Saturday, 30 January 2010

Lagi julang keris

Ketika beberapa isu sensitif masih belum dapat dirungkai dan dicari penyelesaiannya, tindakan Tun ini terus menimbulkan tanda-tanya kepada saya.

BBCTwo: A History of Christianity

Sekarang ini setiap petang Sabtu, kami akan terpacak di hadapan TV, menonton BBCTwo yang menyiarkan rancangan 'A History of Christianity'.

Ada dua sebab kami menontonnya, pertama disebabkan kami gemarkan kisah sejarah (dalam bentuk visual). Bila lagi berpeluang menonton rancangan yang disunting sebegini baik?

Kedua, kami ambil pengajaran bahawa seseorang ilmuan, khasnya insan yang digelar Professor, wajar melakukan sesuatu seperti yang ditonjokan oleh pengkaji dan pengacara rancangan ini, Prof. Diarmaid MacCulloch dari Universiti Oxford.

Dengan segala 'ketinggian ilmu' yang dimiliki, seorang yang bergelar Professor boleh menjalinkan kerjasama dengan badan kajian antarabangsa/ternama, menjalankan penyelidikan dan 'menerbitkan' hasil kajiannya di kaca TV. Baru manfaatnya dirasai masyarakat terbanyak.

Terdapat 6 siri keseluruhannya, dan petang ini ia telah memasuki siri ke-3. Indahnya pengembaraan beliau ini, bukan hanya mengupas sejarah dan asal-usul agama Kristian, tetapi bagaimana Islam memainkan peranan yang amat signifikan di dalam mencorakkan sejarah Kristian itu sendiri.

Di bawah ini sekadar berkongsi beberapa foto yang saya ambil sendiri. Selanjutnya, para pembaca yang berminat boleh mengaksesnya di sini (klik).











Sekian dan selamat berhujung minggu.

Thursday, 28 January 2010

Bacaan umum: Mengapa Yahudi begitu berkuasa?

Sumber (sini), jika tidak dapat mengaksessnya, lihat pula (sini).

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian. Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Alert Sabin membangunkan vaksin polio hidup yang lebih baik. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis.

Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz memenangi Hadiah Nobel kerana kajian beliau mengenai transmisi neuromuskular. Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis).

Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia). Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga secara oral yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Kenapa Yahudi begitu berkuasa? Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.
Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah seorang Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan.

Artikel ini ditulis oleh Dr. Farrukh Saleem, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan. Artikel asal beliau ditulis dalam Bahasa Inggeris boleh dibaca di Why Are Jews So Powerful?

Dr. Sepet: Melayu pula? Mengapa orang Melayu lemah?

Mungkin: Sebabnya, Melayu kini tidak lagi memandang pendidikan itu penting. Ramai Melayu nampaknya cenderung untuk suka berkhayal mengenai hiburan (nak jadi penghibur, penyanyi, menghabiskan wang dengan sms program realiti TV, mengumpul majalah hiburan, etc). Sedangkan aspek-aspek penting seperti perniagaan, sains dan teknologi (mahupun hal keagamaan) telah dikuasai bangsa lain yang nampak pendidikan itu sebagai ibu kunci kepada kuasa dan kejayaan.

Wednesday, 27 January 2010

Dilema Menjadi Doktor

Akhbar hari ini melaporkan saranan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, a.k.a Presiden PPP yang 'disangsikan' statusnya, Senator Datuk T. Murugiah agar kerajaan mengkaji tempoh perkhidmatan para doktor dengan kerajaan (ikatan kontrak wajib) dari amalan semasa, 3 tahun, dipanjang kepada 5 hingga 10 tahun.

Ianya memandangkan ketika ini negara secara kasarnya masih menghadapi masalah kekurangan doktor iaitu sekitar 5,000 orang (tahun 2009).

Menurut beliau lagi, rekod lampau menunjukkan ramai para doktor hanya berminat untuk memenuhi syarat perkhidmatan mereka dengan kerajaan, iaitu 2 tahun untuk housemanship (latihan) dan baki 3 tahun lagi untuk khidmat wajib.

Selepas itu, mereka akan meninggalkan sektor perkidmatan awam untuk sama ada menyertai sektor swasta atau membuka klinik mereka sendiri.

Gaji = beban tugas = tidak setimpal?

Seringkali kita dengar antara alasan utama para doktor hanya merelakan diri mereka bekerja di hospital kerajaan adalah kerana syarat wajib terbabit.

Sejurus memenuhi tempoh yang disyaratkan, mereka akan angkat kaki, untuk mendapatkan bayaran/gaji yang lebih besar yang ditawarkan sektor swasta.

Langkah mereka untuk mencari kehidupan yang lebih selesa ini bagaimanapun tidak sepenuhnya difahami masyarakat.

Di sebelah pihak, mereka (doktor yang angkat kaki) sering dipersalahkan oleh masyarakat kerana hanya mementingkan diri sendiri, melebihi tuntutan terhadap masyarakat dan negara.

Ini kerana untuk jangka panjang, negara akan rugi kerana sentiasa hilang modal insan dalam sektor kritikal seperti kesihatan ini.

Dari sudut mikro, kualiti perkhidmatan di hospital kerajaan kelak akan semakin dipersoal memandangkan ramai 'doktor pakar' iaitu mereka yang berpengalaman luas, telah angkat kaki ke sektor swasta atau persendirian.

Justeru, adakah jurusan kedoktoran kini telah semakin hilang nilai-nilai murninya, dan lebih mementingkan aspek material dan individualistik?

Rintihan

Namun, pernahkah kita cuba meluangkan sedikit masa untuk bersembang dan mendengar luahan hati dan perasaan seorang doktor?

Adakah mereka-mereka ini 'dengan sengaja' atau 'suka-suka' untuk meninggalkan tugasan mereka dengan hospital kerajaan?

Daripada perbualan saya dengan seorang rakan yang juga doktor tidak lama dahulu, beliau turut menghadapi dilema sebegini.

Katanya, kadang-kala kita perlu buat sesuatu yang masyarakat mungkin tidak suka. Tetapi kita terpaksa.

Kita juga ada tanggungan dan hutang (rumah, kereta, etc) yang perlu dibayar. Dengan gaji semasa, ianya tidak banyak membantu. Jika peluang itu ada (ke sektor swasta) dan ianya bukan dianggap salah dari segi undang-undang, mengapa tidak mencuba?

Sebagaimana ramai lagi kakitangan awam, kami juga perlukan pembelaan dalam usaha kami memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Tambah baik suasana kerja

Tidaklah saya tahu akan situasi kerja para doktor kerajaan. Namun, daripada sembang dengan rakan-rakan di sini (UK), saya dapat tahu seba-sedikit cara kerja para doktor di sini.

Bagi mengekalkan fokus terhadap masalah pesakit, setiap doktor hanya dibenarkan untuk memberikan konsultansi kepada pesakit dalam jumlah tertentu. Contohnya 60 orang seminggu (atau 10 orang sehari).

Dengan cara ini, para doktor tidak perlu terkejar-kejar dan akhirnya mereka mengalami masalah 'mental fatigue' - keletihan minda, hingga boleh memberikan rawatan/ubat yang salah kepada pesakit.

Justeru, selain bercadang untuk memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan doktor muda dengan hospital kerajaan, kerajaan sendiri perlu melihat semula pelbagai tuntutan doktor agar mutu perkhidmatan dapat ditambahbaik, dan doktor sendiri merasa seronok untuk kekal di sektor awam.

Ayam @ telur?

Kini ada dua perkara perlu dipertimbangkan.

Mendahulukan khidmat kepada negara dengan kekal di sektor awam, atau mencari pendapatan lebih lebat di sektor swasta.

Adakah faktor materialistik (gaji) menjadi faktor utama untuk meninggalkan hospital kerajaan, atau kepuasan kerja yang dicari?

Persoalan-persoalan ini saya rasa akan terus diperdebat dan diperbincang selagi tiada makenisma yang berkesan dapat dibentuk dan dipersetujui kementerian dan para doktor terlibat.

Apapun permintaan terhadap bidang perubatan sentiasa tinggi. Janganlah disebabkan hal-hal dan 'hajat' Murugiah ini akan membantutkan minat adik-beradik kita dan anak-anak kita untuk bangga menyatakan cita-cita mereka:

"Saya nak jadi doktor bila saya besar nanti!"

Sekian.

Tuesday, 26 January 2010

Marilah mari, mari mengundi

Pengundian awal pulak

Beberapa hari lepas saya terbaca mengenai cadangan (di peringkat kajian) oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mewujudkan apa yang dipanggil sistem pengundian awal, pada Piliharaya Umum dan Pilihanraya Kecil yang akan datang.

Cadangan bagi mewujudkan sistem ini dikatakan mungkin bagi menggantikan sistem Undi Pos yang sedang digunapakai SPR ketika ini.

Jika ianya diterimapakai, sistem ini akan berfungsi dalam tempoh bertenang semasa kempen sedang berlangsung.

Ianya akan melibatkan anggota keselamatan, doktor, jururawat, pemberita, juruterbang dan kakitangan penerbangan (yang terbang) - nampak seperti mereka-mereka ini terlibat dengan bidang kritikal dan yang sukar bercuti atas sebab tugasnya begitu (nature of work).

Bangkangan

Walau bagaimanapun, cadangan (perancangan) SPR ini awal-awal lagi telah mendapat bangkangan terutama daripada para pimpinan Pakatan.

Seolah-olah langkah yang direncanakan ini bukanlah langkah positif yang PR harapkan daripada protes mereka selama ini - terhadap pengekalan sistem undi pos.

Ini kerana secara amnya, sistem undian awal dan sistem undi pos seakan-akan sama.

Melalui kedua-dua sistem ini, pengundi perlu membuang undi lebih awal. Malah, kumpulan pengundinya juga hampir sama.

Justeru, apa yang boleh diharapkan dari 'cadangan penambahbaikkan' ini?

Celup jari

Sebelum PRU ke-12 yang lalu, kita dihebohkan seketika dengan cadangan penggunaan dakwat kekal bagi mengesahkan pengundi yang hadir membuang undi.

Namun, ianya dibatalkan atas alasan wujud keraguan dan kemungkinan berlaku manipulasi terhadap penggunaan dakwat terbabit. Akhirnya kaedah konvensional dikekalkan.

Adalah tidak jelas sebab pembatalan tersebut dibuat. Ini kerana secara logiknya siapa yang ingin menipu dengan 'telah' mencelup jarinya? Semestinya ramai yang berebut untuk tidak mencelup jari kerana tiada peluang untuk mengundi beberapa kali di tempat yang berlainan.

Apapun, isu mengenai penggunaan dakwat pada jari hanya menjadi hangat-hangat tahi ayam (sebagaimana biasa). Selepas PRU, segalanya fokus kepada perkara yang lain.

Daftar

Apa yang penting kepada SPR, dan parti-parti politik adalah memastikan golongan yang telah layak menjadi pengundi, mendaftar diri mereka sebagai pengundi.

Dengan segala teknologi dan kecanggihan yang ada, adalah tidak menjadi beban buat SPR untuk membersihkan senarai daftar pengundi.

Parti politik juga perlulah menyelitkan di dalam kempen masing-masing, bukan sahaja untuk menarik keahlian baru, malah memastikan diselitkan kempen untuk mendaftarkan ahli baru sebagai pengundi yang sah.

Adalah suatu kerugian jika ahli parti ramai, tetapi ahli parti yang layak untuk mengundi adalah rendah. Makanya, parti sukar menang dalam pilihanraya.

Justeru, bagaimana untuk menjadi 'juara rakyat' jika masih ramai ahlinya tidak dikempen untuk menjadi pengundi?

Ini kerana bukan mereka (parti) yang menentukan diri mereka 'juara', sebaliknya rakyatlah yang menentukan siapa 'juara' melalui undi-undi yang dibuang!

Sunday, 24 January 2010

Adab ber'blog': Berani buat, beranilah tanggung

Hari ini media arus perdana dan alternatif, termasuklah akhbar dalam talian (online) dan blog heboh dengan laporan mengenai penulisan menghina institusi raja di sebuah blog.

Secara spesifiknya blog ini (adukataruna).

Terlajak perahu boleh diundur,
Terlajak kata (termasuklah penulisan) badan binasa.

Buat penulis, ataupun pengendali blog terbabit, selamat maju jaya saya ucapkan buat saudara dengan perkembangan yang bakal saudara lalui selepas ini.

Betul ni, 'selamat' saya ucapkan.

Biarpun saudara merasakan apa yang ditulis di blog saudara itu merupakan pandangan, pegangan mahupun ideologi atau apa-apa sajalah yang wajar saudara pertahankan, namun, saudara juga perlu sentiasa ingat bahawa secara realitinya, tiada istilah 'kebebasan mutlak'.

Sebagai insan, kita semua boleh menyuarakan pendapat. Namun, kita masih terikat kepada etika, adab dan yang paling penting perlu ada kesedaran bahawa adanya tuhan yang melihat segala tindak-tanduk kita.

Ianya bagi mengelakkan timbulnya salah guna (abuse) media maya (seperti blog), yang akhirnya membawa kepada timbulnya salah faham di dalam menyebarkan maklumat dan berita, hingga boleh mendatangkan kemudaratan, kekeliruan dan mengganggu sensitiviti majoriti orang di dalam masyarakat.

Jika sebagai blogger kita tidak nampak keperluan menjaga etika (dalam menulis dan menyampaikan maklumat), maka jadilah perkara seperti sekarang ini.

Sekali artikel yang bodoh seperti yang dilaporkan hari ini diterbitkan (dan biarpun ianya ditarik balik dan dibuang), rekod pada sistem masih ada dan ianya dengan mudah dapat diperoleh semula untuk dijadikan bahan bukti (pendakwaan).

Tambah malang lagi, jika ada pengguna lain yang telah membuat 'save as' atau 'copy n paste'.

Malang tambah berganda jika artikel terbabit disebarkan pula untuk menambah keliru dan kacau-bilau di dalam masyarakat.

Seharusnya, penulisan kita hendaklah membantu menambahbaik kefahaman para pembaca, bukannya menjadi medan menyemai rasa benci dan lain-lain perbuatan yang tidak mencerminkan nilai kehidupan yang baik - yang disuruh agama.

Berfikirlah habis-habis sebelum menerbitkan apa jua artikel di blog, biarpun ianya hak masing-masing untuk menyuarakan pandangan.

Juga, menulislah dengan beradab. Ini kerana tiadalah kita mampu untuk mengadap Allah nanti dengan membawa dosa dengan beribu-ribu orang, hasil laporan kita (di blog) yang tidak tepat.

Buat baik beribu kali orang susah nak ingat,
Tapi buat jahat sekali orang akan kenang sampai bila-bila.

Namun, jika ingin juga menduga langit itu tinggi ataupun rendah, dipersilakan dengan syarat:

Berani buat, beranilah tanggung!

Friday, 22 January 2010

Kemangkatan Sultan Johor

DALAM KENANGAN:

sumber

sumber: sini

Al-Fatihah. Berita penuh boleh dibaca di (sini).

Nota kaki: Saya bukanlah anak jati Johor namun Johor dekat di hati saya. Saya bersekolah di Muar, dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di UTMJB hingga ke peringkat MSc. Tendang-terajang dekat 8-9 tahun juga di Johor. Segala urusan baik persemadian mahupun pertabalan Sultan Johor yang baru berjalan dengan lancar. Harap negeri Johor akan kekal aman, dan Malaysia juga akan kekal aman sebagaimana biasa.

Words of the day

33. O mankind! Keep your duty to your Lord and fear a Day when the parent will not be able to avail the child in anything, nor the child to avail the parent. Allah's promise is the very truth. Let not the life of the world deceive you, nor let the deceiver deceive you, in regard to Allah

34. Allah! With Him is knowledge of the Hour. He sends down the rain, and knows that which is in the wombs. No soul knows what it will earn tomorrow, and no soul knows in what land it will die. Allah is Knower, Aware.

Surah 31: Luqman

Source: The Meaning of The Glorious Qur'an. An Explanatory Translation by Muhammad Marmaduke Pickthall. New Modern English Edition. Islamic Dawah Centre International, Birmingham, UK.

Thursday, 21 January 2010

Indahnya negeriku





nota: sebahagian foto-foto perjalanan ke negeri Terengganu sekitar Oktober 2009 yang lalu.

Hukum Merokok




nota: Sekadar berpesan-pesan akan kebenaran