Monday, 20 July 2009

Segar minda







Sumber: pada foto dan sini

Nice one!

Ini rentetan daripada posting saya sebelum ini tentang bagaimana kompromi yang dibuat dalam kehidupan berbilang bangsa di Malaysia.

Artikel terbaru oleh Tun Mahathir ini hendaklah anda baca dengan minda yang terbuka. Pada saya semangat pemimpin dan orang-orang Melayu ke arah perpaduan, dan pengorbanan mereka membangunkan negara kita, sememangnya tidak dapat disangkal lagi.

Cuma beberapa ulasan beliau saya rasa "agak kurang cocok" jika dikaitkan dengan gaya hidup dan kesenangan yang ditunjukkan oleh ramai pemimpin UMNO (dan bekas UMNO), di mana mereka-mereka ini telah terbukti banyak mendapat "durian runtuh" daripada polisi kerajaan membantu bumiputra, tidak kira melalui DEB dan sebagainya.

Perjuangan para pemimpin Melayu untuk menyediakan suasana hidup yang terbaik buat hamba rakyat sewajarnya melayakkan mereka untuk diberikan ganjaran, namun biarlah ganjaran itu sepadan atau setimpal dengan apa yang telah disumbang.

Bagaimana untuk menafikan kepada "ramai lagi orang Melayu yang menghuni kawasan setinggan", (sumber - perenggan 9) jika anda sendiri, sebagai seorang pemimpin Melayu, begitu lena bersemayan di mahligai sebegini indah (sumber) dan banyak lagi (sini).

Renungkanlah...

Saturday, 18 July 2009

Demo-demo loni ni tok serupo mulo....

Posting ini adalah kesinambungan daripada penulisan saya sebelum ini - berkaitan situasi dan cabaran yang sedang dan bakal didepani bagi tahun-tahun mendatang buat masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Foto: Sumber

Adalah begitu menggusarkan hati saya setelah mengikuti dan meneliti pelbagai perkembangan yang terjadi di tanah air kebelakangan ini.

Malaysia, sebuah negara yang sememangnya unik yang mana di dalamnya begitu kaya dengan kepelbagaian kaum yang membina hidup, mencari rezeki dan mencorak ketamadunan secara bersama.

Ramai yang inginkan kehidupan di bumi Malaysia ini sentiasa dalam keamanan dan keharmonian yang berkekalan. Apapun, apabila hidup bersama ini akan adalah juga waktu "pasang-surutnya". Ibarat adik-beradik yang hidup sebumbung, pun kadang-kala berkelahi juga.

Namun, perkelahian sesama adik-beradik seringkali dapat mencari damai, jika "orang tua" memainkan tugas secara tegas, sehingga semua anak ini hormat dan menerima segala aturan yang dibuat orang tua "jika ingin kekal di dalam rumah".

Ringkasnya pada saya, keamanan dalam kehidupan akan dapat kita kekalkan jika:

1) Wujudnya suatu set peraturan/aturan/tatacara yang tujuannya ialah memandu arah perilaku dan sahsiah diri yang positif sesama ahli dalam rumah.

2) Tertonjolnya daya kepimpinan yang mantap dan berkarismatik ditunjukkan oleh ibubapa/orang tua untuk diteladani/dicontohi dan menjadi simbol yang dihormati dan simbol perpaduan di kalangan anak-anak.

3) Sesama adik-beradik perlu sedia be
rtolak-ansur dan saling hormat-menghormati. Adik hormat abang yang lebih tua. Jangan mudah ambil hati dan iri hati dengan keistimewaan di kalangan adik-beradik. Anak bongsu pun tidak boleh manja dan berkira jika abang sulungnya kurang upaya. Kena ada rasa sayang dan tolak-ansur.

4) Hubungan dua hala (ibubapa - anak) perlu sentiasa disegarkan. Bukan hubungan diktator yang akan membawa keamanan dalam keluarga, bukan juga hubungan saling berkonflik dan boikot-memboikot arahan orang tua yang ingin disemai. Anak-anak mungkin inginkan orang tua mendengar dan respon kepada tuntutan hati mereka. Dan orang tua juga inginkan setiap tuntutan anak-anak yang ditunai
itu diambil secara penuh hormat dan dengan rasa bersyukur.

Sememangnya hal pengurusan negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama adalah jauh lebih kompleks dan rumit, berbanding menguruskan sebuah keluarga.

Jurang mengurustadbir kerumitan dan (complexity) ini dilihat semakin melebar setelah "orang tua" a.k.a kerajaan memerintah di peringkat persekutuan, berada pada kedudukan yang lemah (hilang majoriti 2/3 sokongan).

Apabila "orang tua" gagal berkuasa secara berkesan, mulalah "anak-anak naik kepala". Bagi anak yang sentiasa diasuh untuk patuh, tidak timbul perubahan yang signifikan, namun bagi anak yang memang agak nakal, inilah peluang untuk terus menguji kesabaran orang tua.

Inilah yang sedang berlaku. Permasalahan di bidang politik telah akhirnya mengheret kaum-kaum dalam masyarakat melalui tahap baru dalam ujian kehidupan bertoleransi.

Kesannya, dapat dilihat sekarang ini semua pihak menjadi begitu difensif dan amat sensitif apabila tiba perkara yang melibatkan sebarang perubahan terhadap kepentingan dan status quo yang ingin dilaksanakan.

Pantang dicubit

Siapa saja sekarang ini boleh saya gambarkan sebagai "orang yang pantang dicubit". Kalau dicubit, akan melentinglah ia.

Foto: Sumber

Lihat isu PPSMI, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat isu ISA, SPRM, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat dasar liberalisasi, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat isu rasuah dan salah guna kuasa, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat konsep 1Malaysia, Islam Hadhari, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat isu UG, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat isu terbaru tentang mendiang Teoh, siapa yang dicubit pipinya?
Banyak lagi....

sambung lagi.....

Apa sebenarnya berlaku di pejabat SPRM, Plaza Masalam?

Dipetik di sini (sumber).

Tunggulah apa hasil siasatan pihak yang berwajib, dan keputusan sama ada satu badan siasatan bebas akan ditubuh bagi meneliti dan menyiasat kebenaran di sebalik kejadian ini.

Malas nak mengulas "teori konspirasi" seperti disiar pelbagai blog dan lamanweb, kerana tiada asas dan bukti yang jelas untuk mempercayainya.

Mungkin logiknya ada, namun tunggulah dengan sabar setelah siasatan komprehensif dibuat bagi merungkai misteri di sebalik kejadian ini.

Yang benar pasti akan mengatasi yang palsu dan ia akan muncul jua. Sebab itulah dalam perjuangan perlu ada sifat sabar. Jika tidak sabar, mulalah percaya dan berpegang dengan andaian yang tidak tepat. Sabarlah dulu.

Tekanan pelbagai pihak baik pimpinan PR, menteri dan pimpinan BN sendiri dilihat menyediakan langkah awal yang positif ke arah mendapatkan penyelesaian terbaik kepada kita semua.

============

Apa sebenarnya berlaku di pejabat SPRM, Plaza Masalam

Adnan Ibrahim
Fri | Jul 17, 09 | 7:05:24 pm MYT

Orang ramai yang berurusan di Plaza Masalam, Shah Alam bertanyakan kenapa ada orang ramai berhimpun, kepada salah seorang yang menyertai perhimpunan mendesak siasatan dilakukan ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertanggungjawab menyiasat Teoh Beng Hock.

Orang yang ditanya itu menjawab: "Ada kes kematian semalam di sini. Mereka ini melahirkan tidak puas hati tentang kematian itu."

Jawab balik orang bertanya itu: "Ooo ... yang semalam kes bunuh diri tu ..."

"Macam mana awak tahu itu kes bunuh diri," soal orang sebelah kepada yang ditanya tadi.

Ini antara bualan ringkas di pintu masuk ke bangunan pejabat di Plaza Masalam pagi tadi semasa orang ramai yang dianggarkan lebih 500 orang berkumpul meminta SPRM bertanggungjawab diatas kematian Teoh yang ditemui dibawah pejabat SPRM, tingkat 14.

Tambah orang itu: "Kalau saudara dapat berita awal kes itu bunuh diri, saya pun dapat berita awal yang Teoh ini bunuh diri."

Orang ramai yang tidak mengenali Teoh iaitu Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Selangor, Ean Yoing Hian Wah dan mendapat maklumat awal memang mudah menyangka kebenaran berita tersebut.

Soalnya siapa yang bertanggungjawab menyebarkan berita bahawa Teoh membunuh diri, sedangkan pihak polis mengklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut dan siasatan sedang dijalankan.

Apabila ada pemimpin DAP yang menceritakan tentang keperibadian Teoh maka maklumat awal tersebut ternyata semacam sebuah cerekarama seolah hendak menutup kematian sebenar Teoh.

Ini kerana kematian mengejut beliau itu banyak menimbulkan persoalan dan andaian. Teoh pula tidak meninggalkan sebarang nota dalam masa rehat beliau di pejabat SPRM iaitu sebaik sahaja selesai siasatan pada pukul 3.30 pagi hingga 6 pagi, semalam bagi beliau mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Walaupun kesedaran kematian Teoh pada pukul 1.30 tengahari tetapi sebelum itu kali terakhir lokasi beliau berada di pejabat SPRM maka suruhanjaya tersebut perlu bertanggungjawab.

Pada 7 Julai lalu, saudara yang mahu dikenali Zul seorang pembantu tadbir pihak berkuasa tempatan (PBT) menceritakan beliau didera oleh SPRM di bilik gelap di pejabat SPRM di Johor Bahru dan telah membuat laporan polis.

Perkara ini disahkan Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani yang dimaklumkan berhubung insiden yang menimpa Zul itu berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan selanjutnya.

"Pengadu berkenaan sudah membuat laporan polis, jadi kami serahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menjalankan siasatannya dan jika terbukti dakwaan itu benar, biar pegawai yang terbabit dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya," katanya.

Ini bermakna SPRM sudah ada kes dera saksi maka amat dibimbangi keghairan yang meruap-ruap menyiasat dakwaan penyelewengan exco kerajaan negeri Selangor akhirnya mengundang padah seperti yang menimpa Teoh.

Kata orang tua-tua kalau bergurau biar berpada, takut nanti bawa malapetaka.

Bagaimanapun rakyat Malaysia yang tertanya-tanya mahu pihak polis menjalankan siasatan dan menahan mereka yang terakhir bersama beliau di pejabat SPRM, tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam.

Atau apakah pejabat SPRM juga terdapat 'lembaga' misteri sebagaimana cerita pelajar siswi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, ditemui mati di Kolej Pendeta Zaba, dipercayai terjatuh dari tingkat empat.

Diceritakan rakan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Rosliza, 20-an, berkata sejak mendiami kolej kediaman itu hampir dua tahun lalu, pelbagai cerita mengenai gangguan makhluk halus seperti lembaga hitam tersebar.

Apakah Teoh juga mati kerana 'lembaga misteri'? Siapa lembaga misteri itu? Jin atau manusia?

Apa yang pastinya selagi siasatan tidak dijalankan secara telus selagi itu kematian Teoh jadi tanda tanya dan misteri. _

Thursday, 16 July 2009

Update berkebun: Julai 2009

Lama tak jumpe, ape khabar semua? Hehe...

Mungkin anda telah melupakan saya, tapi saya ingat akan anda....

Ayuh ikut saya, kita berjalan-jalan sekitar laman...

Malam ini kita makan kangkung goreng belacan

Anak bunga matahari pun makin besar

Ubi kentang pun dah makin meninggi

Cauliflower

Nak tunggu hujung minggu yang cuacanya baik untuk kerja-kerja merumput

Tomato dah berbuah

Kena bungkus sebab banyak burung lapar yang berkeliaran

Bunga ros milik ibu

Buah epal, Mawaddah dah kira - ada 47 biji kesemuanya

Ada buah yang dah rosak dimakan burung lapar yang berkeliaran

Kumpulan ke-2 salad (rocket), coriender dan bayam yang baru ditanam

Dah puas berjalan-jalan?

Sampai bertemu di lain hari, saya nak garu kaki pulak ye...

Wassalam.

MU: UMNO/BN patutnya menang

Adalah sedikit mengejutkan apabila mendapati UMNO tidak berjaya menawan kerusi Manek Urai (MU) daripada genggaman PAS pada PRK kelmarin.

Tambahan pula, jika kesemua faktor "pemangkin kemenangan" di bawah ini diambilkira, calon dan parti UMNO pastinya mempunyai peluang yang cerah untuk menang:

1) Hari jadi 100 hari pemerintahan PM yang baru, dengan 11 khabar gembira buat rakyat, seharusnya dimanfaatkan oleh masyarakat di MU.

2) Janji pembinaan jambatan di MU bernilai RM 7 juta, yang sememangnya begitu mendesak keperluannya buat masyarakat MU (sumber).

3) Janji untuk menjadikan MU anak angkat (anak emas) Kerajaan Persekutuan.

4) Janji perlaksanaan "Kota Agropolitan" di MU, begitu kena pada masa dan dengan potensi untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat Melayu miskin luar bandar.

5) Majoriti pengundi di MU adalah orang-orang Melayu.

6) Calon UMNO adalah bekas orang kuat KESEDAR, berpendidikan tinggi dan berpengaruh, mempunyai saluran yang kuat bagi membawa projek-projek pembangunan ke MU.

7) Dengan situasi PAS/PR masih belum sembuh sepenuhnya daripada demam "Kerajaan Perpaduan" yang menggoncang imej pimpinan atasan parti.

8) Etc.

Namun, begitulah adat orang bertanding, ada menang dan ada kalah. Apapun, dalam seni politik ini yang menang tidak semestinya untung semua dan yang kalah tidak juga rugi semuanya.

Hanya 65 undi yang memisahkan masyarakat MU dengan "jambatan baru".
Hanya 65 undi yang menukar status mereka daripada "anak emas" kepada "anak tiri".
Hanya 65 undi yang membuatkan perancangan "Kota Agropolitan" terpaksa dialih ke tapak baru.

Namun, disebalik segala khabar angin yang tersebar di internet, kerajaan BN nampaknya masih "berjanji" untuk terus komited dengan "janji" untuk membantu membangunkan MU (sumber), terutama dalam hal bantuan rumah dan kebajikan (tiada sebut pasal jambatan baru??).

Sudah jelas

Sebaik sahaja keputusan PRK diumumkan oleh pihak SPR dan diketahui akan berita kekalahan tipis calon UMNO dengan 65 undi, akhbar arus perdana menyiarkan berita akan "pulihnya sokongan rakyat kepada UMNO/BN" (sumber).

Pulih atau hanya andaian (setelah pelbagai janji pembangunan dibuat), tiada bukti yang nyata bagi menyokong pernyataan yang dibuat.

Begitu juga di pihak yang menang. Sudah berkurang jumlah undi tetapi masih yakin dan selesa dengan apa yang dicapai.

Apapun, sebagai strategi untuk memulihkan semangat penyokong dan menjaga reputasi kedua-dua parti, wajarlah pernyataan sebegini dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi parti masing-masing.

"Kita kalah tipis saja" - UMNO
"Biarpun menang tipis, tapi tetap menang juga" - PAS/PR

Namun, soalnya bukan kalah tipis atau menang tipis, kalah tetap kalah dan menang tetap menang! Sama juga halnya, contoh:

"Seorang pelajar gagal dalam SPM kerana beliau demam teruk semasa menduduki peperiksaan. Tidak dapat fokus dan hampir pitam dalam dewan. Akhirnya tidak berupaya menjawab dengan baik".

"Bila keputusan keluar, dia gagal. Ibubapa sangat marah dengan kegagalannya itu. Biarpun dia memberikan alasan sakit semasa menjawab soalan peperiksaan, pokoknya ibubapa (saudara-mara) hanya tahu yang dia telah gagal! - biarpun apa alasannya".

"Begitu juga cerita tentang kegagalan beliau dalam SPM tersebar ke seluruh kampung. Orang kampung tidak bercakap tentang keuzuran beliau semasa menjawab soalan peperiksaan, tetapi yang mereka tahu, dia gagal. Itu saja!".

Samalah halnya dengan keputusan di MU. Menang atau kalah. Bukan yang menang cuba menjustifikasi akan kemenangannya dengan pelbagai andaian, dan begitu juga yang kalah "tipis".

Buatlah "bedah-siasat" kemudian barulah diketahui punca sebenarnya (harapnyalah).

Politik wang lagi?

Saya tidak tahu sama ada dakwaan ini benar atau tidak. Tetapi bolehlah dikongsi bersama pembaca komen/wawancara bersama TGNA berkaitan hal ini. Sila klik sini (sumber) - Namun adalah lebih baik untuk anda dapatkan komen daripada pemimpin UMNO juga.

Kalau tanya saya, tiada apa yang mustahil dalam PRK seperti ini. Cuma bezanya sama ada ia berlaku secara terang-terangan atau pandai diselindung.

Ini kerana dua-dua pihak ingin menang, dan politik boleh jadi begitu kotor dan begitu murni dalam sesatu masa. Terpulang kepada anda untuk menilainya.

Sahsiah

Saya cuma sedikit terkedu dengan pernyataan oleh Pengarah pilihanraya MU bagi parti PAS iaitu Abdul Fatah yang siang-siang lagi menyatakan bahawa calon PAS akan berjaya menang dengan majoriti >2000 undi.

Nyaris-nyaris saja pernyataan yang mendabik dada itu tidak "makan tuan". Atau jika tuhan ingin menguji (atau juga menghukum) sikap beliau, hampir saja calon PAS yang kalah.

Bersikap yakin tidak salah, namun mengeluarkan angka seperti "kita akan menang dengan mendapat >2000 undi", dilihat tidak sehaluan dengan etika dan sahsiah parti yang beliau wakili.

Perspektif saya

PRK Manek Urai ini telah dianalisa, dikomen dan dikupas oleh terlalu ramai orang (terutama pengupas tidak berdaftar di blog-blog, seperti saya..Haha).

Ada yang pro-calon yang menang, dan tidak kurang yang pro-calon yang kalah "tipis".

Apapun, saya melihat PRK MU ini dari konteks yang agak berbeza, malah mungkin juga bercanggah dengan pendapat dan pandangan kebanyakan orang yang telah bercakap mengenainya.

Daripada penelitian saya, pengundi di MU adalah kelompok yang berpotensi untuk menguji dan membuktikan kepada semua pihak betapa jujurnya @ tidak jujurnya komitmen kerajaan persekutuan/UMNO/BN mengotakan janji-janji pembangunan mereka buat rakyat melalui konsep 1Malaysia.

MU menawarkan situasi yang begitu ideal, kerana:

(1) Bagi UMNO, mereka sememangnya memerlukan suntikan motivasi setelah mengalami transformasi kepimpinan dengan mendapat Presiden, TP dan Ketua-ketua sayap yang baru dan segar - pastinya ingin membuktikan sesuatu kepada semua rakyat!

(2) UMNO perlu segera bangkit meyakinkan rakyat (sokongan dari orang Melayu terutamanya), setelah kalah/kecundang di banyak siri PRK sebelum ini di tangan PR.

Katakan UMNO menang, mereka sewajarnya segera mengotakan janji terutama pembinaan "jambatan baru" kerana semua mata akan tertumpu kepada kemampuan kerajaan menunaikan janji - terutama dalam kes di negeri Kelantan.

UMNO/BN yang terjejas imejnya sebelum ini pastinya akan lebih berhati-hati untuk tidak "menanam tebu di pinggir bibir" kerana kegagalan untuk menunaikan janji di MU, pastinya dianggap telah "menggali lubang kubur sendiri" bagi PRU ke-13 yang bakal menyusul.

Dengan tekanan untuk UMNO memenuhi janji yang mereka sendiri buat, penduduk MU, saya jangka akan merasa tempias yang baik dengan adanya jambatan baru, perancangan pertanian lebih sistematik dan secara skala komersil, juga berkelebihan dalam komunikasi langsung dengan kerajaan pusat.

Namun, untuk mendapat masyarakat sebagaimana yang saya andaikan, memerlukan keyakinan sesama anggota masyarakatnya untuk bersepakat dan menerima "kesan berpotensi" yang bakal diterima jika mereka memenangkan calon UMNO tempoh hari.

Pokoknya, mereka perlu faham bahawa niatnya ialah untuk memenuhi kemudahan infrastruktur dan kehidupan yang asas, bukan memilih kerana janji kesenangan semata.

Beberapa kemudahan asas yang belum mencapai tahap yang "memenuhi piawaian minima" disebabkan batasan kewangan kerajaan negeri, namun mungkin boleh disediakan oleh kerajaan pusat dengan kewangan yang besar. Ini kena fikirkan.

Apapun, tidak juga dinafikan yang andaian saya ini salah atau tidak logik langsung kerana ianya tidak mungkin akan berlaku - bagi orang PAS: UMNO/BN tidak akan tunaikan janji, atau biar susah asalkan tetap dengan perjuangan.

Penduduk perlu memilih antara perjuangan menegakkan sebuah negara Islam (dengan adanya DAP?), dengan agenda nasionalis Melayu-nya (sedangkan DEB pun gagal capai sasaran 30%?).

Apapun, kes MU telah terlambat untuk dibuat apa-apa andaian dan jangkaan. Mungkin kena tunggu jika ada PRK lain yang bakal menyusul.

Masa depan Malaysia

Siapalah saya untuk meramalkan apa-apa. Cuma daripada apa yang saya perhati, selagi kerajaan yang memerintah itu lemah (tidak mendapat majoriti 2/3), selama itulah jurang perbezaan, ketidaksepaduan dan pertelingkahan akan terus melebar.

Bukti paling jelas ialah krisis peralihan kepimpinan di negeri Perak. Ini bukti yang berfakta, dan semua orang mengikuti kes ini - nanti akan tertulis dan dimasuk ke dalam buku sejarah sekolah!

BN jika ingin terus memerintah, hendaklah mereka mengembalikan majoriti 2/3 sebagaimana dikecapi sebelum PRU-12 dan sebelum tragedi 13 Mei.

Begitu jugalah jika PR masih bersemangat untuk mengambil alih kerajaan persekutuan pada PRU-13 akan datang - kena dapat majoriti 2/3.

Jika tidak, selama itulah kaum-kaum akan saling cabar-mencabar antara satu sama lain - dalam hal seperti hak-hak keistimewaan Melayu dan sebagainya.

Dari hal perkauman, kemudiannya akan berjangkit kepada hal-hal keagamaan.

Kinipun kita sudah saksikan bagaimana Islam cuba "diturun pangkat" oleh orang bukan Islam. Dulu tidak begitu kuat suara dan tuntutan mereka, bukan? - lihat bagaimana hal anak bagi pasangan Mualaf untuk disuruh kembali kepada agama asal jika berlaku penceraian, etc.

Kerajaan lemah (tanpa majoriti 2/3) tidak menguntungkan mana-mana pihak terutama dalam jangka masa panjang. Semua akan terjejas, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Yang terjejas pula bukan hanya politik tempatan/dalaman, malah hal berkaitan ekonomi dan pekerjaan, hubungan dengan negara luar, sosio-ekonomi, keselamatan, penyakit sosial dan jenayah, kemiskinan dan kemelaratan hidup dan banyak lagi.

Akibat sikap saling berkeras kepala, masyarakat dan tamadun yang dibina sekian lama akhirnya runtuh, dan generasi kita yang akan datang pastinya akan terus mengenang "jasa" yang datuk-nenek mereka tinggalkan ini.

Wassalam.

Tuesday, 14 July 2009

MU - Foto sekitar hari mengundi

Tak payah berebut tempat, UMNO/BN belah kanan, PAS/PR belah kiri.

Anggota keselamatan bertugas mengawal kelancaran trafik dan ketenteraman awam.

Tempat kejadian membaling botol dan batu kini kembali reda.

Sumber semua foto: sini

Monday, 13 July 2009

Janji(mu) di Manek Urai

Inilah penyakit biasa yang masih tidak dapat diubat setiap kali adanya pilihanraya. Mengapa masih menggunapakai kaedah menabur janji sebegini?

Saya kira sebagai antara orang paling berpengalaman dalam politik, TPM tidak seharusnya melancarkan kempen bercorak sebegini.

Jika beliau datang ke Manek Urai di atas kapasiti beliau sebagai TP UMNO/BN, tidaklah begitu nampak salahnya. Namun, ianya berbeza jika berucap atas kapasiti beliau sebagai TPM @ Kerajaan Persekutuan.

Duit untuk pembangunan negara bukanlah duit dari poket UMNO/BN, tetapi wang cukai rakyat yang dibayar dengan amanah pentadbirannya kepada "Kerajaan Persekutuan".

Dan wang cukai itu, tidak 100% dikutip dari ahli UMNO/BN, malah ada di dalamnya sumbangan lain-lain kaum dan ahli parti politik yang lain (cakap mudah - orang PAS pun bayar cukai, Melayu, Cina, India pun bayar cukai, etc).

(Jika tidak, pastinya Khir Toyo akan berfikir beratus kali sebelum membina mahligai besarnya di Shah Alam itu!)

Hal ini juga telah saya kupas di dalam posting "Congak-congak Manek Urai" di mana Dr Agus menyatakan perlunya politik berbentuk ugutan pembangunan tidak lagi dikitar semula dalam PRK ini.

Pendekatan berkempen sebegini pada saya hanya akan diputar menjadi modal berguna buat PR untuk menghentam pihak "Kerajaan" (termasuklah UMNO/BN sekali) di dalam siri-siri ceramah mereka.

Pendekatan sebegini juga akan membuatkan hamba rakyat berpendapat "Kerajaan" (termasuklah seluruh agensinya dan kakitangannya) hanya bersikap pilih kasih di dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka menyediakan pembangunan kepada rakyat - terutama di negeri Kelantan.

Fikir-fikirkanlah.

Makan-makan, sembang-sembang

12 Julai 2009

Adalah baik waktu hujung minggu sebegini dimanfaat bagi bertemu rakan-rakan "sekampung" di Oxford ini.

Pada mulanya kami agak ralat juga untuk meneruskan hasrat buat BBQ memandangkan ramalan kaji cuaca menunjukkan "light shower" a.k.a hujan renyai-renyai.

Alhamdulillah, cuaca begitu cerah, panas dan berangin hingga jam 6.00 petang.

Ini juga kali pertama saya buat sendiri BBQ. Yang sebelum ini cuma membantu Ayah dan Izad sewaktu kunjungan keluarga mertua ke UK bulan lepas.

Alhamdulillah, kegiatan "pembakaran terbuka" BBQ juga berjalan baik dan semua orang dapat merasa sedikit seorang.

Disebabkan BBQ ini kami buat secara Ad-Hoc (takut tak jadi sebab ramal hari hujan), dan hanya menjemput beberapa rakan (yang kurang sihat tak dapat datang, kami doakan moga cepat sihat). Dan juga untuk bertemu beberapa rakan yang bakal pulang ke tanah air tidak lama lagi (Dr. Kalai dan Asean).

Sembang-sembang lepas makan

Seperti biasa, bila berjumpa sekali-sekala ini, adalah isu-isu menarik yang kami sembangkan. Dari hal-hal semasa tanah air termasuklah sembang politik dan pilihanraya, hal belajar, hal kerja, hal keluarga, hal beli tanah dan sebagainya.

Golongan kaum ibu pula, tidaklah dapat saya pastikan apa topik perbincangan mereka di dalam rumah tu. Apapun, berbanyak terima kasih kerana membawa makanan dan kuih-muih untuk dikongsi.

Ini kumpulan yang dok sembang kat dalam rumah



Mawaddah memang suka kalau tengok ramai orang kat keliling dia

Kepada yang sedikit lagi untuk tamatkan pelajaran dan dapat PhD, moga Allah terus dipermudahkan segala urusan anda.

Kepada yang sudah berkemas barang untuk pulang ke tanah air, sama-sama doakan moga Allah panjangkan jodoh kita dan harapnya dapat bertemu dan berkumpul lagi di tanah air kelak.

Wassalam.

Wednesday, 8 July 2009

PPSMI: Kung-Kali-Kung

Saya kira ulasan-ulasan berkenaan PPSMI kini telah menjadi "isu lapuk" untuk diperdebat memandangkan terlalu banyak orang telah bercakap, menganalisa dan menulis mengenainya.

Begitulah realitinya apabila teknologi semakin canggih, menjadikan pergerakan masa dan isu begitu pantas. Terlewat 1 hari, sudah cukup menjadikan sesuatu isu itu lapuk dan ketinggalan zaman.

Namun, kupasan berkaitan PPSMI ini perlu saya buat, bersandarkan kapasiti saya sebagai seorang pendidik, seorang ayah dan seorang Melayu yang kurang menguasai bahasa Inggeris biarpun agak lama hidup di luar negara.

Tutup buku


Pengumuman oleh Menteri Pelajaran Rabu lalu secara rasminya telah "menutup buku" berkaitan dasar PPSMI (dimansuh) dan para pelajar (dan guru-guru) di peringkat rendah dan menengah akan kembali kepada sistem "lama" iaitu pengajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan/menengah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi sekolah aliran Cina dan India.

Pemansuhan tersebut, walaubagaimanapun, hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012 (sumber) iaitu 3 tahun dari sekarang. Ianya bertujuan membolehkan PPSMI "menyelesaikan" kumpulan terakhir pelajar di peringkat yang terlibat.

Reaksi

Sejurus selepas Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI ini, akhbar-akhbar arus perdana tidak ketinggalan mendapatkan reaksi atau pandangan pelbagai pihak berkaitan langkah terbaru yang diambil oleh kerajaan ini.

Antara yang paling awal memberikan respon ialah Tun M, mantan PM (sumber).

Malangnya, bukan khabar gembira dan yang sedap didengar telinga dilontarkan oleh Tun, bahkan beliau secara terang-terangan mengkritik langkah yang dibuat kerajaan itu.

Tun nyata tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan berkaitan PPSMI, kerana bukan sahaja pandangan beliau berkaitan PPSMI tidak diambilkira oleh kerajaan, malah langkah yang diputuskan ini dilihat beliau secara jangka panjangnya akan memperjudikan nasib dan masa depan anak-anak dan generasi akan datang (sumber).

Seperti lazimnya, apabila ada yang membangkang, akan adalah pula pihak yang menyokong (ke mengampu?). Untuk mendapatkan sokongan kumpulan-kumpulan pro-PR tidaklah sukar dan sememangnya telah dijangka.

Namun, adalah lebih sesuai mendapatkan sokongan daripada golongan bijak pandai dan para pemimpin kerajaan sendiri.

Justeru, bagi beberapa tokoh, pemansuhan PPSMI ini dianggap sebagai satu tindakan yang realistik (sumber).

Sama ada hamba Allah ini tidak faham Bahasa Inggeris atau tidak sensitif.

Malah Tun Abdullah, seorang lagi mantan PM turut berlapang dada dengan langkah kerajaan ini kerana merasa ianya dibuat kena pada masa dan ketikanya (sumber).

Agar tidak menambah bisa pada luka yang ada, Menteri Pelajaran kemudiannya mengumumkan bahawa tanpa PPSMI, kerajaan akan memastikan "Bahasa Melayu akan terus dimartabat dan Bahasa Inggeris pula akan dimantap" (sumber).

Memang mudah disebut dan enak didengar. Namun, bolehkah hamba rakyat diyakinkan dengan janji-janji manis(mu) ini?

Langkah teliti

Saya kira tindakan yang diputuskan kerajaan ini dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor dan pandangan pelbagai pihak.

Secara logik - di kala sokongan kepada kerajaan berkurang selepas PRU-12, para pimpinan kerajaan pastinya tidak akan dengan sewenang-wenang, atau tanpa justifikasi yang kukuh bertindak memansuhkan PPSMI.

Pastinya telah banyak "perbincangan meja bulat" (round table discussions), pembentangan laporan dan hasil penyelidikan serta kertas kerja oleh pelbagai professor bahasa dari pelbagai universiti tempatan, kajian dalaman kementerian dan survei oleh badan kajian bebas telah diperhalusi dan diperdebatkan.

Mungkin saya yang di bawah ini kurang ilmu dan pendedahan terhadap apa sebenarnya berlaku di tapak/sekolah dan tidak dimangsakan sebagaimana guru-guru. Namun, langkah besar ini saya ibaratkan kita sedang melakukan pusingan-U (U-turn) di kala sedang memasuki lorong memecut di lebuh raya.

Mengapa ingin berpatah balik? Adakah kita masih gagal tinggalkan rasa sayang dan zon selesa yang didiami sejak sekian lama?

Dahulu kita diibarat berada di lorong kiri (tidak memotong) di lebuh raya. Globalisasi bagaimanapun menjadikan kita semakin ketinggalan dan dipintas/dipotong "kenderaan negara lain".

Justeru, PPSMI dilancarkan dengan semangat awal untuk menyediakan generasi muda negara untuk beralih ke "lorong memotong".

Setelah 6 tahun (jika tidak silap) PPSMI dilaksanakan, kesan yang diharapkan masih belum kelihatan, malah timbul banyak kelemahan dan akhirnya mengundang reaksi negatif pelbagai pihak.

Memandangkan survival kerajaan yang memerintah terletak pada bilangan undi semasa pilihanraya (dan kerajaan BN telah merasa sendiri pedihnya selepas PRU-12 yang lalu), sebarang tindakan kerajaan ini perlu menampakkan adanya "kompromi" bagi memastikan sokongan berterusan pelbagai lapisan rakyat.

Jika liberalisasi sebelum ini dapat dikompromi kepada kaum bukan bumiputra, kini PPSMI pula diguna bagi orang Melayu/bumiputra.

Makan masa

Adalah sesuatu yang lazim apabila perlaksanaan sesuatu dasar yang besar, yang mengubah kepompong keselesaan orang Melayu pastinya akan memakan masa, dan tidak kurang akan adanya "proses cuba-jaya".

Lihat saja DEB, setelah dilancar pada tahun 1974 sehingga tahun 2009 (35 tahun), adakah matlamat pemilikan ekuiti bumiputra 30% telah dicapai? Tidak.

Dan sepanjang tempoh 35 tahun jugalah DEB turut melalui proses penambahbaikan dan "cuba jaya" - ada yang berjaya, dan ada yang kecewa.

Mungkin "masa" itu adalah bukan sesuatu yang ada dalam kawalan ketika ini. Survival politik perlu diutamakan. Akibatnya, halatuju pendidikan negara dan masa depan anak-anak yang dipertaruhkan.

Apapun "nasi sudah menjadi bubur", keputusan sudah dibuat. Ingin bersorak gembira? Tidak juga. Bersedih? Mungkin juga.

Namun, saya masih ingin berkongsi pendapat memandangkan saya juga akan terkesan dengan keputusan ini, begitu juga dengan masa depan anak-anak.

Sebagai pendidik

Saya mungkin tidak menerima kesan langsung sebagaimana rakan guru di sekolah rendah dan menengah. Bagi yang sukar keluar dari zon selesa, akan berlapang dada dengan keputusan ini. Bagi yang telah faham akan kepentingan BI, akan merasa kehilangan itu.

Saya menjangkakan cabaran lebih besar selepas ini, terutama apabila pelajar-pelajar ini melangkah kaki ke IPT.

Bukan sahaja kepada para pensyarah perlu bekerja keras memastikan penyampaian ilmu dalam bahasa Inggeris (BI) ini dapat dikuasai pelajar, malah pelajar sendiri perlu segera berlari (tanpa ada masa untuk merangkak) menguasai bahan-bahan rujukan dan pengajaran dalam BI.

Realitinya, banyak bahan pengajaran baik buku, jurnal ,monograph dan lain-lainnya, sama ada hasil karya cendakiawan tempatan dan luar negara, adalah di dalam BI.

Justeru, bagi memastikan para pelajar tidak mendapat "ilmu sesat" dan mengamalkannya secara "sesat", penguasaan dan asas BI yang kukuh adalah perlu (ini prasyarat).

Sebagaimana juga orang mengaji Quran, kenalah ada asas dan kefahaman. Jika tidak, mulalah Al-Quran diceduk, diguna untuk berhujah secara yang tidak tepat, dan akhirnya memesongkan diri sendiri dan orang lain.

Saya melihat perlunya PPSMI dimantapkan, bukan dimansuhkan. Bagi sekolah rendah mungkin subjek sains dan matematik cukup untuk diajar dalam bahasa Melayu kerana ianya lebih kepada memberikan pendedahan dan menggalakkan minat anak-anak kepada sains dan matematik. Tambahan pula, telah ada subjek BI (ini yang kena mantapkan).

Bagi peringkat menengah, subjek sains dan teknologi perlu dikekalkan dalam BI (bahan), dan pengajaran boleh dibuat 50:50 (BM/BI). Sekurang-kurangnya, pelajar tidak terlalu asing dengan bahan bacaan dalam BI dan terhindar daripada mendapat "ilmu sesat" akibat tersilap fahaman di kelas.

Ini juga kerana peringkat menengah telah hampir kepada dunia IPT, dan di sinilah perlunya transformasi minda dan kefahaman dari alam persekolahan ke alam universiti dilicinkan.

Alam pekerjaan

Bagi jangkamasa panjang pula, pengaruh dan penggunaan BI di luar alam persekolahan memang tidak dapat kita sangkal lagi.

"Takpe, aku nanti nak kerja dengan local company aje".

Betul. Tetapi apakah jaminan local company itu tidak menjalankan projek-projek di luar negara, (seperti Petronas, Sime Darby)?

Apatah lagi jika anda siang-siang lagi telah berhajat untuk berkhidmat dengan global company, makanya BI memang kena mantap.

Dengan pelancaran dasar liberalisasi oleh PM baru-baru ini, juga dilihat membuka lebih ruang dan peluang buat pemodal dari luar untuk datang membeli saham dan membuka perusahaan di Malaysia.

Justeru, apakah cara dan kaedah untuk berkomunikasi di bawah pengurusan orang-orang asing ini?

Sebagai ayah

Sebagai ayah, sememangnya saya ingin melihat anak-anak menerima pendidikan hingga ke peringkat yang tertinggi. Bukan untuk menumpang senang dan kekayaan mereka, tetapi sekurang-kurangnya saya berusaha memastikan anak-anak "kaya ilmu".

Bahasa jiwa bangsa. BM adalah perlambangan jiwa bangsa kita sebagai orang Malaysia. Dan BI pula bahasa untuk mendalami ilmu di peringkat tertinggi dan untuk cari kerja.

Kedua-duanya penting dan perlu dikuasai dengan baik. Lemah BM, lemahlah jiwa bangsa. Lemah BI, sukarlah mendaki tangga ilmu dan sukar dipanggil orang ke temuduga kerja.

Adalah besar harapan saya untuk memastikan biarpun maju manapun hidup anak-anak dan generasi yang akan datang ini, akar umbi Melayu tidak akan luntur dari dalam diri masing-masing.

Adalah tidak mustahil dengan era yang serba maju dan canggih ini BM dan BI dapat dikuasai kedua-duanya dengan baik.

Sebagai orang lemah BI

Saya amat jarang menggunakan BI terutama sewaktu di sekolah dan awal universiti. Mungkin zon selesa yang di sekitar lingkungan hidup saya tidak memaksa saya untuk memahami dan menggunakan BI secara efektif.

Banyak bahan rujukan di perpustakaan di dalam BI, namun serahan tugasan kebanyakkannya masih dibuat di dalam BM.

Begitu juga laporan-laporan pelan pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), banyak yang disediakan di dalam BM untuk dirujuk.

Rakan sekuliah juga majoritinya Melayu dan jika ada Cina pun, masih bercakap Melayu.

Namun, setelah berada di luar negara, banyak "yang Melayu itu" kena kompromikan dengan penggunaan BI.

Saya memang menyedari cabaran ini dari dulu lagi, dan inilah yang menghambat saya agar terus bermotivasi untuk menghadapi cabaran ini.

Adalah lebih afdal untuk bercakap berdasarkan pengalaman hidup sendiri. Dan apa yang dapat saya katakan, semua orang perlu belajar tinggi-tinggi. Bukan untuk hidup kaya, tetapi untuk kayakan ilmu di dada dan meluaskan pengalaman.

Dengan berusaha mempelajari dan memahami BI (komunikasi dan penulisan) di peringkat lebih awal, segala cabaran ini dapat dihadapi dan ditangani dengan lebih baik dan berkesan.

PPSMI dipolitik?

Sekali air bah, sekali pantai berubah

Begitulah perumpamaan yang dapat menggambarkan peranan orang politik di dalam mengubah dan menukar sesuatu dasar/polisi/perancangan/pelan.

Sekali menteri bertukar, akan ada saja pelan dan rancangan lama yang ditukar/bubar, etc.

Namun apa yang lebih menyedihkan saya ialah bilamana bidang yang murni seperti pendidikan turut terpalit dengan agenda politik kepartian. Tolonglah! Bidang pendidikan janganlah dijadikan lubuk bagi meraih populariti politik.

Buktinya? Ini yang saya petik dari sumber arus perdana (sumber).

Orang politik telah menjadikan PPSMI ini seperti Kung-Kali-Kung. Pusing-pusing, lepas itu balik asal. Yang rugi adalah bangsa sendiri. Yang untung adalah parti politik juga sebab PPSMI dah jadi modal kempen!

Apa boleh buat, kerosakan sudah berlaku. Sayangnya yang rosak itu ialah sistem pendidikan yang berperanan mendidik dan membangunkan modal insan yang berguna bagi negara.

Jika kereta yang rosak, senang sahaja. Kita hantar ke bengkel dan mekanik dapat memeriksa mana yang rosak dan terus dibaiki. Jika modal insan yang rosak? Bengkel mana yang tawarkan khidmat untuk baikinya?

Janganlah bertindak sehingga orang melihat bidang pendidikan ini hilang profesionalnya, kredibilitinya dan kemurniannya. Pergilah buat korup di bidang lain, biarkanlah bidang pendidikan ini kekal profesional.

Ibarat kata seorang kawan yang datang melawat saya, "di UK ini, sistem pendidikannya begitu mantap tanpa diganggu tangan politik. Jika bertukar menteri pendidikan setiap minggu pun, pendidikan di UK tetap tidak berubah dan masih yang terbaik, kerana itulah Malaysia tetap menghantar pensyarah mereka menyambung PhD di sini".

Jika kita masih belum dapat menetapkan dasar pendidikan, bagaimana untuk menarik minat orang luar datang menuntut ilmu dengan kita.

PPSMI dimulakan dengan tekanan politik, ratusan juta wang rakyat disuntik dan akhirnya PPSMI juga ditamatkan dengan tekanan politik.

Pilih pemimpin

Saya akhiri posting ini dengan serangkap pantun, berkaitan pemilihan pemimpin, ketua dan orang yang diharapkan untuk memimpin orang-orang di bawahnya.

Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk, kedua pantai
Kalau mencari pemimpin terpuji
Pertamanya elok, kedua pandai

Betul pemimpin, betullah orang yang dipimpinnya. Rosak pemimpin, rosaklah orang yang dipimpinnya.

Wassalam