Thursday, 16 July 2009

MU: UMNO/BN patutnya menang

Adalah sedikit mengejutkan apabila mendapati UMNO tidak berjaya menawan kerusi Manek Urai (MU) daripada genggaman PAS pada PRK kelmarin.

Tambahan pula, jika kesemua faktor "pemangkin kemenangan" di bawah ini diambilkira, calon dan parti UMNO pastinya mempunyai peluang yang cerah untuk menang:

1) Hari jadi 100 hari pemerintahan PM yang baru, dengan 11 khabar gembira buat rakyat, seharusnya dimanfaatkan oleh masyarakat di MU.

2) Janji pembinaan jambatan di MU bernilai RM 7 juta, yang sememangnya begitu mendesak keperluannya buat masyarakat MU (sumber).

3) Janji untuk menjadikan MU anak angkat (anak emas) Kerajaan Persekutuan.

4) Janji perlaksanaan "Kota Agropolitan" di MU, begitu kena pada masa dan dengan potensi untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat Melayu miskin luar bandar.

5) Majoriti pengundi di MU adalah orang-orang Melayu.

6) Calon UMNO adalah bekas orang kuat KESEDAR, berpendidikan tinggi dan berpengaruh, mempunyai saluran yang kuat bagi membawa projek-projek pembangunan ke MU.

7) Dengan situasi PAS/PR masih belum sembuh sepenuhnya daripada demam "Kerajaan Perpaduan" yang menggoncang imej pimpinan atasan parti.

8) Etc.

Namun, begitulah adat orang bertanding, ada menang dan ada kalah. Apapun, dalam seni politik ini yang menang tidak semestinya untung semua dan yang kalah tidak juga rugi semuanya.

Hanya 65 undi yang memisahkan masyarakat MU dengan "jambatan baru".
Hanya 65 undi yang menukar status mereka daripada "anak emas" kepada "anak tiri".
Hanya 65 undi yang membuatkan perancangan "Kota Agropolitan" terpaksa dialih ke tapak baru.

Namun, disebalik segala khabar angin yang tersebar di internet, kerajaan BN nampaknya masih "berjanji" untuk terus komited dengan "janji" untuk membantu membangunkan MU (sumber), terutama dalam hal bantuan rumah dan kebajikan (tiada sebut pasal jambatan baru??).

Sudah jelas

Sebaik sahaja keputusan PRK diumumkan oleh pihak SPR dan diketahui akan berita kekalahan tipis calon UMNO dengan 65 undi, akhbar arus perdana menyiarkan berita akan "pulihnya sokongan rakyat kepada UMNO/BN" (sumber).

Pulih atau hanya andaian (setelah pelbagai janji pembangunan dibuat), tiada bukti yang nyata bagi menyokong pernyataan yang dibuat.

Begitu juga di pihak yang menang. Sudah berkurang jumlah undi tetapi masih yakin dan selesa dengan apa yang dicapai.

Apapun, sebagai strategi untuk memulihkan semangat penyokong dan menjaga reputasi kedua-dua parti, wajarlah pernyataan sebegini dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi parti masing-masing.

"Kita kalah tipis saja" - UMNO
"Biarpun menang tipis, tapi tetap menang juga" - PAS/PR

Namun, soalnya bukan kalah tipis atau menang tipis, kalah tetap kalah dan menang tetap menang! Sama juga halnya, contoh:

"Seorang pelajar gagal dalam SPM kerana beliau demam teruk semasa menduduki peperiksaan. Tidak dapat fokus dan hampir pitam dalam dewan. Akhirnya tidak berupaya menjawab dengan baik".

"Bila keputusan keluar, dia gagal. Ibubapa sangat marah dengan kegagalannya itu. Biarpun dia memberikan alasan sakit semasa menjawab soalan peperiksaan, pokoknya ibubapa (saudara-mara) hanya tahu yang dia telah gagal! - biarpun apa alasannya".

"Begitu juga cerita tentang kegagalan beliau dalam SPM tersebar ke seluruh kampung. Orang kampung tidak bercakap tentang keuzuran beliau semasa menjawab soalan peperiksaan, tetapi yang mereka tahu, dia gagal. Itu saja!".

Samalah halnya dengan keputusan di MU. Menang atau kalah. Bukan yang menang cuba menjustifikasi akan kemenangannya dengan pelbagai andaian, dan begitu juga yang kalah "tipis".

Buatlah "bedah-siasat" kemudian barulah diketahui punca sebenarnya (harapnyalah).

Politik wang lagi?

Saya tidak tahu sama ada dakwaan ini benar atau tidak. Tetapi bolehlah dikongsi bersama pembaca komen/wawancara bersama TGNA berkaitan hal ini. Sila klik sini (sumber) - Namun adalah lebih baik untuk anda dapatkan komen daripada pemimpin UMNO juga.

Kalau tanya saya, tiada apa yang mustahil dalam PRK seperti ini. Cuma bezanya sama ada ia berlaku secara terang-terangan atau pandai diselindung.

Ini kerana dua-dua pihak ingin menang, dan politik boleh jadi begitu kotor dan begitu murni dalam sesatu masa. Terpulang kepada anda untuk menilainya.

Sahsiah

Saya cuma sedikit terkedu dengan pernyataan oleh Pengarah pilihanraya MU bagi parti PAS iaitu Abdul Fatah yang siang-siang lagi menyatakan bahawa calon PAS akan berjaya menang dengan majoriti >2000 undi.

Nyaris-nyaris saja pernyataan yang mendabik dada itu tidak "makan tuan". Atau jika tuhan ingin menguji (atau juga menghukum) sikap beliau, hampir saja calon PAS yang kalah.

Bersikap yakin tidak salah, namun mengeluarkan angka seperti "kita akan menang dengan mendapat >2000 undi", dilihat tidak sehaluan dengan etika dan sahsiah parti yang beliau wakili.

Perspektif saya

PRK Manek Urai ini telah dianalisa, dikomen dan dikupas oleh terlalu ramai orang (terutama pengupas tidak berdaftar di blog-blog, seperti saya..Haha).

Ada yang pro-calon yang menang, dan tidak kurang yang pro-calon yang kalah "tipis".

Apapun, saya melihat PRK MU ini dari konteks yang agak berbeza, malah mungkin juga bercanggah dengan pendapat dan pandangan kebanyakan orang yang telah bercakap mengenainya.

Daripada penelitian saya, pengundi di MU adalah kelompok yang berpotensi untuk menguji dan membuktikan kepada semua pihak betapa jujurnya @ tidak jujurnya komitmen kerajaan persekutuan/UMNO/BN mengotakan janji-janji pembangunan mereka buat rakyat melalui konsep 1Malaysia.

MU menawarkan situasi yang begitu ideal, kerana:

(1) Bagi UMNO, mereka sememangnya memerlukan suntikan motivasi setelah mengalami transformasi kepimpinan dengan mendapat Presiden, TP dan Ketua-ketua sayap yang baru dan segar - pastinya ingin membuktikan sesuatu kepada semua rakyat!

(2) UMNO perlu segera bangkit meyakinkan rakyat (sokongan dari orang Melayu terutamanya), setelah kalah/kecundang di banyak siri PRK sebelum ini di tangan PR.

Katakan UMNO menang, mereka sewajarnya segera mengotakan janji terutama pembinaan "jambatan baru" kerana semua mata akan tertumpu kepada kemampuan kerajaan menunaikan janji - terutama dalam kes di negeri Kelantan.

UMNO/BN yang terjejas imejnya sebelum ini pastinya akan lebih berhati-hati untuk tidak "menanam tebu di pinggir bibir" kerana kegagalan untuk menunaikan janji di MU, pastinya dianggap telah "menggali lubang kubur sendiri" bagi PRU ke-13 yang bakal menyusul.

Dengan tekanan untuk UMNO memenuhi janji yang mereka sendiri buat, penduduk MU, saya jangka akan merasa tempias yang baik dengan adanya jambatan baru, perancangan pertanian lebih sistematik dan secara skala komersil, juga berkelebihan dalam komunikasi langsung dengan kerajaan pusat.

Namun, untuk mendapat masyarakat sebagaimana yang saya andaikan, memerlukan keyakinan sesama anggota masyarakatnya untuk bersepakat dan menerima "kesan berpotensi" yang bakal diterima jika mereka memenangkan calon UMNO tempoh hari.

Pokoknya, mereka perlu faham bahawa niatnya ialah untuk memenuhi kemudahan infrastruktur dan kehidupan yang asas, bukan memilih kerana janji kesenangan semata.

Beberapa kemudahan asas yang belum mencapai tahap yang "memenuhi piawaian minima" disebabkan batasan kewangan kerajaan negeri, namun mungkin boleh disediakan oleh kerajaan pusat dengan kewangan yang besar. Ini kena fikirkan.

Apapun, tidak juga dinafikan yang andaian saya ini salah atau tidak logik langsung kerana ianya tidak mungkin akan berlaku - bagi orang PAS: UMNO/BN tidak akan tunaikan janji, atau biar susah asalkan tetap dengan perjuangan.

Penduduk perlu memilih antara perjuangan menegakkan sebuah negara Islam (dengan adanya DAP?), dengan agenda nasionalis Melayu-nya (sedangkan DEB pun gagal capai sasaran 30%?).

Apapun, kes MU telah terlambat untuk dibuat apa-apa andaian dan jangkaan. Mungkin kena tunggu jika ada PRK lain yang bakal menyusul.

Masa depan Malaysia

Siapalah saya untuk meramalkan apa-apa. Cuma daripada apa yang saya perhati, selagi kerajaan yang memerintah itu lemah (tidak mendapat majoriti 2/3), selama itulah jurang perbezaan, ketidaksepaduan dan pertelingkahan akan terus melebar.

Bukti paling jelas ialah krisis peralihan kepimpinan di negeri Perak. Ini bukti yang berfakta, dan semua orang mengikuti kes ini - nanti akan tertulis dan dimasuk ke dalam buku sejarah sekolah!

BN jika ingin terus memerintah, hendaklah mereka mengembalikan majoriti 2/3 sebagaimana dikecapi sebelum PRU-12 dan sebelum tragedi 13 Mei.

Begitu jugalah jika PR masih bersemangat untuk mengambil alih kerajaan persekutuan pada PRU-13 akan datang - kena dapat majoriti 2/3.

Jika tidak, selama itulah kaum-kaum akan saling cabar-mencabar antara satu sama lain - dalam hal seperti hak-hak keistimewaan Melayu dan sebagainya.

Dari hal perkauman, kemudiannya akan berjangkit kepada hal-hal keagamaan.

Kinipun kita sudah saksikan bagaimana Islam cuba "diturun pangkat" oleh orang bukan Islam. Dulu tidak begitu kuat suara dan tuntutan mereka, bukan? - lihat bagaimana hal anak bagi pasangan Mualaf untuk disuruh kembali kepada agama asal jika berlaku penceraian, etc.

Kerajaan lemah (tanpa majoriti 2/3) tidak menguntungkan mana-mana pihak terutama dalam jangka masa panjang. Semua akan terjejas, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Yang terjejas pula bukan hanya politik tempatan/dalaman, malah hal berkaitan ekonomi dan pekerjaan, hubungan dengan negara luar, sosio-ekonomi, keselamatan, penyakit sosial dan jenayah, kemiskinan dan kemelaratan hidup dan banyak lagi.

Akibat sikap saling berkeras kepala, masyarakat dan tamadun yang dibina sekian lama akhirnya runtuh, dan generasi kita yang akan datang pastinya akan terus mengenang "jasa" yang datuk-nenek mereka tinggalkan ini.

Wassalam.

No comments: