembangan semasa yang berlaku di kampung.

Keduanya, saya ingin memohon maaf awal-awal lagi, terutama kepada orang-orang kampung yang ada 'ter'baca posting saya berkaitan kampung, jikalau ada menyentuh perihal dan peribadi sesiapa.

Rasanya, apa yang saya tulis dan kongsikan berkaitan kampung adalah berdasarkan info yang saya dapat dan pemerhatian peribadi. Harap tidak mengguris hati sesiapa. 

Tetapi jika ada sila bagitau saya. Saya tengok balik mana-mana fakta jika ada yang perlu diperbetulkan.

Kepada moderator DK Desaku, teruskan menambah info dan pengisian di blog itu, harapnya banyak perkara yang bermanfaat dapat dikongsikan bersama.

Wassalam,

Dr. Sepet
10/11/10

Tuesday, 9 November 2010

Penulisan - politik

Sebenarnya, banyak aktiviti yang kami sekeluarga lalui sepanjang berada di tanah air. Begitupun, saya masih belum dapat memindahkan foto-foto yang berkaitan memandangkan terlupa membawa pulang kabel yang menyambungkan telefon bimbit saya dengan laptop.

(nota: semua foto yang diupload ke blog ini diambil menggunakan telefon bimbit dan yang penting, pandai edit).

Justeru, dikala ada kelapangan dan terlintas untuk menulis di blog, kisah berkaitan politiklah yang menjadi pilihan saya.

Mungkin setelah mendapatkan kabel baru, dapatlah saya kurangkan penulisan berkaitan politik ini dan memfokuskan kepada kisah dan coretan lain yang lebih bermanfaat sepanjang pulang ke tanah air ini.

InsyaAllah.

PKR...oh PKR...

Saya buka posting ini dengan memetik kata-kata bekas Timbalan Presiden S46 kepada The Time (1996) yang berbunyi:

"The worst job in politics is No. 2, because you can't survive if you stay there".

Bahana jadi no.2?
Peringatan tersebut, asalnya menjadi sebahagian nasihat berguna buat tatapan Anwar Ibrahim sendiri, yang ketika itu masih berada di dalam kabinet Mahathir sebagai Menteri Kewangan.

Waktu itu telah timbul cakap-cakap bahawasanya Mahathir (Tun) bakal bersara dan akan menaikkan penggantinya ke kerusi Perdana Menteri dan Presiden Parti.

Ingatan tersebut juga dilihat selari dengan fakta sejarah politik dan kepimpinan negara di mana kerusi no.2, calonnya sering tidak kekal lama.

- Ada no.2 yang merajuk dan meletakkan jawatan.
- Ada no.2 yang berundur selepas ditekan oleh bahana undi bonus 10
- Dan selepas 1998, no.2 juga telah dipecat dan dilucut jawatan.

No.2 dalam PKR

Ironinya, sejarah 'badi no.2' kini berulang kembali.

Bezanya kali ini bukan melibatkan Anwar secara langsung, tetapi melibatkan perebutan jawatan no.2 dalam parti yang dipimpinnya, PKR.

Minggu ini, selain kisah kemenangan BN di PRK mulai mengendur, media arus perdana mendapat modal baru untuk dihangat, dibakar dan disemarakkan, iaitu isu penarikan diri Zaid Ibrahim daripada bertanding kerusi no.2 PKR.

Sehari selepas itu, seorang lagi calon yang bertanding untuk kerusi yang sama, Mustaffa Kamil turut tampil bersama-sama Zaid pada satu sidang media dan membuat gesaan supaya proses pemilihan PKR ditangguhkan bagi menyiasat kepincangan yang didakwa berlaku, atau berdepan penarikan dirinya daripada pertandingan.

Terbaharu, Zaid terus menghangatkan suasana dengan meminta pula Anwar dan Azmin berundur daripada PKR, kerana kedua-dua figura ini dianggap sebagai pencetus segala permasalahan yang kini mengambil tempat di dalam PKR (sumber).

Pulak dah!

Penarikan diri Zaid telah diulas pelbagai pihak. Jika anda jenis yang berminat untuk ambil sibuk, bak kata ramai orang kini "google sahajalah".

Ada ulasan dan kupasan yang pro dan ada yang kontra. Ini merupakan sesuatu yang sihat bilamana seseorang berminat untuk mencari keseimbangan terhadap maklumat berkait dengan sesuatu perkara - perlu buka kedua-dua mata dan telinga.

(bacaan tambahan: komen Prof Aziz Bari - politik apa yang Zaid mainkan?)

Persoalan mengenai Zaid dan masa depan beliau dalam politik bukanlah mampu sesiapapun ramalkan. Ini kerana politik adalah seni segala kemungkinan.

Buktinya: Ku Li, daripada perjuangan dalam UMNO, kemudian melawan Mahathir (Tun) dan tewas tipis. Kemudian mengetuai Team B 1987, keluar UMNO dan tubuhkan S46 yang kemudian membentuk APU dengan PAS + DAP, menentang BN-UMNO pada PRU 1990 (dosa besar Ku Li yang terang-terang menentang UMNO dan Mahathir, yang tidak akan dilupa oleh para pendokong UMNO), bubar S46, kembali ke pangkuan UMNO, dilantik menjadi Ketua UMNO Gua Musang dan kekal sebagai 'Raja Ulu Kelantan' hingga ke hari ini.

Barangkali sejarah jatuh-bangun Ku Li ini tidak boleh disamakan dengan perjalanan politik dan masa depan Zaid ketika ini. Begitupun, segalanya boleh jadi, kan?

Berkenaan Anwar dan PKR pula, ramai yang ditemubual oleh TV3 - pemimpin BN tentunya, melihat PKR ini bakal runtuh, rebah mengembah bumi. Hanya masa sahaja yang akan menentukan bila - kata mereka.

Untuk salahkan 'musuh' pun tidak boleh juga, sebab itulah peranan musuh. Tambahan pula, "peluru dan senapang" sudah disediakan oleh Zaid, tinggal saja penempak BN untuk menggunakannya bagi menyerang PKR sahaja.

PKR memang sedang bergoncang dan retakan-retakan kecil dan besar mulai kelihatan.

Namun, apakah yang 'retak ini akan membawa belah', membawa perpecahan dan meruntuhkan organisasi seperti PKR?

Adakah langkah mengadakan pemilihan sebegini sebenarnya suatu kesilapan besar kepada PKR sendiri?

Apakah Anwar pimpinan tertinggi PKR akan dapat tampil dengan suatu penyelesaian yang sebenarnya dan seterusnya menamatkan 'badi no.2' yang terus membelenggu PKR?

Perihal Anwar pula, saya secara peribadi melihat, keributan yang ditimbulkan oleh Zaid ini tidak akan menggugat status quo Anwar dalam PKR.

Pada saya, datang dan pergi Zaid adalah sama sebagaimana ramai lagi 'rakan-rakan' Anwar yang meninggalkan beliau lama sebelum Zaid seperti Chandra Muzaffar, Marina Yusuf, Ezam (Senator), Roslan Kassim, Zahrain, ZulKulim dan ramai lagi.

Anwar dan PKR masih juga di situ!

Sunday, 7 November 2010

Kemenangan di Galas

Kebelakangan ini saya sering menonton siaran berita di  Astro501 (Awani), dengan harapan pemberitahuannya akan lebih telus sedikit berbanding TV kerajaan dan TV3.

Namun, apa yang saya harapkan nampaknya masih jauh untuk digapai. Laporan media yang beretika, berintegriti, telus dan seimbang, bebas emosi dan provokasi nampaknya semakin hari semakin menjadi 'mimpi di tengah hari'.

Bagitupun, saya gemar melihat dan mentafsir apa yang berlaku ini dari perspektif 'yang sebaliknya'. 

Maksudnya, jika ramai orang yang melihat bahawa orang Melayu dulu-dulu sanggup bergolok-bergadai menyerahkan gelang dan rantai emas mereka semata-mata untuk menampung perjalanan Tunku ke London bagi menuntut kemerdekaan negara, saya pula melihatnya - mengapa pemimpin kaum-kaum lain yang bersama-sama semasa itu (siapa mereka? buka dan baca balik buku sejarah) yang kaya kerana dasar 'pecah dan perintah' British, tidak tampil dan menanggung hamba Allah ini (Tunku) kerana tuntutan kemerdekaan negara adalah untuk mengembalikan hak-hak seluruh penduduk dan penghuni tanah bertuah ini?

Itu sekadar contoh, bagaimana kita boleh bertindak melihat sesuatu dari perspektif 'yang sebaliknya'.

Berbalik kepada tujuan posting ini iaitu tinjauan pasca-PRK Galas, yang jelas dimenangi BN, melalui perwakilan parti UMNO.

Hari-hari, selepas seluruh rakyat jelata tahu akan kemenangan 2-0 (kedudukan sekarang menjadi 5BN-8Pakatan), media tidak putus-putus mencanangkan berita bahawa rakyat telah kembali kepada BN, dalam erti kata, rakyat kembali memberikan sokongan dan dokongan setelah merasa yakin dengan usaha pemulihan yang sedang berlaku di dalam parti pemerintah kerajaan persekutuan ini.

Pengekalan 'Bank Undi' daripada masyarakat Orang Asli, karisma dan populariti pengarah piliharaya Tengku Razaleigh (KuLi), kepandaian jentera dan media pro-BN memainkan isu pembangunan dan setempat, dan peralihan 3-3.5% undi masyarakat Cina kepada BN adalah antara faktor yang menyumbang kemenangan bergaya calon BN - sebagaimana dibentangkan para penganalisa politik.

Benarlah apa yang dinyatakan oleh para penganalisa yang bijaksana. Semasa sesi perbincangan 'meja bulat' saya lebih tertarik dengan salah seorang ahli panel, dari IDEAS, jikalau tidak silap.

Beliau saya jangka, mungkin akan kurang tawaran untuk diundang dan tampil di kaca TV selepas ini, selepas menggunakan istilah 'rasuah-rasuah yang diofferkan', bagi mengulas langkah-langkah BN dan agensi-agensi Persekutuan yang menyediakan 'projek-projek' pembangunan, yang 'kebetulan' diumumkan semasa kempen PRK Galas mengambil tempat.

Sekalipun menang tidak mengubah apa-apa di Kelantan, faktor kemenangan moral tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

BN, UMNO khususnya begitu memerlukan suatu lonjakan (booster) bagi memacu pelan transformasi dan pemulihan parti dan ahlinya, sebagaimana yang dilaung-laungkan di perhimpunan agung yang baru selesai tidak lama sebelum PRK.

Perubahan ini nampak ketara, pada pengamatan saya. Di antara yang saya nampak adalah, pertama, KJ (ketua perusuh/Pemuda), telah tidak lagi bermulut celupar dan tidak lagi bercakap berdentum-dentum, merendah-rendahkan rakyat Kelantan dan tidak lagi 'mengusik' keperibadian Tuan Guru Nik Aziz. Bukan sahaja KJ, malah jentera UMNO secara keseluruhannya juga begitu. 

Agaknya, apabila 'sarang tebuan tidak dijolok' makanya kuranglah bahang dan serangan kepada mereka. Ini kerana isu dan serangan ke atas Tok Guru, terutama oleh orang UMNO luar Kelantan, bukan sahaja boleh menaikkan marah orang-orang PAS, malah mereka yang menjadi ahli UMNO juga. Tidak usik Tok Guru, tebuan tak datang serang.

BN, melalui semua media arus perdana menggunakan satu-satunya sumber maklumat para pengundi Gua Musang, TV dan Akhbar, bagi merobek segala kisah duka, kisah sengsara dan segala yang busuk dan buruk tentang kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah PAS kepada rakyat 1Malaysia.

Jika 1 hari, mungkin orang susah nak percaya, tetapi jika doktrin itulah yang disogok kepada minda pembacanya setiap hari selama seminggu? Yang 60% yakin dengan PAS, barangkali boleh menurun menjadi 40%. Apatah lagi yang 'di atas pagar'. Sana goyang kuat sikit, jatuhlah dia daripada pagar yang ditenggekinya.

(faktor luar: pengundian kacau PKR turut mencerminkan wujud kelemahan-kelemahan Pakatan, yang bercita-cita nak ke Purtajaya)

Setelah menang, TPM kata keyakinan rakyat kembali pulih buat BN-UMNO. Benarkah?

Bagi saya, kemenangan Galas hanyalah kemenangan moral. Ini kerana selain undi disebabkan 'betul-betul sokong', turut dibantu dengan pelbagai lagi 'habuan' menarik untuk rakyat, jika calon BN menang kelak. Anda mungkin berbeza pandangan dengan saya, tidak mengapa.

Jika dikira daripada segi statistik, kemenangan Galas tidak boleh digeneralisasikan untuk menggambarkan  sokongan terhadap BN secara keseluruhannya telah pulih. Ini kerana Galas hanyalah 1 daripada beratus kawasan DUN di Malaysia.

Sebagai penutup, saya kira kedua-dua pihak BN dan Pakatan harus sedar dan peka iaitu 'mesej' masyarakat Cina bahawa peralihan sokongan mereka kepada mana-mana parti/calon, boleh merubah haluan dan keputusan sesuatu PRK.

Dulu, orang Cina ramai sokong calon PAS (arwah), PAS menang. Kini sokongan mereka beralih kepada BN, dan calon BN dapat jadi YB.

Ini adalah petanda jelas bahawa undi 'kumpulan penentu' berperanan besar di dalam survival parti dan calon yang bertanding.

(soalan: Mengapa pengundi kumpulan minoriti begitu berpengaruh dan perlu dilakukan segalanya untuk mengambil hati mereka? Mengapa pengundi yang majoriti tidak boleh dijadikan kuasa penentu?)

Kedua, longgokan habuan dalam bentuk peruntukan pembangunan buat pengundi. Adakah PAS, pada masa depan perlu 'menari mengikut rentak' BN, iaitu berlumba-lumba menabur janji-janji pembangunan?

Atau mampukah PAS kekal dengan pendekatannya sekarang, malah sebetulnya para pengundilah yang seharusnya perlu berubah agar lebih pandai menilai (pilihan mereka dan natijahnya bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat kelak)?

Wama-alaina-illalbala-rulmubin. Wassalam.

Thursday, 4 November 2010

Galas & Batu Sapi, BN 2-0

Selesai sudah proses pengundian di kedua-dua PRK di Galas dan Batu Sapi. Keputusan rasminya juga telah kita semua ketahui.

BN, dengan kerja kuat semua parti komponennya telah berjaya memperoleh kemenangan besar (dengan majoriti lebih tinggi) di kedua-dua kawasan yang mereka tandingi.

Barangkali ketika ini, anggota parti negeri (dan YB baru terutamanya) masih belum selesai meraikan kejayaan ini. Namun, harapnya tidak dilupa bahawa ini hanyalah detik permulaan kepada perjalanan jauh anda (dan parti anda) di dalam mengotakan segala janji yang begitu banyak anda taburkan sepanjang proses pemilihan ini berlangsung.

Boleh dikatakan senarai 'janji BN' khas untuk Gua Musang adalah begitu panjang. Harapnya banyaklah projek-projek yang mampu dikota dan disiapkan oleh YB Abd Aziz nanti.

Dengan 'kembalinya' Galas ke pangkuan UMNO/BN, maka keseluruhan Parlimen Gua Musang kini rasminya dikuasai oleh parti pemerintah kerajaan persekutuan.

Kemenangan Abd Aziz dengan majoriti lebih 1000 undi ini saya kira pastinya turut dibantu oleh undi kaum peribumi Asli ini. Justeru, adalah besar sekali harapan saya agar angin perubahan yang dijanjikan kerajaan BN terhadap Orang Asli ini akan benar-benar dirasai, dilimpahi dan merubah lanskap sosio-ekonomi masyarakat yang telah terlalu lama ketinggalan dari arus pembangunan negara ini.

Akhir sekali, janganlah terlalu gembira dan dipanjangkan perayaan kemenangan di Galas ini, sedangkan masih banyak tugasan yang perlu dibereskan.

Harapnya sumbangan Orang Asli semasa proses pilihanraya ini tidak akan 'dibuat-buat lupa' oleh YB Abd Aziz dan kerajaan BN setelah mereka menang. 

Kita tidak ingin lagi mendengar keluh-kesah di TV dan Radio, paparan kisah duka warga terpinggir ini setiap kali tibanya musim mengundi.

Dengar dulu: Andra and The Backbone - Seperti Hidup Kembali [ Official Video ]



Kalau sedap bagitaulah sama rakan-rakan, kalau tak sedap bagitau saya.

Wednesday, 3 November 2010

Petikan Minggu Ini

Ke mana lagi nak naik gutu (kutu), jika tidak ke kepala - Mok.

Rancanglah kewangan anda

Dua hari lepas saya menelefon Mok di kampung. Al-maklumlah sekarang negeri dan wilayah Pantai Timur sedang menempuh musim monsun (tengkujuh). Kenalah bertanyakan khabar akan mereka-mereka yang ada di kampung.

Alhamdulillah semua sihat dan selamat, Terengganu biarpun menerima hujan tetapi belumlah seburuk negeri yang lazimnya banjir seperti Kelantan, Perlis dan Kedah, di setiap kali tibanya musim monsun ini.

Borak punya borak, adalah beberapa isu yang kami ketengahkan dan Mok sebutkan pepatah seperti yang saya petik. Ianya saya kira lebih bersangkutan dengan kehematan mengurus kewangan rumah tangga.

Makanya, di sini saya ingin berkongsi dengan para pembaca, kaedah (FORMULA) mudah menguruskan wang gaji/pendapatan anda (tidak kira anda yang telah bekerja, baru bekerja mahupun masih belajar), supaya di akhir bulan anda sekeluarga tidak makan mee maggi dan mencatu sumber makanan dek kerana lemah menguruskan ekonomi rumah tangga.

Formula yang saya gunakan ada 40-30-20-10 (total = 100%)

40% daripada gaji diguna untuk perbelanjaan utama (bayar sewa, ansuran rumah, kereta, bil-bil)
30% daripada gaji diguna untuk perbelanjaan makan (membeli barangan dapur)
20% diguna sebagai simpanan tetap (boleh usik di kala kecemasan)
10% disimpan tetap (tanpa boleh diusik)

Bak kata saudara Ruslan, untuk mencapai kehidupan yang selesa di bandar besar seperti di Kuala Lumpur, pendapatan bulanan RM10,000 haruslah dicapai (PM kata, negara berpendapatan tinggi). Maka, contoh ini akan saya gunakan bagi menterjemahkan peratusan terbabit agar para pembaca lebih mudah 'nampak' dan faham.

40/100 * 10,000 = RM4,000  - digunakan untuk membayar sewa/ansuran rumah, kereta dan bil-bil utiliti berkaitan (bil telefon, h/p, astro, air, elektrik, gas, internet, etc), minyak kereta, tol, etc.

30/100 * 10,000 = RM3,000 - digunakan untuk kos membeli barangan dapur (shopping mingguan di pasaraya 1 kali/1 minggu @ RM300/troli), wang saku persekolahan, bayar tuisyen, etc.

20/100 * 10,000 = RM2,000 - disimpan tetapi, tetapi boleh dikeluarkan bagi tujuan belanja kecemasan (dan juga untuk membelanja diri membeli barangan berjenama yang lama diinginkan).

10/100 * 10,000 = RM1,000 - simpanan tetap yang tidak akan diusik tidak kira apa jua (kalau boleh terus dibuat potongan gaji ke akaun berasingan ini - hanya ambil selepas bersara/pencen/tua kelak), konsep seperti KWSP juga.

Begitupun, penentuan 40-30-20-10 ini hanyalah cadangan saya sahaja. Anda haruslah memadankan ia dengan situasi hidup dan keadaan kewangan semasa anda. Ianya boleh juga diatur menjadi 40-30-30 (bagi yang pandai menyimpan) atau 50-30-20 (bagi yang terpaksa berbelanja lebih), dan sebagainya lagi.

Saya sendiri telah mencuba formula ini (sebelum ke UK), dan Alhamdulillah ianya banyak membantu saya dari segi memupuk amalan suka menyimpan wang hingga memudahkan urusan perkahwinan dan hidup selepas berkahwin.

Dengan mengikut formula ini juga saya dapat 'mengesan' wang keluar dan wang masuk setiap bulan, dan setelah beberapa lama, corak aliran wang akan menjadi tetap (rutin), dapat saya baca dan dengan ini mengurangkan risiko kekurangan wang terutama di pertengahan dan akhir bulan.

Jika berminat untuk mencuba, dipersilakan dan selamat berjaya menguruskan kewangan anda!

Monday, 1 November 2010

Ad-Hoc Development di musim PRK

1Malaysia sedia maklum, siapa yang nak percaya

Saat ini, proses berkempen pastinya tambah hangat di kedua-dua kawasan yang berdepan dengan Pilihanraya Kecil {PRK} iaitu di Galas dan Batu Sapi.

Begitupun, posting ini tidaklah saya juruskan semata untuk mengupas perihal 'perang merebut kuasa' di antara pihak-pihak yang bertanding, melainkan sekadar berkongsi beberapa perkara yang berkaitan dengan profesion saya - jururancang (planner).

Bagi anda yang menonton TV, mahupun yang membaca akhbar, portal berita online dan blog-blog, barangkali akan terserempak dengan pelbagai pengumuman oleh bapak-bapak menteri, di dalam angka yang berjuta-juta RM, akan penyaluran projek-projek pembangunan 'segera' ke kawasan desa, yang terlibat langsung dengan PRK tersebut.

Bagaikan mengalami suatu 'kejutan budaya' (atau ibarat kata pepatah: bagai bulan jatuh ke riba), apa-apa jua permintaan (dan yang tidak diminta penduduk) akan cepat dan lincir sahaja dikabulkan oleh bapak-bapak menteri yang turun membantu kempen.

Justeru, muncullah apa yang diistilahkan sebagai 'ad-hoc development' (pembangunan luar rancang). 

Ad-hoc juga boleh diertikan secara mudahnya sebagai 'sesuatu yang pada asalnya tiada, tetapi secara tiba-tiba diadakan'.

Contoh mudah adalah seperti meluluskan peruntukan  untuk pembinaan rumah rakyat, kerja-kerja pembaikan jalan, pemberian tanah, pembinaan sekolah, dewan, jambatan dan sebagainya.

Kemunculan segala bentuk pembangunan fizikal ini pastinya mencabar keputusan dan amalan perancangan yang sedia terkandung di dalam pelan-pelan serta strategi pembangunan wilayah, daerah dan kawasan di sesuatu Pihak Berkuasa.

Mungkin apa yang terbit daripada ad-hoc development ini tidaklah sehingga memudaratkan penduduk, malah ianya mungkin berupaya menambahbaik kualiti dan mutu hidup masyarakat setempat di masa hadapan.

Begitupun, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan bertindak berpandukan prinsip 'rakyat didahulukan', longgokan projek-projek pembangunan ad-hoc ini boleh mencetuskan beberapa persoalan, terutama yang berkait dengan:

1) ketelusan - bagaimana projek-projek ini akan diagihkan, ditenderkan, dan apakah wujud ruang ketelusan?

2) impak - adakah telah ada dijalankan kajian mengenai impak daripada projek-projek ini, tidak kira impak positif mahupun negatif?

3) perlaksanaan dan pemantauan - bila dan bagaimana projek yang telah diluluskan secara ad-hoc ini akan dilaksanakan, dan apakah benar-benar telah ada suatu mekanisme bagi memantau perlaksanaannya?

Ketiga-tiga aspek inilah yang ingin rakyat (lebih tepat lagi, para pembayar cukai) inginkan kepastian.

Kelulusan dan penyaluran projek-projek ad-hoc ini sudah tentulah tidak datang daripada wang parti-parti politik yang bertanding, melainkan datangnya daripada wang cukai rakyat seluruhnya.

Tentunya juga, semua pembayar cukai ingin memastikan wang berjuta tersebut tidak 'dijolikan', tanpa wujud impak positif yang diharap-harapkan.

Keperluan terhadap ad-hoc development

Suka saya memetik hasil analisa yang dilaporkan oleh ILHAM Centre berkenaan maklum balas para pengundi di DUN Galas (laporan penuh boleh baca di SINI):

  • Ini juga memperlihatkan satu trend menarik pengundi yang mana pendirian mereka yang memerlukan komitmen politik oleh kedua-dua parti dalam survival kehidupan mereka. 
  • Mereka memerlukan PAS untuk menyelesaikan persoalan yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri seperti pemilikan tanah, peluang pekerjaan, keperluan infrastruktur seperti air dan perparitan dan sebagainya.  
  • Mereka juga masih memerlukan BN bagi pihak kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan keperluan dan bantuan pertanian seperti baja, kemudahan infrastruktur dan pembangunan dalam cakupan kuasa federal kerana corak majoriti pengundi merupakan petani.
  • Maka, ILHAM dapati, dilema pendirian ini menyebabkan mereka mengambil pendirian berhati-hati sebelum menterjemahkan sokongan politik mereka kepada calon dan parti yang bertanding.
  • Mereka juga dilihat seolah-olah cuba mengelak daripada dilabel sebagai memihak dan berusaha menyembunyikan pendirian politik mereka dikhuatiri akan menjejaskan peluang untuk mendapatkan tuntutan setempat mereka".
Sekian.

Monday, 25 October 2010

Galas & Batu Sapi: Pakat-pakat keluar mengundi


Akhbar Kosmo keluaran Isnin (25 Oktober 2010, p. 4), memberikan statistik pilihanraya bagi DUN Galas dan Batu Sapi pada PRU 2008 yang lalu sebagaimana berikut:

N45 GALAS
Jumlah pengundi: 11553 orang
Komposisi kaum/pengundi (% digenap kepada puluh yang hampir): Melayu 66%; Cina 22%; India 2% dan lain-lain 10%

Statistik PRU 2008:
Che Hashim Sulaima (PAS) (4399 undi)
Mohamad Saufi Deraman (UMNO/BN) (3753 undi)

Majoriti: 646 undi
Jumlah undi: 8323 undi
Peratus keluar mengundi: 80.57%
Undi rosak: 171 undi

------------------------------------------

P185 BATU SAPI
Jumlah pengundi: 26004 orang
Komposisi kaum/pengundi (% digenap kepada puluh yang hampir): Bumi Islam 60%; Bumi Bukan Islam 2%; Cina 37% dan lain-lain 1%

Statistik PRU 2008:
Edmund Chong Ket Wah (BN) (9479 undi)
Chung Kwong Win (Bebas) (5771 undi)

Majoriti: 3708 undi
Jumlah undi: 15980 undi
Peratus keluar mengundi: 61.45%
Undi rosak: 730 undi

------------------------------------------

Rasanya, kita semua telah sedia termaklum akan calon-calon yang bakal betanding bagi merebut kedua-dua kerusi yang dikosongkan penyandangnya sebelum ini.

Setakat yang rasmi, Saudara Abd Aziz Yusoff dari parti UMNO dan Dr. Zulkefli Mohamad dari parti PAS telah diumumkan sebagai calon untuk kerusi DUN Galas.

Manakala Datin Linda Tsen Thau Lin dari parti PBS telah diumum sebagai calon BN, Ansari Abdullah pula mewakili PKR dan seorang calon daripada SAPP (tetapi tidak dinyatakan oleh akhbar ini) telah diumumkan bertanding untuk kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Kepada yang telah dipilih menjadi calon, tahniah. Perjuangan anda baru sahaja bermula. Ini kerana:

Walau sehebat manapun wibawa parti anda, 
Setinggi manapun kaliber calonnya,
Secekap manapun perjalanan jentera/gerak kerja parti,
Sebanyak manapun projek pembangunan yang dijanjikan,
Akhirnya, di tangan para pengundi jualah nasib anda ditentukan.

Justeru, di sini saya ingin berkempen agar para pengundi, baik Melayu, Orang Asli, bumi dan non-bumi, untuk beramai-ramai keluar mengundi, memilih pemimpin baru untuk kawasan anda.

Andalah yang menentukan siapa yang akan menggalas 'amanah' (dan bukannya sapu duit rakyat membuncitkan perut sendiri dan kroni) ini.

Malah, undi andalah yang akan menentukan masa depan anda  - kerana setiap anda akan terkesan dengan keputusan pengundian ini. 

Buatlah pilihan dengan bijak, pakat-pakatlah keluar mengundi!

Sunday, 24 October 2010

Sesawang yang bersawang

Sudah seminggu (lebih sikit) saya berada di tanah air. Meninggalkan Heathrow di kala cuacanya begitu muram, suram dan sejuk, tiba di Dubai yang panas dan mengantukkan mata. Terbuka sahaja pintu pesawat Boeing di KLIA, jam 9.40pm, boleh terasa 'hawa' udara panas menyentuh lengan saya, nikmatnya tidak terkata.

Kembali ke tanah air, bererti cabaran jadi berganda. Untuk bahagikan masa dengan tugasan penyelidikan dengan hal-hal kedua keluarga, di samping menguruskan hal-hal yang tersedia adanya (hal keluarga sendiri).

Alhamdulillah, saya, isteri dan Mawaddah setakat ini sihat semuanya, tidak kena sakit yang berbahaya.

Ke kampung juga telah pulang, tok dan tokki ceria bermain dengan cucu yang pertama. Atuk dan nenek juga terasa terisi masa.

Kini boleh mula set-up kerusi meja untuk mulakan kerja-kerja. Masa 2 bulan bukannya lama, pejam-celik-pejam-celik saja.

Mungkin ke Johor Bahru, ke Lipis, Kuala Terengganu dan Kota Bahru. Jalan-jalan cari data dan cuci mata.

Nanti 'update' lagi. Wassalam.