Sunday, 24 January 2010

Adab ber'blog': Berani buat, beranilah tanggung

Hari ini media arus perdana dan alternatif, termasuklah akhbar dalam talian (online) dan blog heboh dengan laporan mengenai penulisan menghina institusi raja di sebuah blog.

Secara spesifiknya blog ini (adukataruna).

Terlajak perahu boleh diundur,
Terlajak kata (termasuklah penulisan) badan binasa.

Buat penulis, ataupun pengendali blog terbabit, selamat maju jaya saya ucapkan buat saudara dengan perkembangan yang bakal saudara lalui selepas ini.

Betul ni, 'selamat' saya ucapkan.

Biarpun saudara merasakan apa yang ditulis di blog saudara itu merupakan pandangan, pegangan mahupun ideologi atau apa-apa sajalah yang wajar saudara pertahankan, namun, saudara juga perlu sentiasa ingat bahawa secara realitinya, tiada istilah 'kebebasan mutlak'.

Sebagai insan, kita semua boleh menyuarakan pendapat. Namun, kita masih terikat kepada etika, adab dan yang paling penting perlu ada kesedaran bahawa adanya tuhan yang melihat segala tindak-tanduk kita.

Ianya bagi mengelakkan timbulnya salah guna (abuse) media maya (seperti blog), yang akhirnya membawa kepada timbulnya salah faham di dalam menyebarkan maklumat dan berita, hingga boleh mendatangkan kemudaratan, kekeliruan dan mengganggu sensitiviti majoriti orang di dalam masyarakat.

Jika sebagai blogger kita tidak nampak keperluan menjaga etika (dalam menulis dan menyampaikan maklumat), maka jadilah perkara seperti sekarang ini.

Sekali artikel yang bodoh seperti yang dilaporkan hari ini diterbitkan (dan biarpun ianya ditarik balik dan dibuang), rekod pada sistem masih ada dan ianya dengan mudah dapat diperoleh semula untuk dijadikan bahan bukti (pendakwaan).

Tambah malang lagi, jika ada pengguna lain yang telah membuat 'save as' atau 'copy n paste'.

Malang tambah berganda jika artikel terbabit disebarkan pula untuk menambah keliru dan kacau-bilau di dalam masyarakat.

Seharusnya, penulisan kita hendaklah membantu menambahbaik kefahaman para pembaca, bukannya menjadi medan menyemai rasa benci dan lain-lain perbuatan yang tidak mencerminkan nilai kehidupan yang baik - yang disuruh agama.

Berfikirlah habis-habis sebelum menerbitkan apa jua artikel di blog, biarpun ianya hak masing-masing untuk menyuarakan pandangan.

Juga, menulislah dengan beradab. Ini kerana tiadalah kita mampu untuk mengadap Allah nanti dengan membawa dosa dengan beribu-ribu orang, hasil laporan kita (di blog) yang tidak tepat.

Buat baik beribu kali orang susah nak ingat,
Tapi buat jahat sekali orang akan kenang sampai bila-bila.

Namun, jika ingin juga menduga langit itu tinggi ataupun rendah, dipersilakan dengan syarat:

Berani buat, beranilah tanggung!

No comments: